CHOCO mengiau di hujung
kaki Auni Liyana. Manja ia menggesel kaki tuannya itu. Gadis itu pun membelai
kucing kesayangannya itu. Naufal dan Nufail hanya diam sahaja duduk di
sebelahnya. Masing-masing tersenyum nipis. Auni Liyana pula tertawa kecil.
“Tulah Nana! Degil sangat. Dah tahu badan tak
sihat, nak jugak keluar rumah. Cubalah berehat dekat rumah saja. Nak sangat
dikejar kerjanya tu. Kalau dah tak sihat macam mana nak buat kerja. Memang
sengaja nak menyusahkan diri. Orang lain pun tak habis-habis risaukan dia,”
leter Puan Musliha sambil membasuh pinggan di dapur. Lantang suaranya hingga
kedengaran jelas ke ruang tamu. Dari semalam lagi dia tak habis berleter bila
mendapat tahu anak gadisnya itu demam sehingga dimasukkan ke wad walaupun hanya
sekejap.
“Akak, dahlah tu. Suruhlah mak berhenti. Dari pagi
lagi dia berleter,” tegur Naufal sengaja bergurau. Naufal tertawa kecil
mendengarkannya.
“Dari pagi apanya! Dari semalam lagilah,” sengaja
Auni Liyana membetulkan adiknya itu.
“Tak penat ke mak asyik berleter. Nufail yang
dengar ni pun dah penat,” sampuk Nufail pula. Tertawa sakan mereka bertiga.
“Eh, mak dah diamlah,” ujar Naufal kemudiannya.
Terdengar deheman keras dari belakang mereka bertiga. Auni Liyana tersenyum
pahit. Naufal dan Nufail pulak sudah meneguk liur. Alamak! Habislah!!
Perlahan-lahan mereka berkalih ke belakang. Puan
Musliha memandang mereka tajam sambil bercekak pinggang.
“Eh mak! Bila mak ada dekat sini?” tanya Nufail
cuba berlagak sahaja. Namun Puan Musliha sengaja mendiamkan diri sambil terus
memandang mereka tajam.
“Ahh, Naufal nak pergi menyiram pokok bunga dekat
depan tu kejap. Lupa pulak nak siram awal pagi tadi,” ujar Naufal sambil bangun
dan beredar dari situ.
“Nufail pun tolong jugalah siram pokok bunga tu,”
sampuk Nufail pula sambil mengekori abangnya itu. Tinggallah Auni Liyana dan
emaknya sahaja di ruang tamu itu. Gadis itu pun bangun dan menarik emaknya
untuk duduk bersamanya. Puan Musliha hanya menurut sahaja tanpa berkata apa.
Tapi dia sengaja memasamkan wajahnya. Tertawa kecil Auni Liyana melihat keletah
rajuk emaknya itu.
“Alah mak! Dahlah tu, jangan merajuk lagi. Dorang
cuma bergurau saja dengan mak,” ujar Auni Liyana sambil mengurut lembut lengan
ibunya.
“Aik, bukan Nana pun sama jugak ke. Mengatakan mak
tadi,” bidas Puan Musliha.
“Eh, mana ada! Mak salah dengar kot,” gurau Auni
Liyana. Puan Musliha mencebikkan bibirnya melihat anak gadisnya itu tertawa
kecil.
“Yalah! Mak dah tua. Telinga pun dah tak berapa
dengar dah,” balas Puan Musliha masih merajuk.
“Mana ada tua. Muda lagi ni. Kalau tak, takkanlah
semua duda-duda dekat kampung kita tu boleh tergilakan mak pulak,” gurau Auni
Liyana membalas kata-kata emaknya. Menjegil Puan Musliha mendengarkannya.
Ringan sahaja tangannya mencubit peha anaknya itu. Terus sahaja Auni Liyana
mengaduh sakit mendapat penangan cubitan berbisa itu.
“Nana jangan nak mengarut pulak! Mak dah tak
terfikir nak kahwin lain dah. Yang mak nak tengok sekarang ni, Nana tu yang
kahwin! Entah bila lagilah mak nak dapat menantu ni. Asyik sibuk dengan kerja saja
Nana ni,” selar Puan Musliha. Auni Liyana memuncungkan bibirnya bila emaknya
membangkitkan kembali hal itu.
Auni Liyana sedikit tersentak bila Puan Musliha
melekapkan tangan ke dahinya. Emaknya tersenyum nipis. Masih panas dahinya tapi
tidaklah seteruk semalam. Sudah makin surut demamnya. “Nana ada sakit lagi ke?”
tanya Puan Musliha prihatin. Risau pulak jika Auni Liyana terasa pening atau
sakit kepala.
“Tak! Dah tak sakit dah,” jawab Auni Liyana sambil
melentok manja kepalanya ke atas riba emaknya.
Puan Musliha tersenyum melihat keletah manja
anaknya itu. Dia membelai perlahan rambut anak gadisnya. Auni Liyana tersenyum
nipis bila dimanjakan sebegitu oleh emaknya. Hatinya terasa sedikit sebak tapi
pantas dia mengusir perasaan itu. Dia tak mahu berwajah sedih di hadapan
emaknya.
“Hurmm.... sepatutnya Nana bermanja macam ni
dengan suami Nana. Bukannya dengan mak!” ujar Puan Musliha. Pantas merona wajah
Auni Liyana bila dia membayangkan sekilas lalu dimanjakan sebegitu oleh seorang
lelaki.
“Mak!!”
Puan Musliha tertawa melihat reaksi anaknya itu.
Auni Liyana menarik muka masam sambil memukul-mukul bantal kecil di sofanya
itu. Kemudian, suasana antara mereka diam seketika. Auni Liyana masih
meletakkan kepalanya di atas riba Puan Musliha.
“Mak,” panggil Auni Liyana bila melihat emaknya
sedikit terleka melihat rancangan di televisyen. Emaknya sekadar berdehem
menyahut panggilannya itu. “Mak pun pernah jugalah bermanja macam ni dengan
ayah dulu?” tanya gadis itu. Puan Musliha terdiam seketika mendengarkan
pertanyaan itu. Perlahan-lahan senyuman nipis terukir di wajahnya. Kedengaran
keluhan kecil terlepas dari rengkungannya. Dia memandang lembut anaknya itu.
“Kalau dah baru kahwin, biasalah tu. Mestilah
asyik nak berkepit dan bermanja saja dengan laki sendiri,” jawab Puan Musliha.
Dia diam sebentar sambil mengingati kembali kenangan manis itu. Kemudian, dia
mengeluh berat sebelum menyambung, “Entahlah Nana. Mak sendiri pun tak tahu di
mana silapnya hubungan kami sampai boleh berpisah. Mungkin salah mak. Mak yang
tak pandai jaga hati dia. Mak yang....”
“Mak...!” pantas Auni Liyana memotong kata-kata
emaknya. Dia pantas bangun dan memegang lembut wajah emaknya. Dia
menggeleng-geleng kurang bersetuju dengan kata-kata emaknya itu. “Bukan salah
mak. Nana pasti yang mak memang tak bersalah. Ayah pun mungkin sama jugak.
Mungkin mak dan ayah masing-masing tak bersalah. Mungkin.... dah memang
ditakdirkan macam tu,” sambung Auni Liyana sambil tersenyum nipis. Pandangannya
lembut menerkam wajah emaknya.
Puan Musliha tersenyum mendengarkannya. Dia
memegang tangan Auni Liyana sambil berkata, “Mak bersyukur sebab Nana tak
bencikan ayah Nana.”
Auni Liyana tersenyum nipis. “Mungkin Nana tak
benci tapi.... Nana tak tahu macam mana nak memaafkan dia. Nana dah tak ingat
macam mana wajah dia mak. Nana dah lupa,” ujar Auni Liyana. Terdengar sebak
suaranya. Sejujurnya dia memang sudah melupakan wajah lelaki yang pernah
dipanggil ayah itu. Hanya sampai usia 6 tahun sahaja lelaki bergelar ayah itu
wujud di dalam hidupnya. Dari kecil lagi, lelaki itu sudah meninggalkan mereka
sekeluarga. Membawa diri entah ke mana dan entah mengapa.
“Tak apalah Nana. Maaf akan datang bila sampai
waktunya. Mak sendiri pun tak tahu sama ada mak masih marah atau tak lagi,”
sahut Puan Musliha. Auni Liyana tersenyum nipis mendengarkannya.
“Tapi kan mak.... Pak Mid tu pun boleh tahan jugak
mak,” sengaja Auni Liyana kembali mengusik emaknya. Dia berlari sebelum sempat
emaknya mencubitnya lagi. Terdengar Puan Musliha bersuara lantang meleterinya.
Auni Liyana pula terus tertawa kecil.
Naufal dan Nufail yang berada di luar tersenyum
nipis mendengarkan pertelingkahan kecil antara emak dan kakak mereka itu. Ya,
memang begitulah lumrah kehidupan mereka seharian di kampung. Tak pernah sunyi
rumah mereka. Ada sahaja yang hendak dikelahikan dan diguraukan.
Naufal terus menyiram pokok bunga di taman kecil
itu. Nufail sekadar melihat sahaja. Masing-masing tenteram dengan suasana itu.
“SELAMAT PETANG, doktor!”
ucap sekumpulan jururawat. Doktor Hazim tersenyum memandang mereka sambil
membalas ucapan selamat itu. Dia mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul
5.30 petang. Tanpa sedar, hari semakin redup. Awan-awan kelabu memenuhi di
langit seperti sudah hampir malam. Guruh dan kilat juga saling bertingkah di
celahan awan.
Langkah Doktor Hazim terhenti bila dia terdengar
sesuatu. Seperti ada yang bergerak di dalam belukar bunga di sebelahnya. Dia
pun menghampiri belukar itu. Perlahan-lahan dia menjenguk di sebalik belukar
itu.
“Warghh!!!” tersentak Doktor Hazim bila seekor
kucing hitam melompat keluar tiba-tiba. Dia terus mengurut dadanya cuba
mengusir rasa gemuruh tadi. Kemudian, dia tersenyum sendiri. Hanya seekor
kucing sahaja membuatkan dia berasa begitu gemuruh.
Kemudian, dia pun kembali berkalih ke hadapan.
Belum sempat dia mengatur langkahnya kembali, sebiji bola yang agak kotor
berlumpur terlanggar kakinya. Dia menunduk mengambil bola itu. Mungkin
sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di situ. Tapi dia langsung tak melihat
sesiapa pun di situ. Sunyi sekali kawasan itu. Hanya dia seorang sahaja di
situ.
Doktor Hazim tersenyum sendiri. Nipis dan kelat
sekali senyuman itu. Dia meneguk liur sendiri. Terasa sedikit meremang bulu
roma tengkuknya. Dia melihat bola di tangannya. Nak buat apa dengan bola ni?
Tanyanya sendirian.
“Bola,” satu suara halus berkata di belakang
Doktor Hazim. Nafasnya seakan tersekat di rengkungannya. Pantas dia berkalih.
Seorang kanak-kanak lelaki sedang memandangnya. Langsung tiada senyuman di
wajah kecil itu. Wajahnya juga tampak pucat. “Bola...” lagi sekali budak itu
meminta bolanya kembali.
“Ohh...” Doktor Hazim pun mengembalikan bola itu
kepadanya.
“Terima kasih,” ujar budak itu perlahan sambil
menundukkan sedikit kepalanya. Dia pun pantas beredar dari situ. Menghilang di
sebalik selekoh di belakangnya. Doktor Hazim hanya melihat sahaja.
“Lebih baik aku pergi dari sini cepat,” ujar
Doktor Hazim sendiri. Dia tak mahu untuk terus berlama di situ. Pelbagai
andaian dan prasangka bermain di fikirannya. Tapi seperti mula tadi, belum pun
sempat dia memulakan langkahnya, lagi sebiji bola bergolek perlahan melanggar
kakinya dan berhenti betul-betul di hadapannya.
“Hah?” Doktor Hazim terdiam seketika. Kali ini,
dia membiarkan sahaja bola itu di atas lantai. Dia memandang sahaja bola itu
dengan pelbagai andaian. Bukan bola yang tadikah? Tanyanya sendiri. Corak bola
itu sama seperti bola awal tadi. Bola itu juga berlumpur.
Entah mengapa, dia menunduk untuk mengambil bola
itu. Tapi belum sempat dia mencapainya, sepasang tangan kecil mengambil bola
itu dulu. Pantas sahaja, tingkahnya terhenti. Dia kaku memandang kanak-kanak
itu. Kanak-kanak yang sama! Tapi macam mana dia boleh ada dekat depan ni pulak?
Bukan tadi dia dah pergikah dekat belakang sana tadi?! Pelbagai persoalan
bermain di benaknya.
Kanak-kanak itu memandangnya. Doktor Hazim pun
turut memandang kanak-kanak itu. Masing-masing hanya diam. Perlahan-lahan,
kanak-kanak itu menguntum senyuman nipis. Tak semena-mena suara tawa kecil
kanak-kanak kedengaran di sekelilingnya. Terus sahaja, dia berkalih memandang
sekeliling tapi tiada sesiapa pun di situ. Bila dia memandang kembali ke
hadapan, kanak-kanak tadi sudah pun tiada di situ.
Tangannya sedikit menggeletar memikirkan
kemungkinan siapakah kanak-kanak tadi sebenarnya. Fail di tangan dipegang erat
cuba menenangkan dirinya. Dia ingin melangkah pergi dari situ tapi kakinya
terasa begitu berat sekali. Badannya mula terasa sejuk. Ditambah lagi dengan
angin yang sedang bertiup ketika itu.
“Hazim!! Cepat jalan! Lebih baik aku pergi saja
dari sini,” ujarnya sendirian cuba memberi dorongan kepada diri sendiri.
Tap! Tap! Tap! Bunyi kasut bertumit berlaga dengan
lantai kedengaran sayup di belakangnya. Semakin lama semakin menghampirinya.
Tenang dan perlahan langkah itu. Doktor Hazim memeluk erat fail di tangannya.
Dia cuba mengusir pelbagai andaian yang sedang mengusik benaknya. Dia cuba
berfikiran positif.
“Doktor,” panggil satu suara perempuan di
belakangnya. Sentuhan lembut di bahu mengejutkan Doktor Hazim. Seiringan itu
juga kilat memancar di langit kelam.
“Warghh!!!!” Doktor Hazim menjerit sambil
memejamkan matanya. Failnya ditekupkan ke mukanya. Bahunya tampak sedikit
menggeletar. Pelbagai surah dan doa terhambur dari mulutnya ketika itu. Entah
makhluk apa yang sedang mengacaunya ketika itu.
Auni Liyana hanya memandang tingkah doktor muda
itu. Senyuman nipis mula bermain di bibirnya. Hampir tercetus tawa di suaranya
tapi sengaja ditahan. “Doktor Hazim!” panggilnya sekali lagi. Dia meninggikan
sedikit suaranya kali ini. “Doktor!!” Auni Liyana memanggil lagi bila Doktor
Hazim masih menutup wajahnya dengan fail.
Perlahan-lahan Doktor Hazim membuka matanya dan
mengalih fail itu. Dia menjenguk melihat empunya diri yang memanggilnya. Suara
gadis itu kedengaran nyata sekali. Dia menarik nafas lega bila melihat Auni
Liyana sedang memandangnya.
“Kenapa ni doktor? Macam nampak.... sesuatu yang
menakutkan saja,” tanya Auni Liyana bila doktor itu mulai tenang.
“Tak! Sa... saya terkejut. Guruh tadi,” ujar
Doktor Hazim beralasan. Guruh? Takkan takut dengan guruh pulak?! Ahh, apa-apa
sajalah! Bentak hatinya sendiri.
“Ha’ah, guruh tadi kuat juga. Nana pun terkejut
juga,” balas Auni Liyana sambil tersenyum. “Tapi.... doktor memang takutkan
guruh ke? Sebab nampak macam muka doktor pucat sikit tadi.”
“Urm... yakah? Mungkin sebab gelap sikit agaknya
dekat sini. Tu yang nampak pucat tu,” lagi sekali Doktor Hazim memberi alasan.
Dia tampak sedikit menggelabah. Auni Liyana hanya tersenyum mendengarkannya.
“Ahh, budak ni..!” Doktor Hazim sedikit terkejut
melihat budak yang mengambil bola tadi di sisi Auni Liyana. Gadis itu saling
berpandangan dengan kanak-kanak kecil itu. Mereka tersenyum sesama sendiri.
“Kenapa dengan Afif, doktor?” tanya Auni Liyana.
“Eh, Afif?” Doktor Hazim sedikit kebingungan.
Dahinya turut berkerut memandang kanak-kanak itu.
“Ha’ah, Afif. Dia pun pesakit dekat sini jugak.
Tinggal dekat wad kanak-kanak,” beritahu Auni Liyana.
“Tadi dia.... bola....” Doktor Hazim tak pasti
bagaimana untuk menceritakan kepada gadis itu. Tak mungkin dia mahu mengaku dia
sedikit takut dengan kejadian awal tadi. Auni Liyana tersenyum sambil mengeluh
perlahan. Dia memandang Afif.
“Afif usik doktor ya?” tanya Auni Liyana sengaja
berlagak tegas dengannya. Afif hanya tersengih memandangnya. “Nakal tau!” ujar
Auni Liyana sambil mencubit lembut pipi mungil Afif. Terkekek ketawa
kanak-kanak itu. Doktor Hazim hanya memandang mereka. Dia masih lagi bingung.
“Tapi... ada dua orang budak,” ujar Doktor Hazim
lagi.
“Adam!” panggil Auni Liyana kemudiannya. Kemudian,
Adam pun muncul dari belukar di hadapan. Kanak-kanak itu juga tersengih
memandangnya. “Adam dan Afif ni adik-beradik. Muka mereka memang seiras,”
beritahu Auni Liyana lagi. Kemudian, beberapa kanak-kanak lain juga muncul dari
tempat persembunyian mereka. Doktor Hazim mengerutkan dahi memandang semua
kanak-kanak itu.
“Hai, kak Nana!” ucap mereka semua serentak.
Semuanya tersenyum memandang doktor muda itu.
“Hai.... korang semua nakal ya? Sengaja usik
Doktor Hazim,” ujar Auni Liyana sambil tersenyum.
“Hehe....” Ain tertawa kecil. “Oh, doktor ni
namanya Doktor Hazim ya?” ujarnya sambil memandang Doktor Hazim.
“Tapi.... bestlah kacau doktor ni. Dia takut!”
sahut Irfan pula. Mereka yang lain tertawa kecil mendengarkannya.
“Tak! Mana ada saya takut. Sa... saya tak takut...
okay!” tempelak Doktor Hazim sambil mengetapkan bibirnya. Tak sangka mereka
hanya sekumpulan kanak-kanak biasa yang sengaja mahu mengusiknya. Sangkanya
tadi, entah makhluk apalah yang ingin menguji semangatnya.
Auni Liyana turut tertawa memandang keletah doktor
itu yang terus menafikan yang dia terusik dengan keletah nakal kanak-kanak itu
tadi. Beria-ia dia menafikannya.
“Oh, kat sini rupanya korang semua. Penat tau akak
cari dari tadi lagi,” tingkah Farhana yang baru muncul. Dia bercekak pinggang
memandang semua kanak-kanak itu. Sengaja dia membuat riak garang pada wajahnya
tapi sedikit pun kanak-kanak itu tidak takut. Mereka hanya tertawa kecil
memandangnya. Farhana mengeluh perlahan memandang mereka. Tampaknya, garangnya
sudah tak berbisa lagi kepada mereka.
“Hmm, kenapa Nana? Doktor Hazim?” tanya Farhana
bila melihat mereka berdua hanya diam. Tambah lagi, Doktor Hazim kelihatan agak
menggelabah. Auni Liyana tersenyum memandang jururawat itu.
“Tadi dorang semua usik Doktor Hazim. Dorang buat
helah macam biasalah. Sengaja takutkan doktor ni,” beritahu Auni Liyana.
Farhana sekadar menggeleng-geleng mendengarkannya. Ada sahaja nakal mereka
semua.
“Macam mana? Dia takutkah?” tanya Farhana separuh
berbisik tapi masih jelas kedengaran.
Auni Liyana tak menjawab. Sebaliknya dia membuat
isyarat bagus dengan ibu jarinya sambil tertawa kecil. Semua kanak-kanak itu
juga turut tertawa.
“Saya tak takut. Okay?!” tempelak Doktor Hazim
lagi. Dia memandang mereka berdua dengan wajah serius. Auni Liyana tertawa
memandangnya. Begitu juga dengan Farhana.
“Maaflah doktor. Budak-budak ni semua memang nakal
sikit. Harap doktor tak adalah nak terasa sangat dengan mereka semua ni,” ujar
Farhana menghabiskan tawanya. “Cepat, minta maaf semua!” suruh Farhana.
“Kami minta maaf...” ucap mereka semua serentak.
Namun, mereka masih tersenyum memandang doktor itu.
“Ahh, tak apa...” sahut Doktor Hazim perlahan.
Kemudian, Farhana pun meminta diri bersama semua
kanak-kanak itu. Dia perlu membawa mereka semua kembali ke wad. Tinggallah
Doktor Hazim dan Auni Liyana berdua. Gadis itu memandang doktor di hadapannya
yang masih lagi memandang ke arah kanak-kanak itu yang makin menjauh dari
mereka.
“Sebenarnya.... Nana tengok dari mula tadi lagi,”
akui Auni Liyana akhirnya. Doktor Hazim pantas memandangnya sambil mengerutkan
dahinya. Auni Liyana tertawa kembali bila memikirkan kembali reaksi doktor itu
tadi.
“Ja.... jangan gelakkan saya!” ujar Doktor Hazim
tegas. Wajahnya sedikit merona menahan malu. Segan pula bila gadis itu melihat
semuanya. Pantas Auni Liyana menekup mulutnya cuba menahan dirinya dari terus
ketawa. Berkerut dahinya kerana sukar untuk menahan tawanya.
Doktor Hazim mengeluh perlahan memandang gadis
itu. “Okay, gelaklah...” akurnya kemudian.
Terus sahaja, Auni Liyana melepaskan tangannya dan
ketawa. Untuk seketika, dia tak dapat menahan dirinya. Dia terus ketawa tapi
masih beradab sebagai seorang gadis. Doktor Hazim tersenyum memandang keletah
gadis itu. Terhibur hatinya bila melihat Auni Liyana masih mampu untuk ketawa
seperti itu.
“Sebenarnya, memang Nana nak tegah dorang tadi tapi....
tak sangka pulak Nana terikut sekali subahat. Sebab reaksi doktor memang
menarik,” beritahu Auni Liyana lagi. Doktor Hazim mengeluh mendengarkannya.
Auni Liyana mengerling seketika doktor itu. “Doktor.... lemah semangat juga ya
dengan benda-benda macam tu?” tanya Auni Liyana menduga.
“Tengok keadaan jugaklah,” ujar Doktor Hazim
perlahan. Sedikit segan mengakui kelemahannya yang satu itu. Walaupun seorang
lelaki tetapi dia agak lemah semangat dalam hal-hal mistik sebegitu.
“Maksudnya?”
“Kalau saya tahu ataupun memang saya dah bersedia
dengan keadaan macam tu, saya akan okay saja. Tapi, kalau tiba-tiba macam tadi.
Langsung tak diduga, memang saya tak berani sangat,” akui Doktor Hazim. Dia
tersenyum nipis memandang gadis itu.
“Hemm... jadi doktor tak sukalah tengok
cerita-cerita seram macam tu?” tanya Auni Liyana lagi.
“Hemm.... tak berapa suka,” jawab Doktor Hazim.
“Okaylah! Memang saya tak boleh tengok cerita seram.”
“Hehe, doktor memang berterus-terang! That’s kind of cute side of you,” ujar
Auni Liyana sambil tertawa kecil.
Doktor Hazim terdiam mendengarkannya. Dia
mengalihkan wajahnya yang sedikit merona merah. Segan dengan kata-kata gadis
itu tapi dia senang menerimanya. Untuk seketika mereka diam sambil terus
menyusuri koridor itu.
“Okaylah! Kalau macam tu, lain kali Nana akan ajak
doktor tengok cerita seram,” ujar Auni Liyana sambil tersenyum.
“Eh, tapi kan saya dah kata yang saya tak suka
tengok cerita macam tu,” tingkah Doktor Hazim. Gadis itu memandangnya sambil
tersenyum nipis.
“Tapi Nana suka cerita macam tu,” sahut Auni
Liyana nakal. Doktor Hazim mati kata untuk membalasnya. Gadis itu pun terus
tertawa kecil. Dia mengeluh perlahan sambil tersenyum nipis. Senang hati untuk
dia menghabiskan masanya bersama gadis itu.