Honda CRV milik Ziyad berhenti
betul-betul di hadapan sebuah rumah yang diperbuat daripada papan dan separuh
batu. Ainin terus keluar dari kereta. Pintunya ditutup semula.
Dari luar, kedengaran suara
tangisan Arisha, berbaur dengan suara emak yang sedang cuba menenangkannya.
Mesti Arisha rindu mahu menyusu dengan ibunya. Arisha bukan suka sangat minum
susu formula dalam tin. Mungkin sejak kecil sudah terbiasa menyusu badan,
tukarlah susu formula jenis apa pun, minumnya tetap sedikit.
“Ini rumah awak?” Ziyad
bertanyakan Ainin. Kepalanya terjengul keluar dari tingkap kereta, memandang ke
arah rumah yang tidak ubah macam rumah setinggan.
“Hmm...” sahut Ainin sambil
lewa. Dia tidak berhajat hendak bersembang lama-lama dengan Ziyad. Lebih-lebih
lagi bila mendengar tangisan Arisha yang nyaring. Dia mahu segera masuk ke
rumah, memeluk puteri yang amat dirinduinya.
Ainin sedar Ziyad terkejut
melihat rumahnya yang kecil, jauh berbeza daripada rumah pemuda itu yang
tersergam indah. Biarpun begitu, dia tidak malu mengakui tinggal di rumah papan
yang cuma ada satu bilik itu. Memang sudah begitu hakikatnya, mengapa dia mesti
malu?
Pintu rumahnya terbuka.
Emak berdiri di muka pintu sambil mendukung Arisha. Terdengar bunyi enjin kereta
di hadapan rumah, Mak Ipah terus membuka pintu untuk melihat siapa yang datang.
“Saya masuk dulu. Terima
kasih hantar saya balik,” ucap Ainin.
Ziyad mengangguk.
“Siapa tu, Ainin? Kenapa
tak jemput dia masuk?” Mak Ipah bersuara dari muka pintu sambil menepuk-nepuk
belakang Arisha yang masih menangis.
“Err… ni Encik Ziyad, mak.
Anak puan hajah. Tak apalah, Encik Ziyad dah nak balik ni,” jawab Ainin, mahu
mengelak daripada mempelawa Ziyad masuk. Seboleh-bolehnya, tidak mahu Ziyad
melihat keadaan rumah yang seperti tongkang pecah.
“Ajaklah dia singgah. Boleh
minum kopi dulu,” kata Mak Ipah yang bersungguh mahu berkenalan dengan majikan
Ainin. Hampir sebulan bekerja di rumah Hajah Fauziah, anaknya itu cuma
bercerita yang baik-baik saja tentang majikannya. Sebab itulah dia teringin
hendak berkenalan dengan majikan anaknya itu. Selain itu dia mahu melahirkan
rasa terima kasihnya kerana melayan Ainin
dengan baik.
“Err… Encik Ziyad…”
Kata-kata Ainin Sofiya terputus di situ.
“Tak apa, saya pun teringin
nak kenal dengan mak awak. Manalah tahu saya terserempak dengan mak awak kat
pasar malam, bolehlah saya tegur dia. Tak adalah dia kata saya sombong,” kata
Ziyad selamba lalu keluar dari kereta.
Tanpa menunggu Ainin yang
masih terpinga-pinga menjemputnya masuk, Ziyad terus melangkah mendekati Mak
Ipah. Sepatu kulitnya ditanggalkan dan Ziyad terus bersalaman dengan Mak Ipah.
“Apa khabar, mak cik? Saya,
Ziyad.” Pemuda itu ramah memperkenalkan
diri. Pipi tembam Arisha yang berada di dalam dukungan Mak Ipah, dicuitnya
sedikit.
“Jemput masuk, Encik Ziyad.
Rumah mak cik ni dah macam kapal pecah. Bersepah,” jemput Mak Ipah.
“Tak apa, mak cik. Saya
bukan nak tengok rumah mak cik. Saya cuma nak kenal-kenal dengan mak cik. Oh
ya, tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil saya Ziyad aje,” kata
Ziyad kemudian.
Ainin yang masih berdiri di
luar rumah, naik hairan melihat perangai Ziyad yang boleh terpusing 180 darjah.
Tadi, Ziyad nampak tidak ikhlas ketika menghantarnya pulang. Sekarang, bila
emak mempelawanya masuk, dia tidak pula membantah. Betulkah niat Ziyad sekadar
mahu berkenalan dengan emak dan minum kopi? Huh! Kalau setakat minum secawan
kopi, tidak payah singgah di rumahnya. Restoran
ada di merata tempat. Kopinya pun jauh lebih enak daripada kopi jenis murah di rumahnya ini.
“Jemputlah duduk. Nanti mak
cik buat kopi.”
Mak Ipah menghulurkan
Arisha kepada Ainin. Si kecil itu tersenyum lebar bila didukung ibunya.
Kepalanya disondol ke dada ibunya bagai meminta sesuatu. Ainin yang faham kehendak puterinya berasa serba
salah.
“Encik Ziyad duduk dulu,
ya?” pinta Ainin.
“Kenapa? Awak nak ke mana?”
tanya Ziyad ingin tahu.
“Saya nak masuk bilik
kejap,” jawab Ainin lalu berjalan pantas ke bilik. Mahu mengelak daripada
bersoal jawab dengan Ziyad.
Itu pun nak tanya. Dah anak
menangis, mestilah nak menyusu badan. Takkan pulak aku nak susukan Arisha depan
mata dia, desis hati Ainin dengan pipi merona merah. Tiba-tiba sahaja dia
terasa malu sendiri.
Ziyad duduk memerhatikan
Faiz yang asyik menonton televisyen di sudut ruang tamu. Sekali-sekala Faiz
menoleh ke arahnya. Bila pandangan mereka bertembung, Ziyad melemparkan
senyuman tetapi tidak dibalas Faiz. Cepat-cepat Faiz alihkan semula
pandangannya ke kaca televisyen.
“Adik Ainin tu pendiam
sikit orangnya,” kata Mak Ipah yang baru keluar dari dapur dengan sedulang kopi
O panas. Dia terperasankan Ziyad yang sedang tersenyum memandang Faiz.
Mak Ipah meletakkan dulang
ke atas meja di hadapan Ziyad. Kopi O yang dituang ke dalam cawan.
“Minumlah, Encik Ziyad,”
pelawanya.
“Ziyad, mak cik.” Ziyad
membetulkan panggilan Mak Ipah.
“Ya... ya... Ziyad. Lupa
pulak mak cik,” sambut Mak Ipah. Ketawa sendiri.
Ainin sudah selesai
menyusukan Arisha. Tatkala keluar dari bilik, dia secara kebetulan terdengar
kata-kata Ziyad tadi. Dia mencebik bibir. Dengan emaknya, Ziyad bukan main
mesra. Siap menyuruh emak memanggilnya nama saja. Tetapi… jika dengannya, Ziyad
bukan main sombong. Hendak memanggil Ziyad dengan nama saja? Jangan mimpilah.
Silap hari bulan Ziyad akan melenting dan dia akan dileteri dari pagi hingga
petang.
Pernah sekali dulu Ainin
tersasul memanggilnya Ziyad. Mencerlung mata pemuda itu merenungnya tidak puas
hati. Apabila Ainin meminta maaf dan mengatakan tidak sengaja, barulah muka
Ziyad manis semula.
Macamlah aku nak sangat
bermesra dengan dia, cemuh Ainin di dalam hati. Walaupun dia sudah agak rapat
dengan keluarga Hajah Fauziah, dia masih sedar diri. Orang gaji tetap orang
gaji. Mustahil boleh sama tarafnya dengan tuan rumah. Mungkin hakikat itulah
yang mahu diterapkan Ziyad di dalam mindanya. Orang gaji tidak boleh berganding
sama dengan majikan.
Ainin duduk di sebelah emak
sambil meriba Arisha.
“Anak mak cik yang tu, Faiz
namanya. Nasibnya kurang baik berbanding orang lain. Umurnya dah sepuluh tahun
tapi macam budak umur tujuh tahun. Doktor kata dia ada sakit diseksa...”
“Bukan diseksalah, mak.Disleksia.” Ainin membetulkan
sebutan emaknya. Matanya sempat mengerling ke arah Ziyad. Walaupun wajah itu
nampak bersahaja tetapi hujung bibirnya nampak bergerak-gerak. Dia tahu Ziyad
mahu tergelak mendengar kata-kata emak, namun sengaja ditahan kerana tidak
ingin emak berkecil hati.
“Saya tahu juga serba
sedikit tentangDisleksia tu, mak
cik. Ayah saya seorang doktor dan adik saya pulak bakal doktor. Saya pernah
dengar mereka berbincang pasal ni. Tapi… setahu saya ia bukan sejenis penyakit
cuma ia berkaitan dengan otak. Yang saya tahu, kanak-kanak yang menghidapDisleksia ni melihat perkataan dengan terbalik. Mereka mempunyai masalah
pembelajaran iaitu sukar mengenal huruf, sukar membaca, menulis dan juga
mendengar. Ada ahli keluarga sebelah mak cik atau suami mak cik yang adaDisleksia ke?” Ziyad kelihatan begitu berminat mahu mengenali latar
belakang keluarga pembantu rumahnya.
“Tak ada pulak. Kenapa
Ziyad tanya?”
“SebabDisleksia ni berkemungkinan ada sangkut paut dengan keturunan. Kalau bukan
dari keturunan, mungkin disebabkan proses ketika kelahiran Faiz,” sambung
Ziyad, persis seorang doktor pakar memberi penerangan pada ahli keluarga
pesakit.
“Proses kelahiran?” Ainin
mencelah tidak faham.
“Ya, mungkin Faiz dulu
dilahirkan tidak cukup bulan. Sebab lain mungkin kekurangan oksigen ataupun
ketika melahirkan Faiz dulu mak cik rasa sukar sangat. Sebab proses yang lama
ketika melahirkan boleh menyebabkan kecederaan pada otak bayi,” jelas Ziyad.
Mengalihkan pandangan ke arah Ainin pula.
“Ya, betullah tu. Faiz
lahir tidak cukup bulan. Masa tu, mak cik baru mengandung tujuh bulan, tapi
mungkin sebab mak cik terlampau penat dan tak cukup rehat sebab kuat bekerja,
dia dah nak keluar.” Mak Ipah memutar kembali kenangannya ketika melahirkan
Faiz.
“Tapi…Disleksia ni walaupun tak ada ubat yang boleh mengubatinya, dengan program
pendidikan yang sesuai, masalah ni boleh dikurangkan. Faiz sekarang bersekolah
di mana?” tanya Ziyad kepada Ainin.
“Sekolah Kebangsaan Puchong
Indah.”
“Belajar di kelas biasa ke?
Macam murid-murid lain?”
“Tak. Faiz belajar di kelas
Pendidikan Khas.”
“Baguslah tu. Maksudnya
tindakan awak memasukkan Faiz di kelas Pendidikan Khas adalah tindakan yang
betul. Guru-guru kelas Pendidikan Khas lebih arif tentang cara-cara nak
mengajar murid-murid yang mendapatDisleksiani.
Tapi kalau di rumah, mak
cik perlu bersabar melayan kerenah Faiz. Kanak-kanakDisleksia ni selalunya mudah kecewa sebab mereka sering gagal dalam
melakukan sesuatu perkara. Masa-masa macam nilah, mak cik dan Ainin kena
memberikan sepenuh kasih sayang supaya Faiz tak rasa tersisih,” kata Ziyad
panjang lebar.
Mak Ipah diam. Walaupun
tidak faham sepenuhnya apa yang dijelaskan Ziyad, sedikit sebanyak bertambah
juga ilmunya tentang penyakit Faiz bila mendengar penjelasan itu.
Ainin pula terangguk-angguk
tanda faham. Terbit rasa kagum di hatinya mendengar penerangan Ziyad tadi.
Walaupun bukan bidangnya, tetapi cara Ziyad bercakap bagaikan seorang pakar.
Itu membuktikan Ziyad ini seorang yang berilmu. Dia suka mempelajari sesuatu
yang baru dan tidak terhad dalam lingkungan tugasnya sebagai seorang arkitek.
Itulah untungnya tinggal bersama orang-orang yang mempunyai kerjaya yang
berbeza. Dapat berkongsi dan menambahkan ilmu dan seterusnya menggunakan
pengetahuan itu untuk membantu pula masyarakat sekeliling.
“Minumlah kopi tu, Ziyad.
Sejuk nanti tak sedap pulak,” pelawa Mak Ipah bila melihat Ziyad asyik
tersenyum memandang muka Arisha yang berada di dalam dukungan Ainin.
“Siapa nama anak awak tu?”
tanya Ziyad.
“Arisha,” jawab Ainin.
“Sedap namanya dan cute sangat,” ulas Ziyad.
Ziyad mahu menyambung ‘cute
macam ibunya’ di hujung kata-katanya, namun tidak jadi bila teringatkan
kehadiran Mak Ipah. Nanti, apa pula telahan orang tua itu mendengar memuji anak
perempuannya, sedangkan dia tidak mahu orang tua itu berprasangka bukan-bukan
terhadapnya.
“Berapa umurnya?” soal
Ziyad lagi.
“Enam bulan,” jawab Ainin
penuh rasa bangga.
Kopi yang berasap nipis
diteguk penuh nikmat. Sedap! puji Ziyad dalam hati. Cukup terasa pekat, pahit
dan manisnya. Kalah kopi di restoran ternama yang biasa dikunjunginya.
Sedang mereka duduk berbual
kosong, kedengaran suara orang lelaki memberi salam. Pada mulanya perlahan,
akhirnya bila lambat dijawab, suara itu tambah nyaring. Di hujungnya, suara si
pemberi salam menyebut nama Mak Ipah dan Ainin dengan kasar.
“Tu… macam suara Hisyam,”
kata Mak Ipah dengan muka pucat memandang Ainin Sofiya.
“Memang Hisyam tu, mak.
Biarkan aje. Jangan layan,” sambut pula Ainin, menggelabah. Arisha dipeluknya
kemas-kemas, seperti takut sangat Arisha diapa-apakan oleh orang yang bernama
Hisyam. Dahinya berkerut merenung ke arah pintu yang terbuka sebahagiannya.
Apa hal pulak ni? Hati
Ziyad berdetik tidak faham. Wajah Ainin dan Mak
Ipah silih berganti dipandangnya, mengharapkan salah seorang daripada mereka
memberikan jawapan kepada persoalannya. Tetapi kedua-duanya hanya membisu
seribu bahasa. Muka mereka pucat lesi. Ketakutan.
“Saya datang cara baik, Mak
Ipah! Baik Mak Ipah keluar sebelum saya jerit kuat-kuat bagi semua orang kat
kampung ni dengar!” ugut lelaki bernama Hisyam.
Muka Ainin berkerut-kerut
mendengar ancaman Hisyam. Takut benar dia. Muka emaknya dipandang.
“Nak keluar ke, mak?” Dia
meminta pandangan emaknya.
“Pergilah, Nin. Karang dia
jerit betul-betul, satu kampung dengar, malu kita,” jawab Mak Ipah.
Ainin menghulurkan Arisha
kepada Mak Ipah. Kemudian, bangun melangkah ke pintu. Perlahan-lahan pintu
hadapan dibuka.
Hisyam sedang berdiri
sambil memeluk tubuh di halaman rumah. Di tepi kereta Proton Persona miliknya,
bersandar seorang lelaki bertubuh besar. Siapa lagi, kalau bukan kaki bodeknya,
Shahril.
Mata Hisyam tajam merenung
ke arah kereta Honda CRV yang diparkir betul-betul di hadapan rumah Ainin.
Hatinya tertanya-tanya, milik siapa kereta mewah berkilat itu. Selepas itu
tumpuannya beralih ke wajah Ainin yang sedang berdiri di muka pintu.
“Kenapa, Syam?” tanya Ainin
dengan suara terketar-ketar.
“Tak payah tanyalah kenapa.
Aku rasa kau pun tahu tujuan aku datang. Ni aku nak tanya, bila kau nak bayar
sewa rumah ni? Dah lima bulan kau tak bayar?” Keras suara Hisyam.
“Err… aku belum ada duit
lagi. Nanti hujung bulan aku bayar,” janji Ainin sambil menelan air liur. Kecut
perut melihat wajah bengis Hisyam.
“Hari tu pun kau kata macam
ni. Hujung bulan nak bayar. Tapi akhirnya berbulan-bulan kau tak bayar,” serang
Hisyam dengan mata bagaikan singa lapar memandang Ainin yang berdiri di muka pintu.
“Tapi… aku janji hujung
bulan ni aku bayar. Tunggu aku dapat gaji. Lepas tu aku bayar sebulan atau dua
bulan dulu.” Ainin memaniskan mulut menabur janji pada Hisyam.
Entah ya atau tidak janji
itu boleh ditepati, dia sendiri tidak
pasti. Kalau diikutkan, gaji yang bakal diterima daripada Hajah Fauziah nanti bukanlah banyak sangat.
Tidak cukup pun untuk membayar duit sewa rumah. Cuma lepas duit makan mereka
sekeluarga saja.
“Kau dah kerja?” tanya
Hisyam ingin tahu.
“Ya.”
“Kerja apa? Kat mana?”
tanya Hisyam lagi. Tidak tahu pula dia Ainin sudah bekerja. Setahunya, wanita
itu hanya menjual nasi lemak dan kuih-muih bagi menyara kehidupannya.
“Kerja kat rumah orang,”
ujar Ainin. Hendak tidak hendak saja.
“Oh... jadi orang gajilah
ni,” balas Hisyam lalu ketawa.
Mencerlung mata Ainin
mendengar ilai tawa Hisyam. Tidak puas hati sebenarnya dengan cara pemuda itu
bercakap. Nadanya macam menyindir. Apa hina sangatkah jadi orang gaji? Ainin
tahu gaji sebagai pembantu rumah tidak sebanyak mana tetapi sekurang-kurangnya
pekerjaan itu halal.
“Buat apalah susah-susah
jadi orang gaji, Ainin. Kalau kau kahwin dengan Syam, kau dah tak payah kerja.
Duduk rumah je pasang badan. Syam mesti tak bagi kau kerja punya. Silap-silap
dia yang carikan orang gaji untuk kau.” Menyampuk pula Shahril dengan sengihan
macam kerang busuk.
Shahril yang kaki bodek
memang dikenali sebagaibodyguard Hisyam.
Ke sana ke mari asyik mengekor buntut Hisyam. Macam bayang-bayang.
Ainin diam tidak membalas.
Malas melayan gurauan Shahril yang langsung tidak kelakar. Bukan dia tidak
tahu, Hisyam sudah lama tergila-gilakannya. Tapi dia saja yang malas melayan.
Sebelum dia berkahwin dengan arwah
suaminya lagi, Hisyam sudah menaruh hati terhadapnya. Apabila dia berkahwin
dengan arwah Abang Hairi, Hisyam seperti tidak dapat menerima kenyataan itu.
Habis mereka satu keluarga diamuknya. Sekarang, apabila dia kembali solo,
Hisyam tidak melepaskan peluang untuk merebut kembali hati wanita pujaannya.
Namun, Ainin tidak sudi hidup bersama dengan lelaki berlagak itu walau sebanyak
mana pun harta keluarganya.
“Tak nak pertimbangkan niat
aku ke, Nin?” tanya Hisyam, meminta simpati.
“Aku ada kerja ni. Nanti
hujung bulan aku bayar duit sewa rumah ni,” putus Ainin yang cepat mahu masuk
ke dalam rumah dan menutup pintu. Meluat dan benci mahu melayan Hisyam yang
tidak tahu malu itu. Langsung tidak sensitif dengan perasaannya. Tanah kubur
arwah suaminya masih merah, tapi Hisyam sudah sibuk-sibuk mengajaknya menikah.
Macamlah dia ini kemaruk sangat mahu bersuamikan lelaki itu!
“Aku pegang janji kau,
Ainin Sofiya! Hujung bulan ni kau mesti bayar! Kalau kau tak bayar juga, aku
akan panggil kawan-kawan aku! Aku akan humban kau, keluarga kau dan semua harta
karun kau keluar dari rumah ni! Rumah yang kau duduk ni bukan rumah kebajikan
dan keluarga aku juga bukannya baik sangat nak bagi kau tinggalfreekat rumah ni! Jadi, hujung bulan ni aku nak duit aku!” ugut Hisyam
dengan suara meninggi. Lagi meradang dia apabila Ainin tidak mengindahkan
kata-katanya. Tidak mahu langsung memikirkan niat murninya.
Sebaik melihat Ainin
menghilang di balik pintu, dia terus melangkah ke keretanya. Tidak lama
kemudian, bunyi enjin kereta Proton Personanya semakin jauh meninggalkan rumah
Mak Ipah.
Ziyad tidak senang duduk
melihat kejadian itu tadi. Hatinya meronta-ronta mahu mengorek kisah sebenar
daripada mulut Ainin. Mengapa lelaki itu
meminta duit daripada Ainin? Duit apa yang dituntutnya? Duit sewa rumah? Takkan
rumah sekecil ini pun disewa? Kalau betul ini rumah sewa, berapa pula sewanya
sebulan? Soalan demi soalan bertali arus mengganggu benaknya.
Hendak dikoreknya kisah itu
daripada Ainin, Ziyad rasa tidak sedap hati. Tambahan pula, bila melihat wajah
wanita itu monyok. Mahu ditanya kepada Mak Ipah, mukanya juga tidak seceria
tadi. Jadi, dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dulu. Esok akan
diselidiknya daripada Ainin sendiri.