Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
599,665
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Honda CRV milik Ziyad berhenti betul-betul di hadapan sebuah rumah yang diperbuat daripada papan dan separuh batu. Ainin terus keluar dari kereta. Pintunya ditutup semula.

Dari luar, kedengaran suara tangisan Arisha, berbaur dengan suara emak yang sedang cuba menenangkannya. Mesti Arisha rindu mahu menyusu dengan ibunya. Arisha bukan suka sangat minum susu formula dalam tin. Mungkin sejak kecil sudah terbiasa menyusu badan, tukarlah susu formula jenis apa pun, minumnya tetap sedikit.

“Ini rumah awak?” Ziyad bertanyakan Ainin. Kepalanya terjengul keluar dari tingkap kereta, memandang ke arah rumah yang tidak ubah macam rumah setinggan.

“Hmm...” sahut Ainin sambil lewa. Dia tidak berhajat hendak bersembang lama-lama dengan Ziyad. Lebih-lebih lagi bila mendengar tangisan Arisha yang nyaring. Dia mahu segera masuk ke rumah, memeluk puteri yang amat dirinduinya.

Ainin sedar Ziyad terkejut melihat rumahnya yang kecil, jauh berbeza daripada rumah pemuda itu yang tersergam indah. Biarpun begitu, dia tidak malu mengakui tinggal di rumah papan yang cuma ada satu bilik itu. Memang sudah begitu hakikatnya, mengapa dia mesti malu?

Pintu rumahnya terbuka. Emak berdiri di muka pintu sambil mendukung Arisha. Terdengar bunyi enjin kereta di hadapan rumah, Mak Ipah terus membuka pintu untuk melihat siapa yang datang.

“Saya masuk dulu. Terima kasih hantar saya balik,” ucap Ainin.

Ziyad mengangguk.

“Siapa tu, Ainin? Kenapa tak jemput dia masuk?” Mak Ipah bersuara dari muka pintu sambil menepuk-nepuk belakang Arisha yang masih menangis.

“Err… ni Encik Ziyad, mak. Anak puan hajah. Tak apalah, Encik Ziyad dah nak balik ni,” jawab Ainin, mahu mengelak daripada mempelawa Ziyad masuk. Seboleh-bolehnya, tidak mahu Ziyad melihat keadaan rumah yang seperti tongkang pecah.

“Ajaklah dia singgah. Boleh minum kopi dulu,” kata Mak Ipah yang bersungguh mahu berkenalan dengan majikan Ainin. Hampir sebulan bekerja di rumah Hajah Fauziah, anaknya itu cuma bercerita yang baik-baik saja tentang majikannya. Sebab itulah dia teringin hendak berkenalan dengan majikan anaknya itu. Selain itu dia mahu melahirkan rasa terima kasihnya kerana melayan Ainin dengan baik.

“Err… Encik Ziyad…” Kata-kata Ainin Sofiya terputus di situ.

“Tak apa, saya pun teringin nak kenal dengan mak awak. Manalah tahu saya terserempak dengan mak awak kat pasar malam, bolehlah saya tegur dia. Tak adalah dia kata saya sombong,” kata Ziyad selamba lalu keluar dari kereta.

Tanpa menunggu Ainin yang masih terpinga-pinga menjemputnya masuk, Ziyad terus melangkah mendekati Mak Ipah. Sepatu kulitnya ditanggalkan dan Ziyad terus bersalaman dengan Mak Ipah.

“Apa khabar, mak cik? Saya, Ziyad.” Pemuda itu ramah memperkenalkan diri. Pipi tembam Arisha yang berada di dalam dukungan Mak Ipah, dicuitnya sedikit.

“Jemput masuk, Encik Ziyad. Rumah mak cik ni dah macam kapal pecah. Bersepah,” jemput Mak Ipah.

“Tak apa, mak cik. Saya bukan nak tengok rumah mak cik. Saya cuma nak kenal-kenal dengan mak cik. Oh ya, tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil saya Ziyad aje,” kata Ziyad kemudian.

Ainin yang masih berdiri di luar rumah, naik hairan melihat perangai Ziyad yang boleh terpusing 180 darjah. Tadi, Ziyad nampak tidak ikhlas ketika menghantarnya pulang. Sekarang, bila emak mempelawanya masuk, dia tidak pula membantah. Betulkah niat Ziyad sekadar mahu berkenalan dengan emak dan minum kopi? Huh! Kalau setakat minum secawan kopi, tidak payah singgah di rumahnya. Restoran ada di merata tempat. Kopinya pun jauh lebih enak daripada kopi jenis murah di rumahnya ini.

“Jemputlah duduk. Nanti mak cik buat kopi.”

Mak Ipah menghulurkan Arisha kepada Ainin. Si kecil itu tersenyum lebar bila didukung ibunya. Kepalanya disondol ke dada ibunya bagai meminta sesuatu. Ainin yang faham kehendak puterinya berasa serba salah.

“Encik Ziyad duduk dulu, ya?” pinta Ainin.

“Kenapa? Awak nak ke mana?” tanya Ziyad ingin tahu.

“Saya nak masuk bilik kejap,” jawab Ainin lalu berjalan pantas ke bilik. Mahu mengelak daripada bersoal jawab dengan Ziyad.

Itu pun nak tanya. Dah anak menangis, mestilah nak menyusu badan. Takkan pulak aku nak susukan Arisha depan mata dia, desis hati Ainin dengan pipi merona merah. Tiba-tiba sahaja dia terasa malu sendiri.

Ziyad duduk memerhatikan Faiz yang asyik menonton televisyen di sudut ruang tamu. Sekali-sekala Faiz menoleh ke arahnya. Bila pandangan mereka bertembung, Ziyad melemparkan senyuman tetapi tidak dibalas Faiz. Cepat-cepat Faiz alihkan semula pandangannya ke kaca televisyen.

“Adik Ainin tu pendiam sikit orangnya,” kata Mak Ipah yang baru keluar dari dapur dengan sedulang kopi O panas. Dia terperasankan Ziyad yang sedang tersenyum memandang Faiz.

Mak Ipah meletakkan dulang ke atas meja di hadapan Ziyad. Kopi O yang dituang ke dalam cawan.

“Minumlah, Encik Ziyad,” pelawanya.

“Ziyad, mak cik.” Ziyad membetulkan panggilan Mak Ipah.

“Ya... ya... Ziyad. Lupa pulak mak cik,” sambut Mak Ipah. Ketawa sendiri.

Ainin sudah selesai menyusukan Arisha. Tatkala keluar dari bilik, dia secara kebetulan terdengar kata-kata Ziyad tadi. Dia mencebik bibir. Dengan emaknya, Ziyad bukan main mesra. Siap menyuruh emak memanggilnya nama saja. Tetapi… jika dengannya, Ziyad bukan main sombong. Hendak memanggil Ziyad dengan nama saja? Jangan mimpilah. Silap hari bulan Ziyad akan melenting dan dia akan dileteri dari pagi hingga petang.

Pernah sekali dulu Ainin tersasul memanggilnya Ziyad. Mencerlung mata pemuda itu merenungnya tidak puas hati. Apabila Ainin meminta maaf dan mengatakan tidak sengaja, barulah muka Ziyad manis semula.

Macamlah aku nak sangat bermesra dengan dia, cemuh Ainin di dalam hati. Walaupun dia sudah agak rapat dengan keluarga Hajah Fauziah, dia masih sedar diri. Orang gaji tetap orang gaji. Mustahil boleh sama tarafnya dengan tuan rumah. Mungkin hakikat itulah yang mahu diterapkan Ziyad di dalam mindanya. Orang gaji tidak boleh berganding sama dengan majikan.

Ainin duduk di sebelah emak sambil meriba Arisha.

“Anak mak cik yang tu, Faiz namanya. Nasibnya kurang baik berbanding orang lain. Umurnya dah sepuluh tahun tapi macam budak umur tujuh tahun. Doktor kata dia ada sakit diseksa...”

“Bukan diseksalah, mak.Disleksia.” Ainin membetulkan sebutan emaknya. Matanya sempat mengerling ke arah Ziyad. Walaupun wajah itu nampak bersahaja tetapi hujung bibirnya nampak bergerak-gerak. Dia tahu Ziyad mahu tergelak mendengar kata-kata emak, namun sengaja ditahan kerana tidak ingin emak berkecil hati.

“Saya tahu juga serba sedikit tentangDisleksia tu, mak cik. Ayah saya seorang doktor dan adik saya pulak bakal doktor. Saya pernah dengar mereka berbincang pasal ni. Tapi… setahu saya ia bukan sejenis penyakit cuma ia berkaitan dengan otak. Yang saya tahu, kanak-kanak yang menghidapDisleksia ni melihat perkataan dengan terbalik. Mereka mempunyai masalah pembelajaran iaitu sukar mengenal huruf, sukar membaca, menulis dan juga mendengar. Ada ahli keluarga sebelah mak cik atau suami mak cik yang adaDisleksia ke?” Ziyad kelihatan begitu berminat mahu mengenali latar belakang keluarga pembantu rumahnya.

“Tak ada pulak. Kenapa Ziyad tanya?”

“SebabDisleksia ni berkemungkinan ada sangkut paut dengan keturunan. Kalau bukan dari keturunan, mungkin disebabkan proses ketika kelahiran Faiz,” sambung Ziyad, persis seorang doktor pakar memberi penerangan pada ahli keluarga pesakit.

“Proses kelahiran?” Ainin mencelah tidak faham.

“Ya, mungkin Faiz dulu dilahirkan tidak cukup bulan. Sebab lain mungkin kekurangan oksigen ataupun ketika melahirkan Faiz dulu mak cik rasa sukar sangat. Sebab proses yang lama ketika melahirkan boleh menyebabkan kecederaan pada otak bayi,” jelas Ziyad. Mengalihkan pandangan ke arah Ainin pula.

“Ya, betullah tu. Faiz lahir tidak cukup bulan. Masa tu, mak cik baru mengandung tujuh bulan, tapi mungkin sebab mak cik terlampau penat dan tak cukup rehat sebab kuat bekerja, dia dah nak keluar.” Mak Ipah memutar kembali kenangannya ketika melahirkan Faiz.

“Tapi…Disleksia ni walaupun tak ada ubat yang boleh mengubatinya, dengan program pendidikan yang sesuai, masalah ni boleh dikurangkan. Faiz sekarang bersekolah di mana?” tanya Ziyad kepada Ainin.

“Sekolah Kebangsaan Puchong Indah.”

“Belajar di kelas biasa ke? Macam murid-murid lain?”

“Tak. Faiz belajar di kelas Pendidikan Khas.”

“Baguslah tu. Maksudnya tindakan awak memasukkan Faiz di kelas Pendidikan Khas adalah tindakan yang betul. Guru-guru kelas Pendidikan Khas lebih arif tentang cara-cara nak mengajar murid-murid yang mendapatDisleksiani.

Tapi kalau di rumah, mak cik perlu bersabar melayan kerenah Faiz. Kanak-kanakDisleksia ni selalunya mudah kecewa sebab mereka sering gagal dalam melakukan sesuatu perkara. Masa-masa macam nilah, mak cik dan Ainin kena memberikan sepenuh kasih sayang supaya Faiz tak rasa tersisih,” kata Ziyad panjang lebar.

Mak Ipah diam. Walaupun tidak faham sepenuhnya apa yang dijelaskan Ziyad, sedikit sebanyak bertambah juga ilmunya tentang penyakit Faiz bila mendengar penjelasan itu.

Ainin pula terangguk-angguk tanda faham. Terbit rasa kagum di hatinya mendengar penerangan Ziyad tadi. Walaupun bukan bidangnya, tetapi cara Ziyad bercakap bagaikan seorang pakar. Itu membuktikan Ziyad ini seorang yang berilmu. Dia suka mempelajari sesuatu yang baru dan tidak terhad dalam lingkungan tugasnya sebagai seorang arkitek. Itulah untungnya tinggal bersama orang-orang yang mempunyai kerjaya yang berbeza. Dapat berkongsi dan menambahkan ilmu dan seterusnya menggunakan pengetahuan itu untuk membantu pula masyarakat sekeliling.

“Minumlah kopi tu, Ziyad. Sejuk nanti tak sedap pulak,” pelawa Mak Ipah bila melihat Ziyad asyik tersenyum memandang muka Arisha yang berada di dalam dukungan Ainin.

“Siapa nama anak awak tu?” tanya Ziyad.

“Arisha,” jawab Ainin.

“Sedap namanya dan cute sangat,” ulas Ziyad.

Ziyad mahu menyambung ‘cute macam ibunya’ di hujung kata-katanya, namun tidak jadi bila teringatkan kehadiran Mak Ipah. Nanti, apa pula telahan orang tua itu mendengar memuji anak perempuannya, sedangkan dia tidak mahu orang tua itu berprasangka bukan-bukan terhadapnya.

“Berapa umurnya?” soal Ziyad lagi.

“Enam bulan,” jawab Ainin penuh rasa bangga.

Kopi yang berasap nipis diteguk penuh nikmat. Sedap! puji Ziyad dalam hati. Cukup terasa pekat, pahit dan manisnya. Kalah kopi di restoran ternama yang biasa dikunjunginya.

Sedang mereka duduk berbual kosong, kedengaran suara orang lelaki memberi salam. Pada mulanya perlahan, akhirnya bila lambat dijawab, suara itu tambah nyaring. Di hujungnya, suara si pemberi salam menyebut nama Mak Ipah dan Ainin dengan kasar.

“Tu… macam suara Hisyam,” kata Mak Ipah dengan muka pucat memandang Ainin Sofiya.

“Memang Hisyam tu, mak. Biarkan aje. Jangan layan,” sambut pula Ainin, menggelabah. Arisha dipeluknya kemas-kemas, seperti takut sangat Arisha diapa-apakan oleh orang yang bernama Hisyam. Dahinya berkerut merenung ke arah pintu yang terbuka sebahagiannya.

Apa hal pulak ni? Hati Ziyad berdetik tidak faham. Wajah Ainin dan Mak Ipah silih berganti dipandangnya, mengharapkan salah seorang daripada mereka memberikan jawapan kepada persoalannya. Tetapi kedua-duanya hanya membisu seribu bahasa. Muka mereka pucat lesi. Ketakutan.

“Saya datang cara baik, Mak Ipah! Baik Mak Ipah keluar sebelum saya jerit kuat-kuat bagi semua orang kat kampung ni dengar!” ugut lelaki bernama Hisyam.

Muka Ainin berkerut-kerut mendengar ancaman Hisyam. Takut benar dia. Muka emaknya dipandang.

“Nak keluar ke, mak?” Dia meminta pandangan emaknya.

“Pergilah, Nin. Karang dia jerit betul-betul, satu kampung dengar, malu kita,” jawab Mak Ipah.

Ainin menghulurkan Arisha kepada Mak Ipah. Kemudian, bangun melangkah ke pintu. Perlahan-lahan pintu hadapan dibuka.

Hisyam sedang berdiri sambil memeluk tubuh di halaman rumah. Di tepi kereta Proton Persona miliknya, bersandar seorang lelaki bertubuh besar. Siapa lagi, kalau bukan kaki bodeknya, Shahril.

Mata Hisyam tajam merenung ke arah kereta Honda CRV yang diparkir betul-betul di hadapan rumah Ainin. Hatinya tertanya-tanya, milik siapa kereta mewah berkilat itu. Selepas itu tumpuannya beralih ke wajah Ainin yang sedang berdiri di muka pintu.

“Kenapa, Syam?” tanya Ainin dengan suara terketar-ketar.

“Tak payah tanyalah kenapa. Aku rasa kau pun tahu tujuan aku datang. Ni aku nak tanya, bila kau nak bayar sewa rumah ni? Dah lima bulan kau tak bayar?” Keras suara Hisyam.

“Err… aku belum ada duit lagi. Nanti hujung bulan aku bayar,” janji Ainin sambil menelan air liur. Kecut perut melihat wajah bengis Hisyam.

“Hari tu pun kau kata macam ni. Hujung bulan nak bayar. Tapi akhirnya berbulan-bulan kau tak bayar,” serang Hisyam dengan mata bagaikan singa lapar memandang Ainin yang berdiri di muka pintu.

“Tapi… aku janji hujung bulan ni aku bayar. Tunggu aku dapat gaji. Lepas tu aku bayar sebulan atau dua bulan dulu.” Ainin memaniskan mulut menabur janji pada Hisyam.

Entah ya atau tidak janji itu boleh ditepati, dia sendiri tidak pasti. Kalau diikutkan, gaji yang bakal diterima daripada Hajah Fauziah nanti bukanlah banyak sangat. Tidak cukup pun untuk membayar duit sewa rumah. Cuma lepas duit makan mereka sekeluarga saja.

“Kau dah kerja?” tanya Hisyam ingin tahu.

“Ya.”

“Kerja apa? Kat mana?” tanya Hisyam lagi. Tidak tahu pula dia Ainin sudah bekerja. Setahunya, wanita itu hanya menjual nasi lemak dan kuih-muih bagi menyara kehidupannya.

“Kerja kat rumah orang,” ujar Ainin. Hendak tidak hendak saja.

“Oh... jadi orang gajilah ni,” balas Hisyam lalu ketawa.

Mencerlung mata Ainin mendengar ilai tawa Hisyam. Tidak puas hati sebenarnya dengan cara pemuda itu bercakap. Nadanya macam menyindir. Apa hina sangatkah jadi orang gaji? Ainin tahu gaji sebagai pembantu rumah tidak sebanyak mana tetapi sekurang-kurangnya pekerjaan itu halal.

“Buat apalah susah-susah jadi orang gaji, Ainin. Kalau kau kahwin dengan Syam, kau dah tak payah kerja. Duduk rumah je pasang badan. Syam mesti tak bagi kau kerja punya. Silap-silap dia yang carikan orang gaji untuk kau.” Menyampuk pula Shahril dengan sengihan macam kerang busuk.

Shahril yang kaki bodek memang dikenali sebagaibodyguard Hisyam. Ke sana ke mari asyik mengekor buntut Hisyam. Macam bayang-bayang.

Ainin diam tidak membalas. Malas melayan gurauan Shahril yang langsung tidak kelakar. Bukan dia tidak tahu, Hisyam sudah lama tergila-gilakannya. Tapi dia saja yang malas melayan. Sebelum dia berkahwin dengan arwah suaminya lagi, Hisyam sudah menaruh hati terhadapnya. Apabila dia berkahwin dengan arwah Abang Hairi, Hisyam seperti tidak dapat menerima kenyataan itu. Habis mereka satu keluarga diamuknya. Sekarang, apabila dia kembali solo, Hisyam tidak melepaskan peluang untuk merebut kembali hati wanita pujaannya. Namun, Ainin tidak sudi hidup bersama dengan lelaki berlagak itu walau sebanyak mana pun harta keluarganya.

“Tak nak pertimbangkan niat aku ke, Nin?” tanya Hisyam, meminta simpati.

“Aku ada kerja ni. Nanti hujung bulan aku bayar duit sewa rumah ni,” putus Ainin yang cepat mahu masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Meluat dan benci mahu melayan Hisyam yang tidak tahu malu itu. Langsung tidak sensitif dengan perasaannya. Tanah kubur arwah suaminya masih merah, tapi Hisyam sudah sibuk-sibuk mengajaknya menikah. Macamlah dia ini kemaruk sangat mahu bersuamikan lelaki itu!

“Aku pegang janji kau, Ainin Sofiya! Hujung bulan ni kau mesti bayar! Kalau kau tak bayar juga, aku akan panggil kawan-kawan aku! Aku akan humban kau, keluarga kau dan semua harta karun kau keluar dari rumah ni! Rumah yang kau duduk ni bukan rumah kebajikan dan keluarga aku juga bukannya baik sangat nak bagi kau tinggalfreekat rumah ni! Jadi, hujung bulan ni aku nak duit aku!” ugut Hisyam dengan suara meninggi. Lagi meradang dia apabila Ainin tidak mengindahkan kata-katanya. Tidak mahu langsung memikirkan niat murninya.

Sebaik melihat Ainin menghilang di balik pintu, dia terus melangkah ke keretanya. Tidak lama kemudian, bunyi enjin kereta Proton Personanya semakin jauh meninggalkan rumah Mak Ipah.

Ziyad tidak senang duduk melihat kejadian itu tadi. Hatinya meronta-ronta mahu mengorek kisah sebenar daripada mulut Ainin. Mengapa lelaki itu meminta duit daripada Ainin? Duit apa yang dituntutnya? Duit sewa rumah? Takkan rumah sekecil ini pun disewa? Kalau betul ini rumah sewa, berapa pula sewanya sebulan? Soalan demi soalan bertali arus mengganggu benaknya.

Hendak dikoreknya kisah itu daripada Ainin, Ziyad rasa tidak sedap hati. Tambahan pula, bila melihat wajah wanita itu monyok. Mahu ditanya kepada Mak Ipah, mukanya juga tidak seceria tadi. Jadi, dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dulu. Esok akan diselidiknya daripada Ainin sendiri.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.