“HAPPY BIRTHDAY to
you.... happy birthday to you.... happy
birthday to Syira.... happy birthday to you....” nyanyian lagu selamat hari
lahir itu kedengaran meriah memenuhi ruangan sudut sebuah restoran.
“Happy birthday Syira!” ucap Auni Liyana sambil
memeluk erat kawannya itu. Syira tersenyum gembira mendengarkannya sambil
mengucapkan terima kasih. Beberapa kawan perempuan yang lain juga turut berbuat
demikian. Ketika itu, ada beberapa kawan-kawan dari universiti sama-sama
meraikan sambutan hari lahir Syira. Terharu gadis itu dengan sambutan istimewa
itu.
“Eh, dengan aku tak nak peluk sekali ke?” tanya Zahid
sengaja bergurau.
“Mana boleh! Haram,” tingkah Syira pantas. Mereka
semua pantas tertawa mendengarkannya. Dari dulu lagi, perkataan itu sudah
menjadi kebiasaan antara mereka.
Setelah itu, Syira pun memotong kek yang
dihadiahkan salah seorang daripada mereka dan membahagikannya kepada semua yang
ada di situ. Dia sengaja melebihkan bahagian untuk Auni Liyana kerana dia tahu gadis
itu memang gemarkan kek. Auni Liyana tersenyum lebar melihat bahagiannya.
“Sukalah tu! Dapat makan kek yang paling besar,”
ujar Amir pula. Auni Liyana hanya menjuihkan bibirnya sahaja. Lagi sekali, tawa
bergema antara mereka. Ketika itu, masih ada beberapa kawan yang lain
termasuklah kawan sepejabat Syira. Tapi, mereka berempatlah yang paling rapat
dari zaman universiti lagi. Ke mana sahaja dan apa sahaja sambutan, pasti mereka
berempat akan selalu hadir bersama.
“Oh ya Syira! Hampir terlupa pulak aku,” kata Auni
Liyana tiba-tiba sambil menyeluk beg tangannya. Sebuah kotak baldu dikeluarkan
dan dihulurkan kepada Syira. “Nah! Hadiah hari lahir kau,” sambungnya sambil
tersenyum.
Syira pula sedikit teragak-agak menyambut
pemberian itu. Tampak dari luaran, agak mahal hadiah itu walaupun dia masih
belum membukanya. Namun, dia menyambut juga huluran itu sambil terus
mengucapkan terima kasih.
“Wau, nampak macam mahal saja. Bukalah Syira. Kami
pun nak tau jugak apa yang Nana belikan untuk kau,” sampuk Amir kemudiannya.
“Ha’ah, betul tu! Lagi pun, Nana ni bukannya
pandai pilih hadiah pun. Aku ingat lagi yang dia pernah hadiahkan teddy bear untuk
aku dulu masa hari lahir aku,” desak Zahid pula. Mereka yang mendengarkannya
hanya tertawa.
“Eh, okay apa tu! Paling penting, aku ikhlas tau
bagi hadiah tu,” selar Auni Liyana sambil tersenyum mengingati kembali kenangan
lalu itu.
“Masalahnya, kau bagi teddy bear tu warna pink!
Dah tu, siap bereben merah lagi,” tingkah Zahid sambil menjuihkan bibirnya.
Tawa mereka makin galak. Auni Liyana jurut turut tertawa.
“Alah, nak kena buka sekarang ke?” sengaja Syira
cuba melengah-lengahkan.
“Entah korang ni! Sibuk saja nak tau apa yang
orang bagi,” sokong Auni Liyana pula. Sebenarnya, dia sedikit segan untuk
memberitahu hadiah apa yang diberikannya.
“Alah, buka sajalah! Bukannya berbalut pun kotak
tu. Lagi kau kata macam tu Nana, lagi aku nak tahu hadiah apa yang kau bagi,”
desak Zahid lagi. Auni Liyana sekadar tersenyum sambil memandang Syira. Dia
memberi isyarat dia tak kisah bila Syira ingin membuka hadiahnya.
Akhirnya, Syira pun beralah jua dengan pujukan
kawan-kawan yang lain. Kotak baldu hitam itu dibuka perlaha-lahan. Terdiam
seketika dia melihat barang di dalamnya. Pantas dia berkalih memandang Auni
Liyana. “Kau biar betul Nana! Mahal jam tangan ni,” ujar Syira. Makin tak
keruan pula untuk dia menerima hadiah itu. Belum pernah Auni Liyana
menghadiahkan sesuatu yang berjenama dan mahal kepadanya.
“Alah, bukannya selalu pun. Untuk kali ni saja.
Aku harap kau sudilah terima,” balas Auni Liyana jujur. Dia tersenyum cuba
meyakinkan kawannya itu, dia tak berkira dengan hadiah itu.
“Kenapa? Hadiah apa yang mahalnya?” tanya Amir
pula, makin ingin tahu. Syira pun menunjukkan hadiah itu kepada mereka. Zahid
sedikit terbeliak matanya melihat jam tangan di dalam kotak itu.
“Wau....” Amir pula kagum dengan pilihan hadiah
Auni Liyana. “Jam tangan Fossil. Aku rasa koleksi ni, mahu cecah juga harga dia
dekat Rm1500.00 lebih,” tambah Amir lagi. Syira memandang Auni Liyana meminta
kepastian. Apakah dia benar-benar tak kisah menghadiahkan jam itu kepadanya.
“Betul! Aku memang ikhlas bagi kau. Lagi pun, kau
memang dah lama kan nak jam tangan jenama ni?” sengaja Auni Liyana menduga.
Syira diam seketika sambil mengangguk.
“Terima kasih Nana! Terima kasih sangat-sangat!!”
ucap Syira sambil memeluk erat Auni Liyana. Walaupun sedikit segan untuk
menerima pemberian itu tapi dia benar-benar gembira menerimanya. “Aku akan jaga
jam ni dengan baik!” janji Syira seterusnya. Auni Liyana tertawa kecil melihat
ulah kawannya itu.
“Wah... lepas ni hari lahir aku. Bolehlah kau bagi
Ferrari sebijik,” gurau Zahid.
“Eh, tu dah melampau sangat tu! Aku sendiri pun
pakai Proton Inspira saja, kau pulak yang nak lebih-lebih,” tingkah Auni
Liyana. Amir dan Syira tertawa mendengarkannya. Ada sahaja keletah antara
mereka.
Untuk seketika, mereka semua terus berbual sambil
menikmati juadan makan tengah hari. Mereka bercadang untuk duduk berbual lebih
lama tapi Auni Liyana terpaksa meminta diri dulu. Dia ada hal yang perlu
diuruskan. Dia ada perjumpaan di tapak pembinaan projek yang baru diambilnya.
Jadi, dia pun beredar dulu dari situ.
AUNI LIYANA menggunakan fail
nipis di tangannya untuk melindungkan wajahnya dari terus terkena bahang
matahari yang sedang panas terik itu. Sesekali juga, dia mengipas wajahnya.
Pandangannya sedikit berbinar tapi dia masih lagi berdiri di situ sambil
meliarkan pandangannya memandang sekeliling.
Pembinaan telah dimulakan. Terdapat longgokan
batu-bata, simen dan pasir tersudut di kawasan itu. Tiang-tiang utama rumah
berlot banglo itu sudah terpacak di tanah. Pekerja-pekerja yang ada ketika itu
sedang sibuk dengan tugas sendiri. terik matahari tak dihiraukan mereka.
“Cik Liyana!” panggil Aidil, pembantu kontraktor
yang bertugas di situ. Auni Liyana pantas berkalih sambil melemparkan senyuman
mesra. “Bos saya dah sampai! Jomlah saya kenalkan cik Liyana dengan dia. Kita
ke bawah pokok dekat hujung sana tu. Teduh sikit dekat situ,” ajak Aidil sambil
menunjuk ke arah sebatang pokok yang merendang tak jauh dari situ.
“Okay!” akur Auni Liyana sambil mengikut langkah
anak muda itu. Dari jauh lagi, dia dapat melihat seorang lelaki yang berpakaian
formal sedang memberi arahan kepada buruh-buruh yang ada di situ.
Aidil terlebih dahulu mendapatkan ketuanya
memberitahu akan kedatangan Auni Liyana. Gadis itu hanya mengekori dari
belakang sambil menanti kontraktor itu menghabiskan arahannya kepada buruh-buruh
binaan itu.
“Kenalkan cik Liyana. Kontraktor untuk projek
binaan banglo ni,” ujar Aidil menggamit perhatian Auni Liyana. Gadis itu pun
mengangkat wajahnya memandang kontraktor yang dimaksudkan. “Encik Rifdi
Riyadh,” beritahu Aidil mewakili ketuanya.
“Dan encik Rifdi.... ni pulak arkitek yang
bertanggungjawab dalam projek ni. Cik Liyana,” beritahu Aidil menjadi
pengantara antara mereka berdua.
Raut Rifdi Riyadh pantas berubah melihatkan padis
di hadapannya itu. Senyuman yang mula tadi langsung hilang dari bibirnya. Hanya
pandangan yang tajam menerkam dengan dahi yang berkerut.
Auni Liyana pun turut terpana melihatkannya.
Senyumannya juga sedikit hambar. Untuk seketika, masing-masing hanya berdiam
sambil memandang antara satu sama lain. Aidil pula sekadar memerhatikan keletah
mereka berdua. Kenapa pulak dengan dorang ni? Tetiba saja diam! Tak ada benda
nak cakapkah? Benaknya terus dihujah pelbagai persoalan.
“Selamat berkenalan, encik Rifdi,” ujar Auni
Liyana akhirnya memecah kesunyian antara mereka. Dia cuba menjadi profesional
walaupun hatinya turut ditujah pelbagai rasa ketika itu. Senyumannya juga cuba
dimesrakan.
Rifdi Riyadh masih lagi diam. Namun, dia cuba
untuk membalas senyuman gadis itu seadanya. Dia cuba mengutamakan sikap
profesionalnya juga. Kemudian, dia berkalih memandang Aidil di sebelahnya.
“Umm, Aidil! Kau pergi tengokkan kawasan sebelah sana tu. Kau suruh pekerja
yang ada dekat situ mulakan binaan. Ni pelannya,” suruh Rifdi Riyadh sambil
menyerahkan fail di tangannya kepada Aidil. Penolongnya itu hanya mengangguk
memahami arahan yang diberikan.
Aidil pun pergilah dari situ meninggalkan Rifdi
Riyadh bersendirian dengan Auni Liyana. Sedikit sebanyak, dia dapat mengagak
yang ketuanya itu mahu bersendirian dengan arkitek muda itu. Aidil hanya
tersenyum memikirkannya.
“Tak payahlah kau nak senyum lagi dengan aku,”
ujar Rifdi Riyadh sebaik sahaja Aidil beredar.
“Eh, kan senyum tu satu sedekah. Tak salahkan?”
sengaja Auni Liyana menduga. Pantas Rifdi Riyadh menjelingnya. Dia masih lagi
tersenyum seperti mula tadi. Lelaki itu mengeluh berat. Dia berdiri betul-betul
menghadap gadis itu.
“Wau, hebat! Lepas lebih kurang 7 tahun lamanya
kita tak berjumpa langsung. Kali pertama saja kita berjumpa, kau dah berjaya
buatkan aku sakit hati,” selar Rifdi Riyadh. Auni Liyana hanya tertawa kecil
mendengarkannya. Lelaki itu masih sama seperti dulu. Kebenciannya tetap ada.
“Umm, Nana rasa apa saja yang Nana cakap.... Rifdi
masih akan sakit hati jugak dengan Nana, kan?” duga Auni Liyana. Lelaki itu
mencebik mendengarkannya. “Jadi, lebih baik Nana cakap apa yang memang Nana nak
cakapkan. Sebab, akhirnya masih sama,” sambungnya lagi. Senyumannya masih lagi
mekar.
“Yup! Masih sama. I still hate you,” ungkap Rifdi Riyadh tanpa berselindung. Kali
ini, barulah dia tersenyum memerli.
“Wow....
that’s really a breath taker,” perli
Auni Liyana pula sambil terus tersenyum. Rifdi Riyadh mencebik lagi.
Sememangnya Auni Liyana pandai untuk mengenakan lelaki itu. “Umm.... Jadi,
Rifdi macam mana sekarang? Dah kahwin ke?” tanya Auni Liyana kemudiannya.
Sedikit sebanyak, dia masih ingin mengetahui keadaan terkini lelaki itu.
“Wohoo.... sejak bila pulak kita ni dalam hubungan
kawan yang boleh ambil tahu sesama kita pulak ni?” selar Rifdi Riyadh.
Sememangnya, apa saja yang dikatakan Auni Liyana tidak kena pada
pendengarannya.
“Eh, kita bukan kawan ke? Umm.... what a shame,” ujar Auni Liyana tenang
menghadapinya. Itu hanya menambahkah lagi sakit hati Rifdi Riyadh. Kedengaran
lelaki itu mendesah rimas.
“Serius cakap! Tak pernah pun terlintas dekat
fikiran aku ni yang aku akan bertemu balik dengan kau. Aku ingatkan, semuanya
akan tamat dekat sekolah dulu. Jadi, tak payahlah aku nak terus sakit hati
dengan kau,” ujar Rifdi Riyadh sambil memandang tajam gadis itu.
“Kuasa Tuhan nak temukan kita balik. Nana pun tak
sangka kita akan bertemu balik dalam situasi macam ni. Saling bekerjasama untuk
satu projek binaan,” sahut Auni Liyana. Ketika itu, dia meliarkan pandangan
memandang buruh-buruh yang sedang bekerja.
Walaupun.... aku selalu berharap untuk bertemu
balik dengan Rifdi tapi sekarang, dah terlewat! Malah, aku pun tak berharap
lagi nak jumpa dengan dia balik tapi.... kuasa Tuhan memang aku tak boleh nak
halang. Desis hati kecil Auni Liyana.
“Yup! Aku pun tak sangka yang kau seorang arkitek
sekarang,” kata Rifdi Riyadh tenang nadanya kala itu.
“Kalau Rifdi cuba mengenali Nana dulu. Mesti Rifdi
akan tahu yang Nana memang bercita-cita nak jadi arkitek,” balas Auni Liyana.
“Tulah masalahnya! Aku tak pernah teringin nak
mengenali kau. Dulu ataupun sekarang!” tingkah Rifdi Riyadh.
Auni Liyana tersenyum sendiri. Nampaknya, sukar
untuk menyingkirkan benci di hati lelaki itu. Mungkin akan selamanya dia
membenci kerana gadis itu langsung tak dapat membaca nada kemaafan dalam tutur
bicara lelaki itu.
“Jangan risau Rifdi. Rasanya, kita takkan selalu
bertemu. Kerja Nana sebagai arkitek untuk projek ni pun dah nak selesai.
Mungkin kita takkan bertemu lagi. Melainkan Rifdi nak Nana ada dekat sini?”
ujar Auni Liyana menduga. Walaupun tahu akan balasan lelaki itu tapi dia masih
sengaja menduganya. Hanya sedikit kata indah dari lelaki itu begitu
diinginkannya. Mungkin bosan dengan kata-kata sinis dan benci lelaki itu
terhadapnya selama ini.
“Baguslah macam tu! Dan.... jangan risau. Aku tak
pernah terasa walau sekali pun nak kau ada dekat dengan aku. Lagi jauh lagi
bagus,” balas Rifdi Riyadh.
“Yup! Rasanya tak mustahil harapan Rifdi tu,”
hanya itu terluah dari bibir Auni Liyana. Sedikit sayu nadanya. Senyumannya
juga sedikit hambar.
Rifdi Riyadh mengerlingnya dengan dahi berkerut.
Cuba memahami maksud gadis itu. Mungkin dia akan berhijrah ke luar negara
selepas ini. Mungkin kerana kerja ataupun berkahwin. Tapi.... adakah lelaki
yang mahukan dia? Pelbagai persoalan menghujah benak Rifdi Riyadh. Perasaan
sakit hati dan benci terhadap gadis itu telah membutakannya untuk melihat sisi
lain Auni Liyana. Sehinggakan dia merasakan tiada lelaki yang mungkin
menyukainya seperti dirinya yang tak habis dengan kebenciannya.
Jangan risau Rifdi Riyadh! Nana akan pergi jauh
dari sini. Jauhnya yang membatasi ruang waktu antara kita. Kalau itu yang Rifdi
mahukan, pasti Nana senang tunaikan. Sekurang-kurangnya, untuk Rifdi yang
pernah hadir dan selalu ada dalam hati ni.... Nana doakan kebahagiaan untuk Rifdi.
Walaupun, Nana sedar. Walau selama mana pun Nana tunggu.... senyaring mana pun
jeritan Nana meluahkannya, perasaan Nana hanyalah sebelah pihak.... Auni Liyana
terus bermonolog sendiri di dalam hatinya.
Dia sempat mencuri pandang menatap wajah lelaki itu
sebelum dia beredar dari tapak pembinaan itu. Jauh di sudut hati, dia senang
dan gembira dengan pertemuan mereka kembali.
Terima kasih Tuhan...
Temukan aku kembali dengan dia
Walaupun rasa aku masih sama untuk dia
Dan dia juga masih punyai rasa yang sama untukku
Walaupun rasa itu berbeza
Kali ini, biarlah aku simpan rasa ini
Tak ingin lagi untuk dia mengerti
Mungkin ini jalan cerita antara kami
yang telah KAU tetapkan
Sekadar mengenali dia sudah cukup untukku
Aku bahagia bertemu dengannya.......