AUNI LIYANA membuka tombol
pintu rumahnya. Dia menanggalkan kasut sebelum melangkah naik ke lantai
rumahnya. Gugusan kunci di tangan sekadar dilemparkan sahaja ke atas sofa di
ruang tamu. Helaan nafasnya kedengaran panjang dan sedikit berat. Tudung di
kepala segera ditanggalkan bila bahang panas dari luar masih belum reda. Dia
melepaskan lelah di atas sofa empuk itu.
Meowwww.... seekor kucing berwarna hitam mengiau
manja sambil menggeselkan badannya di kaki Auni Liyana. Gadis itu tersenyum
sambil mengangkat kucing itu ke atas ribaannya. Dia membelai manja kucing itu.
Comel sekali kucing itu kerana bulu di hujung ekornya berwarna putih. Begitu
juga di keempat-empat kakinya seperti ia memakai stoking. Sedikit tompok putih
juga kelihatan di wajah kucing itu.
“Choco....” Auni Liyana menyebut nama kucing yang hampir
dua tahun dipeliharanya itu. Choco mengiau manja seakan menyahut panggilan
tuannya. Auni Liyana hanya diam sambil tersenyum nipis melihat kemanjaan Choco.
“Choco....” gadis itu menyebut lagi sekali nama kucing kesayangannya itu. Choco
hanya memandangnya. “Choco....” kali ini, suara Auni Liyana kedengaran sedikit
serak. Air mata yang bergenang di tubir matanya mula menitis membasahi pipinya.
Choco mengiau lagi bila titisan air mata itu jatuh mengenai badannya.
Esak kecil Auni Liyana bertambah sedu dan syahdu.
Air matanya makin deras mengalir. Bahunya ikut terhincut dengan irama
tangisannya itu. Choco hanya diam memandang tuannya. Gadis itu memeluk
kucingnya seakan ingin menenangkan sedikit gelora di jiwanya kala itu. Dia
benar-benar rapuh di saat itu. Dia sedikit goyah dalam dugaan kali ini.
“Setahun.... Cuma setahun saja lagi,” ujar Auni
Liyana dalam sendunya. Suaranya kedengaran sedikit tersekat-sekat. “Nana hanya
boleh hidup untuk setahun saja lagi. Nana dah tak ada harapan. Nana....” Dia
tak pasti bagaimana untuk meneruskan bicaranya seorang diri. Dia sepi dalam
sendunya. Choco hanya mengiau sambil memandangnya.
Auni Liyana terus menangis. Air mata yang menuruni
pipinya dibiarkan sahaja tanpa dikesat. Mungkin deritanya akan pergi bersama
linangan air mata itu. Dia terus duduk di situ hinggalah dia terlena tanpa
sedar.
Dalam lena itu, dia bermimpi kembali tentang
perjumpaannya dengan Doktor Yamin pagi tadi. Mimpi yang terjalin dari memorinya
sebentar tadi.
“MAAFKAN saya Nana. Saya
dan semua doktor di sini dah cuba sedaya yang mungkin untuk bagi rawatan yang
terbaik untuk awak. Tapi.... kuasa Tuhan tak siapa yang boleh halang. Penyakit
Leukemia kronik yang awak hidap.... sukar untuk disembuhkan. Hanya pembedahan
saja ikhtiar yang terakhir tapi.... peluang untuk dapatkan penderma yang sesuai
sangat tipis,” jelas Doktor Yamin jujur. Kedengaran kecewa dan kesal di dalam
suaranya. “Maafkan saya....” lagi sekali Doktor Yamin memohon maaf.
“Berapa lama lagi masa yang Nana ada, doktor?”
tanya Auni Liyana. Dia cuba tampak tenang walaupun hakikatnya berita itu
benar-benar merenggut harapannya.
Doktor Yamin diam seketika. Dia memandang telus
wajah gadis di hadapannya itu. Begitu muda gadis itu dalam pandangannya. Muda
dan tabah sekali. “Saya cuma mampu meramalkan sebagai seorang doktor. Semuanya
terletak di tangan Tuhan,” ujar Doktor Yamin. Dia diam seketika sebelum
menyambung bicaranya, “ Mengikut apa yang saya lihat dan doktor lain juga. Awak
ada lebih kurang setahun saja lagi atau mungkin lebih lama atau.... mungkin
lebih awal.”
Nafas Auni Liyana seakan terhenti seketika ketika
mendengarkannya. Setahun? Hanya setahun saja lagi?! Apa yang boleh aku buat
dalam setahun ni? Apa yang perlu aku buat?! Hati Auni Liyana terus berbalah
sendiri.
“Nana,” panggil Doktor Yamin mematikan lamunannya.
Auni Liyana pantas mengangkat wajahnya memandang doktor separuh abad itu. “Tapi
Nana perlu pastikan yang Nana sentiasa ambil ubat. Kalau tak mungkin keadaan
Nana akan jadi makin teruk dan....” Doktor Yamin tak betah untuk meneruskan
kata-katanya.
Auni Liyana juga tak bertanya lagi. Dia mengerti
apa yang ingin dikatakan doktor itu. Kelangsungan hidupnya kini bergantung pada
ubat-ubatan dan juga doa serta harapan yang tak pernah putus.
“Ya, Nana faham doktor. Terima kasih untuk selama
ini. Doktor dah banyak bantu Nana. Terima kasih doktor,” ucap Auni Liyana
seikhlas hati. Pandangannya tampak sayu.
“Tabahkan hati, Nana! Jangan berputus asa.
Sentiasa berdoa dan berharap. Mungkin.... Nana akan diberi peluang. Nana harus
percaya dengan Qada’ dan Qadar. Sebagai doktor, saya hanya mampu meramalkan
mengikut ilmu yang dipinjamkan- NYA. Harapan untuk sembuh sentiasa ada.
Insya-ALLAH....” nasihat Doktor Yamin. Dia tak mahu gadis muda itu berputus
harap. Dia sendiri turut berdoa agar Auni Liyana terus diberi peluang untuk
mengecapi hidup ini.
CHOCO terus mengiau
kegirangan sambil bermain dengan bebola benangnya. Ia menguis bebola itu hingga
bergolek dan kemudian menangkapnya semula. Setelah dapat, ia pun menguis lagi
sekali. Kali ini, bebola itu tergolek sedikit jauh hingga ke bawah kabinet di
ruang tamu. Choco memerhatikan sahaja bebola itu bergolek. Mungkin dia sudah
hilang minat untuk bermain dengan bebola itu setelah agak lama dia bermain sendirian.
Choco pun berjalan menghampiri Auni Liyana.
Dilihatnya, tuannya itu masih lagi tidur. Ada sisa-sisa air mata yang berbekas
di wajah tuannya itu. Kucing yang berekor panjang dan kembang itu mengiau
seperti ingin mengejutkan Auni Liyana. Setelah tiada sebarang reaksi dari
tuannya, Choco pun menguis tangan Auni Liyana yang terjuntai ke atas lantai.
Kelihatan Auni Liyana menggerakkan sedikit tubuhnya tapi matanya masih lagi
terpejam. Choco pun mencuba lagi sekali.
“Warghhhh!!” jerit Auni Liyana tiba-tiba sambil
menjegilkan matanya. Choco terus melompat jauh sambil menderam terperanjat
dengan sergahan itu. Auni Liyana tertawa kecil melihat reaksi kucingnya itu.
“Padan muka! Pandai sangat kacau orang tidur,” kata Auni Liyana sambil
mengeliat.
Choco hanya mengiau sahaja. Kemudian, ia pun
berlari ke arah dapur. Tak lama kemudian, Choco kembali sambil membawa bekas
makanannya. Auni Liyana memicingkan pandangannya memandang kucing itu. Choco
masih lagi mengiau.
“Huh! Nak makan rupanya. Sebab tu kejutkan aku,”
tingkah Auni Liyana sendiri. Dia mengeliat dahulu membetulkan regangan
urat-urat di badan. Sedikit lenguh terasa bila dia tidur di sofa itu. Setelah
itu, barulah dia bangun. Dia mengambil sepaket makanan kucing dari almari dapur
lalu dituangkan ke dalam bekas makanan Choco. Kucing itu tak menunggu lama
sebelum menikmati makanan petangnya.
Auni Liyana melihat jam di dinding. Sudah masuk
waktu asar. Agak lama juga dia tertidur. Dia melihat sahaja Choco menghabiskan
makanannya. Dia pun mula terasa sedikit lapar.
Pintu peti sejuk dibuka. Auni Liyana melihat masih
ada lagi bahan masakan. Lebih baik dia memasak sahaja hari ini. Dia tak
bercadang untuk keluar ke mana-mana lagi hari ini. Tapi sebelum itu, lebih baik
dia mandi untuk menyegarkan badan dan bersolat terlebih dahulu. Utamakan yang
lebih penting dahulu.
“YA ALLAH.... ya Tuhan ku.
Aku pohon pada-MU untuk terus berharap. Aku pohonkan secebis keajaiban dari-MU.
Berikanlah aku peluang untuk pulih dari sakit ini dan terus hidup lebih lama.
Tapi....” Auni Liyana terhenti seketika. Sendu mula mengiringi doanya. Air mata
mula bergenang tapi sengaja ditahannya agar jangan tumpah lagi.
“Tapi.... andainya telah tertulis dalam Qadar-MU
yang nyawa aku hanya setakat ini. Aku pohon pada-MU, benarkan aku
menggembirakan mereka yang pernah hadir dalam hidup aku dan menggembirakan aku.
Tabahkan dan redhakanlah hatiku dengan Qadar-MU ini. Semoga aku masih punyai
cukup masa untuk aku berada di kalangan hamba-MU yang diberi peluang mengecapi
harumnya bau syurga. Amin.... ya Rabbal alamin....” Auni Liyana mengakhiri
doanya sambil meraup tangannya ke wajah. Agak lama dia meraup wajahnya. Ketika
itu, air mata sudah membasahi wajahnya.
Satu persatu wajah keluarga dan kawan-kawannya
bermain di layar ingatan. Di dalam setiap memori itu, mereka semua saling
tersenyum dan ketawa. Semuanya adalah saat-saat indah dalam hidupnya. Mereka
yang belum mengetahui perihal sebenar dirinya. Mereka yang akan terluka kelak
bila dia harus berterus terang. Tapi sebelum itu, biarlah dia melihat mereka
semua tersenyum sekali lagi. Itulah niatnya di akhir ini.
Auni Liyana ingin meninggalkan memori terindah
dalam akhir hidupnya. Dia tak mahu sebarang sesalan kerana dia sudah tak
mempunyai waktu untuk menyesal kelak. Dia ingin menikmati hidup sepenuhnya.
Masih ada banyak perkara yang ingin dilakukannya. Dia tersenyum sendiri sambil
merencanakan beberapa keinginannya.
Telekung yang sudah ditanggalkan disidai kemas di
penyidai. Begitu juga dengan sejadah. Setelah itu, Auni Liyana pun mengambil
buku nota yang selalu digunakannya dari beg tangan yang terletak di atas meja
solek di dalam bilik tidurnya itu. Dia menulis sesuatu di atas halaman baru
buku nota itu. Sambil itu dia melihat kalendar di dalam telefon bimbitnya.
1.
Nak bagi
hadiah birthday yang sangat spesial untuk Aida, Hanis, Azira & Fatin.... :]
2.
Tak lupa
jugak untuk.... Syira, Zahid & Amir.
3.
Insya-ALLAH....
nak hantar mak tunaikan haji hujung tahun ni.
4.
Nak bagi
segala yang terbaik kat mak.... dan Nufail & Naufal jugak.
5.
Nak
gembirakan mak.... :]....
6.
Nak
melawat zoo negara, muzium negara, balai seni negara, hutan simpan di
Pahang.... dan banyak tempat lain lagilah.
7.
....
Auni Liyana terhenti menulis seketika. Umm.... apa
lagi ya? Dia bertanya sendiri di dalam hati. Kemudian, dia membaca kembali apa
yang ditulisnya. Dia sekadar menulis apa yang terlintas di fikirannya sahaja
ketika itu. Tak dinafikan dia lebih ingin menggembirakan emaknya di kampung.
Dia ingin menjadi anak yang solehah di saat akhir ini. Emak dan adik-adiknya
begitu penting di dalam hidupnya.
“Mak.... maafkan Nana kalau Nana pergi dulu.
Nufail.... Naufal.... akak harap akak dah jadi kakak yang terbaik buat korang
berdua,” ujar Auni Liyana sendiri di hadapan cermin meja soleknya. Kemudian,
dia melihat kembali catatannya sebentar tadi. Ada sesuatu terlintas di fikirannya.
7. .... tak
boleh bercinta LOVE IS NOT AN
OPTION!!!!
Auni Liyana tersenyum kecil membaca baris terakhir
catatannya. Ya! Cinta bukan satu pilihan bagi dirinya kala ini. Malah dia tak
perlu pun untuk berharap ke arah itu. Bukan haknya untuk dicintai sesiapa di
saat nyawanya di hujung nafas. Dia akan cuba sedaya yang mungkin untuk
mengelakkan hal itu.
Adakah dia layak dicintai seorang lelaki dan
bahagia dalam pelukan cinta itu sedangkan dia sendiri tak boleh menjanjikan
kebahagiaan untuk lelaki itu. Biarlah dia pergi tanpa rasa dicintai. Cukup
sekadar disayangi.