Ainin Sofiya menongkat motosikalnya di
bawah pokok mangga di hadapan rumah. Muka cerahnya yang berminyak dikesat
dengan tuala kecil yang tersangkut di bahu. Kemudian, gadis itu mengangkat
beberapa buah bekas plastik bertutup dan bakul kosong dari atas motosikalnya.
Dibawanya masuk ke dalam rumah dan diletakkan di tepi pintu dapur.
Setelah menanggalkan tudung
di dalam bilik, dia menyisir rambutnya yang panjang mengurai hingga ke
pinggang. Kemudian, mengikatnya tinggi macam ekor kuda sebelum keluar semula
mendapatkan emak yang berada di ruang tamu.
“Habis tak nasi lemak dan
kuih tu, Ainin?” tanya Mak Ipah yang sedang mendukung Arisha, anak Ainin yang
berumur enam bulan.
“Tadi ada tinggal sikit
lagi, mak. Ainin dah sedekah pada anak-anak Kak Midah. Nak bawa balik pun bukan
ada siapa-siapa nak makan. Nanti buang juga,” jawab Ainin sambil mengangkat
bakul dan bekas plastik lalu membawanya ke singki untuk dicuci.
“Tak apalah, biarlah
anak-anak Midah makan. Mereka pun orang susah macam kita juga,” sahut Mak Ipah.
Tidak kisah nasi lemak dan kuih-muihnya disedekahkan kepada anak-anak Midah,
jiran yang tinggal di simpang jalan, tempat Ainin selalu menjaja kuihnya.
“Banyak dapat hari ni, Ainin?”
“Adalah
sikit. Lepas beli tepung, gula, keledek kat kedai Pak Cik Daud tadi, ada baki
dua puluh ringgit,” sahut Ainin yang sedang sibuk mencuci pinggan mangkuk kotor
di dapur.
Mak Ipah mengangguk. Sambil
mendukung Arisha, dia mencongak di dalam kepala. Cukupkah RM20 itu untuk
belanja hari ini? Ikan dan sayur di dalam peti ais sudah habis. Lampin pakai
buang dan susu Arisha juga tinggal sedikit lagi. Esok lusa habislah. Walaupun
Arisha lebih banyak minum susu badan daripada susu tepung, stok susunya kena
juga ada. Buatnya Arisha melalak semasa ibunya tidak ada, susah juga dia.
Apabila mengenangkan nasib
anak perempuannya itu, Mak Ipah rasa sayu sendiri. Muda-muda sudah menjadi
balu. Sudah lima bulan suami Ainin pergi menghadap Ilahi.Dulu, suami Ainin bekerja di sebuah kilang sebagai
pembantu stor. Arwah meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan
raya apabila motosikal yang ditunggangnya disondol sebuah kereta.
Dulu, ketika arwah suami
Ainin masih ada, hidup mereka tidaklah sepayah ini. Sekarang ini hendak mencari
sesuap nasi, terasa terlalu sukar kerana Ainin tidak bekerja. Nasib baik anak
Ainin cuma seorang. Kalau berderet-deret, mahu tidak tidur siang malam, Ainin
mencari rezeki buat mengisi perut anak-anaknya.
Mata Mak Ipah berkalih ke
arah Faiz, anak lelakinya yang sedang berbaring di atas tikar di sudut ruang
tamu. Sesekali Faiz mengerekotkan badannya seperti ada sesuatu yang mengganggu
tidurnya.
Bergenang air mata Mak Ipah
mengenang nasib Faiz yang tidak seperti anak orang lain. Sejak lahir,
tumbesaran mental Faiz tidak sempurna seperti manusia normal. Dalam erti kata
lain, Faiz tergolong dalam insan kurang upaya. Sekarang umurnya sudah masuk 10
tahun, tetapi pemikirannya tidak ubah seperti kanak-kanak tadika.
“Ainin dah tanyakan
jiran-jiran kat simpang tu, kalau ada orang tinggal dekat-dekat sini nak cari
orang gaji. Ainin nak kerja kat rumah orang ajelah, mak. Senang sikit. Pergi
pagi, balik petang. Tengah hari, Ainin boleh balik kejap susukan Arisha. Kalau
kerja kat kilang, tengah hari tak boleh balik,” beritahu Ainin yang sudah
selesai menyiapkan tugas-tugas di dapur.
Dia mendekati Mak Ipah dan
mengambil Arisha yang sejak tadi di dalam dukungan emaknya itu. Sempat dia
mencium pipi gebu Arisha lalu mengagah si kecil comel itu. Arisha ketawa
mengekek menampakkan gigi hadapannya yang baru tumbuh dua batang.
“Ada ke orang nak ambil
orang gaji macam tu? Setahu mak, jadi orang gaji kena tinggal terus kat rumah
orang. Mana boleh balik sesuka hati?” balas Mak Ipah sambil memandang wajah
Ainin dengan dahi berkerut.
“Kita cubalah dulu. Mana
tahu ada orang yang tak perlukan orang gaji sepenuh masa. Kalau dah siap semua
kerja, buat apa nak tunggu lagi kat situ? Balik ajelah. Kalau dia nak kira
separuh gaji, tak apalah. Ainin tak kisah dapat gaji kurang asalkan Ainin boleh
balik rumah. Mana boleh Ainin tinggalkan mak, Faiz dan Arisha kat sini, lepas
tu Ainin pulak tinggal kat rumah orang?” Ainin menyatakan pendapatnya tanpa
memandang emaknya. Asyik mengagah puterinya yang gemar ketawa itu.
Mak Ipah menganggukkan
kepala tanda bersetuju dengan kata-kata Ainin. Wajah anak perempuan yang putih
bersih dengan sedikit lekuk di dagu itu ditatap sekali lagi. Mudah-mudahan
adalah orang yang mahu mengambil anaknya bekerja. Dia berdoa di dalam hati.
Akan kuranglah sedikit bebanan kewangan yang membelenggu kehidupan mereka sekeluarga
kelak.
“Kalau Ainin tak dapat
kerja kat rumah orang, Ainin nak kerja kat mana?” tanya Mak Ipah, risau.
Jika Ainin masih tidak
dapat mencari pekerjaan sehingga akhir bulan ini, parahlah hidup mereka. Duit
simpanan hasil peninggalan Hairi, arwah suami Ainin Sofiya hanya berbaki dua,
tiga ribu. Itu pun entah sampai bila boleh bertahan. Hendak mengharap wang
hasil jualan nasi lemak dan kuih-muih, bukannya cukup. Arisha yang semakin
membesar memerlukan perbelanjaan lebih setiap bulan.
“Ainin terpaksalah kerja
kilang, mak. Takkan nak biar macam tu aje? Mati kebulur kita sekeluarga nanti.
Mak tak kisah kan jaga Arisha dan Faiz sorang-sorang kat rumah?” soal Ainin
pula. Menoleh memandang emaknya yang sedang duduk bertimpuh di tepi pintu
dapur.
“Mak tak kisah, Ainin.
Kerjalah kat mana pun, asalkan Ainin pandai jaga diri,” pesan Mak Ipah sayu.
Tidak memandang langsung muka Ainin. Bimbang anaknya dapat mengesan manik-manik
jernih yang mula bertakung di tubir matanya.Mak Ipah faham jerih payah Ainin
mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal kerana dirinya sendiri suatu masa
dulu pernah menempuh kehidupan perit sebegitu. Bila suaminya kembali kepada
sang penciptanya 9 tahun lalu dan meninggalkannya sendirian membesarkan 4 orang
anak, Mak Ipah rasa cukup terbeban. Kini, nasibnya diwarisi pula Ainin, anak
nombor tiganya.
Ainin Sofiya hanya
mengangguk tanda
akur dengan nasihat emak sambil mencium pipi Arisha bertalu-talu.