Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
601,351
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Rumah yang awak duduk tu rumah sewa ke?” tanya Ziyad sebaik bertemu peluang untuk bersembang dengan Ainin pagi itu.

Ainin yang baru hendak ke dapur, terhenti langkahnya. Terus dia berpaling menghadap Ziyad. “Ya, kenapa?” jawabnya pendek.

Ini sudah tentu Ziyad mahu bertanya tentang peristiwa malam tadi. Dia mula tidak sedap hati. Hatinya resah tiba-tiba. Tidak gemar kisah keperitan hidupnya menjadi topik perbualan mereka pagi itu. Lalu dia berpusing semula menghala ke dapur. Niat di hati ingin cepat-cepat melarikan diri daripada Ziyad.

“Dah lama awak menyewa kat situ?” korek Ziyad yang sedang duduk di meja makan.

“Lama juga. Masa tu saya baru masuk sekolah menengah,” ujar Ainin tanpa berpaling.

“Dah berapa tahun tu?” tanya Ziyad lagi.

Ainin tidak terus menjawab. Otaknya mencongak-congak. Dia sendiri tidak ingat sudah berapa tahun dia tinggal di rumahnya sekarang.

“Lebih kurang sepuluh tahun.” Dia main agak-agak saja.

“Sebelum ni awak tinggal kat mana?” Ziyad tidak ubah seperti seorang detektif yang sedang menyoal siasat orang tahanannya.

“Kat kampung. Di Muar.”

“Jauh tu. Kenapa boleh merantau sampai ke sini?” Ziyad kelihatan berminat mahu mengorek kisah hidup Ainin dan keluarganya. Dia bangun dari kerusi dan melangkah menghampiri Ainin. Langkahnya terhenti apabila sudah betul-betul berhadapan dengan wanita itu. Sambil bersandar di dinding, dia menatap wajah Ainin yang sedang menunduk. Wajah yang dibaluti tudung berwarna merah jambu itu nampak manis walaupun tanpa solekan berlebihan. Itu salah satu sebab mengapa pandangannya cukup lama mendarat ke wajah Ainin.

Ainin seperti tidak tentu arah. Tidak berani menatap wajah lelaki itu.

“Kenapa awak dan keluarga awak boleh tinggalkan kampung dan datang ke sini?” ulang Ziyad apabila melihat Ainin Sofiya diam tidak berkutik.

Ainin menarik nafas panjang. Nampaknya, Ziyad bersungguh-sungguh mahu merisik kisah hidupnya. Ingin terus mengelak dan mendiamkan diri, terasa tindakannya kurang wajar. Ditakuti mencetuskan kecurigaan di hati Ziyad nanti. Hendak dibongkar semula coretan hidup lampau itu, dia berat hati. Bimbang mengundang pilu di sanubari. Bimbang air matanya tumpah di hadapan Ziyad.

“Masa tinggal kat kampung dulu, hidup kami susah. Masa tu kami ada rumah dan kebun getah tapi taklah luas sangat. Kebun arwah ayah luasnya cuma dua ekar aje sebab dah dibahagikan sama rata antara adik-beradik sebelah ayah.

Bila tiba musim hujan, ayah tak dapat keluar menoreh, jadi ayah banyak pinjam duit dari pak ngah. Bila tak cukup duit nak bayar yuran sekolah kami adik-beradik, ayah pinjam lagi duit dari pak ngah. Lama-lama hutang ayah pada pak ngah jadi bertimbun.

Bila tak mampu bayar, ayah jualkan tanah kebun dan tanah tapak rumah pada pak ngah. Ayah dan mak bawa kami adik-beradik merantau ke sini. Kebetulan ayah ada kawan yang tinggal di Kampung Seri Menanti tu. Ayah kenal masa kerja askar dulu. Pak cik tulah yang carikan rumah untuk kami sekeluarga,” cerita Ainin sambil menyembunyikan mata yang mula berair daripada pandangan Ziyad.

“Ramai ke adik-beradik awak?” soal Ziyad yang menaruh simpati dengan keadaan Ainin.

“Empat orang. Abang dan kakak saya dah berkahwin. Abang saya askar, kerja kat Johor Bahru. Kakak saya pulak tak kerja. Tinggal di Muar. Jadi surirumah sepenuh masa.”

“Mereka tak ada bagi mak awak duit?” selidik Ziyad hingga ke akar umbi.

“Mereka nak bagi pun mereka bukannya senang sangat. Kalau balik sekali-sekala, mereka hulur juga duit pada mak. Tapi tak adalah banyak sangat,” kata Ainin, merengus sedikit dan melangkah ke dapur meninggalkan Ziyad.

“Rumah awak tu sebulan berapa sewanya?”

Ainin yang mahu mencuci pinggan mangkuk di singki, mengerling Ziyad yang sudah berada di sisinya dengan ekor mata.

“Kenapa Encik Ziyad tanya?”

“Saja-saja nak tahu. Mahal sangat ke sampai dah lima bulan awak tak bayar?”

“Dua ratus ringgit sebulan,” jawab Ainin cepat tanpa memandang Ziyad.

Terbeliak biji mata Ziyad mendengarnya. Rumah kecil macam tu sewanya sampai RM200? Memang cekik darah!

“Mahalnya!”

“Itulah yang buatkan saya tak mampu bayar. Dulu sewanya cuma seratus lima puluh tapi sejak saya berkahwin, Hisyam naikkan sewanya jadi dua ratus ringgit. Saya ingat dia sengaja nak suruh saya pindah dari rumah tu.”

“Ataupun dia ada niat lain...” Kata-kata Ziyad terhenti di situ. Wajah Ainin yang sedang tekun mencuci pinggan, dipandang tepat-tepat.

Ainin menjeling Ziyad sekilas. “Niat apa pulak?” tanyanya. Geram dengan perangai Ziyad yang suka serkap jarang.

“Kenapa awak tak nak kahwin dengan dia?” Ziyad sudah mula melancarkan serang hendap untuk merisik hati dan perasaan Ainin.

“Kahwin dengan siapa?” Ainin pura-pura tidak faham.

“Kahwin dengan Hisyam tulah. Dia sukakan awak, kan? Kenapa awak tak nak kahwin dengan dia? Kalau awak kahwin dengan dia, semua masalah awak akan selesai. Masa depan awak akan terjamin.” Ziyad tersenyum-senyum mengusik Ainin.

“Encik Ziyad fikir wang ringgit boleh menjamin kebahagiaan ke? Kalau saya nak, dah lama saya kahwin dengan dia. Saya tahu dia dah lama sukakan saya, sejak saya masih bersekolah lagi. Tapi cinta tak boleh dipaksa. Saya tahu saya takkan boleh bahagia hidup bersama lelaki macam dia,” ujar Ainin keras.

“Tapi awak tak rasa ke tindakan awak tu mementingkan diri sendiri? Awak patut pentingkan masa depan anak awak, keluarga awak. Bukannya perasaan awak,” ulas Ziyad sambil merenung muka Ainin yang sudah mula merah.

Ainin sudah berhenti mencuci pinggan dan mengelap tangannya yang basah dengan tuala kecil.

“Apa yang Encik Ziyad tahu tentang perasaan saya? Jangan sibuk-sibuk nak bagi komen kalau Encik Ziyad tak tahu langsung pasal kehidupan saya!” bentak wanita itu dengan rasa marah.

“Pepatah kan ada kata... ikut hati mati, ikut rasa binasa. Awak tentu faham apa maksud pepatah tu. Sebab awak ikut hatilah, awak dan keluarga awak susah sekarang ni,” sakat Ziyad lagi tanpa menghiraukan muka Ainin yang merah padam seperti udang dibakar.

“Suka hati sayalah nak buat apa pun! Encik Ziyad peduli apa?” Suara Ainin tambah meninggi memarahi Ziyad.

Hari ini Ainin betul-betul naik angin dengan anak tuan rumah yang tiba-tiba saja mahu menjaga tepi kainnya.Busybody betul! Macamlah dia tu sempurna sangat, getus hatinya memendam rasa marah pada anak muda yang suka menyakitkan hati itu.

Ziyad tidak membalas bentakan itu. Hanya tersengih sendiri. Kemudian dia keluar dari dapur menuju ke ruang tamu. Bersiap untuk ke pejabat.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.