1-Bab 3

LIMA hari berlalu sejak dia berlakon sebagai teman wanita kepada Egann dan dah dua hari sejak Opponya berhenti berdering dari nombor si bangang. Itupun dia terpaksa block dan hentikan perkhidmatan nombor telefonnya sendiri kerana kegigihan lelaki mata biru itu menghubunginya. Hanat betul rasa bila dia pula yang kena bersusah nak kekalkan jarak hubungan asing yang tidak diingini itu.

"Ayen?"

Si wanita berambut panjang yang sedang meniarap di atas katil sambil membaca artikel Quora di skrin handset, menoleh ke pintu. Si emak ada di situ.

"Amer ada datang ni ha. Sekali dengan Suhaila."

Spontan mengeluh.

"Orang tak datang dinner date kat KL, faham-faham la maksud orang reject. Buat apa dia pulak mengada nak datang sini?"

"Dengarlah dulu apa mereka nak cakap... demi mak?" pinta si ibu selembut suara, mengharap benar Ayen mendengar katanya saat ini.

Wanita berparut di pipi itu menghembus nafas pendek. Akur, dia mencapai tuala dan dibalut kepalanya. Dengan muka bosan, dia melangkah ke ruang tamu. Ruang yang disangka diisi dua individu, rupanya ditambah lagi dua orang yakni makcik-makciknya. Ayen ternganga rendah.

Ini mimpi ngeri.

"Ha, pandai pun keluar dari bilik. Ingatkan pemalas sangat," ujar salah seorang dari makciknya. "Nanti lepas kau kahwin dengan dia, kau kena ajar sikit budak tu, Mer."

Macam angin monsun bertukar arah, Ayen terus berpusing 180 darjah ke belakang. Tetapi si emak terlebih dahulu menahan langkahnya dan terus ditarik ke ruang tamu. Ah, rasa macam duduk dalam penjara. Si emak ialah warden, makcik-makcik itu ialah hakim korup yang sudah menjatuhkan hukum, dan dua orang tetamu itu pula orang yang akan memutuskan lehernya dengan kapak di tangan.

Dengan langkah berat seolah-olah ada bola besi yang dirantaikan pada kaki, Ayen mengheret langkah ke sofa. Satu persatu wajah mereka dipandang dengan berat hati, kecuali Suhaila – isteri Amer yang lembut raut wajahnya itu. Satu-satunya wajah yang mampu membuatnya sejuk hati.

Seorang isteri solehah – contoh yang dia ikhlas hormati.

"Kenapa datang lagi?" soal Ayen, memulakan kata.

"Ehh... orang datang nak melamar, takkan mula dengan ayat macam tu? Norle, takkan kau tak ajar adab kat anak kau ni?" tegur si makcik.

Ayen memberi jeling maut pada yang memberi komen. Si emak pula menepuk belakang tangan si anak supaya bersabar.

"Kau jangan la usik Ayen macam tu. Kau macam tak tau Ayen memang kasar oragnya... tapi sebab tu jugak mak nak harapkan Amer dengan Su untuk pimpin Ayen supaya jadi hamba Allah yang lebih taat... boleh?" pinta puan Norle dengan nada lembut.

"InsyaAllah..."

"Eehhh... bila masa pulak Ayen setuju! Macamlah Ayen sendiri tak reti nak pimpin diri sendiri!"

"Sebab kau tak reti pimpin diri sendiri la mak kau kena cari orang lain nak pimpin kau, budak bodoh! Kau dahlah dah susahkan mak kau hantar kau ke belajar ke luar negara, tapi lepas tu taknak balik sini. Padan muka kau kena pecat kat sana, baru reti nak balik Tanah Melayu, tapi bangkrap. Apa guna. Kalau muka cantik tak apa jugak, boleh jual, tapi muka berparut kau tu, takda lelaki yang nak kat kau, Ayen. Belajar bersyukur la yang orang macam Amer dengan Su masih sanggup nak terima jenis manusia gagal macam kau! Kalau kau tolak dorang, entah sampai bila lagi kau membuta membujang!" Satu persatu disebut dengan tegas.

Dada mula terasa berbahang. Panas hati mendengar kata-kata itu.

"Saya tahu Ayen tak biasa. Saya hormati keputusan Ayen, tapi saya dengan Su pun dah rujuk mahkamah. Takda masalah untuk kami terima kehadiran Ayen dalam hidup kami..." sambut Amer pula.

Walau cuba bersifat memujuk, Ayen boleh terasa kepala semakin berasap. Kata hormati keputusannya, tapi orang gila jenis apa sampai hadap mahkamah semata-mata nak mengahwini dia?!

"Tengok tu! Nampak sangat Amer bersungguh kat kau, Ayen! Jangan tolak rezeki, dasar budak tak sedar diri!"

"Kalau tak, sampai ke sudah kau jadi anak dara tua. Zaman sekarang, takda siapa yang pandang perempuan hodoh tak berpelajaran macam kau! Nanti mak kau mati, siapa nak jagakan kau? Nak jadi perempuan gila yang duduk hujung kampung macam Kak Sarimah sana?"

Snap! Fius yang terputus, terbakar terus. Namun tak sempat dia nak mengamuk, satu suara halus serta merta menyiram air sejuk ke jiwa.

"Apa kata kita senyap dulu... dan beri ruang dekat Ayen untuk bercakap?" pinta Suhaila dengan lembut. Ayen spontan menjeling dengan mata terbutang luas, manakala wanita bertudung labuh itu sedang memandangnya dengan renungan redup. "Mungkin masih tak sampai ke hati Ayen yang saya dengan Amer... benar-benar ikhlas nak menolong. Takda siapa kat dunia ni yang dicipta untuk berseorangan, dan saya pasti Ayen pun dah usaha cari lelaki yang terbaik untuk dia. Usaha saya dengan Amer masih sekadar usaha... kami terima kalau Ayen... masih memutuskan yang sebaliknya..."

Ikhlas.

Muka yang berbahang tadi perlahan-lahan memudar. Wanita bertudung labuh di hadapannya benar-benar baik sifatnya... dan lelaki yang menemani dia mungkin benar-benar selayaknya untuk dia. Ayen menghormati mereka, oleh yang demikian, keputusan terakhir dibuat.

"Terima kasih... tapi saya tolak."

Spontan kedua-dua makciknya menepuk dahi masing-masing. Salah seorang dari mereka siap membisik perkataan bodoh. Ayen panas hati kembali sambil menjeling geram. Emaknya pula tersandar ke belakang kerusi bersama keluhan panjang.

"Kenapa, Yen..." soal si ibu, penuh sesal.

Nak menangis rasanya. "Ayen takda feeling dekat dia..." Dan kedua-dua mereka mengharap sesuatu yang jauh lebih serius dari dia. Ayen takut dia tak boleh nak capai expectation mereka!

"Kita boleh kenal lepas kahwin?" pinta Amer pula, lembut sekali.

Ayen menelan liur. "You don't even like me... you guys cuma nak tolong saya just because saya gagal dalam hidup... or for whatever reason yang mak saya dah canangkan..." Emaknya yang tengah mengurut kepala pula dikerling. "You know what... saya belum entirely useless. Dan ada perempuan lain yang lebih kasihan dari saya untuk you guys cuba nak hulur 'bantuan'..." tambahnya lagi sambil merenung wajah Amer dan Suhaila silih berganti. "Macam ibu tunggal 5 anak... mangsa keganasan rumah tangga... atau Sarimah kat hujung kampung tu pun boleh..."

"Jangan biadab Ayen!!" Marah terus si makcik bila perihal perempuan gila kampung yang disebut.

"Aku betul-betul tak puas hati... macammana kau besarkan anak kau ni, Norle?"

Meletup terus marah bila nama emak disebut. Makciknya lalu dipandang dengan muka segarang singa. "Makcik nak marah saya tak payahlah sampai serang mak saya! Dah kenapa penyibuk sangat sampai tak habis-habis nak ambik tahu hidup saya?! Ikut suka saya la nak kerja apa, dan ikut suka saya la nak jodoh yang macammana! Tapi saya nak makcik tau yang jodoh saya ada kat luar sana, jauh lebih baik dari mana-mana lelaki yang makcik pernah kenenkan kat saya selama ni!" marahnya sambil menuding ke pintu rumah yang terbuka luas.

–––pada seorang lelaki bersut kemas yang sedang menjengulkan kepala di pintu sana.

Serentak, mereka menoleh ke muka pintu, terkedu. Ayen yang kelam bila melihat reaksi mereka, turut menoleh. Untuk seketika, masa terasa berhenti bergerak. Hening. Waima hanya detikan jam di dinding yang menyentuh cuping. Rahang Ayen terjatuh. Hatinya berderau dengan kejutan itu, dan akal sempat bertanya–kenapa lelaki itu muncul lagi ke dalam hidupnya?

Itu Egann. Sekali lagi berada di tempat yang betul pada masa yang betul. Kehadiran di dalam hidup yang seolah-olah dirancang langit.

Lelaki bersut itu sedang mengukir senyum kecil. "Maaf ganggu. Ini rumah Nurul Ain Abu Bakar ke?"

Keras air liur dibuatnya. Ayen menoleh kembali pada mata-mata yang melihatnya. Masing-masing terkejut, lebih-lebih lagi makcik-makciknya yang tengah ternganga luas seperti melihat pelakon TV Filipina, Fernando Jose secara berdepan! Si emaknya juga tengah memandangnya dengan muka tak percaya.

Mentol menyala terang di atas kepala.

Ayen menoleh kembali pada si lelaki bersama senyum luas. "Baby boo...!" Dengan tangan terbentang luas, kehadiran lelaki itu diterima ke dalam hidup. Sekurang-kurangnya untuk ketika ini. Ayen melompat dari sofa dan terus berlari anak ke arah pintu rumah.

"Ah, kau," balas si lelaki bersama senyum. Kertas kecil di tangan dibaca kembali. "Tak sangka alamat ni betul. Susah giler cari rumah kau. Nak dekat 10 orang aku tanya–"

"Kau dapat alamat aku dari pastor Joseph?" bisiknya sambil mencapai lengan lelaki itu. Ditarik supaya masuk ke dalam rumah.

Egann mengangguk. "Do you care kalau aku nak ajak kau keluar kejap. Ada benda yang aku nak bincang sedikit... lah, kau ada tetamu ke?"

"Kita boleh bincang pasal semua topik di dunia sekalipun kalau kau nak, aku tak peduli. Tapi sekarang ni, aku nak kau follow lead aku." Si tinggi ditolak supaya menentang kesemua individu di ruang tamu tersebut. "Mak. Makcik. Amer dan Su. Sorry sebab tak bagitau, tapi dia ni lah boyfriend Ayen."

Si lelaki menoleh terkejut. "B-boyfriend?"

Ayen menepuk belakang Egann sekuat hati hingga si kacak menelan rasa terkejut sendiri. Pada yang masih memerhati, Ayen meneruskan kata. "Kami bertemu lama dah, masa zaman study kat Melbourne dulu. Masa tu Ayen cari money converter, tapi tak jumpa. Mujur ada dia ni yang bantu masa tu. Pendek kata, kitorang berhubung sampai sekarang..." Laju membina cerita. Lengan si lelaki dirangkul sambil ditepuk-tepuk bersama senyum luas yang cukup palsu.

Terperanjat bila tiba-tiba ditubuhnya dipusing supaya membelakangkan ahli keluarganya. Egann turut merendahkan tubuh supaya memudahkan mereka berbisik.

"Apa benda kau buat ni? Kau nak aku buat apa?" getus si lelaki dengan suara sendat.

"Can't you read from context? Hari tu kau buatkan aku berlakon jadi girlfriend kau, hari ni kau kena return the favour!"

Egann terkebil. Anak mata dikerling ke belakang, pada lima pasang mata yang masih memerhati. "Wow. Aku datang pada masa yang tepat?"

"Aku pun terkejut..." keluh Ayen.

"I wonder what Heaven have in mind for us..." Egann bermonolog, kemudian Ayen dipandang kembali. "Aku boleh bantu, tapi aku nak upah."

"Kau akan dapat my time and my attention to dicuss about whatever. Tolong aku for now!"

"Deal."

Tanpa dijangka, tangan gagah itu merangkul pinggangnya. Erat bertemu tubuh. Terlalu mengejut hingga Ayen mengeras macam balak. Tindakan itu langsung tak dijangka!

Si emak mengerut dahi. Tiba-tiba teringat semua alasan bodoh yang Ayen selalu beri selama ini bilamana dia bertanya hal jodoh si anak dara. "Jadi selama ni yang kau duk cakap mamat London jodoh kau... ialah dia? Boyfriend London kau betul-betul wujud?"

"London? Mamat London mana pulak yang you tipu mak you ni, darling," bidas si lelaki selamba hingga membuat Ayen pucat. Egann melepaskan pinggang Ayen dan bergerak ke ruang tamu. Punggung dilabuh di sebelah Puan Norle. Dengan segala hormatnya, dia memperkenalkan diri.

"Saya bukan dari London macam yang dia ceritakan, tapi lahir di Scotland. Membesar di Malaysia sejak umur tiga tahun, terbang ke USA lepas SPM untuk belajar di sana dan bekerja dengan ayah saya. Dalam tempoh itu saya bertemu dengan anak aunty dekat Melbourne... macam yang dia cerita... atas izin Allah. Well, few things happen here and there, kami couple, kami gaduh, kami couple semula dan kami gaduh lagi. Sedar-sedar, dia balik ke Malaysia tanpa bagitau saya. I was left heart broken." Dada disentuh bersama muka sayu. Kemudian tangan Ayen digenggam. "Saya balik ke Malaysia sebab nak cari dia... dan kalau boleh, nak hidupkan kembali hubungan kami... kan sayang." Muka merah si gadis dipandang bersama senyum tertahan.

Cilakak. Pandai benar dia menipu. Walaupun dia tak pasti nak marah kerana penipuan bertambah-tambah atau nak bersyukur yang Egann tahu cover penipuannya. Sekurang-kurangnya dia ambil maklum yang mereka sekepala.

"Nama awak siapa?" soal makciknya pula.

"Makcik boleh panggil saya Syafik..." Anak mata dikerling pada Ayen bila menyedari kerut di kening gadis itu. "Nama panjang saya, Syafik Egann Abdullah... kawan rapat panggil saya Egann, Ain panggil saya Baby Boo, tapi panggil saya Syafik pun saya tak kisah. Sesuai dengan rumpun melayu kita."

Ayen melipat lengan berpeluk tubuh, menyukai taktik memikat itu. Lelaki itu menyamatarakan status mereka bagi mengelak bias pada pandangan pertama. Sejenis usaha supaya dia mudah disukai.

"Awak bernama Abdullah, ye? Dah berapa tahun kau mualaf?"

"27 tahun."

"Hoho. Really?" sampuk Ayen. Sinis sekali bertanya.

Serentak mereka menoleh padanya. Ayen menggigit lidah sebelum memandang Egann yang sedang menjungkit kening kiri padanya.

"Ayen. Kau betul-betul sukakan Syafik atau tidak? Atau kau tipu mak lagi?" soal Puan Norle kemudian, memotong perhatian mereka pada si gadis. Dia perasan anak perempuannya ini lebih sukakan aestatik lelaki barat berbanding Korea atau Melayu. Tengok ajelah poster-poster selebriti barat di biliknya. Tambahan lagi cerita-cerita yang tak pernah berhenti tentang lelaki London yang ditimbulkan setiap kali dia bangkitkan tentang pasangan hidup anaknya selama ini.

Jika benar lelaki London itu selama ini ialah Syafik Egann di hadapannya, dia mahu anaknya berkahwin bulan ni juga! Ayen dah tiada alasan nak mengelat!

Si gadis itu pula tidak menyedari apa yang emaknya tengah fikirkan. "Tak, Ayen tak tipu mak. Ayen betul-betul sukakan Syafik. Ayen lebih rela kahwin dengan Syafik berbanding..." Kata-kata terhenti bila Egann mencapai tangannya.

"Cool down, darling..." tutur lelaki itu rendah namun keras, meminta supaya Ayen jangan melebih-lebih.

Namun Ayen sememangnya sedang tenang. Amer dipandang, kemudian pada makcik-makciknya yang masih memerhati dan menghakimi, kemudian pada ibunya. Anak mata yang menunggu jawapan penuh harapan itu direnung tepat ke dasar. Sayu seketika hatinya.

"Sepanjang hidup Ayen, lepas ayah meninggal, lepas apa yang berlaku dengan abang, lepas kes dengan Pali... mak tahu sejauh mana Ayen tak percayakan lelaki. Mak sepatutnya tahu Ayen boleh jaga hidup Ayen sendiri, sejauh mana Ayen komited nak jaga mak... Ayen tahu kapabiliti Ayen... tapi bila mak tak yakin dengan Ayen, mak masih nakkan lelaki yang jaga Ayen... sedih sebenarnya. Ayen taknak kahwin dengan lelaki sebarangan. Jadi sebab itulah..." Kepala dipaling pada Amer dan Suhaila. Dia lelaki baik yang ada isteri yang baik. Bila dibandingkan dengan Egann yang jauh lebih misteri berbanding pasangan soleh solehah itu... malah gay juga... Ayen akhirnya menelan liur. Penipuan ini perlu ada penyudahnya.

"Ayen pilih Syafik sebagai husband dan menantu mak. Is it okay?"

Lelaki itu terkedu. Renungan gadis di hadapannya serius sekali. Lalu wanita separuh usia yang difahami sebagai emak Ayen, dipandang bersama senyum meleret.

"Saya terima nikahnya."

"Hei!" Refleks belakang kepala Egann dihentak sekuatnya dengan telapak tangan hingga dagu Egann jatuh ke dada. Si wanita lalu pecah peluh dingin, manakala yang lain memerhati dalam keliru.

Previous: 1-Bab 2
Next: 1-Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh