ANGIN malam bertiup lembut
membelai wajah mulus Kamalia. Rambutnya yang lembut ikut terbuai sedikit. Dia duduk
melihat bintang di beranda rumahnya. Bau wangi teh bunga kekwa menemaninya
ketika itu. Kadang-kadang dia senang bersendirian sebegitu. Membiarkan badan
dan otaknya berehat dari kepenatan kerja seharian.
“Leeya,” panggil Datin Naurah perlahan. Dia memegang
lembut bahu anaknya.
Kamalia tak menjawab. Sebaliknya dia berkalih
memandang mamanya sambil tersenyum manis. Tanpa disuruh, mamanya mengambil
tempat duduk di sebelahnya. Gadis itu pun melentok manja kepalanya ke bahu
mamanya. Kadang-kadang dia suka juga bermanja sebegitu dengan mamanya. Datin
Naurah tersenyum nipis dengan ulah manja anaknya itu. Dia pun turut membelai
lembut rambut ikal anaknya itu. Untuk seketika, mereka berdua hanya diam.
“Leeya,” panggil Datin Naurah sekali lagi.
“Hemm...”
“Boleh mama tanya Leeya sesuatu?” pinta Datin
Naurah terlebih dahulu.
“Apa dia mama? Tanyalah. Kalau Leeya boleh jawab,
Leeya akan jawab,” ujar Kamalia sopan. Dia masih lagi melentokkan kepalanya.
Datin Naurah diam seketika. Dia cuba memikirkan
bicara terbaik untuk menyampaikan soalannya. “Mama nak tahu pendapat Leeya
tentang Hazim. Apa yang Leeya fikirkan tentang dia?” tanya dia akhirnya.
Kamalia diam mendengarkannya. Dia tersenyum nipis
sahaja. Sebenarnya, dia sudah menjangkakan pertanyaan mamanya itu. Dia menarik
nafasnya dalam sebelum menghembus keluar perlahan-lahan. “Apa maksud mama?
Pendapat macam mana yang mama nak tahu?” sengaja dia bertanya kembali mamanya.
“Yalah! Apa yang Leeya fikirkan pasal dialah
sebagai seorang perempuan. Kan dia tu calon pilihan mama untuk Leeya. Mama tak
nak paksa Leeya sangat kalau Leeya memang tak boleh terima dia tapi...” Datin
Naurah diam seketika sebelum menyambung kembali. “Mama sukakan Hazim tu. Mama
rasa dia sesuai sangat dengan Leeya. Maksud mama... mama pasti yang dia boleh
bahagiakan puteri tunggal mama ni.” Datin Naurah tersenyum sambil menyentuh
lembut pipi anaknya.
Kamalia hanya tersenyum nipis mendengarkannya. Dia
masih lagi diam. Dah tentu mama! Apa saja yang mama buat memang untuk
kebahagiaan Leeya. Sampaikan Leeya dah tak dapat bezakan yang mana satu
kebahagiaan yang sebenarnya?! Bentak gadis itu di dalam hatinya.
“Entahlah mama. Leeya sendiri pun tak tahu nak
cakap macam mana. Lagi pun, Leeya tak kenal rapat pun dengan dia. Sekadar kenal
macam tu saja,” balas Kamalia sambil mengeluh perlahan. Pandai sekali dia
berlakon melindungkan rasa sebenarnya ketika itu.
“Kenapa pulak cakap macam tu? Bukankah hari tu,
Leeya ada pergi berjumpa dia dekat hospital?” tanya Datin Naurah sambil
mengerutkan sedikit dahinya. “Memanglah setakat berjumpa sekali dua tu, masih
tak cukup nak kenal hati budi seseorang tu. Tapi sekurang-kurangnya, mesti
Leeya dapat bayangkan macam mana dia kan?” Dia masih cuba untuk mengetahui
pendapat anaknya tentang doktor muda itu.
“Urm... mungkin,” balas Kamalia perlahan.
Kemudian, dia mengeluh lagi. “Tapi dia jenis yang sibuklah mama! Hari tu Leeya
ke hospital pun, mana sempat Leeya jumpa dia. Nurse cakap yang dia tengah sibuk
dan tak tahu bila dia boleh jumpa dengan Leeya. Jadi, Leeya pun balik macam tu
sajalah,” sambung gadis itu berbohong. Sengaja dia menyembunyikan perkara
sebenar mengenai kejadian itu.
“Yakah? Mama tak tahu pulak,” getus Datin Naurah.
Dia juga turut terdiam memikirkannya. Kalau begitu, susahlah untuk mereka
berjumpa dan menghabiskan masa bersama. Macam mana nak saling mengenali hati
budi kalau susah untuk berjumpa? Tanyanya sendiri di dalam hati.
Kamalia tersenyum nipis sambil mengerling mamanya.
Datin Naurah masih lagi diam sambil mengerutkan dahinya. Pasti mamanya itu
sedang memikirkan rancangan untuk dia dan Doktor Hazim. Dia tahu yang mamanya
takkan mudah berputus asa. Dia akan cuba sedaya upaya untuk menyatukan mereka
berdua jika tiada sebarang halangan dari dia.
“Kalau macam tu, Leeya nak mama aturkan perjumpaan
dengan dia?” tanya Datin Naurah cuba mengusulkan cadangannya.
“Isyy mama ni! Nanti nampak Leeya pulak yang
beria-ia nakkan dia. Seganlah Leeya macam tu walaupun kami tak ada apa-apa
pun,” selar Kamalia. Sengaja dia cuba menolak cadangan itu.
“Alah, Leeya tak payah risaulah! Pandailah mama
aturkan nanti supaya tak nampak macam tu. Lagi pun, auntie Ifah memang sukakan
Leeya. Dia pun harap sangat Leeya dapat jadi menantu dia. Pandai-pandai kamilah
nanti nak aturkan macam mana. Asalkan Leeya setuju nak jumpa dengan Hazim,” ujar
Datin Naurah cuba memujuk.
Kamalia mengeluh perlahan. Dia memandang lembut
mamanya. “Terpulanglah dekat mama. Leeya ikutkan sajalah,” akur gadis itu.
Kemudian, dia tersenyum nipis. Nampaknya rancangannya mula berhasil. Let’s see what happen next! Getus
hatinya.
“DAH habis kemas ke barang
korang?” tanya Auni Liyana sambil menjengah bilik kedua-dua adiknya itu.
“Tengah kemaslah ni akak,” sahut Nufail sambil
memasukkan baju yang dilipat kemas ke dalam begnya. Begitu juga dengan Naufal.
“Kemas elok-elok beg tu. Jangan sampai ada barang
yang tertinggal pulak. Bukannya dekat dari Melaka ke Shah Alam ni,” sampuk Puan
Musliha pula berpesan.
“Memang tak dekat tapi tak adalah jauh mana pun
mak,” tingkah Naufal pula.
“Hah, yalah tu! Kalau ada barang tertinggal, bukannya
kamu berdua yang nak balik ambil. Akak kamu juga yang kena hantarkan nanti,”
selar Puan Musliha pula.
Naufal dan Nufail hanya mengiyakan sahaja. Mereka
berdua perlu pulang ke kampus pengajian masing-masing setelah cuti semester
mereka berakhir. Walaupun agak keberatan kerana seronok bercuti kali ini, tapi
mereka punyai tanggungjawab sebagai seorang pelajar.
Mereka berdua sama-sama belajar di Universiti
Teknologi Mara cawangan Melaka. Kedua-duanya mengambil Diploma tapi berlainan
bidang. Dan Naufal telah pun berada di semester terakhir.
“Dah habis kemas barang nanti, tidur awal! Esok
kena bangun awal. Mungkin kita sempat berjalan kejap ke dekat Melaka tu sebelum
korang masuk kampus,” ujar Auni Liyana lagi kemudiannya.
“Okay! Nufail pun ada barang nak beli,” sahut
Nufail sambil tersenyum ceria.
“Mak, Nana nak masuk tidur dululah. Awal pulak
mengantuk hari ni,” pinta Auni Liyana sambil memandang emaknya yang sedang
melihat adik-adiknya itu berkemas.
“Amboi, cepat benar kamu nak tidur! Baru pukul
9.00 malam,” balas Puan Musliha sambil melihat jam dinding di bilik tidur itu.
Auni Liyana hanya tersenyum sahaja. “Nak buat
macam mana. Dah rasa mengantuk. Tidur sajalah,” sahut Auni Liyana lagi.
“Hemm, yalah! Pergilah tidur. Esok Nana yang nak
bawa kereta hantarkan budak berdua ni,” alah Puan Musliha sambil tersenyum.
Auni Liyana pun terus mengucapkan selamat malam sebelum berlalu ke bilik
tidurnya.
Klik! Auni Liyana mengunci pintu bilik tidurnya.
Setelah itu, terus sahaja dia berlari ke bilik air. Makan malam yang dijamahnya
sebentar tadi melonjak naik dari perut ke dadanya. Dia memuntahkan hampir semua
yang dijamahnya tadi. Nafasnya sedikit tercungap-cungap dan matanya mula berair
menahan sakit memuntahkan makanan itu. Hampir 15 minit, dia berada di bilik
air.
Kini, dia tersandar lesu di pintu bilik air. Dia
memegang dadanya cuba menyingkirkan sakit ngilu yang bersisa itu. Air matanya
masih membasahi pipinya. Perlahan-lahan, dia menyeka air mata itu. Dengan
langkah lemah, dia keluar dari bilik air setelah membersihkan dirinya. Dia
duduk di birai katilnya.
Laci meja di sebelah katil ditarik keluar. Ada
beberapa botol ubat-ubatan di situ. Untuk seketika, dia hanya melihat kosong
sahaja botol-botol itu. Wajahnya ditundukkan. Sebenarnya, dia mulai bosan untuk
mengambil ubat-ubatan itu. Hanya ubat sahaja yang tidak ditolak badannya ketika
itu. Sejak kebelakangan ini, selera makannya makin tumpul dan sering kali
sahaja dia memuntahkan kembali makanan yang dimakannya. Tapi dia kuatkan juga
semangatnya agar emaknya tidak merisaukannya.
“Sampai bila Nana?” Auni Liyana bertanya sendiri.
Lemah dan perlahan nadanya. Terselit juga sayu. “Sampai bila kau nak rahsiakan
dari mak? Naufal dan Nufail? Kawan-kawan lain yang rapat dengan kau? Bila kau
nak beritahu perkara yang sebenarnya?” bertubi-tubi persoalan terbit dari
mulutnya.
“Yang kau... tak dapat hidup lama lagi?”
sambungnya lagi.
Air mata yang sudah kering tadi bergenang kembali
di tubir matanya. Itulah teman setianya setiap kali malam menjelma dan ketika
dia bersendirian. Kadang-kadang dia terlupa yang dia dulunya seorang gadis yang
ceria dan tabah. Dia diam seketika bertemankan air mata itu.
Setelah dirinya kembali tenang, gadis itu pun
mengambil ubat-ubatan itu. Dia menelan semuanya sekali gus. Air segelas
membantunya. Setelah menghabiskan air itu, dia bangun menuju ke maja solek
pula. Dia duduk memandang keadaan dirinya ketika itu. Perlahan-lahan, dia
memegang wajahnya.
“Muka aku makin pucat. Badan aku pun makin kurus,”
ujar Auni Liyana sambil terus memandang pantulan dirinya itu. Dia mengetapkan
bibirnya. Dia tahu, dia tak boleh terus menyimpan rahsia itu lebih lama lagi.
Auni Liyana menarik nafas dalam. Dia tampak nekad
selepas itu. “Sekurang-kurangnya, biar aku tahan untuk tahun ni! Aku nak hantar
mak pergi haji dulu. Lepas tu...” ayatnya tergantung di situ. Pandangan kembali
sayu. Keluhan lembut melepasi bibirnya. Dia tersenyum nipis.
“Lepas tu, terpulanglah kepada ALLAH,” sahut
dirinya.
Harapannya masih ada. Itulah satu-satunya yang
membuatkan dia teguh berpegang untuk meneruskan sisa hidup ini. Mungkin esok
atau lusa, semua ini hanyalah mimpi atau kenangan pahit yang telah berlalu.
Mungkin ketika itu, dia sedang berbahagia bersama seseorang. Melihat emak dan
adik-adiknya tertawa ceria kembali. Ya! Harapan untuk sembuh masih ada walau
setipis mana pun. Walau serapuh mana, itulah pegangan terakhirnya. Harapan dan
doa.