Rumah yang awak duduk tu rumah
sewa ke?” tanya Ziyad sebaik bertemu peluang untuk bersembang dengan Ainin pagi
itu.
Ainin yang baru hendak ke
dapur, terhenti langkahnya. Terus dia berpaling menghadap Ziyad. “Ya, kenapa?”
jawabnya pendek.
Ini sudah tentu Ziyad mahu
bertanya tentang peristiwa malam tadi. Dia mula tidak sedap hati. Hatinya resah
tiba-tiba. Tidak gemar kisah keperitan hidupnya menjadi topik perbualan mereka
pagi itu. Lalu dia berpusing semula menghala ke dapur. Niat di hati ingin
cepat-cepat melarikan diri daripada Ziyad.
“Dah lama awak menyewa kat
situ?” korek Ziyad yang sedang duduk di meja makan.
“Lama juga. Masa tu saya
baru masuk sekolah menengah,” ujar Ainin tanpa berpaling.
“Dah berapa tahun tu?”
tanya Ziyad lagi.
Ainin tidak terus menjawab.
Otaknya mencongak-congak. Dia sendiri tidak ingat sudah berapa tahun dia
tinggal di rumahnya sekarang.
“Lebih kurang sepuluh
tahun.” Dia main agak-agak saja.
“Sebelum ni awak tinggal
kat mana?” Ziyad tidak ubah seperti seorang detektif yang sedang menyoal siasat
orang tahanannya.
“Kat kampung. Di Muar.”
“Jauh tu. Kenapa boleh
merantau sampai ke sini?” Ziyad
kelihatan berminat mahu mengorek kisah hidup Ainin dan keluarganya. Dia bangun
dari kerusi dan melangkah menghampiri Ainin.
Langkahnya terhenti apabila sudah betul-betul berhadapan dengan wanita itu.
Sambil bersandar di dinding, dia menatap wajah Ainin yang sedang menunduk.
Wajah yang dibaluti tudung berwarna merah jambu itu nampak manis walaupun tanpa
solekan berlebihan. Itu salah satu sebab mengapa pandangannya cukup lama
mendarat ke wajah Ainin.
Ainin seperti tidak tentu
arah. Tidak berani menatap wajah lelaki itu.
“Kenapa awak dan keluarga
awak boleh tinggalkan kampung dan datang ke sini?” ulang Ziyad apabila melihat
Ainin Sofiya diam tidak berkutik.
Ainin menarik nafas
panjang. Nampaknya, Ziyad bersungguh-sungguh mahu merisik kisah hidupnya. Ingin
terus mengelak dan mendiamkan diri, terasa tindakannya kurang wajar. Ditakuti
mencetuskan kecurigaan di hati Ziyad nanti. Hendak dibongkar semula coretan
hidup lampau itu, dia berat hati. Bimbang mengundang pilu di sanubari. Bimbang
air matanya tumpah di hadapan Ziyad.
“Masa tinggal kat kampung
dulu, hidup kami susah. Masa tu kami ada rumah dan kebun getah tapi taklah luas
sangat. Kebun arwah ayah luasnya cuma dua ekar aje sebab dah dibahagikan sama
rata antara adik-beradik sebelah ayah.
Bila tiba musim hujan, ayah
tak dapat keluar menoreh, jadi ayah banyak pinjam duit dari pak ngah. Bila tak
cukup duit nak bayar yuran sekolah kami adik-beradik, ayah pinjam lagi duit
dari pak ngah. Lama-lama hutang ayah pada pak ngah jadi bertimbun.
Bila tak mampu bayar, ayah
jualkan tanah kebun dan tanah tapak rumah pada pak ngah. Ayah dan mak bawa kami
adik-beradik merantau ke sini. Kebetulan ayah ada kawan yang tinggal di Kampung
Seri Menanti tu. Ayah kenal masa kerja askar dulu. Pak cik tulah yang carikan
rumah untuk kami sekeluarga,” cerita Ainin sambil menyembunyikan mata yang mula
berair daripada pandangan Ziyad.
“Ramai ke adik-beradik
awak?” soal Ziyad yang menaruh simpati dengan keadaan Ainin.
“Empat orang. Abang dan
kakak saya dah berkahwin. Abang saya askar, kerja kat Johor Bahru. Kakak saya
pulak tak kerja. Tinggal di Muar. Jadi surirumah sepenuh masa.”
“Mereka tak ada bagi mak
awak duit?” selidik Ziyad hingga ke akar umbi.
“Mereka nak bagi pun mereka
bukannya senang sangat. Kalau balik sekali-sekala, mereka hulur juga duit pada
mak. Tapi tak adalah banyak sangat,” kata Ainin, merengus sedikit dan melangkah
ke dapur meninggalkan Ziyad.
“Rumah awak tu sebulan
berapa sewanya?”
Ainin yang mahu mencuci
pinggan mangkuk di singki, mengerling Ziyad yang sudah berada di sisinya dengan ekor mata.
“Kenapa Encik Ziyad tanya?”
“Saja-saja nak tahu. Mahal
sangat ke sampai dah lima bulan awak tak bayar?”
“Dua ratus ringgit
sebulan,” jawab Ainin cepat tanpa memandang Ziyad.
Terbeliak biji mata Ziyad
mendengarnya. Rumah kecil macam tu sewanya sampai RM200? Memang cekik darah!
“Mahalnya!”
“Itulah yang buatkan saya
tak mampu bayar. Dulu sewanya cuma seratus lima puluh tapi sejak saya
berkahwin, Hisyam naikkan sewanya jadi dua ratus ringgit. Saya ingat dia
sengaja nak suruh saya pindah dari rumah tu.”
“Ataupun dia ada niat
lain...” Kata-kata Ziyad terhenti di situ. Wajah Ainin yang sedang tekun
mencuci pinggan, dipandang tepat-tepat.
Ainin menjeling Ziyad
sekilas. “Niat apa pulak?” tanyanya. Geram dengan perangai Ziyad yang suka
serkap jarang.
“Kenapa awak tak nak kahwin
dengan dia?” Ziyad sudah mula melancarkan serang hendap untuk merisik hati dan
perasaan Ainin.
“Kahwin dengan siapa?”
Ainin pura-pura tidak faham.
“Kahwin dengan Hisyam
tulah. Dia sukakan awak, kan? Kenapa awak tak nak kahwin dengan dia? Kalau awak
kahwin dengan dia, semua masalah awak akan selesai. Masa depan awak akan
terjamin.” Ziyad tersenyum-senyum mengusik Ainin.
“Encik Ziyad fikir wang
ringgit boleh menjamin kebahagiaan ke? Kalau saya nak, dah lama saya kahwin
dengan dia. Saya tahu dia dah lama sukakan saya, sejak saya masih bersekolah
lagi. Tapi cinta tak boleh dipaksa. Saya tahu saya takkan boleh bahagia hidup
bersama lelaki macam dia,” ujar Ainin keras.
“Tapi awak tak rasa ke
tindakan awak tu mementingkan diri sendiri? Awak patut pentingkan masa depan
anak awak, keluarga awak. Bukannya perasaan awak,” ulas Ziyad sambil merenung
muka Ainin yang sudah mula merah.
Ainin sudah berhenti
mencuci pinggan dan mengelap tangannya yang basah dengan tuala kecil.
“Apa yang Encik Ziyad tahu
tentang perasaan saya? Jangan sibuk-sibuk nak bagi komen kalau Encik Ziyad tak
tahu langsung pasal kehidupan saya!” bentak wanita itu dengan rasa marah.
“Pepatah kan ada kata...
ikut hati mati, ikut rasa binasa. Awak tentu faham apa maksud pepatah tu. Sebab
awak ikut hatilah, awak dan keluarga awak susah sekarang ni,” sakat Ziyad lagi
tanpa menghiraukan muka Ainin yang merah padam seperti udang dibakar.
“Suka hati sayalah nak buat
apa pun! Encik Ziyad peduli apa?” Suara Ainin tambah meninggi memarahi Ziyad.
Hari ini Ainin betul-betul
naik angin dengan anak tuan rumah yang tiba-tiba saja mahu menjaga tepi
kainnya.Busybody betul! Macamlah dia tu sempurna sangat, getus hatinya memendam
rasa marah pada anak muda yang suka menyakitkan hati itu.
Ziyad tidak membalas
bentakan itu. Hanya tersengih sendiri. Kemudian dia keluar dari dapur menuju ke
ruang tamu. Bersiap untuk ke pejabat.