Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
601,357
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Tersentak Hisyam apabila Ainin menghulur sepucuk sampul surat tebal berisi wang sewa rumah padanya.

“Dalam tu ada seribu dua ratus ringgit untuk sewa rumah yang dah lima bulan tertunggak campur sewa rumah bulan ni,” kata Ainin dengan muka masam memandang Hisyam.

Hisyam membuka sampul surat berwarna putih di tangannya. Besar matanya memandang beberapa keping not seratus ringgit tersusun elok di dalamnya. Banyaknya duit dia! Di mana dia dapat duit ni? Mustahil baru sebulan bekerja sebagai pembantu rumah, Ainin berjaya mengumpul wang sebanyak ini. Dia meminjam dari orangkah?

“Dari mana kau dapat duit ni, Ainin? Kau pinjam dari along ke?” soal Hisyam, mengusik Ainin.

Ainin yang mahu beredar dari situ terus membatalkan niatnya bila mendengar soalan Hisyam.

“Tak. Aku tak pinjam dari sesiapa pun. Tu duit aku sendiri,” jawab Ainin seraya memandang tepat ke wajah pemuda yang berambut panjang hingga ke bahu.

Penampilan Hisyam yang berserabut merimaskannya. Ditambah lagi dengan perangai Hisyam yang gila-gila bahasa. Bercakap suka ikut sedap mulut. Sebab itu dia tidak berminat mahu menjalin hubungan dengan Hisyam yang panas baran orangnya.

“Banyak duit kau,” perli Hisyam sambil ketawa kecil.

“Kan aku dah cakap, aku kerja.” Ainin mula naik darah apabila Hisyam mula menyindirnya.

“Tapi besar sangat ke gaji kau tu? Ada ke pembantu rumah dapat gaji sampai seribu? Selama aku hidup belum pernah aku dengar pasal ni?”

“Yang kau sibuk sangat ni kenapa? Kau dah dapat duit kau, kan? Apa lagi yang kau nak?!” bentak Ainin.

Hisyam tergelak kuat. Shahril yang duduk di dalam kereta turut tergelak.

“Kau tanya apa yang aku nak? Aku nakkan kaulah, Ainin! Itu pun kau masih nak tanya lagi.” Gelak Hisyam berselang-seli dengan ilai tawa Shahril.

Ainin mencebik bibir mendengarnya. “Gila! Kau cerminlah muka kau tu dulu,” sindirnya yang sudah berpaling mahu melarikan diri dari Hisyam.

“Kau pinjam dari lelaki yang pakai Honda CRV tu ke, Ainin?” tanya Hisyam.

Sejak melihat kereta Honda CRV berwarna kelabu di hadapan rumah Ainin tempoh hari, hati Hisyam meronta-ronta ingin mengenali pemiliknya. Sudah lama dia mahu bertanyakan hal itu kepada Ainin tetapi hajatnya belum kesampaian. Bertemu peluang keemasan begini, dia tidak mahu melepaskannya.

“Siapa dia, Ainin?” tanya Hisyam lagi.

“Siapa pun dia, kau tak payah sibuk-sibuk nak tahu,” jawab Ainin geram.

Boyfriendkau ke?”

Ainin merengus.

“Hebatnya kau, Ainin. Belum sampai setahun kau menjanda, dah dapat tangkap balak kaya. Dia kerja apa, Ainin?” Hisyam belum kering gusi menyindir Ainin.

Berdesing telinga Ainin mendengarnya, tetapi dia tidak membalas. Langkahnya pantas dihalakan ke muka pintu. Belum sempat bayang Ainin menghilang ke dalam, kedengaran bunyi enjin kereta di halaman rumah. Langkahnya terhenti. Pantas dia berpusing ke belakang. Kereta Ziyad sudah berhenti dan diparkir betul-betul di sebelah Proton Persona kepunyaan Hisyam.

Tajam renungan Hisyam tatkala melihat Ziyad keluar dari kereta Honda CRVnya. Macam tidak berpuas hati dengan kehadiran Ziyad di situ. Wajah Hisyam seperti mahu mencari gaduh saja.

Ziyad pula walaupun menyedari riak aneh pada wajah Hisyam, hanya buat-buat tidak nampak. Terus menutup pintu kereta dan berjalan mendapatkan Ainin yang sedang berdiri di muka pintu. Di tangannya ada dua buah beg plastik. Satu daripadanya berisi seikat buah rambutan.

“Awak dah bagi duit sewa rumah pada dia?” tanya Ziyad sambil menghulurkan beg plastik di tangannya kepada Aini. Sepasang matanya sempat menjeling ke arah Hisyam yang sudah masuk ke dalam keretanya.

“Dah,” jawab Ainin sambil menyambut beg plastik dari tangan Ziyad.

“Kalau dah bagi, kenapa dia masih menunggu lagi kat situ? Lepas tu tengok saya macam nak telan. Awak layan dia bersembang ke? Ada apa-apa yang awak dah cerita pada dia?” risik Ziyad dengan muka berkerut memandang Ainin.

“Encik Ziyad fikir saya bodoh ke nak cerita semua pasal kita pada Hisyam? Saya masih ingat janji saya. Sebetulnya tadi saya tak nak layan dia, tapi dia dah tanya, takkan saya nak buat-buat pekak aje?” Ainin tidak berpuas hati dengan cara Ziyad bertanya. Macam menyalahkan dirinya pula. Takut sangat dia memungkiri janjinya.

“Ingat, Ainin. Saya tak mahu seorang pun tahu tentang hubungan kita,” pesan Ziyad. Berulang kali mengingatkan Ainin.

“Saya tahulah. Saya tak pernah lupa pesan Encik Ziyad tu.” Aini menjeling tajam wajah lelaki itu. Macamlah aku ni orang tua dah nyanyuk. Cepat lupa dan kena diingatkan selalu, rungut hatinya. Geram dengan perangai Ziyad yang susah mahu meletakkan kepercayaan pada dirinya. “Apa hal Encik Ziyad datang malam-malam ni?” soalnya kasar sedikit.

“Saja nak jumpa keluarga saya. Keluarga awak bermakna keluarga saya juga, Ainin.” Ziyad melunakkan suara bila melihat muka dan suara Ainin sudah berubah rentaknya.

“Tak payahlah Encik Ziyad kerap sangat datang ke rumah saya. Encik Ziyad tak perlu tunjukkan perhatian berlebih-lebihan pada keluarga saya. Bukannya apa, takut menimbulkan syak wasangka pada jiran-jiran. Nanti timbul pulak fitnah. Kalau Encik Ziyad mahu rahsia Encik Ziyad selamat, baik jangan datang ke rumah saya lagi.”

“Awak macam marahkan saya aje, Ainin.” Lembut suara Ziyad menyapa gegendang telinga Ainin Sofiya.

“Saya tak marahkan Encik Ziyad tapi Encik Ziyad kena faham situasi saya. Saya ni baru aje kematian suami. Jadi sesiapa pun lelaki yang datang ke rumah saya, pasti menimbulkan tanda tanya jiran-jiran. Pasti akan jadi buah mulut orang. Kalau Hisyam yang datang, saya tak kisah sangat sebab Hisyam tu memang muka tembok. Semua orang kampung dah kenal dia. Tapi… orang kampung tak pernah nampak Encik Ziyad. Malam ni Encik Ziyad datang, esok mesti kecoh satu kampung,” terang Ainin.

“Betul ke? Susahlah kalau macam tu. Tapi mak awak tak kisah ke kalau saya tak datang jenguk dia?” Ziyad susah hati jika dituduh menantu tidak berguna.

“Kenapa pulak Encik Ziyad risaukan mak saya?”

“Saya takut mak awak akan anggap lain pada saya nanti,” ujar Ziyad runsing.

“Encik Ziyad jangan risau. Mak faham keadaan kita. Saya dah terangkan pada mak tujuan Encik Ziyad berkahwin dengan saya. Saya rasa mak pun sependapat dengan saya.”

Ziyad mengangguk bersetuju dengan kata-kata Ainin Sofiya. “Baiklah, kalau begitu kata awak. Tapi kalau saya tak datang, awak jangan merungut. Jangan kata saya suami tak bertanggungjawab pulak.” Selamba Ziyad berkata begitu.

“Saya takkan cakap macam tu. Bukan ke kita dah berjanji?”

“Macam mana kalau saya rindukan Arisha nanti?” tanya Ziyad, sengaja mengusik Ainin.

Rindukan Arisha? Jumpa anak aku pun baru dua, tiga kali, dah mengaku rindukan Arisha. Eeii... biar betul mamat ni! Hati Ainin berdetik tidak percaya dengan ungkapan Ziyad.

“Baik Encik Ziyad tak payah layan perasaan tu. Tak payah rapat-rapat sangat dengan Arisha. Nanti kalau dah terlalu rapat, susah pulak nak berenggang. Kesian Arisha kalau kena tinggal dengan Encik Ziyad nanti,” jawab Ainin mengawal emosi marahnya. Dia sendiri tidak berani meletakkan sebarang harapan pada Ziyad. Bimbang harapan hanya tinggal harapan.

Dia sedar siapa dirinya. Walaupun sudah bergelar isteri kepada Ziyad, tetapi apalah yang ada pada status isteri yang hanya pada nama? Tiba saat dan ketikanya, dia akan ditinggalkan juga. Bila tiba detik itu, dia tidak mahu ada sebarang rasa penyesalan membelenggu jiwanya. Dia mahu melepaskan Ziyad pergi dengan hati terbuka.

“Takkan saya tak boleh rapat dengan Arisha? Saya kan dah jadi papa dia?” sakat Ziyad sambil tersenyum-senyum. Mahu terus mengusik perasaan Ainin.

“Papa Arisha? Encik Ziyad jangan nak berangan!”

“Siapa kat luar tu, Ainin? Kenapa tak jemput masuk?’ tegur Mak Ipah yang terdengar suara orang berbual di luar tetapi tidak ketahuan siapa.

Perbualan yang mula panas itu terus terhenti bila mendengar suara Mak Ipah dari dalam rumah. Ziyad dan Ainin melangkah masuk ke dalam. Melupakan terus hal sensitif yang menjadi subjek perbualan mereka sebelum ini.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.