Tersentak Hisyam apabila Ainin
menghulur sepucuk sampul surat tebal berisi wang sewa rumah padanya.
“Dalam tu ada seribu dua
ratus ringgit untuk sewa rumah yang dah lima bulan tertunggak campur sewa rumah
bulan ni,” kata Ainin dengan muka masam memandang Hisyam.
Hisyam membuka sampul surat
berwarna putih di tangannya. Besar matanya memandang beberapa keping not
seratus ringgit tersusun elok di dalamnya. Banyaknya duit dia! Di mana dia
dapat duit ni? Mustahil baru sebulan bekerja sebagai pembantu rumah, Ainin
berjaya mengumpul wang sebanyak ini. Dia meminjam dari orangkah?
“Dari mana kau dapat duit
ni, Ainin? Kau pinjam dari along ke?” soal Hisyam, mengusik Ainin.
Ainin yang mahu beredar
dari situ terus membatalkan niatnya bila mendengar soalan Hisyam.
“Tak. Aku tak pinjam dari
sesiapa pun. Tu duit aku sendiri,” jawab Ainin seraya memandang tepat ke wajah
pemuda yang berambut panjang hingga ke bahu.
Penampilan Hisyam yang
berserabut merimaskannya. Ditambah lagi dengan perangai Hisyam yang gila-gila
bahasa. Bercakap suka ikut sedap mulut. Sebab itu dia tidak berminat mahu
menjalin hubungan dengan Hisyam yang panas baran orangnya.
“Banyak duit kau,” perli
Hisyam sambil ketawa kecil.
“Kan aku dah cakap, aku
kerja.” Ainin mula naik darah apabila
Hisyam mula menyindirnya.
“Tapi besar sangat ke gaji
kau tu? Ada ke pembantu rumah dapat gaji sampai seribu? Selama aku hidup belum
pernah aku dengar pasal ni?”
“Yang kau sibuk sangat ni
kenapa? Kau dah dapat duit kau, kan? Apa lagi yang kau nak?!” bentak Ainin.
Hisyam tergelak kuat.
Shahril yang duduk di dalam kereta turut tergelak.
“Kau tanya apa yang aku
nak? Aku nakkan kaulah, Ainin! Itu pun kau masih nak tanya lagi.” Gelak Hisyam
berselang-seli dengan ilai tawa Shahril.
Ainin mencebik bibir
mendengarnya. “Gila! Kau cerminlah muka kau tu dulu,” sindirnya yang sudah
berpaling mahu melarikan diri dari Hisyam.
“Kau pinjam dari lelaki
yang pakai Honda CRV tu ke, Ainin?” tanya Hisyam.
Sejak melihat kereta Honda
CRV berwarna kelabu di hadapan rumah Ainin tempoh hari, hati Hisyam
meronta-ronta ingin mengenali pemiliknya. Sudah lama dia mahu bertanyakan hal
itu kepada Ainin tetapi hajatnya belum kesampaian. Bertemu peluang keemasan
begini, dia tidak mahu melepaskannya.
“Siapa dia, Ainin?” tanya
Hisyam lagi.
“Siapa pun dia, kau tak
payah sibuk-sibuk nak tahu,” jawab Ainin geram.
“Boyfriendkau ke?”
Ainin merengus.
“Hebatnya kau, Ainin. Belum
sampai setahun kau menjanda, dah dapat tangkap balak kaya. Dia kerja apa,
Ainin?” Hisyam belum kering gusi menyindir Ainin.
Berdesing telinga Ainin
mendengarnya, tetapi dia tidak membalas. Langkahnya pantas dihalakan ke muka
pintu. Belum sempat bayang Ainin menghilang ke dalam, kedengaran bunyi enjin
kereta di halaman rumah. Langkahnya terhenti. Pantas dia berpusing ke belakang.
Kereta Ziyad sudah berhenti dan diparkir betul-betul di sebelah Proton Persona
kepunyaan Hisyam.
Tajam renungan Hisyam
tatkala melihat Ziyad keluar dari kereta Honda CRVnya. Macam tidak berpuas hati
dengan kehadiran Ziyad di situ. Wajah Hisyam seperti mahu mencari gaduh saja.
Ziyad pula walaupun
menyedari riak aneh pada wajah Hisyam, hanya buat-buat tidak nampak. Terus
menutup pintu kereta dan berjalan mendapatkan Ainin yang sedang berdiri di muka
pintu. Di tangannya ada dua buah beg plastik. Satu daripadanya berisi seikat
buah rambutan.
“Awak dah bagi duit sewa
rumah pada dia?” tanya Ziyad sambil menghulurkan beg plastik di tangannya
kepada Aini. Sepasang matanya sempat menjeling ke arah Hisyam yang sudah masuk
ke dalam keretanya.
“Dah,” jawab Ainin sambil
menyambut beg plastik dari tangan Ziyad.
“Kalau dah bagi, kenapa dia
masih menunggu lagi kat situ? Lepas tu tengok saya macam nak telan. Awak layan
dia bersembang ke? Ada apa-apa yang awak dah cerita pada dia?” risik Ziyad
dengan muka berkerut memandang Ainin.
“Encik Ziyad fikir saya
bodoh ke nak cerita semua pasal kita pada Hisyam? Saya masih ingat janji saya.
Sebetulnya tadi saya tak nak layan dia, tapi dia dah tanya, takkan saya nak
buat-buat pekak aje?” Ainin tidak berpuas hati dengan cara Ziyad bertanya.
Macam menyalahkan dirinya pula. Takut sangat dia memungkiri janjinya.
“Ingat, Ainin. Saya tak
mahu seorang pun tahu tentang hubungan kita,” pesan Ziyad. Berulang kali
mengingatkan Ainin.
“Saya tahulah. Saya tak
pernah lupa pesan Encik Ziyad tu.” Aini menjeling tajam wajah lelaki itu.
Macamlah aku ni orang tua dah nyanyuk. Cepat lupa dan kena diingatkan selalu,
rungut hatinya. Geram dengan perangai Ziyad yang susah mahu meletakkan
kepercayaan pada dirinya. “Apa hal Encik Ziyad datang malam-malam ni?” soalnya
kasar sedikit.
“Saja nak jumpa keluarga
saya. Keluarga awak bermakna keluarga saya juga, Ainin.” Ziyad melunakkan suara
bila melihat muka dan suara Ainin sudah berubah rentaknya.
“Tak payahlah Encik Ziyad
kerap sangat datang ke rumah saya. Encik Ziyad tak perlu tunjukkan perhatian
berlebih-lebihan pada keluarga saya. Bukannya apa, takut menimbulkan syak
wasangka pada jiran-jiran. Nanti timbul pulak fitnah. Kalau Encik Ziyad mahu
rahsia Encik Ziyad selamat, baik jangan datang ke rumah saya lagi.”
“Awak macam marahkan saya
aje, Ainin.” Lembut suara Ziyad menyapa gegendang telinga Ainin Sofiya.
“Saya tak marahkan Encik
Ziyad tapi Encik Ziyad kena faham situasi saya. Saya ni baru aje kematian
suami. Jadi sesiapa pun lelaki yang datang ke rumah saya, pasti menimbulkan
tanda tanya jiran-jiran. Pasti akan jadi buah mulut orang. Kalau Hisyam yang
datang, saya tak kisah sangat sebab Hisyam tu memang muka tembok. Semua orang
kampung dah kenal dia. Tapi… orang kampung tak pernah nampak Encik Ziyad. Malam
ni Encik Ziyad datang, esok mesti kecoh satu kampung,” terang Ainin.
“Betul ke? Susahlah kalau
macam tu. Tapi mak awak tak kisah ke kalau saya tak datang jenguk dia?” Ziyad
susah hati jika dituduh menantu tidak berguna.
“Kenapa pulak Encik Ziyad
risaukan mak saya?”
“Saya takut mak awak akan
anggap lain pada saya nanti,” ujar Ziyad runsing.
“Encik Ziyad jangan risau.
Mak faham keadaan kita. Saya dah terangkan pada mak tujuan Encik Ziyad
berkahwin dengan saya. Saya rasa mak pun sependapat dengan saya.”
Ziyad mengangguk bersetuju
dengan kata-kata Ainin Sofiya. “Baiklah, kalau begitu kata awak. Tapi kalau
saya tak datang, awak jangan merungut. Jangan kata saya suami tak
bertanggungjawab pulak.” Selamba Ziyad berkata begitu.
“Saya takkan cakap macam
tu. Bukan ke kita dah berjanji?”
“Macam mana kalau saya
rindukan Arisha nanti?” tanya Ziyad, sengaja mengusik Ainin.
Rindukan Arisha? Jumpa anak
aku pun baru dua, tiga kali, dah mengaku rindukan Arisha. Eeii... biar betul
mamat ni! Hati Ainin berdetik tidak percaya dengan ungkapan Ziyad.
“Baik Encik Ziyad tak payah
layan perasaan tu. Tak payah rapat-rapat sangat dengan Arisha. Nanti kalau dah
terlalu rapat, susah pulak nak berenggang. Kesian Arisha kalau kena tinggal
dengan Encik Ziyad nanti,” jawab Ainin mengawal emosi marahnya. Dia sendiri
tidak berani meletakkan sebarang harapan pada Ziyad. Bimbang harapan hanya
tinggal harapan.
Dia sedar siapa dirinya.
Walaupun sudah bergelar isteri kepada Ziyad, tetapi apalah yang ada pada status
isteri yang hanya pada nama? Tiba saat dan ketikanya, dia akan ditinggalkan
juga. Bila tiba detik itu, dia tidak mahu ada sebarang rasa penyesalan
membelenggu jiwanya. Dia mahu melepaskan Ziyad pergi dengan hati terbuka.
“Takkan saya tak boleh
rapat dengan Arisha? Saya kan dah jadi papa dia?” sakat Ziyad sambil
tersenyum-senyum. Mahu terus mengusik perasaan Ainin.
“Papa Arisha? Encik Ziyad
jangan nak berangan!”
“Siapa kat luar tu, Ainin?
Kenapa tak jemput masuk?’ tegur Mak Ipah yang terdengar suara orang berbual di
luar tetapi tidak ketahuan siapa.
Perbualan yang mula panas
itu terus terhenti bila mendengar suara Mak Ipah dari dalam rumah. Ziyad dan
Ainin melangkah masuk ke dalam. Melupakan terus hal sensitif yang menjadi
subjek perbualan mereka sebelum ini.