Dalam perjalanan pulang, Ainin
singgah sebentar di rumah Kak Midah untuk mengambil wang hasil jualan nasi
lemak dan kuih-muih pagi tadi. Selepas itu, dia singgah pula di kedai runcit
Pak Cik Daud untuk membeli beras, tepung dan gula.
Tiba di rumah, jam di
tangan sudah menunjukkan pukul 1.30 petang. Selepas meletakkan motosikal di
bawah pohon mempelam, dia bergegas menuju ke rumah.
Dari luar, sudah kedengaran
suara tangisan Arisha. Si kecil itu tahu saja waktu dia menyusu. Rindunya pada
si comel itu begitu menggebu. Kerana tidak sabar hendak mencium pipi montel
anaknya, panjang langkahnya dihala ke rumah. Pintu hadapan ditolak.
“Haa... dah balik pun ibu
Isha ni. Bolehlah Isha minum susu,” kata Mak Ipah sebaik saja melihat Ainin
Sofiya di muka pintu.
Arisha yang sedang didukung
terus dibawa kepada Ainin. Tangisan si kecil itu terus terhenti apabila
ternampak ibunya. Macam tahu-tahu saja si ibu akan memberinya upah sebentar
lagi.
Ainin tidak terus mendakap
anaknya. Beg plastik berisi barang-barang yang dibeli tadi dibawa ke dapur. Beg
di bahu diletakkan di dalam bilik. Selepas menanggalkan tudung, dia keluar
semula.
“Anak ibu ni dah lapar,
ya?” Ainin mengangkat Arisha daripada dukungan Mak Ipah. Pipi montel anaknya
dicium. Terpejam-pejam mata Arisha menahan geli akibat dicium bertalu-talu.
Terkekeh-kekeh dia tertawa.
Sambil mengelek anaknya,
Ainin melangkah ke sofa. Hujung bajunya diangkat ke atas. Muka Arisha
dilekapkan ke bahagian dada. Sebaik bibir si kecil bertemu apa yang dicari,
Arisha tidak bergerak-gerak. Lega mungkin dapat menyusu dengan ibunya.
“Macam mana kerja, Nin?”
tanya Mak Ipah yang duduk menemani Faiz minum air suam.
Faiz yang baru pulang dari
sekolah, baru habis makan tengah hari. Setelah mencuit pipi anak saudaranya
yang sedang asyik menyusu, dia berbaring di depan peti televisyen yang terletak
di sudut ruang tamu. Tidak mahu mengganggu emak dan kakaknya bersembang.
“Bolehlah, mak. Bukannya
susah sangat. Kerja macam Ainin biasa buat kat rumah. Cuma rumah Hajah Fauziah
tu besar. Jadi terasa jugalah penatnya,” cerita Ainin sambil tersenyum
memandang wajah emak.
“Larat ke Ainin kerja?”
Mendengar Ainin Sofiya mengeluh penat, Mak Ipah berasa susah hati.
“Larat. Mak janganlah
risau. Bukannya susah sangat pun. Ainin selesa kerja kat situ sebab tak ada
orang perhatikan Ainin buat kerja. Pagi macam ni tak ada orang kat rumah tu.
Mereka semua keluar bekerja. Petang baru mereka balik. Anak Hajah Fauziah tu
semua dah besar-besar. Anak lelaki sulungnya ada perniagaan sendiri. Yang
nombor dua masih belajar kat luar negara. Dan yang bongsu pun tengah belajar di
UKM,” jelas Ainin lagi mengulang apa yang diceritakan Hajah Fauziah kepadanya
petang semalam.
“Anaknya tiga orang aje
ke?” tanya Mak Ipah ingin tahu.
“Ha’ah. Semua dah besar
panjang. Tak susah pun kerja kat situ. Bukannya ada budak-budak kecil. Kalau
ada budak kecil, susah juga Ainin.”
“Lepas ni Ainin balik ke
sana semula ke?’ tanya Mak Ipah, bersimpati dengan keadaan anak yang terpaksa
ke sana ke mari untuk mencari sesuap nasi.
“Lepas solat zuhur nanti,
Ainin pergilah. Ada kerja lagi yang belum siap. Petang nanti, dalam pukul
tujuh, Ainin balik. Mak masak apa hari ni?” Perut Ainin sudah menyanyi irama
keroncong. Hendak makan di rumah Hajah Fauziah tadi, dia rasa tidak sedap hati.
Maklumlah, dia cuma ditugaskan memasak. Tidak disebut pula dia boleh makan
makanan yang dimasaknya. Buatnya tidak dihalalkan tuan rumah, timbul masalah
halal haram pula nanti.
“Ikan keli masak lemak cili
api. Amin, cucu Mak Timah datang tadi bagi ikan keli. Mak terus masak. Kalau
dah disimpan dalam peti sejuk, tak sedap pulak nanti. Kalau dah lapar, pergi
makan. Tu... tengok Isha dah tertidur. Masukkan aje dalam buaian, lamalah dia
tidur nanti,” jawab Mak Ipah dengan bibir memuncung ke arah Arisha.
Arisha yang kekenyangan
selepas menyusu, tertidur di pangkuan ibunya. Mulut comelnya ternganga
menampakkan gigi hadapannya yang baru tumbuh dua batang. Perlahan-lahan Ainin
mengangkat tubuh montel anaknya dan direbahkan ke dalam buaian yang terletak di
tengah rumah.
Selepasmakan tengah hari dan
bersolat zuhur, Ainin bersiap untuk kembali ke rumah Hajah Fauziah.
“Mak tak payah buat apa-apa
dulu. Malam nanti, Aininmasak sambal tumis. Kalau ada masa, mak tolong kupaskan bawang dulu. Ainin balik
nanti, senang tinggal tumis aje. Kuih-kuih tu tunggu Ainin balik. Nanti kita
buat sama-sama,” pesannya sebelum menghidupkan enjin motosikal.
Mak Ipah mengangguk.
Beberapa minit kemudian, motosikal Ainin Sofiya berlalu meninggalkannya
keseorangan di tengah halaman rumah.
Tegak telinga Ainin mendengar
bunyi pintu pagar dibuka orang. Beberapa minit selepas itu, kedengaran enjin
kereta masuk ke halaman rumah. Dia yang sedang melipat kain baju di ruang tamu,
terus bangun menuju ke pintu dan membukanya. Enjin kereta dimatikan. Tidak lama
kemudian, keluar Hajah Fauziah dari perut kereta Honda Accord berwarna kuning
keemasan.
Tersenyum manis Hajah
Fauziah melihat Ainin di muka pintu.
“Awak apa khabar, Ainin?”
tanya Hajah Fauziah, memandang sekilas wajah Ainin sebelum membongkokkan badan,
mengambil beg tangan danbriefcase dari
tempat duduk sebelah pemandu.
“Baik-baik aje, puan
hajah,” jawab Ainin, membalas senyuman Hajah Fauziah.
“Macam mana kerja?” tanya
Hajah Fauziah lagi. Mahu bersikap seramah mungkin dengan pembantu rumah barunya
agar tidak dicap sombong.
“Okeylah...” jawab Ainin
meleret panjang. Tersenyum malu memandang muka majikannya.
“Dengar macam tak okey
aje,” usik Hajah Fauziah. Tersenyum lebar dia mendengar bunyi ketawa mesra
keluar daripada mulut Ainin Sofiya.
“Hisy, taklah, puan hajah.
Saya suka kerja kat sini,” jawab Ainin ikhlas. Memang itu pun perasaan
sebenarnya.
“Baguslah kalau macam tu.
Saya kalau boleh nak awak lama kerja kat sini.”
Ainin Sofiya mengangguk
faham.
Hajah Fauziah melangkah
masuk ke ruang tamu. Bagai disuruh-suruh, sepasang matanya membelingas
memerhati sekeliling. Mahu memeriksa hasil kerja Ainin. Nampak bersih dan
kemas, pujinya di dalam hati. Lapang rasa dada apabila memijak lantai mozek
yang licin berkilat, tidak kesat dan berhabuk macam selalu. Permukaan meja dan
almari antik juga kelihatan bersih tanpa sebarang debu. Tersenyum puas dia
melihatnya.
“Saya tengah lipat kain
baju ni. Tinggal sikit lagi. Siap nanti saya bawa naik atas. Puan hajah nak
minum ke?” tanya Ainin yang terperasan akan Hajah Fauziah yang terjenguk-jenguk
memandang sekeliling. Faham wanita itu sekarang sedang menilai prestasi
tugasnya pada hari pertama bekerja.
“Boleh juga,” jawab Hajah
Fauziah sambil duduk melepaskan lelah di sofa.
“Puan hajah nak air sejuk
atau panas? Kalau nak minum kopi, saya dah bancuh. Ada atas meja. Puan hajah
nak minum kopi ke?” tanya Ainin Sofiya lagi.
“Kopi tu biarlah dulu,
Ainin. Nanti saya minum. Awak tolong ambilkan saya air suam,” pinta Hajah
Fauziah yang tidak suka minuman sejuk kerana takut diserang lemah-lemah badan.
Maklumlah, umurnya semakin meningkat. Segala jenis makanan yang masuk ke perut
kena diawasi selalu.
Ainin mengangguk dan
bergerak ke dapur. Sejurus kemudian, dia keluar semula dengan segelas air suam
di tangan. Diletakkan di atas meja di hadapan Hajah Fauziah.
“Terima kasih,” ucap Hajah
Fauziah. Air suam diteguk sedikit. Gelas diletakkan kembali ke atas piring
alas. “Dah masak?” tanyanya. Soalan biasa yang sering ditanya kepada pembantu
rumahnya apabila pulang dari kerja.
“Dah,” jawab Ainin ringkas.
“Masak apa?”
“Saya masak asam pedas ikan
tenggiri, ayam goreng dan sayur kubis goreng. Lepas tu saya buat sambal
belacan. Ada ikan masin dalam peti ais, saya goreng juga. Cukup tak lauk tu,
puan hajah?” tanya Ainin serba salah. Bimbang kalau-kalau Hajah Fauziah tidak
berkenan dengan lauk yang dimasaknya. Takut terkurang atau terlebih. Baginya,
lauk-pauk itu sudah lebih daripada cukup. Kalau di rumahnya, cukup setakat dua
jenis lauk saja. Itu pun dia sudah terlalu bersyukur dengan rezeki yang
dikurniakan Allah.
“Cukup sangat tu. Awak dah
makan?” tanya Hajah Fauziah. Risau jika sampai ke petang begini, sebutir nasi
pun belum masuk ke perut Ainin.
“Dah!”
“Awak makan kat mana? Kat
rumah awak ke?”
“Err... ya!” jawab Ainin
teragak-agak sedikit.
“Kenapa makan kat rumah?
Lain kali makan kat sini aje. Semalam saya terlupa pesan pada awak supaya makan
dulu sebelum balik,” kata Hajah Fauziah sambil tersenyum memandang Ainin.
Ainin yang menyambung
melipat pakaian, hanya mengangguk. “Saya angkat baju-baju ni naik atas dulu ya,
puan hajah?”
“Yalah. Oh ya, Ainin...”
panggil Hajah Fauziah yang masih belum habis berpesan kepada pembantu rumah
barunya.
Ainin Sofiya yang baru
hendak melangkah dengan satu bakul penuh kain baju yang sudah dilipat, menoleh
memandang majikannya.
“Ada lagi tak kerja yang
awak belum buat?” tanya Hajah Fauziah.
“Err... rasanya semua kerja
yang puan hajah cakap semalam, saya dah siapkan,” jawab Ainin yakin.
“Kalau macam tu, lepas
simpan baju kat bilik, awak boleh terus balik. Kesian anak awak kat rumah.
Mesti dah lapar, nak menyusu dengan ibu dia,” kata Hajah Fauziah, penuh
prihatin.
“Terima kasih, puan hajah,”
ucap Ainin gembira. Apa tidaknya, dia boleh balik ke rumah lebih awal dari yang
dijangkakan.
Selepas menyimpan pakaian di
tingkat atas, Ainin turun ke bawah, menuju ke biliknya. Beg hitam bertali
panjang berisi telekung dan sepasang pakaian ganti, dicapai dan disangkutkan ke
bahu. Kemudian, dia keluar semula mendapatkan Hajah Fauziah yang sedang minum
kopi di meja makan.
“Saya balik dulu, puan
hajah,” kata Ainin. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan Hajah Fauziah.
“Yalah. Bawa motor tu
baik-baik,” pesan Hajah Fauziah seperti berpesan kepada anak sendiri.
Ainin yang sememangnya
tidak banyak cakap hanya tersenyum memandang muka wanita yang umurnya lebih
kurang sebaya emaknya.
Belum sempat dia
menghidupkan enjin motosikal, kelihatan sebuah kereta Kelisa masuk ke dalamporch. Tentu ini anak gadis
Hajah Fauziah yang belajar di UKM. Ainin sempat melemparkan senyuman pada
Farhana yang masih belum keluar dari keretanya.
Farhana tersengih membalas.
Apabila enjin motosikal berjaya dihidupkan, barulah Ainin keluar dari halaman
rumah besar dua tingkat itu.
Kembang kempis hidung Hajah
Fauziah mencium bau kuah asam pedas ikan tenggiri bercampur bunga kantan yang
baru dipanaskan di atas dapur. Baunya saja sudah menyengat. Hatinya memuji
tatkala menceduknya ke dalam mangkuk kaca. Mangkuk kaca itu kemudiannya dibawa
ke meja makan dan diletakkan bersebelahan dengan pinggan berisi ayam goreng
kunyit, sayur kubis goreng, sambal belacan dan ikan masin. Makan malam ini
sudah pasti menyelerakan. Hatinya berkata-kata sendiri.
“Mari makan!” Hajah Fauziah
memanggil ahli keluarganya yang sedang menonton siaran Buletin Utama di kaca
televisyen.
“Sedap bau ni, umi. Umi
masak apa ni?” puji Ziyad yang menghidu bau enak masakan dari ruang tamu.
Namun, masih belum bergerak ke meja makan.
“Umi tak masak. Ainin yang
masak. Malam ni Ainin masak ikan tenggiri masak asam pedas. Baunya saja dah
menyengat. Jom makan. Abang, mari makan sama.” Hajah Fauziah seakan-akan sudah
tidak sabar mahu merasai asam pedas ikan tenggiri hasil air tangan pembantu
rumah barunya.
“Kejap lagi. Saya nak
habiskan tengok berita dulu,” balas Haji Marzuki dengan mata tunak memandang ke
skrin televisyen yang sedang memaparkan berita sukan.
“Muda lagi Ainin tu, umi.
Macam sebaya Hana aje. Entah-entah lebih muda dari Hana tak?” kata Farhana
apabila teringatkan pertemuan sekilas dengan Ainin Sofiya petang tadi.
“Umurnya memang lebih
kurang Hana,” ujar Hajah Fauziah mengiakan telahan anak perempuannya.
“Kesiannya dia. Muda-muda
lagi dah jadi janda. Cantik macam itu pun kena cerai dengan suami juga? Eeii...
orang lelaki ni memang tak patut. Nak cari bini yang cantik macam mana lagi
agaknya?” Terpacul rungutan itu daripada bibir Farhana. Selamba saja wajahnya
ketika menuturkan kata-kata itu.
Si abang yang mendengar
omelan adiknya, menjeling tajam. Berdesing juga telinganya menelan kata-kata
itu yang ditujukan kepada kaum Adam secara umum walaupun sedar ia keluar
daripada mulut Farhana tanpa dirancang.
Begitupun, dia berasa lega
kerana Farhana secara tidak langsung telah menyuarakan persoalan yang ingin
diketahuinya tentang diri Ainin kepada umi. Jadi tidak perlulah dia merisik
daripada umi atau tuan punya diri lagi.
“Kalau tak tahu apa-apa,
jangan main cakap aje. Ainin tu bukannya kena cerai dengan suami. Tapi suami
dia meninggal. Kiranya dia ni balu bukannya janda. Lelaki mana nak ceraikan
isteri cantik macam tu? Sudahlah cantik, rajin pulak buat kerja-kerja rumah.
Bukannya macam anak dara umi ni,” sindir Hajah Fauziah sambil menjeling
Farhana. Puas hatinya melihat wajah anak perempuannya sudah bertukar
masam-masam kelat.
Panjang muncung Farhana
diperli umi. “Alah... umi ni. Dia memanglah kena rajin buat kerja rumah. Dah
memang kerja dia. Lainlah macam Hana ni. Mana ada masa nak belajar lagi... nak
buatassignment lagi...”
“Hah... yalah tu. Carilah
alasan banyak-banyak. Tak malu ke dengan mak mentua kalau dah kahwin nanti,
masih tak pandai masak?” rungut Hajah Fauziah lalu menampar bahu anaknya.
“Alah... nanti dah
bertunang, Hana belajarlah masak.” Seperti biasa Farhana bijak mencari alasan
untuk menangkis kata-kata umi.
“Dah pandai sebut pasal
bertunang ni, dah ada calonnya ke?” usik Hajah Fauziah, tersenyum-senyum
memandang Farhana.
“Hisy, umi ni... mana ada?
Orang nak belajar lagilah. Lepas dapatdegree ni, Hana
ingat nak kerja beberapa tahun. Lepas tu nak sambung belajar lagi sampai dapat
jadi macam abah,” balas Farhana yang sememangnya bercita-cita besar. Ingin
menggapai impian menjadi seorang doktor pakar bedah seperti ayahnya.
“Baguslah... jangan
hangat-hangat tahi ayam. Takut bila dah kerja nanti, sibuk nak kahwin pulak.
Bila dah kahwin, anak-anak dah keliling pinggang, jangan harap nak sambung
belajar,” omel Hajah Fauziah lagi.
“Betul... betul...
betul...” sampuk Ziyad mengajukkan gaya bercakap Upin dan Ipin, watak animasi
yang popular ketika ini. Dia tersengih mendengar perbualan umi bersama adiknya.
Mereka berdua itu memang selalu bertekak. Umi kalau sehari tidak menyakat
Farhana, macam tidak lengkap hidupnya. Begitupun, Ziyad tidak jemu menjadi juri
yang selalu meleraikan perbalahan dua beranak itu. Hidup mereka sekeluarga
meriah dengan gurau senda yang tercipta. Untung ada Farhana. Agaknya kalau
tidak ada Farhana yang becok mulutnya, hidup mereka sekeluarga pasti sunyi
sepi.
Biarpun sedang bersembang
dengan keluarga, benak Ziyad tidak dapat lari daripada memikirkan Ainin Sofiya.
Oh, rupa-rupanya dia balu! detiknya dalam hati. Sudah lamakah suaminya
meninggal dunia? Apa pekerjaan arwah suaminya dulu sampaikan tiada langsung
meninggalkan sedikit harta untuk bekalan isteri tersayang? Kasihan dia,
terpaksa meneruskan kehidupan dengan menanggung anak yang belum tahu apa-apa.
Mujur anaknya seorang. Kalau anaknya berderet-deret macam gerabak kereta api,
bukankah menjadi masalah besar bagi Ainin Sofiya?
“Eh, jomlah makan. Lambat
nanti, sejuk pulak lauk yang umi dah panaskan ni.”
Serentak dengan itu, semuanya
bangun menurut langkah Hajah Fauziah menuju ke ruang makan.
“Bolehtahan juga
budak Ainin ni masak. Terasa semua asam garamnya,” puji Haji Marzuki setelah
menelan dua, tiga suap nasi berkuahkan asam pedas ikan tenggiri. Dia yang susah
mahu memuji orang, tidak teragak-agak memuji Ainin Sofiya.
“Yalah, abah.” Ziyad
mengiakan. Berselera dia makan malam ini kerana lauk kegemarannya terhidang di
hadapan mata. Lebih-lebih lagi ada sambal belacan dan ulam timun. Semakin laju
dia menyuap nasi ke mulut.
“Baik-baik, abang long.Controlmakan sikit. Nanti kalau perut dah boroi, Kak Naz pun mesti tak
nak kat abang long lagi. Baik dia cari mamat yang lebihhandsome daripada abang long.”
Sewaktu makan pun sempat lagi Farhana menyakat abangnya.
“Tak... abang tahu Kak Naz
akan setia pada abang walaupun abang dah tak handsome. Kak Naz
sayangkan abang,” jawab Ziyad bersahaja tanpa menghiraukan renungan tajam umi
yang duduk di hadapannya.
“Dah... tengah-tengah
makan, jangan sebut pasal sayang-sayang,” marah Hajah Fauziah, tidak berkenan
dengan perangai Ziyad yang asyik memuji buah hatinya walaupun di meja makan.
Terdiam Ziyad dan Farhana
mendengar teguran umi.
“Cuti semester nanti, umi
nak suruh Hana ambil kursus,” saran Hajah Fauziah tanpa memandang wajah
Farhana.
“Kursus apa, umi?” Farhana
tidak faham.
Tiba-tiba saja umi menyebut
tentang kursus. Kursus perkahwinankah? Kalau kursus perkahwinan, Farhana belum
bersedia untuk menghadirinya. Macam mana hendak menikah jika calon pengantin
lelaki pun masih belum ada? Yang ada di sekeliling Farhana hanya teman-teman
rapat seperti Shairil, Haiqal dan Hanif Tarmidzi. Hanif Tarmidzi itu hendak
diangkat menjadi calon suaminya? Huh! Tak ingin aku! Perangai mengalahkan
budak-budak!
“Kursus memasak dengan
Ainin,” jawab Hajah Fauziah selamba.
“Kursus memasak? Tak
naklah, umi!” Awal-awal Farhana sudah menolaknya. Apa tidaknya, disuruh belajar
memasak dengan guru tidak bertauliah seperti Ainin Sofiya. Budak itu pun
entah-entah bukannya pandai sangat memasak, kutuknya di dalam hati. Setakat
memasak lauk-lauk biasa bolehlah. Cuba kalau disuruh memasakwestern food, mahu pucat mukanya. Umi ni memang tak patut! Kalau ya pun mahu
dia belajar memasak, hantarlah berkursus dengan chef yang profesional sikit!
Hatinya merungut geram.
“Belajar masakan yang
mudah-mudah dengan Ainin. Kalau kahwin nanti, tak adalah malu sangat pada mak
mentua!” sambung Hajah Fauziah yang sengaja mahu menyesakkan fikiran Farhana
dengan idea bernasnya.
“Daripada belajar dengan
dia, baik Hana belajar masak dengan umi!” jawab Farhana yang masih mahu
berkeras menolak cadangan umi.
“Nak belajar masak dengan
umi? Hai... telinga umi ni tak salah dengar ke? Selama ni umi ajak ke dapur,
Hana buat tak reti aje,” rungut Hajah Fauziah yang sudah selesai makan dan kini
sedang mencuci tangannya.
“Oh... tu selalunya Hana
ada hal,” jawab Farhana sambil tersenyum-senyum mahu menyembunyikan perasaan
malunya akibat disindir umi.
“Yalah tu. Memanjang ada
hal. Cuba kalauweekend tu duduk kat rumah. Ni
asyik merayap. Hari minggu ni duduk rumah. Tolong umi masak.”
“Eeii... apa pulak umi ni.
Kan dah ada Ainin?”
“Hari Ahad, Ainin tak
kerja. Dia cuti hari Ahad.”
“Aik, peliknya! Kerja orang
gaji pun ada cuti-cuti ke?”
“Eh, yalah. Ainin tu
bukannyafull time jadi orang gaji. Ni kerja part-time dia
aje.”
Rasa mahu tersembur nasi di
dalam mulut Farhana mendengar penjelasan umi. Kelakar pun ada. Kerja pembantu
rumah pun adafull-time danpart-time jugakah?
fikirnya geli hati.
“Habis tu kerjafull-time dia apa, umi?” tanya Farhana setelah meneguk air sedikit.
“Hisy, jangan menyibuk
tanya hal orang. Lepas ni kemas meja ni. Lepas tu cuci pinggan,” arah Hajah
Fauziah sambil bangun menyertai suaminya yang sudah terlebih dahulu melangkah
ke ruang tamu.
“Yalah...” jawab Farhana,
acuh tidak acuh.
Ziyad yang sedang mengesat
tangan dengan kertas tisu merenung jauh ke hadapan. Pembantu rumahnya bercuti
hujung minggu? Dia berfikir sambil tersenyum sendiri. Banyak benar syarat Ainin
Sofiya ketika bekerja di sini. Sudahlah masuk kerja lewat, balik hendak cepat. Sudahlah
begitu, dapat pula bercuti pada hujung minggu. Hmm…banyak kerenah betul si
Ainin ni. Kalau tahu macam ni, baik ambil maid
Indonesia. Walaupun tidak begitu mahir, sekurang-kurangnya mereka tak adalah
banyak songehnya macam si Ainin ni. Barulah kena dengan batang hidung umi yang
cerewet. Siapa suruh berkeras mahu mengambil pembantu rumah orang tempatan?
Biar umi rasa!