Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
598,728
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

"Mak!” seru Ainin Sofiya.

Selesai memarkirkan motosikal buruknya di bawah pohon mempelam, Ainin dengan wajah cerianya terus bergegas ke rumah dan memanggil emaknya. Pintu hadapan yang tidak berkunci ditolak dengan tangan kiri, sementara tangan kanannya memegang bakul dan tiga buah bekas plastik yang telah kosong.

Sebaik sahaja pintu dibuka, Ainin menjenguk ke dalam. Mak Ipah yang sedang menemani Faiz makan, menoleh ke arah anak perempuannya. Faiz yang baru pulang dari kelas Pendidikan Khas di sekolah rendah berdekatan tersengih-sengih melihat kakaknya.

“Akak… dah… alik?” tegurnya dengan sebutan yang tidak berapa betul dan tergagap-gagap sedikit.

Tumbesaran yang lambat membuatkan Faiz jadi begitu. Dia pula jenis pendiam. Tidak suka bercakap banyak. Hanya dengan ahli keluarganya, dia mahu bersembang. Dengan orang lain, cukup susah mahu melihat dia membuka mulut.

Ainin cuma tersenyum dan mengangguk. Kepala adiknya diusap sayang. “Adik baru balik sekolah?”

“Hmm...” Faiz mengangguk. Tersengih lagi, menampakkan giginya yang jarang-jarang di bahagian tengah.

“Makan elok-elok,” pesan Ainin lembut lalu kembali menumpukan perhatian pada emaknya.

“Kenapa, Ainin? Dari bawah tadi mak dah dengar suara Ainin terjerit-jerit,” tegur Mak Ipah yang tidak berkenan dengan perangai anak perempuannya. Dari jauh sudah terpekik-pekik. Malu kalau didengar dek jiran.

“Ainin dah dapat kerja kat rumah orang. Kak Midah beritahu Ainin tadi. Katanya isteri Haji Said yang tinggal kat Taman Permata Indah sana telefon dia malam tadi beritahu ada orang nak pakai pembantu rumah,” jelas Ainin.

Setelah meletakkan barang-barang yang dibawanya di tepi pintu dapur, dia duduk bersila di sebelah emak.

Mak Ipah tersenyum gembira mendengar khabar itu. Terhenti sebentar tangannya mencubit ikan goreng untuk diletakkan ke dalam pinggan Faiz.

“Syukur, Alhamdulillah. Allahmakbulkan juga doa kita ya, Nin? Kat mana rumah yang Ainin nak kerja tu?” tanyanya tidak sabar-sabar.

“Kat Taman Permata Indah juga, mak. Kata Kak Midah tadi, dekat dengan rumah Haji Said,” beritahu Ainin. Matanya berair sedikit dek titisan air jernih yang bertakung di tubir mata. Menangis kerana terlampau gembira.

“Kat mana tu? Jauh tak dari sini?” Dalam gembira, Mak Ipah risaukan keselamatan diri Ainin nanti. Kalau jauh, bagaimana Ainin hendak ke sana? Hendak mengharap motosikal buruk yang selalu semput itu? Huh! Jangan cari fasal! Niat hendak mencari rezeki, bala pula yang datang nanti.

“Tak jauh. Taman Permata Indah tu dekat-dekat sini aje. Lepastraffic lightkedua, belok kiri. Tak sampai lima puluh meter lepas tu, jumpalah Taman Permata Indah. Rumah yang Ainin nak kerja ni kat Jalan Permata dua.” Ainin menerangkan kepada emak yang tidak tahu apa-apa. Maklumlah orang jarang keluar rumah.

“Ainin pergi nanti naik motosikallah, ya?”

“Yalah, mak. Ainin nak pergi naik apa lagi? Takkan nak jalan kaki.” Ainin tergelak. Hairan dia emak boleh bertanya soalan itu. Macamlah dia punya kenderaan lain selain motosikal buruk arwah ayah itu.

Dulu memanglah ada. Sebelum meninggal dunia, arwah suaminya ada meninggalkan kereta Kancil tetapi berbulan-bulan tidak berbayar, kereta ditarik pihak bank. Ah! Kalau ada pun kereta Kancil itu tersadai di depan rumah, apa gunanya? Dia bukannya pandai memandu. Belajar memandu pun cuma sekerat jalan. Apabila Abang Hairi pergi menghadap Ilahi,pembelajaran Ainin Sofiya turut terhenti.

Muka Mak Ipah berkerut memandang Ainin. “Motosikal tu bukannya elok sangat. Buatnya meragam tengah jalan macam mana?” Dia naik risau.

“Jangan takutlah, mak. Motosikal tu nampak aje buruk tapi enjinnya elok lagi. Nanti Ainin minta Zali tengok-tengokkan. Kalau ada yang rosak teruk nanti Ainin akan suruh Zali baiki,” jawab Ainin ambil mudah.

Mak Ipah mengeluh di dalam hati. Cakap memang senang. Dia pun tahu motosikal buruk itu sememangnya perlu dibaiki. Tetapi, hendak membaiki motosikal yang sudah berzaman tidak masuk bengkel itu, perlukan duit. Bukannya sedikit, mahu cecah dua, tiga ratus ringgit. Nampaknya, duit simpanan yang tinggal sisa di dalam bank itu kena korek juga. Kalau tidak dibaiki, susah pula Ainin hendak keluar bekerja. Entahlah... Serba salah Mak Ipah memikirkan masalah kewangan yang kian menghimpit kehidupannya ini.

“Ainin tahu apa yang mak fikir. Dahlah, mak. Tak usah risau sangat. Moga-moga, lepas Ainin kerja nanti, nasib kita akan berubah sikit,” ujar Ainin. Dadanya sebak serta-merta. Tidak sanggup dia menatap muka emak. Matanya mudah mengalirkan air jernih jika terpandang wajah emak yang sendu begitu.

“Bila Ainin mula kerja?” tanya Mak Ipah setelah perasaan yang kacau tenang sedikit.

“Kata Kak Midah tadi, petang ni Ainin kena datang jumpa tuan rumah tu dulu. Dia nak kenal-kenal, lepas tu terangkan kerja apa yang Ainin kena buat. Esok pagi baru Ainin mula kerja,” terang Ainin dengan wajah ceria kembali.

“Kalau Ainin dah mula kerja nanti, siapa nak tolong jualkan kuih?” Mak Ipah mula memikirkan satu lagi masalah barunya.

“Ainin dah fikirkan semua tu, mak. Ainin dah minta tolong Kak Midah jagakan gerai kita dan dia setuju. Pagi sebelum pergi kerja, Ainin akan hantar dulu nasi lemak dan kuih-kuih tu pada Kak Midah. Balik tengah hari nanti, Ainin akan singgah rumah Kak Midah, ambil hasil jualan dan beli barang kat kedai Pak Cik Daud.” Ainin menjelaskan rancangan dalam kepalanya pada emak. “Mak jangan risau lagi, ya?” pujuknya apabila melihat emak diam tidak berkutik.

Mak Ipah diam juga. Tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Matanya jauh memandang ke hadapan. Merenung nasib yang entah bila akan berubah.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.