Pagi-pagi lagi Hajah Fauziah sudah
bangun. Setelah mandi dan bersolat subuh, dia bergegas ke dapur, menyediakan
sarapan pagi untuk keluarganya. Air dijerang di dalam cerek elektrik. Sementara
menanti air mendidih, dia mengupas sedikit bawang merah dan bawang putih. Tidak
lama kemudian, bau harum nasi goreng merebak ke serata rumah besar dua tingkat
itu.
Setelah nasi goreng siap
dimasak, dia membancuh pula kopi di dalam teko dan merebus beberapa biji telur
separuh masak. Siap semuanya, juadah itu diletakkan di atas meja makan.
Selesai mencuci pinggan
mangkuk kotor dan membersihkan dapur memasak, Hajah Fauziah terkocoh-kocah naik
ke bilik, bersiap untuk ke pejabat. Sekejap lagi jarum jam akan bergerak ke
pukul tujuh. Lambat keluar dari rumah nanti, jalan menuju ke pusat bandar raya
Kuala Lumpur akan mula sesak dengan kenderaan. Dia tidak mahu terperangkap
dalam kesesakan lalu lintas dan seterusnya lewat tiba ke pejabat. Sebagai
Timbalan Pengarah di Kementerian Pendidikan Tinggi, dia harus menunjukkan
contoh terbaik kepada kakitangannya dengan sentiasa datang awal ke tempat
kerja.
Seminggu dua ini, Hajah
Fauziah berasa sungguh letih dan tidak cukup rehat. Apa tidaknya, pulang saja
dari pejabat dan berehat tidak sampai setengah jam, dia sudah sibuk memasak
untuk makan malam. Pakaian-pakaian kotor perlu dicuci. Pakaian yang sudah
kering pula kena dilipat atau digantung di dalam almari. Kalau tidak dibuat
semuanya itu, alamat bertimbunlah pakaian bersih di dalam bakul berhari-hari
lamanya. Semak pula mata memandang.
‘Ini semua Kesumawati punya
pasal!’ detik Hajah Fauziah di dalam hati, mencemuh pembantu rumah warga
Indonesia yang bekerja di rumahnya sebelum ini. Panas hatinya mengingatkan
peristiwa Kesumawati cabut lari dari rumahnya. Kalau setakat lari senyap-senyap
tanpa memberi sebarang masalah, tidak mengapa. Ini habis wang dan barang-barang
kemas dia dan anaknya, Farhana dikebas sekali. Sejak itu dia serik mahu
mengambil pembantu rumah lagi. Tetapi, kalau tiada pembantu rumah, susah juga
hidupnya. Kelam-kabut pula hidup mereka sekeluarga.
“Betul ke awak tak nak
ambilmaiddari Indonesia lagi? Kalau awak nak, saya boleh uruskan,” cadang
Haji Marzuki, ketika mereka bersarapan pagi. Bersimpati dengan keadaan isteri
yang keletihan kerana terpaksa menguruskan tugas-tugas di pejabat juga di
rumah.
Sambil menuang kopi ke
dalam cawan, Hajah Fauziah mengeluh. “Saya dah seriklah, bang.” Dia menyenduk
nasi goreng ke dalam pinggan suaminya pula. Pinggan itu kemudian dihulurkan
kepada Haji Marzuki.
“Habis tu... awak larat ke
buat kerja-kerja rumah ni seorang? Saya takutblood pressureawak naik
nanti. Anak dara awak yang seorang tu bukan boleh diharap,” sambung Haji
Marzuki. Tunduk saja menyuap nasi goreng ke dalam mulut. Sambil itu sempat
mengata Farhana, anak ketiga mereka yang terkenal dengan sikap berat tulangnya.
“Masuk Kesuma tu dah limamaid kita ambil. Tapi sorang pun saya tak puas hati. Semuanya bawa
masalah,” keluh Hajah Fauziah dengan mulut mengunyah roti bersapu mentega. Dia
tidak menjamah langsung nasi goreng. Cukup hanya mengalas perut dengan dua
keping roti dan segelas susu suam. Mahu menjaga badan, katanya. Sebab itu dalam
usia 50 tahun, badannya tampak langsing.
“Dah tu awak larat ke nak
buat semua kerja-kerja ni? Saya tanya betul-betul ni.” Haji Marzuki mengulangi
soalannya sebelum ini. Mahukan kepastian dari mulut isterinya.
Hajah Fauziah tidak
menjawab. Diam berfikir sambil mengunyah roti.
Sedang asyik bersembang,
turun anak sulung mereka, Ziyad, dari tingkat atas. Nampak sahaja umi dan
abahnya bersembang, anak muda itu terus menuju ke meja makan.
“Awal Ziyad bangun?” tegur
Hajah Fauziah sambil memandang anak bujangnya. Selalunya pada awal pagi begini,
jarang nampak muka Ziyad.
Ziyad yang punya firma
arkitek sendiri selalunya bangun lewat sedikit kerana dia tidak perlu
tergesa-gesa ke tempat kerja seperti umi dan abahnya yang bekerja di jabatan
kerajaan.
“Lepas solat subuh tadi,
Ziyad tak boleh tidur. Ni yang bangun awal,” ujar Ziyad seraya menarik kerusi
dan duduk berhadapan dengan umi dan abahnya.
“Nak makan apa? Nak nasi
goreng?” Hajah Fauziah mengangkat sedikit mangkuk berisi nasi goreng. Mahu
dihulurkan kepada Ziyad.
“Biarlah dulu, umi. Kejap
lagi Ziyad makan,” jawab Ziyad yang sememangnya tidak gemar menjamah makanan
berat pada awal pagi. Perutnya yang agak sensitif tidak dapat menerima makanan
yang berat-berat.
“Tak ada ke orang tempatan
yang nak kerja dengan kita? Kalau ada, baru saya ambil. Kalau tak ada, saya tak
nak ambilmaid Indonesia lagi. Serik saya. Buatnya datang yang baru ni,
perangainya lebih kurang sama macam Kesuma, habis harta benda kita dilelongnya.
Daripada dapat orang macam tu lagi, baik saya buat sendiri kerja-kerja rumah
ni.” Hajah Fauziah meluahkan apa yang bermain di fikiran.
“Kalau macam tu, ikut
awaklah. Jangan awak mengadu penat dengan saya nanti.” Haji Marzuki awal-awal
sudah memberi amaran kepada isterinya.
“Umi nak ambilmaidorang tempatan? Sekarang susah nak cari, umi. Yang muda-muda mana
suka jadi orang gaji ni. Baik mereka kerja kilang. Pergaulan bebas sikit. Yang
tua pulak dah tak larat nak kerja. Baik duduk rumah, berehat, jaga cucu kat
rumah,” celah Ziyad apabila mendengar luahan hati uminya.
Mengeluh berat Hajah
Fauziah dibuatnya. “Kalau macam tu, terpaksalah umi buat semua kerja rumah
sendiri,” ujarnya dengan muka sedih.
“Alah... apa susah? Hana
kan ada?” sambut Ziyad lagi sambil ketawa kecil.
Hajah Fauziah merengus
mendengar nama Farhana disebut. Haji Marzuki pula mengangkat kening.
“Nak harapkan anak dara
pemalas tu? Baik tak payah. Buat penat mulut saja berleter, tapi perangai masih
macam tu. Entah bila nak berubah, umi pun tak tahu. Kalau dah kahwin nanti
perangainya masih tak berubah, kesian kat laki dia. Ni, tengoklah dah dekat
pukul tujuh setengah, dia tak bangun lagi. Lewat ke kampus nanti, mula
menggelabah... kata kita tak kejut dia,” rungut Hajah Fauziah.
“Kejap lagi turunlah tu,”
kata Haji Marzuki sambil menolak pinggan ke hadapan. Nasi goreng sudah habis
dimakannya.
Sebaik sahaja Haji Marzuki
habis bercakap, turun Farhana dari tingkat atas sambil berlari-lari anak
melompat anak-anak tangga.
“Hah... panjang umurnya,”
tegur Hajah Fauziah dengan muka masam memandang anak daranya.
Haji Marzuki pula berwajah
serius. Sementara Ziyad pula sudah tersengih-sengih mahu menyakat adiknya.
“Umi suruh cuci pinggan,”
usik Ziyad dengan senyum lebarnya.
“Hisy, apa umi ni? Hana dah
lewat ni. Hana adatest pagi ni.” Cepat Farhana
memberi alasan. Kopi O di dalam teko dituang ke dalam cawan kemudian diteguk
dengan rakus. Cawan yang sudah kosong diletak semula di atas piring. Selepas
itu, dia buru-buru menuju ke pintu.
“Dah tahu ada test tak reti nak bangun awal? Budak ni kalau umur tujuh, lapan
tahun... dah lama aku rotan. Ni dah umur dua puluh empat tahun, tak boleh nak
buat apa. Mulut dah berbuih bagi nasihat pun tak jalan,” omel Hajah Fauziah
yang melihat sahaja langkah Farhana hingga ke pintu.
“Rotan aje, mi,” hasut
Ziyad sambil ketawa.
Hajah Fauziah tidak
menyambut kata-kata Ziyad tadi.
Haji Marzuki juga tidak
mengulas lanjut. Sudah letih melayan perangai anak perempuan tunggal yang tidak
pernah berubah itu.
“Eh, umi pun dah lewat ni,”
kata Hajah Fauziah sebaik saja terpandangkan jam besar di dinding ruang makan
yang menunjukkan hampir ke pukul 7.15 pagi. Kelam-kabut dia mengemas pinggan
dan cawan-cawan kotor untuk dibawa ke singki.
“Biarkan saja kat situ,
umi. Nanti Ziyad cuci,” kata Ziyad yang memang ringan tulang membantu
tugas-tugas di rumah bila ada masa terluang. Selebihnya dia kasihankan umi yang
sudah terlewat mahu ke pejabat.
“Betul ke?Thank you, Ziyad. Ni yang buat umi makin
sayang kat anak umi.” Hajah Fauziah mendakap Ziyad erat-erat. Pipi anak
bujangnya dicium sedikit.
Tersenyum lebar Ziyad
apabila sudah besar panjang begitu masih dimanjakan umi macam anak-anak kecil.
“Abah pun dah lewat ni.
Abah pergi dulu,” kata Haji Marzuki yang bertugas sebagai seorang doktor pakar
di Hospital Puchong.
Ziyad mengangguk. Bangun
bersalaman kemudian mencium tangan abah dan uminya.