Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
109,120
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5

RIFDI RIYADH membawa sebakul buah-buahan segar bersamanya. Ada beberapa jenis buah seperti epal, anggur, pisang dan oren tersusun kemas di dalamnya. Dia melangkah agak laju menuju ke sebuah wad. Sebaik sahaja membaca nama pesakit di dalam wad itu, dia pun melangkah masuk ke dalam.

“Assalamualaikum....” ucap Rifdi Riyadh menyapa kawan-kawan lain yang telah pun berada di situ. Mereka pun bersalaman seketika. Bakul buah-buahan yang dibawanya tadi diletakkan ke atas meja di sebelah katil pesakit.

“Dah lama ke korang semua sampai?” tanya Rifdi Riyadh selanjutnya.

“Agak lama jugaklah. Kami pun dah nak balik dah ni. Kau duduk-duduklah dulu,” ujar Khairi sambil memberi tempat duduknya kepada Rifdi Riyadh.

“Eh, dah nak balik dah ke? Lepak-lepaklah dulu,” ajak Rifdi Riyadh lagi. Baru sekejap dia sampai tapi mereka sudah mahu pulang.

“Tak bolehlah nak lama lagi dekat sini. Aku pun ada banyak kerja lagi ni. Lagi pun, bukan teruk pun mamat ni kena. Aku ingatkan dah separuh nyawalah tinggal,” balas Khairi sambil bergurau. Mereka yang lain ketawa mendengarkannya.

“Eh, ni kira teruk jugaklah ni! Habis berbalut badan aku,” tingkah Arman mencelah.

“Alah, setakat calar saja. Bukannya apa sangat pun. Tak ada apa yang patah pun,” tempelak Fadhil pula. Arman mencebikkan wajahnya mendengarkan kata kawan sepejabatnya itu. “Dahlah, kami nak bergerak dulu. Kerja banyak bertimbun kat pejabat tu,” sambung Fadhil sambil berjabat tangan dengan mereka yang masih ingin menunggu di situ.

“Yalah. Hati-hati bawa kereta tu. Nanti terkena pulak badi Arman ni. Tak pasal-pasal accident pulak sekali,” pesan Rifdi Riyadh dalam nada gurau. Fadhil dan Khairi hanya tertawa mendengarkannya. Setelah itu, mereka pun beredar dari situ.

“Kau baru sampai jugak ke?” tanya Rifdi Riyadh kepada Syahmi yang masih berada di situ.

“Ha’ah, baru kejap tadi,” balas Syahmi.

“Umm, eloklah tu. Nanti kita balik sekali sajalah,” pinta Rifdi Riyadh. Syahmi hanya mengangguk bersetuju dengannya.

“Dah tu nanti tinggallah aku seorang kat sini,” celah Arman sambil membuat muka kasihannya. Rifdi Riyadh mencebik mendengarkannya. Syahmi juga menjuihkan mulutnya.

“Alah, banyak nurse yang cun dekat sini boleh jaga kau. Tak payahlah nak buat muka kesian pulak,” tingkah Syahmi.

“Tapi kan.... apa cerita kau ni? Macam mana boleh kemalangan pulak ni? Terkejut aku bila Syahmi telefon aku pagi tadi beritahu kau kemalangan. Nasib baik tak ada apa-apa,” tanya Rifdi Riyadh ingin tahu. Dia pun sekadar mengetahui yang kawannya itu kemalangan sahaja. Bagaimana dan bila waktu sebenarnya, dia masih belum tahu. Syahmi pun ingin tahu juga kerana dia pun belum sempat untuk bertanyakan hal itu tadi.

“Haihhh....” Arman mengeluh berat mendengarkannya. Rifdi Riyadh dan Syahmi saling berpandangan mendengarkan keluhan berat itu. Masing-masing diam menanti bicara seterusnya.

“Panjang ceritanya.... tapi tak apa! Aku pendekkan cerita aku,” ujar Arman ingin memulakan ceritanya. “Korang tahu kan lorong yang nak masuk ke rumah aku tu?” tanya Arman ingin menguji ingatan kawan-kawannya sebelum dia melanjutkan ceritanya.

“Ya, kenapa dengan lorong tu?” tanya Syahmi tak sabar ingin tahu.

Arman terus sahaja membuat riak muka serius. Dia menelan liur sebelum mula berbicara. “Memang sah lorong tu bahaya. Dah banyak kali aku kena kacau dekat situ. Sebelum ni, tak ada apa sangat. Aku cuma nampak kat tepi-tepi jalan macam tu saja tapi malam tadi. Dia lalu betul-betul dekat depan aku. Fuhh, kecut perut aku,” cerita Arman perlahan-lahan sengaja ingin menimbulkan riak seram.

“Apa yang lalu depan kau?” tanya Rifdi Riyadh pula.

Arman memandangnya dan Syahmi silih berganti. Riak wajahnya benar-benar serius ketika itu. Syahmi pula sudah menelan liur melihat reaksi Arman. Pelbagai andaian bermain dalam fikirannya ketika itu.

“Meowww!!!” sergah Arman tiba-tiba membuatkan Syahmi sedikit berundur ke belakang. Rifdi Riyadh pula sedikit terangkat badannya. “Sekali kucing tu lalu depan kereta aku masa aku tengah bawa lajulah jugak. Aku pun apa lagi. Terus sajalah aku buat ala-ala drift macam tu. Lepas tu, terlanggar pulak tiang lampu. Adoi.... habis kemik bumper kereta aku,” sambung Arman sedikit kesal dengan kejadian itu. Agak laju dia menghabiskan ceritanya tak seperti mula bercerita tadi.

“Kurang asam kau!! Buat terkejut aku saja,” tempelak Rifdi Riyadh sambil mengambil bantal di sisi Arman lalu dibaling tepat mengenai wajah Arman. Lelaki itu hanya ketawa melihatkannya. Syahmi masih lagi mengurut dadanya kerana terperanjat tadi.

“Memang nak kena belasah jugaklah kau ni!” tingkah Syahmi pula setelah debarnya reda. Arman hanya tersengih mendengarkannya. “Aku ingatkan apalah tadi! Ingatkan kena kacau dengan hantu ke apa ke? Ni tak.... kucing saja sebab kau kemalangan?!” Syahmi masih lagi geram dengan gurauan Arman tapi kawannya itu hanya tersenyum tak bersalah.

“Lah, yang kau pergi fikir bukan-bukan tu buat apa? Lagi pun, aku cakap lorong tu bahaya bukannya keras. Kalau keras, memanglah ada benda-benda yang tak sepatutnya. Sebelum ni pun, aku hampir-hampir jugak nak kemalangan sebabkan kucing-kucing dekat situ. Tak sangka pulak malam tadi, betul-betul kena,” bidas Arman tak mahu mengaku salah. Rifdi Riyadh hanya menggeleng-geleng melihatkan kelatah kawan-kawannya itu.

“Habis tu, kereta kau macam mana?” tanya Rifdi Riyadh menukar topik pula.

“Nak macam mana lagi. Terpaksalah masuk bengkel. Nasib baik kena dekat lampu tepi tapi teruk jugaklah,” beritahu Arman selanjutnya. Dia masih lagi kesal dengan kejadian itu. Puncanya hanyalah disebabkan seekor kucing tapi dia tetap bersyukur kerana tiada apa-apa yang teruk berlaku kepadanya.

“Berapa lama kau dapat cuti ni?” tanya Syahmi pula. Dia sudah tak berkecil hati dengan Arman. Begitulah tingkah antara mereka. Masing-masing suka bergurau walaupun kekadang gurauan itu agak kasar tapi masing-masing juga mudah memaafkan. Mungkin kerana persahabatan yang sudah lama antara mereka sejak dari universiti lagi.

“Alah, tak lama mana pun. Esok aku dah boleh keluar wad tapi doktor bagi aku rehat lagi sehari dekat rumah. Jadi, lusalah baru aku masuk kerja,” beritahu Arman.

“Kau pergi kerja macam mana pulak nanti? Aku tak rasa kereta kau boleh siap cepat,” tanya Rifdi Riyadh prihatin.

“Naik motor Yamaha aku tulah,” ujar Arman sambil membuat lagak menunggang motor.

“Oh, kau tak jual ya motor kau tu,” celah Syahmi pula.

“Eh, sayang aku nak jual motor tu! Dah lama motor tu dengan aku sejak dari kita belajar dulu lagi,” tingkah Arman.

Untuk seketika, mereka mula berbual-bual. Dari perihal kerja sehinggalah kenangan-kenangan ketika di universiti dulu. Bicara mereka mengundang tawa antara mereka. Begitu banyak perkara melucukan berlaku.

Rifdi Riyadh melihat jam tangannya. Sudah agak lama dia berada di situ. Dia pun mengajak Syahmi untuk pulang. Setelah itu, mereka pun bersalaman sebelum berpisah di situ. Masing-masing berjanji untuk keluar minum bersama-sama jika ada kelapangan. Syahmi terpaksa mengambil jalan lain kerana dia meletakkan keretanya di parkir yang berbeza dengan Rifdi Riyadh. Jadi, lelaki itu berjalan bersendirian menuju ke keretanya.

Toing! Toing! Sebiji bola melantun ke arahnya. Rifdi Riyadh pun terhenti sambil mengambil bola yang berhenti di hujung kakinya itu. Dia mengangkat pandangannya dan terlihat sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di sebuah taman di sebelah kirinya. Kanak-kanak itu semua hanya memandangnya. Masing-masing takut untuk menghampirinya risau dimarahi. Lelaki itu tersenyum memandang mereka semua.

“Ahh, maaflah! Terkena pulak bola tu,” ujar seorang gadis muda di kalangan kanak-kanak itu. Dia mewakili mereka semua untuk mengambil kembali bola itu.

Rifdi Riyadh terdiam memandang gadis itu. Dia masih ingat rupa gadis itu. Gadis yang sama yang terlanggar dia di pasar raya sebelum ini. Dia tersenyum sahaja memandang gadis itu yang tampak sedikit kekok untuk melemparkan senyumannya. Sudah dua kali mereka bertembung.

“Umm, bola tu.” Gadis itu ingin meminta kembali bola itu.

“Ohh, bola! Ambil lah,” ujar Rifdi Riyadh lalu memulangkan kembali bola itu kepada gadis itu.

“Terima kasih!” ucap gadis itu ceria sambil mengambil bola itu.

Dia pun berlari anak mendapatkan kembali kanak-kanak yang sedang bermain tadi. Mereka pun bersorak riang mendapat kembali bola mereka. Kanak-kanak itu pun melambai ke arah Rifdi Riyadh sambil mengucapkan terima kasih. Tertawa kecil lelaki itu senang melihat keletah anak-anak kecil itu.

Rifdi Riyadh masih lagi merenung gadis itu. Dia cuba mengingati kembali wajah itu. Semakin dia melihat semakin dia yakin akan perasaannya. Dia memang pernah mengenali gadis itu. Tapi.... di mana? Dan paling penting, siapa?

Keluhan berat melepasi rengkungannya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya cuba mengusir perasaannya kala itu. Ingin bertanya tapi dia segan kiranya dia salah orang. Jadi, dia pun mula melangkah kembali ingin beredar dari situ.

“Terima kasih ya kak Nana!” ucap semua kanak-kanak itu serentak setelah mendapat kembali bola mereka.

Rifdi Riyadh tersentak mendengarkan ucapan itu. Pantas dia berhenti dan berkalih kembali memandang mereka semua. Ketika itu, gadis itu sudah pun mulai beredar dari situ. Dia melambai tangan kepada kumpulan kanak-kanak itu sambil melangkah pergi. Tanpa sedar, langkah lelaki itu mengikut gadis itu. Dia mempercepatkan kayuhan langkahnya bila gadis itu makin menjauh darinya. Tapi, akhirnya dia kehilangan juga jejak gadis itu di celah orang ramai di ruangan menunggu. Dia tercari-cari di sekitar kawasan itu tapi hampa. Langsung dia tak nampak lagi kelibat gadis itu. Akhirnya, dia kembali ke keretanya.

“Nana...?” Rifdi Riyadh menyebut kembali nama gadis tadi. “Auni Liyana!” Kini, dia kembali mengingati siapakah sebenarnya gadis itu.

Ya! Memang dia pernah mengenali gadis itu. Terlalu kenal dengan sikap dan peribadinya. Gadis itu dari alam persekolahannya. Gadis yang pernah menyentap hatinya. Hingga sekarang, masih ada lagi perasaan yang sama untuk gadis itu. Tak mungkin begitu senang dia dapat melupakan segala yang berlaku antara dia dan gadis itu. Namun, keterampilan dan gaya gadis itu begitu jauh berbeza ketika pada zaman persekolahan itu. Dia benar-benar berubah. Sebab itulah, sukar untuk mengecam kembali gadis itu.

“Nana...!” Ada getar dalam suara Rifdi Riyadh. Matanya pula semakin mencerlang tajam. Perasaan lama kembali menghangati hatinya. Tapi bukan cinta dan sayang. Sebaliknya, benci! Dia sememangnya benci dengan gadis itu sejak dari dulu lagi. Semua mengenainya, dia benci!

“Kenapa kau perlu muncul kembali depan aku?! Tak bolehkah kau terus lesap dari hidup aku? Kau sepatutnya cuma kenangan yang aku tak mahu ingat semula tapi.... kenapa?!” Rifdi Riyadh marah sendiri. Dia menghentak stereng keretanya geram. Bibirnya juga diketap geram.

“Jangan muncul lagi depan aku!!” tingkah Rifdi Riyadh sendirian. Dia tersandar ke kerusi keretanya. Kenangan lama di alam persekolahan kembali bermain di layar fikirannya. Terlalu lama zaman itu berlalu. Malah, dia juga tak banyak berhubung dengan kawan-kawan sekolahnya dulu. Hanya beberapa orang yang rapat dengannya dulu sahaja masih berhubung. Dan dalam kenangan itu, terselit wajah Auni Liyana. Begitu banyak kenangan dengan gadis itu tapi satu pun tidak menyenangkan hatinya. Semuanya menyakitkan hati.

NAFAS Auni Liyana sedikit tercungap-cungap. Dia cuba menenangkan dirinya. Beberapa kali dia menarik nafas dalam sebelum menghembus keluar perlahan-lahan. Beberapa ketika kemudian, dia pun kembali tenang. Dia berjalan perlahan menuju ke sebuah bangku kosong di koridor hospital. Dia melabuhkan duduknya di situ.

“Lagi sekali aku bertembung dengan dia. Kenapa?” Auni Liyana bertanya sendiri. Dia memeluk tubuhnya. “Aku tak mahu berjumpa dengan dia balik! Aku tak mahu....” rintihnya kemudian. Sukar untuk dia menyusun rasa di hatinya ketika bertemu kembali lelaki itu.

“Dia masih bencikan aku lagi ke?” lagi satu soalan terluah. Auni Liyana mengeluh perlahan. Kemudian, dia tersenyum nipis. “Umm, pasti dia bencikan aku lagi. Tak mungkin dia akan pernah maafkan aku. Dia akan benci aku selamanya,” lanjut Auni Liyana.

“Baguslah kalau macam tu,” ujar Auni Liyana lagi. Kali ini, nadanya kedengaran sedikit bersemangat. Dia telah memutuskan dalam hatinya. Mungkin itu lebih baik buat mereka berdua. “Rifdi.... sila jangan berhenti membenci Nana....”
Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati