Pulang daripada melawat tapak
pembinaan di Bandar Sri Kembangan, Ziyad dan Shafinaz berjalan menuju ke kereta
Honda CRV milik Ziyad. Mereka sudah berjanji mahu makan tengah hari bersama.
Sudah beberapa hari Ziyad tidak menatap muka Shafinaz kerana buah hatinya itu
terlalu sibuk akhir-akhir ini. Dapat saja peluang bertemu Shafinaz, dia terus
menyambar kesempatan itu untuk berkepit dengan kekasihnya itu. Laju dipandu
keretanya menghala ke Putrajaya.
“Younak makan apa?”
tanya Ziyad sebaik sahaja mereka sudah duduk selesa di meja paling hujung di
Restoran Terapung Bayu Tasik.
“Tak kisahlah. Youorder aje apa-apa. I ikut you. I makan apa aje yang you makan,” jawab
Shafinaz sambil tersenyum manis memandang wajah pemuda di hadapannya.
“Iorder chicken chop,ya? I tahu you suka chicken chop,” cadang Ziyad.
Shafinaz mengangguk.
Bersetuju dengan cadangan Ziyad.
Setelah memesan makanan,
mereka berdua berbual-bual kosong. Mereka berdua berkenalan pada bulan
September tiga tahun lalu. Ketika itu firma arkitek kepunyaan Ziyad dilantik
menjadi panel perunding bagi Majujaya Permai Holdings, syarikat pembinaan milik
Datuk Majid, ayah Shafinaz. Oleh kerana sering bertemu atas urusan kerja,
mereka menjadi rapat dan akhirnya berputiklah kasih di hati mereka berdua.
Shafinaz sayangkan Ziyad
dan dia tahu pemuda itu menyayanginya sepenuh hati. Sudah beberapa kali Ziyad
melahirkan hasrat mahu menyuntingnya menjadi suri di taman hati, cuma… entahlah.
Hatinya belum terbuka untuk berumah tangga. Dia belum puas menikmati masa
mudanya.
Dia bimbang bila sudah
terikat dengan ikatan perkahwinan, kaki dan tangannya turut dirantai sama.
Lebih-lebih lagi bila mendapat suami seperti Ziyad yang warak sedikit orangnya.
Kalau bertemunya, asyik bercakap soal etika berpakaian dan dosa meninggalkan
solat. Walaupun dinyatakan secara bersenda, dia merasakan kata-kata itu
ditujukan kepadanya walaupun tidak secara langsung. Itu yang membuatkan telinga
dan hatinya sering hangat setiap kali bertemu Ziyad.
“Cantik you hari ni. I suka
tengok you pakai macam ni. Tapi kalau you pakai baju kurung, lagi tak berkelip
mata I tengok you,” puji Ziyad sambil merenung lama tubuh Shafinaz yang
disaluti blaus berenda berwarna putih dan berseluar panjang berwarna hitam.
“Thank you,” jawab Shafinaz sambil tersenyum kelat.Ziyad dah mula nak
berceramah, getus hatinya dengan kepala menunduk sedikit memerhati
penampilannya sendiri. Memanglah hari ini dia berpakaian agak ranggi sedikit
kerana sudah merancang lebih awal untuk melawat ke tapak pembinaan. Takkan pula
hendak memakai skirt pendek atas lutut? Bukankah tidak kena pada tempatnya?
Pakai baju kurung? Lagilah nampak janggal!
“Kalau I pakai skirt
pendek, you tak suka ke tengok?” tanya Shafinaz. Sengaja mahu menyakat Ziyad.
“Suka. Kalau I kata tak
suka, bohonglah namanya tu. Tapi I lebih suka kalau dapat tengok sorang-sorang
aje. Tak naklah kongsi-kongsi dengan lelaki lain,” jawab Ziyad berkias.
Harap-harap Shafinaz yang bijak dapat menelah apa yang tersirat di sebalik
kata-katanya.
“Hmm… I faham maksud you.
You nak suruh I tutup aurat, pakai baju kurung, kan? Lepas tu pakai tudung,
kan?” Shafinaz ketawa menyembunyikan rasa tidak selesanya dengan perbualan
mereka. Terpamer sebaris gigi yang putih bersih dan tersusun rapi dikala dia
tertawa.
“Betullah tu. Pandai you
teka. I nakwife I macam tu, pakai seksi-seksi hanya untuk tatapan suami aje.”
Kata-kata Ziyad sudah lebih
terbuka. Mengingatkan kata-kata umi yang mahukannya menegur etika berpakaian
buah hatinya ini, membikin hati Ziyad tidak tenteram. Selagi tidak
menyampaikannya kepada Shafinaz, selagi itulah perasaannya tidak keruan.
Berdebar juga hatinya menunggu reaksi si buah hati yang berambut ikal berombak
hingga ke bahu itu.
“Nantilah, bila kita dah
kahwin nanti, I jadilah macam yang you nak tu,” ujar Shafinaz ambil mudah.
Malas sebenarnya dia mahu melayan Ziyad.
Sejak akhir-akhir ini
perangai Ziyad ketara benar perubahannya. Suka sangat bercakap yang
bukan-bukan. Dulu cuma setakat mengusik dan menyakat, dia masih boleh terima.
Sekarang ini, Ziyad sudah tidak pandai berselindung, terus kepada maksud
asalnya. Ziyad mahu aku berkelubung dan hanya nampak muka? Hisy! Boleh ke aku
jadi macam tu? Tak terkejut ke papa dan mama nanti? Hatinya bermonolog sendiri.
“Hmm… bercakap pasal
kahwin, bila I boleh masuk meminang ni? Umi I dah bising, suruh cepat-cepat
pinang you,” kata Ziyad, pantas menyampaikan hajat di hati.
Shafinaz sudah membuka
cerita bab kahwin, Ziyad pun tidak tunggu lagi terus bijak menyambar peluang.
“Nantilah. Kan I dah cakap,
I tengah sibuk sekarang ni?” Shafinaz memberikan alasan yang pada pemikirannya
tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas itu.
“Apa salahnya kalau you
sibuk? Kita bukannya nak terus kahwin. Nak bertunang aje. I dah tak sabar nak
ikat you. I takut you kena sambar dengan orang lain. Berputih mata I nanti,”
pujuk Ziyad, meluahkan hasrat yang menggebu di hati.
“Tunggulah, Ziyad. I belum
bincang dengan papa I lagi.” Shafinaz serba salah dan semakin tidak selesa
didesak Ziyad.
“Kalau macam tu, biar I aje
yang cakapkan dengan papa you,” cadang Ziyad yang sudah tidak sabar-sabar mahu
memiliki gadis idaman hati.
“Sabarlah dulu, Ziyad,”
sahut Shafinaz tidak berdaya didesak Ziyad.
“You memang belum pernah
bincangkan hal kita dengan papa you, kan? You sebenarnya belum bersedia untuk
jadi isteri I? Ataupun di hati you tu dah ada orang lain?” terjah Ziyad sambil
merenung tajam muka Shafinaz.
“Tak… tak… tak ada sesiapa
di hati I, Ziyad. You jangan salah sangka.”
“Habis tu... kenapa you
bertangguh lagi? Dah tiga tahun kita berkawan tau. I memang betul-betul serius
nak jadikan you isteri I.”
“Nantilah… okey, lepas ni I
janji I akan bincang dengan papa I,” putus Shafinaz, menabur janji kepada
kekasih hatinya.
“Betul ni, sayang?” tanya
Ziyad cepat.
Shafinaz mengangguk.
Seperti biasa, mengumpan Ziyad dengan janji dan senyuman manisnya. Namun,
hatinya turut berbunga-bunga mendengar Ziyad memanggilnya ‘sayang’.
Makanan yang dipesan tiba.
Dihantar oleh seorang pelayan perempuan yang memakai tudung hitam. Manis dan
lemah lembut orangnya.
“Haa… cuba tengok macam
gadis tadi tu. Kan manis kalau pakai tudung macam tu?” kata Ziyad bila gadis
bertudung hitam sudah lenyap daripada pandangan.
Merengus Shafinaz
mendengarnya. Tidak gemar diri dibanding-bandingkan dengan orang lain.
“Kalau macam tu you kahwin
ajelah dengan dia. Buat apa buang masa tunggu I?” rungut Shafinaz dengan muka
cemberut.
“Hai, sayang marah ya?
Janganlah marah. I gurau ajelah,” sambut Ziyad yang mula tidak keruan melihat
muka Shafinaz sudah berubah masam-masam kelat.
Telefon bimbit di dalam beg
tangan yang terletak di kerusi sebelah, tiba-tiba berbunyi. Tangan Shafinaz
menggagau ke dalam beg tangannya, mencari peranti yang menjerit-jerit minta
dijawab. Melihat nama Khairil Anwar tertera pada atas skrin telefon, dia terus menekan butang
senyap. Dibiarkan saja panggilan daripada Khairil Anwar tidak dijawab.
“Siapa tu? Kenapa tak
jawab?” tanya Ziyad hairan.
“Klien. Malaslah nak jawab.
Kejap lagi I call balik,” balas Shafinaz dengan wajah serba salahnya kerana
terpaksa berbohong pada Ziyad.
Melihat Ziyad tidak
bertanya lebih lanjut, dia menarik nafas lega. Terbayang wajah Khairil Anwar,
anak kenalan mama yang diperkenalkan kepadanya sewaktu makan malam di sebuah
hotel dua hari lepas.
Mengapa agaknya dia
menelefon lagi? Tak faham bahasa ke? Dah cakap aku tak nak berkawan, buat apa
dia sibuk-sibuk telefon aku lagi? Hati Shafinaz berbisik curiga. Tergambar
wajah pemuda bermisai nipis dengan lagak kasanovanya itu. Meluat dia
mengingatkannya. Wajah Ziyad yang kacak dan sentiasa tenang itu ditatap
lama-lama. Dia inilah pilihanku tetapi kenapa hatiku masih berbolak-balik untuk
menerimanya? Entahlah… Dia mengeluh di dalam hati.