BAU wangian lavender
memenuhi segenap ruang sebuah spa. Kelihatan seorang pekerja di situ sedang
menjalankan rawatan muka ke atas seorang pelanggan. Manakala, beberapa pekerja
yang lain sedang sibuk dengan tugas masing-masing.
Di sebuah pejabat kecil di dalam spa itu,
kelihatan seorang gadis sedang merias wajahnya. Gincu merah pekat dioles ke
bibir. Setelah itu, sebotol wangian berjenama turut dikeluarkan dari tas
tangannya dan disembur beberapa kali ke badannya. Setelah berpuas hati, barulah
dia melangkah keluar dari pejabat yang agak kecil itu.
Beberapa orang pekerjanya yang sedang sibuk pantas
berkalih memandangnya bila mereka tersedar akan kehadiran bos mereka itu.
“So, how do
I look?” tanya Aira Nadeeya dengan lirikan manja.
“Gorgeous!”
jawab Fieda pantas.
“Fabulous!!”
sahut Carol pula, satu-satunya pekerja berbangsa Cina di situ.
Aira Nadeeya terus mengukir senyum puas hati
dengan pujian yang diberikan itu. Sempat lagi dia menggayakan dirinya di
hadapan sebuah cermin besar di ruangan hadapan spa itu. Yup, perferct!! Getus hati kecilnya suka.
“So, Fieda. Macam biasa ya. Tengokkan spa ni. I nak keluar lunch kejap,” pinta Aira
Nadeeya.
“Baik bos!” jawab Fieda.
Gadis muda tinggi lampai itu pun tak berlama lagi
di situ. Pantas sahaja dia mengatur lenggok gemalainya keluar dari spa itu.
Bila hampir dengan keretanya, Aira Nadeeya pun mengeluarkan kunci kereta dari
tas tangannya. Terus sahaja dia memboloskan dirinya masuk ke dalam kereta. Tak
mahu berlama di luar dengan terik matahari. Takut nanti, cair pula mekapnya.
Sebelum dia memandu keluar dari situ, sempat dia
memandang papan tanda spanya. ‘Aira Lovely Spa’ terpampang besar di salah satu
slot papan tanda pasar raya besar itu. Tersenyum puas mengenangkan kejayaannya
membuka spa impiannya itu.
Kini, dia mampu hidup agak senang dengan
pendapatan dari spa itu. Ramai pengunjung yang berpuas hati dengan servis di
spa itu. Dia juga sudah memiliki agak ramai pengunjung tetap walaupun dia baru
beberapa tahun beroperasi. Rata-ratanya terdiri dari kalangan datin-datin dan
mereka yang berpendapatan tinggi. Memang dari mula lagi, dia sudah menjadikan
golongan seperti itu sebagai target pelanggan spanya.
“CIK AIRA dah keluarkah?”
tanya Misya yang baru selesai membuat rawatan muka untuk seorang pelanggannya.
“Ha,ah! Mesti keluar nak makan dengan encik Rifdi
lah tu,” balas Fieda sambil tersenyum sinis. Misya juga turut tersenyum.
“Encik Rifdi? Siapa tu? Teman lelaki diakah?”
tanya Carol. Bahasa melayunya kedengaran sedikit pelat. Fieda dan Misya saling
tersenyum sambil membalas pandangan sesama mereka. Carol sedikit berkerut
dahinya menunggu penjelasan dari mereka berdua.
“Umm, nak kata teman lelaki tu.... rasanya tak,”
ujar Fieda sengaja membuatkan Carol bertambah ingin tahu.
“Habis tu, apa?”
“Aku rasa lebih tepat kalau katakan.... admirer,” sampuk Misya pula.
“Admirer?
Jadi, kiranya encik Rifdi tu minat dekatlah cik Aira lah?” Carol terus bertanya
lagi untuk mendapatkan kepastian.
“Tak!!” serentak Fieda dan Misya menjawab. Carol
terkebil-kebil memandang mereka berdua yang sedang tertawa.
“Sebaliknya! Cik Aira yang syok habis dekat encik
Rifdi tu. Tapi encik Rifdi tak berapa nak layan sangat bos kita tu,” beritahu
Fieda menghuraikan keraguan Carol.
“Ooo.... kiranya macam bos kita tu syok sendiri
sajalah,” ujar Carol.
“Betul tu!” sahut Misya. Kemudian, mereka bertiga
sama-sama ketawa.
“Saya tak tahu pun pasal hal ni,” ujar Carol lagi
setelah tawanya reda.
“Yalah! Kamu kan baru kerja lagi di sini.
Lama-lama nanti, kamu akan tahu jugak,” balas Misya. Fieda hanya menganggu-angguk
mengiyakannya.
“Mesti encik Rifdi tu hensem kan?” tanya Carol
ingin tahu kerana dia masih belum pernah bertemu dengan lelaki itu.
“Umm, nak kata hensem sangat tu tak adalah!” ujar
Misya. Kemudian, dia tersenyum sendiri membayangkan wajah lelaki yang pernah
datang ke situ ketika spa itu baru dibuka. “Tapi cukup hensem untuk buatkan
mana-mana perempuan yang tengok dia, toleh lagi sekali nak tengok dia.”
“Yup! Sebab dia ada aura yang cool dan bergaya.
Aku rasa memang sangat bertuah siapa yang jadi awek dia,” sampuk Fieda pula.
Carol hanya mengangguk-angguk sambil cuba membayangkan lelaki itu. Ahh, pasti
memang hensem! Kalau tak, pasti cik Aira takkan syok habis dengan dia! Getus
hati kecil Carol.
AIRA NADEEYA sengaja
menambahkan lenggok jalannya ketika melalui sekumpulan lelaki yang sedang
berbual berhampiran tempat parkir kereta. Tersenyum sendiri dia bila dia dapat
menangkap siulan nakal mereka. Ada kata-kata nakal dan ingin memikat juga
dilemparkan. Tapi dia sengaja tak mengendahkan mereka semua. Baginya,
lelaki-lelaki seperti itu tak penting baginya. Hanya Rifdi Riyadh sahaja yang
berjaya mencuri pandangan dan hatinya.
Dari jauh, Aira Nadeeya dapat melihat kelibat
lelaki dambaannya itu. Namun, senyuman yang bermain di bibirnya terus hilang
bila dia melihat lelaki itu sedang berbual dengan seorang perempuan lain yang
tak dikenalinya. Tentu sahaja dia berasa cemburu. Dia tak suka bila ada
perempuan lain cuba mendekati lelaki yang sepatutnya menjadi miliknya. Bibirnya
diketap geram. Pantas dia mempercepatkan kayuhan langkahnya mendapatkan lelaki
itu.
“Rifdi!” panggil Aira Nadeeya sedikit manja
nadanya. Rifdi Riyadh pun pantas berkalih memandang gadis itu. Senyumannya
sedikit hambar memandang gadis itu tapi Aira Nadeeya sudah biasa dengan sikap
acuh tak acuh lelaki itu.
“Aira, buat apa dekat sini?” tanya Rifdi Riyadh.
“Umm... I
ingatkan I nak ajak you keluar lunch. I seorang saja,
tak ada teman nak pergi lunch,”
beritahu Aira Nadeeya. Nadanya kedengaran makin manja. Dia pula sengaja memaut
lengan lelaki itu.
Rifdi Riyadh hanya mengerutkan dahinya tanpa
menolaknya jauh seperti kebiasaannya. Aira Nadeeya tersenyum gembira dengan
sikap lelaki itu walaupun riak wajahnya menunjukkan dia tak berapa selesa
dengan sikap gadis itu. Mungkin dia dah mula sukakan aku agaknya?! Sebab tu,
dia dah tak berapa nak reject aku.
Akhirnya, Rifdi terima juga cinta aku selama ni!! Getus hati kecil Aira
Nadeeya. Senyumannya makin lebar bila memikirkannya. Mungkin harapannya selama
ini utnuk berdampingan dengan lelaki itu akan termakbul akhirnya.
“Okay!” jawab Rifdi Riyadh pantas. “Jadi Nana. Aku
pun tengah sibuk ni. Rasanya dah tak ada apa-apa lagi kan?” tanya Rifdi Riyadh
memandang kembali gadis itu.
“Yup! Tu saja. Kalau ada apa-apa perubahan dalam
pelan tu, Nana akan beritahu kemudian. Untuk hari ni, dah tak ada apa-apa,”
jawab Auni Liyana sambil tersenyum. Sempat juga dia memandang Aira Nadeeya yang
terus memaut lengan lelaki itu. Auni Liyana juga turut tersenyum memandangnya.
“Siapa ni Rifdi? Kawan pejabat you kah?” tanya Aira Nadeeya ingin tahu.
“Nahh, bukan! Tak penting pun dia,” jawab Rifdi
Riyadh sedikit angkuh. Auni Liyana hanya tersenyum mendengarkannya. “Jomlah!
Kata nak pergi lunch dengan I,” ajak Rifdi Riyadh tak mahu berlama
lagi di situ.
“Okay, jom!” sahut Aira Nadeeya sambil mengangkat
keningnya. Mereka berdua pun beredar dari situ meninggalkan Auni Liyana
sendirian.
Auni Liyana sekadar memerhatikan sahaja mereka
berlalu dari situ. Keluhan berat terlepas dari rengkungannya. Tak penting pun
ya? Memang selamanya ke aku takkan menjadi seseorang yang penting dalam hidup
Rifdi? Auni Liyana bertanya sendiri dalam hatinya. Kemudian, dia pun turut
beredar dari situ.
“NAK makan dekat mana?” tanya Rifdi Riyadh tanpa
memandang gadis itu. Dia sengaja menerima pelawaan Aira Nadeeya kerana sengaja
ingin membuatkan Auni Liyana sakit hati. Mungkin gadis itu akan terasa dengan
sindirannya tadi.
“Makan dekat mana-mana pun tak apa. Asalkan dengan
you,” jawab Aira Nadeeya sambil
menjeling manja memandang Rifdi Riyadh yang sedang fokus memandu.
Rifdi Riyadh hanya tersenyum hambar
mendengarkannya. Haihh, menyesal pulak aku terima ajakan dia ni keluar makan
sekali. Ni semua fasal Nana lah ni. Tak pasal-pasal aku kena keluar dengan
minah sebelah ni pulak! Rungut Rifdi Riyadh sendirian dalam hatinya.
“Umm... Rifdi,” panggil Aira Nadeeya manja. Lelaki
itu sekadar mengerling sahaja memandangnya. “I tengok macam you tak
berapa suka saja dengan perempuan tadi tu. Kenapa?” tanya Aira Nadeeya masih
ingin tahu perihal Auni Liyana.
“Tak ada apa-apa sangat tapi memang I tak sukakan dia. I bencikan dia,” jawab Rifdi Riyadh tanpa berselindung.
“Oh, really?
Umm, tapi dengan I... you tak benci kan?” sengaja Aira Nadeeya
ingin menduga.
“Isyy you
ni Aira! Takkanlah I nak benci dengan
you pulak,” tingkah Rifdi Riyadh
sambil tersenyum nipis. Senang hati Aira Nadeeya mendengarkannya. Tapi... kalau
kau selalu sangat kacau aku. Tak lama lagi, memang sekali dengan kaulah aku
benci jugak! Sambung hati Rifdi Riyadh.
Aira Nadeeya pun tak bertanya lagi bila melihat
reaksi lelaki itu. Nampaknya, dia tak suka membicarakan perihal gadis tadi.
Aira Nadeeya makin tersenyum lebar bila mengetahui yang lelaki itu mungkin
makin menyukainya.
Setelah hampir 10 minit memandu, mereka pun tiba
ke destinasi mereka. Sebuah restoran bertemakan masakan kampung menjadi pilihan
makan tengah hari mereka. Rifdi Riyadh pun masuk dahulu ke dalam restoran. Aira
Nadeeya terkocoh-kocoh mengejar langkah lelaki itu yang meninggalkannya di
belakang. Bersungut dia di dalam hati kerana Rifdi Riyadh tak menghiraukannya.
Geram pula dengan tingkah lelaki itu. Sekejap dia melayannya dengan baik,
sekejap kemudian dingin kembali.
“Saya nak... jus tembikai laici dengan nasi putih.
Lepas tu, ikan keli bakar, udang goreng kunyit dan masak lemak pucuk ubi,”
beritahu Rifdi Riyadh kepada pelayan yang mengambil pesanan mereka. Dia sengaja
memilih tempat duduk di bahagian paling luar.
“Umm... I
pulak nak jus belimbing dan mee sup ayam,” pesan Aira Nadeeya pula sambil
menutup menunya. Setelah itu, pelayan itu pun beredar menghantar pesanan mereka
ke bahagian dapur.
Rifdi Riyadh melemparkan pandangannya keluar
memandang tasik di luar. Restoran itu dibina di sebelah tasik mendatangkan
damai dan nyaman buat pengunjung yang datang ke situ. Aira Nadeeya pula terus
leka menatap wajah lelaki di hadapannya itu. Makin kacak pula lelaki itu di
pandangannya. Tambah lagi, ketika dia sedang enak menikmati pemandangan di
luar. Tampak tenang wajah lelaki itu. Umm, you buatkan I makin nakkan you
Rifdi. Kata hati Aira Nadeeya.
Setelah itu, pesanan mereka pun sampai. Rifdi
Riyadh tak menunggu lama sebelum mula menjamah makanannya setelah doa makan
diaminkan. Aira Nadeeya juga turut mula menjamah mee supnya.
“Apa yang you
tengok Aira sampai berkerut dahi macam tu?” tanya Rifdi Riyadh bila melihat
gadis sedang asyik melihat ke arah kanan mereka.
“Oh tak ada apa sangat. Cuma... I rasa macam tu perempuan yang sama
tadi,” beritahu Aira Nadeeya sambil menunjuk ke seorang gadis yang sedang duduk
di meja di sebelah dalam restoran itu. Dinding kaca sedikit menghalang
pandangannya. Rifdi Riyadh pun turut berkalih memandang ke meja sebelah dalam
yang dimaksudkan. Dia tak perlu melihat lebih lama untuk mengecam gadis itu.
“Orang yang sama kan?” tanya Aira Nadeeya inginkan
kepastian.
“Umm...” hanya itu terluah dari suara Rifdi
Riyadh. Dia begitu kerap bertembung dengan Auni Liyana sejak kebelakangan ini.
Sedikit hilang selera makannya bila memandang gadis itu.
Auni Liyana sedang berbual dengan seorang lelaki.
Gadis itu tampak gembira berbual dengannya. Sedikit terbakar hati Rifdi Riyadh
melihat kemesraan mereka berdua. Tak sangka gadis itu mampu ketawa dan gembira
bersama lelaki lain seperti dia tak pernah rasa bersalah dengan kenangan silamnya.
Memikirkannya hanya membuatkan hati lelakinya bertambah panas.
“Dahlah Aira! Cepat habiskan makanan you. I
nak kena masuk pejabat cepat ni,” suruh Rifdi Riyadh memberi alasan. Dia malas
hendak berlama di situ untuk terus memerhatikan kemesraan itu.
Aira Nadeeya hanya sekadar menurut sahaja. Dia
menyuap lagi beberapa suap meenya sebelum menghabiskan minumannya. Masih ada
lagi setengah mee bersisa di dalam mangkuk itu tapi dia sengaja mengurangkan
makannya untuk menjaga badan. Bimbang pula jika berat badannya naik. Manakala,
Rifdi Riyadh menghabiskan semua makanan dan minumannya.
Rifdi Riyadh sengaja menjeling ketika melalui
meja diduduki Auni Liyana bersama lelaki yang tak dikenalinya itu. Sempat
pandangan mereka bertaut. Auni Liyana sedikit terpana memandangnya. Tak sangka
akan bertemu lagi di situ. Namun, lelaki itu tak menyapanya. Sekadar berlalu
seperti mereka tak saling mengenali.