Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
601,392
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

Pernikahan Ainin Sofiya dan Ahmad Ziyad selamat berlangsung. Dengan sekali lafaz, Ainin sah menjadi isteri kepada Ziyad. Berdebar-debar dada Ziyad tatkala menyarungkan cincin emas bertatahkan berlian di jari manis Ainin. Gelombang debar di dada Ziyad tambah mengganas ketika bersalaman dengan seluruh ahli keluarga Ainin.

Walaupun berniat baik, Ziyad tetap rasa bersalah kerana tidak ikhlas menikahi Ainin. Mujur hanya Ainin dan emak mentuanya sahaja yang tahu tentang itu. Pada emak mentua dan isterinya, awal-awal dia sudah berpesan agar mengunci rahsia itu rapat-rapat. Dia tidak mahu rahsia itu bocor di telinga ahli keluarga sebelah isterinya. Lebih-lebih lagi pada abang Ainin yang menjadi wali pada pernikahan mereka pagi itu. Tidak tahulah apa reaksi Abang Asyraf bila mendapat tahu cerita sebenar. Meletup agaknya gunung kemarahan abang ipar yang nampak gayanya seorang yang panas baran.

Ketika mencium dahi Ainin selepas upacara membatalkan air sembahyang, Ziyad sempat merenung lama wajah wanita yang kini bergelar isterinya. Ainin kelihatan cantik dalam pakaian serba putih. Solekan yang agak tebal menyerlahkan lagi warna kulitnya yang cerah kemerah-merahan. Wajah yang tidak pernah ditepek bedak berlebih-lebihan itu nampak berbeza benar dari biasa. Cantik sungguh Ainin pagi itu. Setiap lelaki yang memandang wajah cantik itu pasti akan berkata, betapa bertuahnya Ziyad kerana memiliki Ainin Sofiya. Tetapi… mengapa hati Ziyad tidak teruja memikirkannya?

“Awak macam mana?” tanya Ziyad tatkala mereka berdua berada di dalam bilik setelah selesai majlis pernikahan.

Ainin yang sedang duduk di atas katil, mengangkat kepala memandang Ziyad yang duduk di kerusi.

“Macam mana apa?” tanyanya tidak faham dengan arah pertanyaan Ziyad.

“Perasaan awak. Macam mana perasaan awak?” Ziyad menyoal dengan lebih jelas.

“Tak ada rasa apa-apa. Macam biasa aje,” jawab Ainin dengan muka bersahaja. Memang itu pun yang aku rasa. Takkan nak berbohong kata aku gembira jadi isteri dia? Dia perasan wajah Ziyad kelihatan serba tidak kena. “Encik Ziyad pulak?” tanyanya pula.

“Saya pun macam tu,” jawab Ziyad sambil melepaskan keluhan berat.

Cuak rasa hati Ainin mendengar Ziyad mengeluh. Dia dah mula rasa menyesal berkahwin dengan aku ke? Hatinya berdetak kencang.

“Encik Ziyad menyesal berkahwin dengan saya?” Ainin tidak dapat bertahan lama untuk menyuarakan bisikan hatinya pada Ziyad.

“Awak jangan salah faham. Saya dah berjanji. Jadi saya akan tunaikan janji saya pada awak. Saya tak mahu awak timbulkan soal ni. Apa yang saya rasa dalam hati saya, biarlah saya dan Allah saja yang tahu,” jawab Ziyad lembut.

Dia tidak berniat langsung mengecilkan hati Ainin. Namun, suara hatinya harus sampai di telinga Ainin. Jika tidak, hatinya tidak akan tenteram.

“Lagi satu, sepanjang perkahwinan kita ni, saya tak nak awak ambil peduli tentang diri saya. Saya tak nak dengar komen awak tentang apa saja yang saya buat, terutama yang berkaitan dengan peribadi saya. Saya berhak lakukan apa saja, keluar dengan perempuan mana pun yang saya suka dan awak tak berhak untuk masuk campur. Faham tu, Ainin?” Mata Ziyad melotot memandang Ainin bagaikan menuntut janji daripada wanita di hadapannya.

Ainin terpaku mendengarnya. Kepalanya tunduk merenung corak permaidani di hujung kaki. Ligat mentafsir makna ucapan Ziyad tadi. Mungkinkah kata-kata Ziyad itu bermaksud, dia tidak suka aku bertanya apa saja tentang perasaannya? Tentang tingkah lakunya? Aku tidak berhak mempersoalkan apa saja tindak-tanduknya biarpun sebagai seorang isteri yang sah? Dia berhak berbuat begitu?

Apa-apa sajalah. Aku pun tak berminat nak ambil tahu pasal dia. Bukan aku cinta pun pada dia, bisik hati kecilnya kemudian. Kalau sudah begitu keputusan Ziyad, Ainin akan terima bulat-bulat. Bukankah memang sudah begitu isi perjanjian mereka? Apa lagi yang mahu dipertikaikan? Biarpun tiada hitam putihnya, namun janji tetap janji.

“Saya juga nak awak berjanji akan simpan rahsia perkahwinan kita ni sungguh-sungguh. Saya tak mahu orang-orang yang rapat dengan saya dapat tahu. Saya berharap sangat pada awak,” pesan Ziyad dengan mata redup merenung muka Ainin. Penuh mengharap.

Ainin hanya mengangguk. Dia tidak pernah berniat busuk mahu menghebohkan rahsia itu pada seluruh dunia. Janji dan harapan Ziyad akan dipegangnya hingga ke mati. Mudah-mudahan rahsia ini akan selamat sampai bila-bila.

“Kenapa Encik Ziyad takut sangat kalau keluarga Encik Ziyad dapat tahu?” Ainin cuba menggerudi isi hati Ziyad hingga ke akar umbi.

“Bukan keluarga saya. Kalau setakat keluarga, saya taklah risau sangat,” jawab Ziyad sambil mengeluh.

“Habis tu?” soal Ainin, tidak berapa faham.

“Awak pun tahu sebabnya.”

“Takut kekasih Encik Ziyad dapat tahu ke?” Ainin serkap jarang.

Ziyad mengangguk. “Saya sayangkan Shafinaz dan saya tak mahu kehilangannya. Kalau dia tahu saya dah kahwin, mesti dia bencikan saya. Itulah yang saya risaukan.” Dia menyambung keluhan.

“Kenapa Encik Ziyad tak terangkan keadaan kita betul-betul pada dia. Mesti dia faham.”

Ziyad tersenyum, tidak yakin mendengar usul Ainin. “Shafinaz ni lain sikit. Dia kuat merajuk. Sekali saya dah buat kesilapan, saya tahu dia takkan maafkan saya lagi.”

Ainin terkedu mendengarnya. Rasa bersalah melilit tangkai hati. Kalaulah dia tahu betapa dalam kasih Ziyad terhadap gadis bernama Shafinaz itu, tidak mungkin dia bersetuju bernikah dengan Ziyad. Tetapi, perkara sudah terjadi, bolehkah waktu yang berlalu diundurkan kembali?

“Kalau tahu akan jadi macam tu, kenapa Encik Ziyad buat keputusan nak berkahwin dengan saya? Encik Ziyad rela menanggung risiko kehilangan dia kerana saya. Encik Ziyad ni dah tak betul agaknya,” rungut Ainin sambil melemparkan pandangan ke arah lain. Tidak selesa memandang muka Ziyad.

“Dah. Jangan persoalkan keputusan saya berkahwin dengan awak. Saya dah kata apa yang berada dalam hati saya cuma saya dan Allah saja yang patut tahu. Saya tak nak awak timbulkan pasal ni lagi. Apa-apa pun, awak dah sah jadi isteri saya. Jadi, saya nak awak jaga maruah awak sebagai seorang isteri,” pesan Ziyad kepada Ainin.

“Encik Ziyad ada terfikir nak lepaskan saya tak? Kalau Encik Ziyad terfikir macam tu, buat ajelah. Saya reda,” sahut Ainin dengan kepala menunduk ke bawah.

“Apa awak cakap ni? Awak ingat perkara nikah kahwin ni boleh dibuat main-main ke? Kahwin hari ni, esok bercerai. Walaupun saya tak cintakan awak, saya takkan lakukan perkara macam tu pada awak. Saya tak mahu menganiayai awak. Saya masih ingat dosa pahala!” marah Ziyad perlahan. Mengawal suara agar tidak kedengaran di telinga tetamu-tetamu yang masih ramai di luar.

Melihat muka Ziyad berkerut-kerut susah hati, Ainin Sofiya terdiam. Tidak bersemangat mahu menyambung kata-kata. Sudahnya masing-masing melayan fikiran yang melencong entah ke mana-mana.

Kedua-duanya tersedar daripada lamunan yang panjang tatkala mendengar bunyi ketukan di pintu bilik. Daun pintu ditarik perlahan.

“Along nak balik, Ainin, Ziyad. Pergilah jumpa dia. Dia ada kat dapur,” kata Kak Anida. Mengarahkan si adik dan suami barunya untuk bertemu dan bersalaman dengan abang sulung mereka, Asyraf yang akan segera pulang ke Johor Bahru.

Ainin dan Ziyad mengangguk. Kemudian beriringan keluar dari bilik pengantin dengan senyuman manis terpamer di bibir. Senyuman yang ternyata palsu.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.