HUJUNG minggu di Shah Alam
agak sibuk terutama di jalan raya. Begitu banyak kereta bersusun di setiap
bulatan dan persimpangan lampu trafik. Kekadang, Rifdi Riyadh sendiri tak faham
bagaimana dia dapat bertahan dengan keadaan itu. Mungkin sudah rezekinya di
situ jadi dia hanya dapat menerimanya sahaja.
Dia sempat mengerling jam di dash board keretanya
sebelum mematikan enjin. Dia memarkirkan keretanya di luar pusat beli-belah
Sacc Mall. Sudah hampir jam 11.00 pagi. Dia sengaja datang ke situ kerana sudah
punyai temu janji dengan kawan-kawannya. Nasibnya baik kerana tak perlu mencari
mereka lagi kerana mereka semua sudah bersedia menantinya di hapadan pintu
masuk bangunan membeli-belah itu.
Rifdi Riyadh bersalaman dengan kawan-kawannya yang
sudah lama tak bertemu. Mereka berdua adalah kawan-kawan dari sekolahnya di
Perak dahulu. Tak sangka mereka masih boleh bertemu lagi hari ini.
“Eh, laparlah! Jomlah kita makan dulu. Sambil
makan boleh kita borak-borak sekali. Lama benar tak dengar cerita korang,” ajak
Rifdi Riyadh.
“Boleh saja!” setuju Fitri. Mereka pun tak begitu
memilih. Restoran Pizza Hut yang terletak di sebelah mereka terus menjadi
pilihan. Pantas sahaja mereka masuk dan memesan makanan.
“Jadi, apa cerita kau sekarang?” tanya Kamal pula.
“Aku macam nilah. Asyik sibuk dengan kerja,” jawab
Rifdi Riyadh. “Kau pulak macam mana? Lama tak dengar berita. Dengar-dengar
saja, kau dah nak kahwin. Cuba kau cerita sikit,” tanya Rifdi Riyadh pulak.
Kamal hanya tertawa mendengarkannya.
“Nak buat macam mana. Dah sampai seru aku nak
kahwin. Aku pun kahwin sajalah,” balas Kamal ringkas.
“Yalah. Kau ceritalah macam mana kau boleh kenal
dengan bakal isteri kau tu,” pinta Rifdi Riyadh lagi. Fitri di sebelah Kamal
hanya tersenyum sendiri. Dia sebenarnya sudah mengetahui cerita itu dari mula
lagi.
“Sebenarnya, ni jodoh pilihan keluarga,” beritahu
Kamal berterus-terang. “Mak aku yang kenalkan dalam 3 bulan lepas. Katanya,
kawan anak dia,” sambungnya lagi.
“Serius?! Mak kau yang carikan?” seperti kurang
percaya pula Rifdi Riyadh mendengarkannya. Setahu dia, Kamal seorang lelaki
yang tegas dan punyai pendirian sendiri. Bukan senang untuk menggoyahkan
pendiriannya. Jadi, langsung tak pernah terlintas yang bakal isteri lelaki itu
dipilih keluarganya.
“Yalah! Dah mak aku tu sibuk sangat nak menantu.
Dia carikanlah seorang untuk aku,” balas Kamal sambil terus tersenyum.
“Habis tu, macam mana kau boleh terima?” tanya
Rifdi Riyadh lagi. Makin berminat pula dia dengan cerita itu. Kamal hanya
tersenyum memikirkannya. Segan pula untuk memberitahu Rifdi Riyadh. Sengaja dia
menyinggung siku Fitri di sebelahnya. Mengaduh Fitri dibuatnya. Rifdi Riyadh
pun berkalih memandang lelaki itu pula.
“Tulah namanya jodoh. Siapa sangka yang perempuan
yang mak dia nak kenalkan tu rupa-rupanya... bekas awek dia dulu,” beritahu
Fitri bagi pihak Kamal. “Apa lagi, cinta lama pun berputiklah balik,”
sambungnya sengaja bergurau. Rifdi Riyadh tertawa kecil mendengarkannya.
“Awek yang mana satu ni? Dari sekolah kita jugak
ke? Aku kenal tak?” tanya Rifdi Riyadh bertubi-tubi.
“Taklah! Bukan dari sekolah menengah tapi dari
sekolah rendah,” jawab Kamal.
Makin rancak pula tawa Rifdi Riyadh. Fitri juga
turut tertawa bersamanya. “Hebat kau! Dari sekolah rendah lagi, dah menggatal,”
gurau Rifdi Riyadh. Kamal hanya tersenyum malu.
Setelah itu, sambil mereka menikmati pizza terus
sahaja mereka rancak berborak. Dari perihal kerja dan kenduri kahwin Kamal
sehinggalah kenangan ketika sama-sama bersekolah menengah dulu.
“Kau masih berhubung dengan kawan-kawan yang lain
lagi ke?” tanya Rifdi Riyadh ingin tahu. Setakat ini, dia hanya paling kerap
berhubung dengan mereka berdua. Yang lain, agak sepi hubungannya.
“Ramai jugalah yang aku masih berhubung.
Tambah-tambah kalau aku balik kampung. Selalu jugaklah kitorang keluar melepak
sama-sama dekat warung Pak Syuib yang selalu kita lepak dulu tu,” beritahu
Kamal. Rifdi Riyadh tersenyum mengenangkan kembali zaman itu. Begitu seronok
dan nakal mereka ketika itu. Masing-masing masih muda dan masih ingin bermain-main.
“Kau pulak tak ada jumpa lagi ke dengan sesiapa
dari sekolah kita dulu?” tanya Fitri pula.
“Tak....” ayat Rifdi Riyadh terhenti di situ. Dia
ingin mengatakan tak pernah tapi bayangan wajah seseorang muncul di fikirannya.
Ya, gadis itu juga sama sekolah dengannya tapi rasanya tak penting untuk
membangkitkan hal itu.
“Hah, mesti ada ni! Siapa yang kau jumpa?” tanya
Fitri ingin tahu.
“Tak ada sesiapalah,” jawab Rifdi Riyadh ringkas.
“Yakah?” sengaja Kamal menduga. Rifdi Riyadh
mengeluh berat. Kemudian, dia memandang kedua-dua kawannya itu. Masing-masing
sedang menanti kepastian darinya.
“Yalah, ada! Tapi rasanya korang tak kenal kot,”
terus-terang Rifdi Riyadh akhirnya.
“Yakah? Cuba kau beritahu siapa?” desak Kamal
makin ingin tahu.
“Nana,” hanya sepatah nama itu terbit dari mulut
Rifdi Riyadh. Kamal dan Fitri diam sebentar memikirkan nama itu.
“Nana.... yang budak junior tu ke?” tanya Fitri
ingin memastikan. Rifdi Riyadh sekadar mengangguk. Auni Liyana merupakan junior
yang muda dua tahun daripada mereka.
“Oh, dia ke. Macam mana dia sekarang? Tak sangka
pulak kau boleh jumpa dengan dia,” tanya Kamal yang turut mula mengingati
kembali gadis itu.
“Entahlah. Macam tu sajalah. Aku malas nak
bertanya khabar sangat dengan dia,” balas Rifdi Riyadh acuh tak acuh.
Kamal tersenyum sinis mendengarkannya. “Kau masih
tak sukakan dia ya?” sengaja dia menduga.
“Bukan tak suka tapi.... benci,” jawab Rifdi
Riyadh sambil memandang tajam Kamal. Lelaki itu hanya tertawa mendengarkannya.
“Dah lama pun semua tu berlalu. Kau lupakan
sajalah. Lagi pun, kita semua masih budak-budak masa tu. Nana pun tak salah
sangat dalam hal yang lepas tu. Cuma kau saja yang berdendam lebih,” nasihat Kamal
ikhlas sebagai seorang kawan.
“Betul tu!” sokong Fitri. Sempat dia menyedut
minumannya sebelum menyambung bicaranya. “Jangan terlalu bencikan dia sangat.
Takut nanti, kau jatuh hati pulak dengan dia.”
“Ahh, mengarutlah! Tak mungkin aku akan sukakan
dia,” tingkah Rifdi Riyadh. Tak pernah pun dia memikirkan kemungkinan itu.
Mustahil sekali untuk mengubah benci itu menjadi sayang.
“Tu kata kau sekarang. Esok lusa, kau tak tahu
lagi. Lagi pun, seingat akulah. Nana tu comel jugak orangnya. Dah tu ceria dan
sopan pulak tu,” sampuk Kamal pula. Memang benar, seingatnya Auni Liyana
bukanlah seorang gadis teruk yang difikirkan kawannya itu. Mungkin benci telah
membutakan mata lelaki itu. Tapi, mungkin suatu hari Rifdi Riyadh dapat melihat
kebaikan yang ada pada itu.
“Tapi kan.... kenapa kau benci sangat dengan Nana
tu ya?” tanya Fitri tiba-tiba.
Rifdi Riyadh terdiam mendengarkannya. Mengapa dia
bencikan Nana? Bukankah sudah jelas yang gadis itu pernah memusnahkan
hubungannya dengan seseorang? Mengapa perlu ditanya lagi sebabnya?! Tingkah
hati Rifdi Riyadh.
Imbas kembali: Zaman
persekolahan
BUKU nota berkulit tebal
itu hampir terjatuh ke dalam longkang disepak Rifdi Riyadh. Mujur sahaja, buku
itu terhenti sebelum menjunam ke longkang yang sedikit berair itu. Dia pun
menunduk mengutip buku di atas lantai koridor itu yang tidak disedarinya tadi.
“Buku siapa pulak ni? Main tinggal saja atas
lantai. Dah tu, dekat tempat orang jalan pulak. Nasib baik aku tak tersepak
sampai masuk ke longkang,” rungut Rifdi Riyadh sendirian. Dia membelek-belek
seketika buku itu cuba mencari-cari nama pemiliknya tapi langsung tiada
tercatat. Helaian seterusnya, tertulis pelbagai kata-kata indah. Rifdi Riyadh
membacanya seketika.
“Umm, sajak ke ni?” tanyanya sendiri. Dia membaca
halaman pertama. Sempat juga dia memuji tulisan itu. Cantik dan kemas. Pasti
kepunyaan seorang perempuan.
Entah mengapa, dia terleka membaca sajak-sajak
itu. Ada pelbagai jenis sajak di dalamnya. Pada mulanya, sajak-sajak itu tampak
sedih dan sayu pada pengamatannya. Ada juga, bahagian yang beremosi gembira.
Ada beberapa nama dikenalinya di hujung catatan setiap sajak itu. Mungkin
sajak-sajak itu di salin oleh tuan empunya buku itu dari tokoh penulis
terkenal. Tapi, ada juga sajak yang hanya mempunyai tarikh dan masa sahaja
dicatatkan. Mungkin itu, ilham pemilik buku itu sendiri. Namun, langsung tiada
nama pemilik buku itu.
“Macam mana nak pulangkan?” tanya Rifdi Riyadh
sendiri. Bunyi loceng menamatkan waktu rehat berbunyi nyaring. Dia pun bergegas
pulang ke kelasnya. Buku nota itu turut dibawanya sekali. Mungkin akan ada
petunjuk di halaman seterusnya. Dia sendiri pun sedikit berminat untuk terus
membaca helaian seterusnya.
Rifdi Riyadh tak menunggu lama sebelum bergegas
pulang ke rumah setelah tamat waktu sekolah. Ajakan kawan-kawannya untuk
melepak di warung Pak Syuib juga terpaksa ditolak. Ketika itu, dia begitu ingin
untuk terus membaca buku nota tak bernama itu. Dia tertarik dengan bait-bait
indah di dalamnya.
“Kalau buku sastera sekolah ada sajak macam ni.
Tak adalah bosan sangat aku nak baca,” komen Rifdi Riyadh sendirian sambil
berbaring-baring di atas katilnya.
Tak semua halaman bertulis sajak. Ada juga halaman
yang mempunyai lukisan kartun. Mungkin itu yang membuatkan Rifdi Riyadh tak
bosan membelek buku itu. Kekadang, terselit juga luahan empunya buku mengenai
kelasnya. Ketika itu, baru dia perasan. Ada tertulis nama kelas di satu halaman
itu.
“Tingkatan 3 Arif. Junior aku rupanya. Kalau macam
tu, esok bolehlah aku ke kelas tu. Mungkin ada yang kenal dengan buku ni,” ujar
Rifdi Riyadh sendirian membuat rancangan. Mungkin dia akan pergi ketika waktu
rehat.
“Eh, dah habiskah?” tanyanya sendiri. Halaman
seterusnya kosong. Sudah tak bertulis apa-apa lagi. Dia mengeluh perlahan.
Sekejap saja baca sudah habis.
Pakk! Buku nota itu terjatuh dari mejanya. Mungkin
kerana dia meletakkannya begitu hujung di tepi. Rifdi Riyadh pun bangun
mengambilnya dari atas lantai. Ketika itu, dia terselak ke beberapa helaian
muka surat terakhir. Muka surat yang pernah dugunakan pemilik buku itu.
Terdiam dia melihat halaman itu. Potret wajahnya
memenuhi halaman itu. Begitu teliti pemilik buku itu melukiskannya. Tapi,
mengapa wajahnya? Rifdi Riyadh bertanya sendiri. Kemudian, dia menyorotkan
pandangannya ke bahagian bawah halaman itu. Ada tertulis beberapa baris ayat
pendek di bawahnya.
“Ya ALLAH.... jika dia benar untukku, dekatkanlah
hatiku dengan hatinya. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan
ketentuan-MU....” Rifdi Riyadh terpana membacakannya. Serentak itu juga,
jantungnya bagai disentap. Dia belum mengenali empunya buku itu tapi hatinya
sudah mulai berdetak laju. Wajahnya sedikit merona merah. Hatinya terus
mendesak untuk mengenali gadis itu. Bagaikan istimewa gadis yang belum
dikenalinya itu.
Dia tersenyum sendiri sambil terus merenung
halaman itu. Siapa awak? Kenapa ada wajah saya dalam buku awak? Dan kenapa tulis
macam tu? Rifdi Riyadh terus dihanyutkan soalan sendiri.