HUJAN turun mencurah lebat
dari langit yang kelam. Kilat dan guruh saling menyambar di atas sana. Auni
Liyana mengeluh perlahan sambil mengarahkan pandangannya menghadap kawasan
parkir kereta tak jauh darinya. Keretanya diparkir di hujung sekali. Jika dia
berlari sekali pun, pasti dia akan basah kuyup juga dengan hujan yang lebat
itu.
Sempat dia mengerling jam di tangan. Sudah hampir
pukul 5.30 petang. Dia harus pulang segera ke rumah. Dia tak mahu pula emaknya
risaukan dia. Tambah lagi, dia telah berbohong dengan emaknya mengatakan dia
ada hal ingin bertemu dengan kawannya. Sedangkan dia datang ke hospital untuk
pemeriksaan. Berdosa pula rasanya terpaksa berbohong kepada emak sendiri. Tapi,
dia masih belum bersedia untuk menceritakan hal yang sebenar.
“Nak saya hantarkan ke kereta?” tanya Doktor Hazim
yang tiba-tiba muncul. Tersentak gadis itu dibuatnya. Pantas dia memandang
doktor itu sambil tersenyum.
“Hehe... cantiknya payung,” ujar Auni Liyana
menyindir sambil bergurau. Doktor Hazim pun turut tertawa melihat payung di
tangannya. Payung itu berwarna pink terang sekali.
“Saya pinjam dengan nurse,” beritahu Doktor Hazim
jujur. “So, nak ke keretakah?” dia mengulangi kembali pertanyaannya.
Auni Liyana diam seketika sambil melihat hujan
yang mencurah. Angin yang bertiup menampakkan hujan semakin lebat. Lagi sekali
dia melihat jam tangannya. Mungkin sebentar lagi, hujan ini akan sedikit
renyai. “Kejap lagilah. Tunggu hujan ni renyai sikit. Kalau redah pakai payung
pun sekarang ni, rasanya akan basah jugak. Lebat sangat hujan sampai dah tak
nampak depan,” balas Auni Liyana.
“Hemm, okay! Kalau macam tu, saya tunggu sekali,”
sahut Doktor Hazim.
“Eh, tak apalah. Tak nak menyusahkan doktor pulak.
Mesti doktor sibuk kan,” segan pula Auni Liyana bila Doktor Hazim baik
dengannya begitu.
“Tak apalah. Saya bukannya sibuk pun sekarang.
Lagi pun, saya memang sengaja pinjam payung ni untuk Nana. Saya nampak Nana
asyik tunggu dekat sini dari tadi. Jadi, saya agak yang Nana nak ke kereta tapi
sebab hujan lebat, awak kena tunggu dekat sini dulu,” ujar Doktor Hazim. “Ahh,
tapi saya tak bolehlah nak bagi payung ni dekat Nana sebab payung pinjam,”
sambungnya lagi. Auni Liyana tertawa kecil mendengarkannya. Doktor Hazim memang
seorang doktor yang baik dan prihatin.
“Terima kasih, doktor,” ucap Auni Liyana. Doktor
Hazim tersenyum mendengarkannya.
“Saya dengar awak ambil cuti lama dari kerja? Buat
apa?” sengaja Doktor Hazim bertanya.
“Ha’ah, saja Nana ambil cuti. Lagi pun, sebelum ni
memang dah lama Nana tak cuti lama. Alah, tak adalah lama mana pun. 5 hari
saja. Tu pun, sebab nak bawa mak dengan adik-adik jalan-jalan dekat sini. Tak
adalah dorang bosan duduk kat rumah tu,” beritahu Auni Liyana.
“Jadi.... Nana belum beritahu keluarga Nana
lagilah?” duga Doktor Hazim. Gadis itu tersenyum nipis. Dia memandang doktor
itu. Pandangannya tampak sedikit sayu.
“Nana tak tahu macam mana nak cakap. Lagi pun....”
Auni Liyana terdiam seketika. Dia melihat hujan mencurah turun. Untuk seketika
dia mengeluh. “Nana tak tahu macam mana nak berterus terang tanpa melukakan
hati dorang. Kalaulah ada kata-kata kebenaran yang tak melukakan.” Gadis itu
kembali diam. Doktor Hazim memandangnya pula.
“Walau selembut mana pun kata-kata Nana untuk
jelaskan, mereka tetap akan terluka,” akur Doktor Hazim. “Maaf... saya tak
dapat bantu dalam hal ni,” tambahnya lagi.
“Tak apalah doktor. Nana tak harapkan bantuan
sesiapa pun dalam hal ni. Ni masalah Nana. Insya ALLAH... Nana akan cuba
selesaikan dengan sebaik yang mungkin. Terima kasih sebab sudi ambil berat pasal
Nana,” ujar Auni Liyana sambil tersenyum nipis. Ahh, alangkah bahagianya aku
kalau Rifdi yang katakan semua ni dekat aku! Getus hati kecilnya. Hingga ketika
ini, lelaki itu juga yang masih diingatinya.
“Saya gembira sebab dapat ambil berat pasal Nana,”
balas Doktor Hazim.
Auni Liyana memandangnya sambil berkerut. Bermadah
juga kata-kata doktor itu. Dia sendiri pun kurang pasti akan maksud di sebaliknya.
Mungkin sekadar prihatin seorang doktor terhadap seorang pesakit sepertinya.
“Hemm, nampaknya hujan dah makin reda,” ujar
Doktor Hazim kemudiannya sambil menadahkan tangannya ke luar koridor. Titisan
hujan makin berkurangan. “Jomlah! Saya hantarkan ke kereta,” ajaknya kemudian
sambil membuka payungnya. Gadis itu akur dengannya. Mereka pun beriringan ke
keretanya.
“Terima kasih doktor!” ucap Auni Liyana sebaik
sahaja masuk ke keretanya.
“Hati-hati bawa kereta. Jalan tengah licin ni,”
pesan Doktor Hazim. Setelah itu, gadis itu pun melambaikan tangannya sambil
memandu keluar dari parkir.
Doktor Hazim hanya memandang sehingga kelibat
gadis itu hilang di pandangannya. Keluhan kecil terlepas dari rengkungannya.
Kadang-kadang dia berharap dapat berjumpa dengan gadis itu dalam situasi yang
lebih normal. Bukannya sebagai doktor dan pesakit. Dia juga berharap dapat
bertemunya lebih awal lagi. Tapi... sekurang-kurangnya, dia masih diberikan
peluang untuk bertemu dengannya walaupun dalam lewat waktu ini dan situasi
begini. Untuk itu, dia bersyukur sekali.
“SIBUK betul kamu hari ni
Nana,” tegur Puan Musliha ketika anak gadisnya itu menuruni tangga. “Petang
tadi kamu pergi berjumpa kawan. Dah malam macam ni, ada majlis pulak yang kena
pergi,” sambungnya lagi.
“Bukannya kena pergi sangat pun, mak. Saja Nana
nak pergi sebab majlis ni klien Nana yang adakan. Setakat nak jaga hubungan
baik saja,” balas Auni Liyana sambil tersenyum nipis.
Puan Musliha terdiam melihat penampilan anak
gadisnya. Dia tersenyum ceria. Dia memandang sahaja Auni Liyana dari atas ke
bawah berulang kali. Gadis itu mengenakan sepasang gaun malam berwarna biru
lembut. Gaun malam itu tampak seperti jubah moden. Bertutup sopan gaun malam
itu. Tidak nampak seksi sebaliknya elegan dan sopan. Tudung warna sedondon
digayakan bersama.
“Kenapa mak tengok Nana macam tu? Baju Nana ni
pelik sangat ke?” tanya Auni Liyana mulai khuatir akan penampilannya. Dia
sengaja cuba tampak ringkas tapi elegan untuk majlis itu. Tambah lagi, majlis
diadakan di hotel terkenal.
“Tak sangka anak mak boleh secantik macam ni,”
puji Puan Musliha. Senang hati dia melihatkannya. “Cantik dan sopan. Kalau
macam nilah, Nana selalu pakai. Mesti ramai dah berkenan dengan Nana,”
tambahnya lagi.
“Mak ni... ada-ada sajalah! Nana biasa-biasa
sajalah. Cuma melaram sikit saja malam ni,” balas Auni Liyana segan dengan
pujian itu. Rasanya penampilannya memang biasa saja. “Dahlah mak! Nana nak
pergi dulu. Takut terlambat pulak nanti,” ujar Auni Liyana sambil menyalami
tangan Puan Musliha.
“Naufal! Jom hantar akak,” ajak Auni Liyana di
muka pintu sambil menyarungkan kasutnya.
“Dah ada dekat luar dah pun,” sahut Naufal dari
luar rumah. Dia telah diminta untuk
menghantar dan mengambil kakaknya ke majlis itu kerana Auni Liyana tidak mahu
bersusah payah mencari parkir. Nufail juga ikut meneman abangnya. Tinggallah
Puan Musliha seorang di rumah.
“Hati-hati bawa kereta tu Naufal,” pesan Puan
Musliha di muka pintu.
Tidak lama pun perjalanan mereka. Hanya 15 minit
sahaja untuk sampai ke hotel itu. Auni Liyana sempat menelek wajahnya di cermin
sebelum keluar dari kereta. Tiada sebarang cela.
“Okay cik Nana! Kita dah sampai,” ujar Nufail yang
membuka pintu kereta untuk kakaknya. Sengaja dia berlagak seperti pembantu
peribadi. Auni Liyana tertawa kecil melihat keletah adiknya itu.
“Terima kasih,” ucap Auni Liyana sambil mengangkat
sedikit kainnya memainkan peranannya. “Dahlah! Cepat balik ke rumah. Tinggal
mak seorang saja tu. Nanti kalau akak dah nak balik, akak telefon korang,”
pesan Auni Liyana.
“Yes, maam!!” serentak Naufal dan Nufail
menjawabnya.
Auni Liyana mula rasa gelisah. Para tetamu yang
ada langsung tidak dikenalinya. Mungkin kebanyakannya adalah pekerja syarikat
anjuran majlis itu. Dia cuba mencari kelibat Dato' Bahri dan isterinya tapi
masih tidak berjumpa. Dia cuba berlagak tenang. Tak mahu pulak tampak terlalu
kekok di majlis besar seperti itu. Dia perlu menjaga adab dan sikap
profesionalnya supaya dia tak nampak janggal. Jadi, dia hanya berdiri di satu
sudut di ruang dewan besar itu. Dia lebih selesa dengan melihat para tetamu
yang ada.
“Hai! Seorang sajakah?” sapa seorang lelaki. Auni
Liyana tersenyum memandangnya sambil mengangguk.
“Pekerja syarikat ni?” tanya lelaki itu lagi.
“Erm, tak! Saya arkitek yang buatkan rumah untuk
Dato'. Jadi sengaja Dato' jemput saya. Tanda penghargaan katanya,” jawab Auni
Liyana jujur.
“Oh, yakah.” Lelaki itu terus tersenyum
memandangnya. Auni Liyana pulak terasa sedikit kekok dengannya tapi dia cuba
berlagak tenang. Tak mahu pulak lelaki itu berkecil hati dengan tingkahnya.
“Saya Muhsin,” perkenal lelaki itu.
“Auni Liyana.” sengaja dia menyebut nama penuhnya.
Selalunya dia sekadar memperkenalkan dirinya sebagai Nana sahaja. Tapi dengan
orang yang baru dikenali dan mungkin takkan berpeluang untuk bertemu lagi, dia
lebih selesa menyatakan nama penuhnya.
“Jadi, cik Liyanalah?” tanya Muhsin.
“Tak perlu cik!” jawab Auni Liyana. Muhsin
tersenyum mendengarkannya.
“Hei, Muhsin! Kau buat apa dekat situ?” tegur
kawan Muhsin. Lelaki itu pun tersenyum memandang kawannya. Kemudian, beberapa
kawan lelaki itu mulai berkumpul di situ.
Auni Liyana diam sahaja memandang mereka semua.
Hatinya memberontak untuk pergi dari situ tapi dia tak tahu untuk memberi
alasan apa. Dia sebenarnya agak kekok dengan orang yang baru dikenali jika
tiada sebarang hal rasmi. Walaupun dia dikenali sebagai seorang gadis yang
ceria dan sedikit nakal tapi dia masih punyai rasa segan. Dia hanya nakal
dengan mereka yang sudah dikenali dan yang dia suka.
“Liyana tinggal dekat mana?” tanya Muhsin.
“Dah kahwin?” tanya kawan Muhsin pula sengaja
bergurau.
“Dah makankah? Ambillah makan. Nak saya ambilkan
untuk awak?” pelawa kawannya yang lain pula.
Auni Liyana terdiam mendengarkannya. Tak pasti
bagaimana untuk menjawabnya. Sebenarnya, dia tak minat untuk bercerita hal
peribadi kepada mereka. Lagi pun, mungkin mereka tak akan berjumpa lagi selepas
ini.
“Urm, saya....”
“Nana!”
Auni Liyana terdiam mendengarkan suara yang
memanggilnya. Dia pantas berkalih memandang empunya diri. Muhsin dan
kawan-kawannya juga turut berkalih. Untuk seketika, mereka semua diam.
Biar betul?! Aku bermimpikah? Dia panggil aku?
Eh... tak! Yang lebih penting lagi... dia datang ke majlis ni?! Aku ingatkan
dia tak mahu datang sebab aku datang. Bertubi-tubi pelbagai persoalan menikam
benak gadis itu.
“Kawan awakkah?” tanya Muhsin menyedarkan lamunan
gadis itu.
“Err... urmm... ya! Kawan,” balas Auni Liyana sedikit
menggelabah.
Muhsin kelihatan seperti mengeluh kecewa. Baru
sahaja dia ingin mengenali gadis itu. Datang pula kawannya mengganggu. Dia
melihat sahaja gadis itu beredar mendapatkan lelaki yang dikatakan kawannya
itu.
“Hai,” sapa Auni Liyana sambil tersenyum manis.
Rifdi Riyadh hanya memandangnya sinis. Dia tak
berkata apa. Sebaliknya hanya berjalan dari situ. Auni Liyana pulak sekadar
menurutinya. Gadis itu menjuihkan bibirnya melihat reaksi dingin lelaki itu.
Dia yang panggil aku tadi. Dah tu, buat sombong pulak!! Getus hati kecilnya.
“Kita nak ke mana ni?” tanya Auni Liyana.
“Jumpa Dato',” jawab Rifdi Riyadh ringkas. Dingin
sahaja nadanya.
“Oh, lepas tu?”
“Lepas tu... suka hati kaulah kau nak buat apa.
Tanya aku kenapa,” tingkah Rifdi Riyadh. Auni Liyana hanya tersenyum nipis
mendengarkannya. Seperti selalu tingkah lelaki itu berbicara dengannya. Dingin
dan kasar.
“Hemm, tapi kenapa nak jumpa Dato', ajak Nana
sekali? Rifdi segan nak pergi sendiri ke?” tanya Auni Liyana sengaja memerli
sambil tersenyum sinis. Sengaja dia mahu mengenakan lelaki itu. Lelaki itu
mendengus kasar. Malas hendak bertekak dengan gadis itu. “Atau.... Rifdi
sengaja nak tolong Nana tadi?” duga Auni Liyana.
Kali ini, Rifdi Riyadh berhenti. Dia memandang
gadis itu. Dalam dan tajam pandangannya. Auni Liyana hanya diam sahaja sambil
terus tersenyum. Dia bersedia dengan pelbagai andaian kemarahan lelaki itu.
”Kau boleh fikir apa saja yang kau nak. Tapi...!”
Rifdi Riyadh diam seketika. Sengaja ditekankan ayat akhirnya. “Jangan kau pernah
fikir yang aku sengaja nak tolong kau. Sebab tu memang mustahil,” tegasnya
kemudian.
“Okay,” akur Auni Liyana. “Terima kasih... Rifdi.”
“Kan aku dah kata, aku bukannya nak tolong kau.
Kenapa pulak nak ucap terima kasih?!” tingkah Rifdi Riyadh.
“Tak! Bukannya untuk tadi. Untuk kejadian dekat
parkir tu. Masa kita keluar makan dengan Dato' Bahri hari tu,” jelas Auni
Liyana. “Terima kasih sebab tolong Nana dan hantarkan Nana ke hospital,”
sambungnya lagi.
Rifdi Riyadh terdiam mendengarkannya. Dia mengetap
bibirnya sambil memikirkan sesuatu untuk membidas kata-kata gadis itu. Tapi,
dia mati akal. Tak sangka pula Auni Liyana akan membangkitkan hal itu.
“Ahh, tu pun Dato'! Jom!” ajak Auni Liyana sambil
mendahului lelaki itu. Dia tersenyum bila Rifdi Riyadh mati akal untuk
membalasnya.
Rifdi Riyadh mendengus geram. Tak sangka gadis itu
sengaja mengenakannya. Tak pernah berubah sikapnya dari sekolah dulu. Memang
nakal dan suka mencari peluang untuk mengenakannya.
“Oh, Liyana! Rifdi! Datang jugak kamu berdua.
Terima kasihlah sebab sudi datang ke majlis ni,” ujar Dato' Bahri yang terlebih
dulu tersedar akan kedatangan mereka. Auni Liyana sekadar tersenyum
memandangnya. Manakala, Rifdi Riyadh berjabat dengan lelaki separuh abad itu.
“Sebab Dato' dah bersusah-payah jemput kami. Kami
pun datanglah,” ujar Auni Liyana. Dato' Bahri ketawa mendengarkannya. Untuk
seketika mereka berbual. Isteri Dato' Bahri turut menyertai perbualan mereka.
“Liyana nampak cantik sangat malam ni,” puji Datin
Bazilah.
“Eh, tak adalah Datin. Saya biasa-biasa saja,”
balas Auni Liyana tersipu malu. Segan dia menerima pujian sebegitu. Tak apalah.
Yang cantik pun ciptaan ALLAH. Sempat hatinya mengingatkannya. Kemudian, Datin
Bazilah dipanggil kawannya seketika. Tinggallah Auni Liyana bersama Rifdi
Riyadh kembali.
Lelaki itu mengerling memandangnya. Bibirnya
dicebikkan mendengarkan kata-kata Datin itu. Auni Liyana tersenyum
memandangnya. Sengaja dia membuat muka sedikit manja dengan lelaki itu.
“Nana nampak pelikkah?” tanya Auni Liyana bila
Rifdi Riyadh melihatkannya sambil berkerut dahi.
“Hemm, badut pun boleh nampak cantik jugak kalau
pakai baju yang cantik,” balas Rifdi Riyadh sinis. Terus sahaja Auni Liyana
tertawa mendengarkannya. Lelaki itu memandangnya sambil berkerut.
“Apa yang lucunya?” tingkah Rifdi Riyadh.
“Tak sangka! Encik Rifdi yang sarkastik selama ni
pun boleh memuji badut macam Nana ni. Walaupun kedengaran sarkastik pujian tu
tapi....” Auni Liyana cuba meleraikan tawanya. Dia memandang Rifdi Riyadh
sambil tersenyum manis. “Terima kasih atas pujian tu. Nana akan ingat sampai
bila-bila,” sambung gadis itu.
Rifdi Riyadh tergagap mencari bicaranya. Dia
memandang tajam gadis itu. “Sila lupakan apa yang aku kata tadi. Tak payah nak
ingat sampai bila-bila. Lupakan sekarang!” tingkah lelaki itu.
Auni Liyana hanya tersenyum memandangnya
membuatkan lelaki itu bertambah tak keruan. Akhirnya, dia mengambil keputusan
untuk berdiam diri sahaja supaya dia tak lagi tersasul bicara. Ada sahaja helah
gadis itu untuk mengenakannya.
RIFDI RIYADH menuju ke
parkir kereta. Dia sudah memberitahu Dato' Bahri yang dia ingin pulang lebih
awal ke rumah. Mujur sahaja lelaki itu memahaminya walaupun Dato' pada mulanya
agak menahan dia dan Auni Liyana. Mujur gadis itu pandai memberi alasan. Mungkin
itu salah satu kelebihan yang ada padanya walaupun dia tak mahu mengakuinya.
“Siapa yang datang ambil dia?” tanya Rifdi Riyadh
sendiri. Kelihatan, Auni Liyana dijemput seseorang. “Pak we dia kah? Mudanya!”
tambahnya lagi.
Dia melihat sahaja keletah gadis itu dengan lelaki
yang menjemputnya itu. Mereka kelihatan mesra sekali. Gadis itu boleh tertawa
ceria dengan lelaki itu. Rifdi Riyadh mencebikkan bibirnya.
“Heh, asalkan ada rupa, kau tak kisahkan laki tu
muda dari kau,” getus Rifdi Riyadh. Malas dia hendak berlama di situ. Terus
sahaja dia memandu keretanya beredar dari situ.
Sepanjang perjalanan, sering kali juga wajah dan
tingkah Auni Liyana pada malam itu hadir di fikirannya. Sering kali itu
jugalah, dia menepis segala bayangan itu. Entah mengapa, bila dia sedikit
terleka, pasti bayangan gadis itu akan hadir. Penat untuk dia menghalau semua
bayangan itu.
Cukuplah kau hadir dalam nyata aku. Jangan kau nak
hadir dalam bayangan aku pulak! Aku rimas nak halau semua bayangan yang ada
wajah kau. Aku tak faham! Kenapa aku boleh bertemu balik dengan kau. Aku tak
pernah pun mendoakan pertemuan ni. Ahh!! Tak mungkin senang untuk aku padamkan
kebencian ni. Aku tak tahu macam mana untuk tak bencikan kau, Auni Liyana!!
teriak hati Rifdi Riyadh.
Pandangan lelaki itu kosong memandang jalan yang
gelap. Dia terus menyibukkan fikirannya dengan pelbagai perkara lain yang tidak
berkaitan dengan Auni Liyana. Dia tak mahu terus membayangkan gadis itu. Dia
berharap itu kali terakhir dia bertemu dengan gadis itu.