Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
598,813
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Dengar sahaja bunyi motosikal di hadapan rumah, Ziyad sudah tidak teruja lagi mahu membuka pintu. Dia sudah dapat mengagak kedatangan Ainin Sofiya. Pandai-pandailah dia masuk sendiri. Rumah bukannya berkunci. Dia menghirup kopi panas yang dibancuh umi pagi tadi.

Tidak lama selepas itu, terdengar bunyi pintu pagar dibuka orang dan beberapa saat kemudian kedengaran suara Ainin memberi salam. Apabila pintu tidak dibuka, suara Ainin tambah kuat mencuit gegendang telinga Ziyad.

Dia ni tak reti masuk sendiri ke, detik Ziyad geram sedikit. Dengan rasa malas, dia bangun membuka pintu. Ainin sedang tersengih di hadapan pintu dengan tangan menjinjit sebuah beg plastik kecil. Entah apa isinya, Ziyad tidak dapat mengagak. Tajam matanya mengerling ke arah beg plastik di tangan wanita itu.

“Lain kali tak payah suruh saya buka pintu ni untuk awak. Pagi-pagi macam ni, pintu ni memang jarang berkunci. Kalau berkunci pun, awak kan ada kunci, boleh masuk sendiri?” rungut Ziyad tanpa memandang muka Ainin. Langkahnya dibawa ke ruang makan. Mahu menyambung menghirup kopi panas yang masih berbaki di dalam cawan.

Terdiam sejenak Ainin mendengar sungutan Ziyad. Apalah nasibnya hari ini? Baru bekerja dua hari sudah kena leter dengan anak majikan, keluhnya di dalam hati dan asyik berfikir mencari salah sendiri. Beri salam pun salahkah? Ataupun Ziyad rasa martabatnya jatuh hanya kerana membukakan pintu untuk orang gaji?

Kalaulah dia tahu perangai anak orang kaya semuanya berlagak seperti ini, dia tidak kuasa bekerja di rumah orang. Lebih baik dia bekerja di kilang plastik seperti Suraya, anak Mak Cik Senah tu. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu berhadapan dengan orang yang sombong tidak bertempat seperti Ziyad ini.

Tak apa, lepas ni aku tak mahu ramah-ramah dengan dia. Aku akan jawab bila dia tanya aje, bisik Ainin membina azam di dalam hati.

Ainin melangkah ke dapur. Beg plastik yang dibawanya tadi diletakkan ke atas meja kecil. Dicapainya dua biji pinggan di atas rak. Nasi lemak dan kuih koci yang dibawa dari rumah diletakkan ke dalam pinggan, kemudian dibawa ke ruang makan. Tanpa menegur Ziyad, pinggan nasi lemak diletakkan ke atas meja makan. Betul-betul di hadapan Ziyad.

“Apa ni?” tanya Ziyad sambil merenung nasi lemak di hadapannya.

“Nasi lemak,” jawab Ainin, ringkas. Langsung tidak memandang wajah Ziyad. Di dalam hati berdetus juga rasa hairan. Itu pun nak tanya? Tak pernah makan nasi lemak ke dia ni?

“Saya tahulah ni nasi lemak. Tapi kenapa awak letak depan saya?” Ziyad mengerutkan muka memandang Ainin.

“Saya ingat Encik Ziyad nak makan sebelum pergi kerja. Saya tengok semalam tak ada sarapan, tu yang saya bawakan sikit untuk Encik Ziyad. Kebetulan memang ada lebih tadi,” kata Ainin, cuba menahan sabar melihat perangai bongkak Ziyad.

“Saya tak biasa makan pedas pagi-pagi macam ni,” ujar Ziyad bersahaja tanpa memandang Ainin Sofiya.

Berkerut dahi Ainin melihat perangai Ziyad. Nasi lemak 50 sen yang ada sambal sejemput itu dikatanya pedas? Berlagaknya dia!

Seumur hidupnya, dia belum pernah berjumpa dengan orang yang seangkuh Ziyad ini. Perangai orang kaya memang semuanya macam inikah? Entahlah! Dia tidak tahu kerana sepanjang hidupnya tidak pernah bergaul dengan orang kaya. Sejak lahir, dia telah diajar hidup serba sederhana. Selepas berkahwin pun hidupnya masih begitu kerana arwah Abang Hairi juga bukan daripada kalangan orang berada. Apabila bertemu dengan lelaki kaya seangkuh Ziyad, dia berasa terkejut bukan main.

Cepat-cepat pinggan berisi nasi lemak dan kuih koci itu diangkat dengan niat hendak dibawa ke dapur semula.

“Awak nak buat apa tu?” tanya Ziyad dengan mata memandang pinggan di tangan Ainin.

“Saya nak bawa ke dapur,” jawab Ainin sambil menoleh memandang Ziyad.

“Biar ajelah kat sini. Lagipun yang saya tak boleh makan, nasi lemak aje. Saya tak kata saya tak boleh makan kuih tu.”

Ainin meletakkan semula pinggan berisi kuih koci di atas meja sementara pinggan nasi lemak masih ditatang dengan tangan kirinya.

“Hari-hari awak buat nasi lemak ke?” tanya Ziyad sambil membuka daun pisang yang membungkus kuih koci.

“Ya. Saya jual kuih dengan nasi lemak. Saya lambat datang rumah Encik Ziyad sebab nilah,” ujar Ainin. Masih berdiri terpacak macam patung di hadapan Ziyad.

“Banyak ke dapat untung satu hari?” soal Ziyad lagi. Kuih koci pulut hitam disumbat ke dalam mulut. Enak rasanya. Terasa lemak dan manisnya apabila sampai di tekak.

Ainin ketawa geli hati mendengarnya.

“Kalau dapat untung banyak, saya tak kerja kat rumah Encik Ziyad ni,” balas Ainin tersenyum sinis.

“Arwah suami awak dulu kerja apa?” selidik Ziyad. Tangannya sudah mencapai seketul lagi kuih koci.

“Arwah Abang Hairi dulu kerja kilang aje. Dia meninggal sebab kemalangan jalan raya sewaktu nak balik rumah,” jawab Ainin sambil menunduk. Ceritanya terhenti di situ. Harapannya agar Ziyad tidak bertanya lagi tentang arwah suaminya. Bimbang mencetuskan rasa pilu apabila terpaksa membongkar kenangan lalu bersama suami tercinta.

“Sedap kuih ni. Awak buat ke?” tanya Ziyad sambil bangun menuju ke singki yang terletak di tepi dinding. Mahu mencuci tangan.

“Ya. Kalau sedap makanlah lagi.”

Ziyad sudah berhenti bertanya. Ainin mengambil kesempatan itu untuk ke dapur, meletakkan pinggan berisi nasi lemak di atas meja kecil. Nasi lemak ni nanti masuk perut aku juga. Takkan nak dibuang? Sayang. Penat aku masak pagi tadi. Hatinya berkata sendiri.

“Awak ada nombor akaun bank?”

Ainin terdengar Ziyad melaung dari ruang tamu. Dia berlari menuju ke ruang tamu.

“Akaun bank? Nak buat apa?” tanyanya tidak faham.

“Nak masukkan gaji awak. Saya bukannya ada masa nak pergi bank selalu, keluarkan cash. Jadi, saya fikir senang kalau awak ada akaun bank. Saya boleh terustransfer gaji awak ke dalam akaun,” terang Ziyad.

“Saya ada akaun Maybank. Boleh ke?”

“Boleh, lagi senang. Ni kad saya. Nomborhandphonesaya ada kat situ. Awak boleh SMS nombor akaun Maybank awak pada saya,” kata Ziyad lalu menyarung stoking.

“SMS? Tapi saya tak adahandphone,” ujar Ainin jujur. Pada mulanya, dia malu hendak mengakuinya di hadapan Ziyad. Bimbang digelakkan Ziyad. Apa tidaknya, pada zaman serba moden ini, ada lagi orang yang tidak punya telefon bimbit! Namun, dia tidak kisah langsung kerana tidak memiliki peranti canggih itu. Bukan ada sesiapa pun yang mahu menelefonnya. Kalau ada yang mahu mencarinya, mereka lebih senang datang sendiri dan bercakap dengannya di rumah. Jika dia pula ada hal penting, dia akan menumpang menggunakan telefon Mak Cik Senah, jiran sebelah rumahnya.

“Awak tak adahandphone?” tanya Ziyad, hairan.

Ainin Sofiya terkulat-kulat. “Memang tak ada. Memang saya tak mampu pun pakaihandphone. Mana saya ada duit nak bayar bil atau nak beli kadprepaid. Dulu ada telefon rumah. Sekarang telefon rumah pun dah kena potong.”

Ziyad termenung tidak percaya. Terdesak betul hidup dia ni. Itu saja yang terdetik di hatinya.

“Kalau macam tu, esok ajelah awak bagi saya nombor akaun bank awak,” ujar Ziyad sambil menarik nafas.

Ainin Sofiya mengangguk.

Selepas pemergian Ziyad, dia berlalu ke bilik. Kad nama pemuda itu disumbat ke dalam beg sandangnya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.