Sebaik sahaja masuk ke rumah
Hajah Fauziah dan terlihat Ziyad sedang duduk santai di ruang tamu, Ainin terus
menuju ke arahnya. Berdiri betul-betul di hadapan Ziyad dengan muka tegang
semacam.
“Berapa sebenarnya gaji saya
sebulan?” tanya Ainin dengan tangan kanan menyeluk poket seluar panjangnya.
Ziyad yang sedang menonton
rancangan Malaysia Hari Ini di TV3, mengalih pandang ke wajah Ainin. Hari ini
Ainin nampak lain sedikit apabila mengenakan blaus berwarna merah jambu
berbunga kecil-kecil. Cantik! Dia sempat memuji dalam hati.
“Kenapa?” soalnya sambil
lewa. Matanya mendongak ke wajah Ainin yang sedang berdiri terpacak di
hadapannya.
“Saya saja nak tahu. Berapa
sebenarnya gaji saya sebulan?” ulang Ainin Sofiya tidak puas hati bila Ziyad
bersikap acuh tidak acuh.
“Entah. Saya bagi ikut suka
hati saya. Kalau saya puas hati dengan khidmat awak, saya bagi lebih. Kalau
tak, awak dapat ciput ajelah,” jawab Ziyad selamba.
Ziyad sebenarnya sengaja
mahu mengusik Ainin. Puas rasa hati Ziyad melihat wajah cerah milik wanita di
hadapannya sudah bertukar jadi merah padam.
“Encik Ziyad ni kenapa? Apa
yang Encik Ziyad tak puas hati sangat dengan saya? Dari hari tu lagi, Encik
Ziyad selalu cari pasal dengan saya. Encik Ziyad tak suka saya bekerja di sini
ke? Kalau tak suka, cakap terus terang! Saya boleh berhenti!” bentak Ainin.
Tidak gentar langsung berhadapan dengan anak majikan yang suka sangat bercakap
ikut sedap mulut. Harap muka saja kacak, tapi perangainya duduk di tahap paling
bawah. Macam manalahgirlfrienddia boleh
tahan dengan perangai dia ni?
Ataupun dengan kekasihnya,
perangai Ziyad boleh berputar 180 darjah. Baik sangat sampai pijak semut pun
tak mati. Huh!
“Siapa kata saya tak suka
awak kerja kat sini? Saya suka. Umi dan abah saya pun suka. Pandai mengemas dan
memasak. Mana nak cari pembantu rumah yang pandai masak macam awak? Kalau awak
masak lauk asam pedas, hmm... hotel lima bintang pun kalah. Sayang kalau
berhentikan pembantu rumah bagus macam awak.” Selepas menyakat, Ziyad mengipas
Ainin.
Kembang kuncup hati Ainin
mendengar pujian yang melambung tinggi itu. Untuk seketika, terbang semua rasa
marah yang mengocak dada. Muka yang tegang terus bertukar menjadi merah jambu.
Terkebil-kebil matanya memandang Ziyad. Malu sungguh bila dipuji-puji begitu.
“Jadi sekarang berapa
sebenarnya gaji saya?’ Ainin mengulang soalan yang belum ditemui jawapannya.
“Kan saya dah cakap tadi...
kalau saya...”
“Saya nak jawapan yang
betul, Encik Ziyad. Mana ada orang kerja ikut suka hati majikan nak bayar
berapa?” potong Aininyang naik angin semula melihat perangai Ziyad yang tidak serius.
“Memang tak ada. Awak
seorang aje...”
“Kalau macam tu, ini dah
termasuk kes buli. Kalau saya buat aduan nanti, Encik Ziyad jugak yang susah.”
Dalam takut-takut beraninya, Ainin cuba mengugut Ziyad.
“Adulah. Awak nak mengadu
pada siapa?” sakat Ziyad bersahaja. Di dalam hati, dia berasa lucu melihat
wajah comel itu sering bertukar-tukar reaksinya. Sekejap marah. Kemudian
tersenyum. Selepas itu mengamuk lagi.
“Pada CUEPECSlah!” Jawapan
itu meluncur keluar daripada bibir Ainin tanpa dirancang. Sedar-sedar, Ziyad
sudah tergelak besar mendengarnya sehingga menekan-nekan perut. Dia yang
melihat gelagatnya terpinga-pinga tidak faham. Aku tersalah sebut ke?
“Awak ni nampak sangat tak
baca suratkhabar dan tak tengok berita. CUEPECS tu, sayang... kesatuan yang
mewakili pekerja sektor khidmat awam atau lebih mudah kakitangan kerajaan. Awak
kakitangan kerajaan ke?” tanya Ziyad sambil ketawa.
Merah muka Ainin mendengar
penjelasan Ziyad. Manalah Ainin tahu apa maksud CUEPECS itu. Mendengar orang
lain menyebut, dia pun mahu menyebut. Tetapi makna sebenarnya, dia langsung
tidak ambil peduli. Betul kata Ziyad, dia tidak menonton siaran berita dan
membaca akhbar. Dia tidak mengikuti perkembangan semasa. Hidup macam katak di
bawah tempurung. Dunianya hanya tertumpu pada soal mencari wang untuk menampung
kehidupan.
Dia terlalu memikirkan
sangat tentang dunianya yang sempit sehinggakan dunia sekeliling yang lebih
luas tidak diberikan perhatian. Alangkah sedihnya menjadi insan seperti Ainin
Sofiya!
“Lain kali kalau nak cakap,
kena fikir dulu. Jangan main sebut saja, nanti awak yang malu. Ingat lagi tak
apa yang saya cakap dulu? Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Jangan kerana
terlepas cakap, awak yang akan binasa nanti,” tutur Ziyad yang secara tidak
langsung mahu menasihati Ainin.
“Saya hargai nasihat tu,
Encik Ziyad. Kalau Encik Ziyad tak nak cakap berapa gaji saya sebenar, saya pun
tak kisah. Tapi...”
“Gaji tetap awak lima ratus
ringgit. Awak akan dapat lebih kalau awak kerjaovertime,” pintas Ziyad, cuba bersikap bersahaja bagi menyembunyikan
senyuman yang mahu mencelah di bibir. Apa tidaknya, lucu memikirkan tugas
pembantu rumah pun adaovertime!
“Apa maksudovertime tu?” tanya Ainin yang berminat mendengar penjelasan Ziyad.
“Senang aje. Kalau awak
balik lewat sikit, macam lepas maghrib ke atau lepas isyak, awak akan dapatlah
gajiovertime. Sama juga kalau awak bekerja hari minggu, awak dapat juga gajiovertimetu,” terang Ziyad lagi.
“Tapi... yang saya musykil,
bulan ni saya tak ada kerjaovertime macam yang Encik Ziyad
cakap tu, tapi kenapa Encik Ziyad bayar gaji saya sampai lima ribu ringgit?”
soal Ainin dengan mata terbeliak merenung muka Ziyad.
Itu yang mahu ditanyakan
Ainin sejak semalam. Baru sebulan dia
bekerja di rumah Hajah Fauziah, takkanlah gajinya mengalahkan gaji pegawai bank.
Setahu Ainin, gaji pembantu rumah paling banyak pun hanya setakat RM500 saja. Bila
diberitahu Ziyad dua hari lepas yang gajinya untuk bulan ini sudah dimasukkan
ke dalam bank, dia rasa sangat teruja. Tengahari semalam terus dikerahnya Amin,
anak Makcik Senah menghantarnya ke bank. Terkejut bukan main Ainin melihat
deretan angka yang terpapar di buku banknya. RM5000! Apa yang terlintas di
fikirannya, mungkin Ziyad tersilap memasukkan wang. Lalu semua wang berjumlah
RM5000 itu dikeluarkan dengan tujuan untuk memulangkan semula sebahagian
besarnya kepada Ziyad.
“Oh... itu. Tu mungkin saya tersilaptransfer. Saya naktransfer lima ratus ke akaun awak tapi
mungkin terlebih angka sifarnya. Tapi tak apalah. Awak ambil ajelah. Saya
halalkan,” jawab Ziyad sambil pura-pura menumpukan perhatian pada kaca
televisyen LCD bersaiz 52 inci.
Dahi Ainin berkerut
memandang Ziyad. Mudahnya lelaki ini mencipta alasan. Macam main-main. Adakah
orang boleh main-main tentang wang?
“Encik Ziyad jangan nak
tipu saya!” balas Ainin geram.
“Siapa kata saya tipu? Apa
yang saya kata tu betul. Awak guna saja duit tu untuk keperluan awak. Awak
boleh bayar sewa rumah yang dah lima bulan tertunggak tu. Selebihnya, beli
motosikal baru. Motosikal awak tu dah layak duduk dalam muzium. Saya tak nak
awak tunggang motosikal tu lagi. Bahaya. Buatnya terhenti enjin kat tengah
jalan, habis awak kena sondol dengan lori. Awak nak ke mati katak tengah jalan?
Lagipun, kalau motosikal awak buat hal lagi, saya juga yang kena hantar awak
balik rumah. Lecehlah!” ujar Ziyad dengan muka sengaja dikerutkan.
Berubah muka Ainin
mendengar kata-kata Ziyad. Lelaki ini memang berlagak tidak bertempat. Mahu menolong
tetapi tidak ikhlas. Ingin membantu tetapi punya agenda tersembunyi. Dia ingat
aku kemaruk sangat dengan duit dia tu? Huh!
Ainin menyeluk poket seluar
panjangnya. Segumpal not berwarna ungu dikeluarkan. Setelah mengambil lima
keping not RM100, wang selebihnya diletakkan di atas meja di hadapan Ziyad.
“Apa ni?” tanya Ziyad
pantas dengan mata tajam merenung Ainin.
“Saya tak nak duit Encik
Ziyad. Saya ambil mana yang jadi hak saya aje,” kata Ainin sambil berpaling
mahu ke dapur.
“Saya ikhlas nak bantu awak.
Awak perlukan duit, kan?” Ziyad tdak
faham dengan sikap Ainin. Sedar diri susah tetapi menyombong tidak bertempat.
“Saya tak nak duit Encik
Ziyad. Tentang masalah saya tu, saya akan ikhtiarkan sendiri,” jawab Ainin lalu
berjalan laju menuju ke dapur.
Ziyad bangun. Duit kertas
segumpal yang diletakkan Ainin di atas meja tadi diambil lalu mengejar Ainin
dari belakang.
“Nak ikhtiar macam mana?
Apa lagi ikhtiar yang awak ada? Sewa rumah dah tertunggak lima bulan. Tak bayar
nanti, awak akan dihalau keluar dari rumah tu. Mulut awak, anak awak, mak dan
adik awak tu kena diisi. Cukup ke dengan gaji lima ratus tu?” serang Ziyad.
“Saya kata saya akan
ikhtiarkan,” bantah Ainin sambil berpaling ke arah lain.
Mendengus kuat Ziyad
mendengarnya. Wanita yang berdiri di hadapannya ini betul-betul keras hati.
Langsung tidak makan dipujuk.
“Okey, awak anggap aje ni
sebagai pinjaman. Bila-bila awak ada duit nanti awak bayar. Saya tak kisah pun
kalau awak bayar lambat.” Ziyad masih cuba memujuk Ainin menerima bantuannya.
“Pinjaman? Nak tunggu saya
ada duit baru bayar? Bila tu? Saya rasa sampai mati pun saya takkan dapat bayar
duit Encik Ziyad tu.” Ainin ketawa. Lucu mendengar kata-kata Ziyad yang rela
menjadi bank tempatnya meminjam wang.
“Kalau macam tu, awak tak
payah bayar. Saya halalkan.”
“Terima kasih, Encik Ziyad.
Saya hargai budi baik Encik Ziyad nak menolong saya. Tapi saya tak mahu
terbiasa makan budi orang. Kalau Encik Ziyad tolong saya kali ini, masalah saya
memang boleh selesai. Tapi selesai untuk hari ni aje. Esok lusa datang lagi
masalah yang sama kerana itulah masalah yang perlu ditanggung selama-lamanya
oleh orang yang tak berpelajaran tinggi macam saya ni. Takkan pulak saya nak
minta tolong dari Encik Ziyad lagi. Sebab tulah saya tak mahu Encik Ziyad
tolong saya,” terang Ainin, melembutkan suara kerana tidak mahu bertengkar
dengan Ziyad.
“Apa salahnya saya tolong
awak? Saya ikhlas. Dan saya sudi menolong awak sampai bila-bila. Sampai awak
err…dapat dahan lain tempat bergantung. Maksud saya sampai awak berkahwin lain
misalnya...”
Terbeliak mata Ainin
mendengar bicara Ziyad. Tidak percaya. Sudi menolong sampai bila-bila? Betul ke
dia ni? Hatinya berkata sendiri. Baik sangat hati Ziyad. Ziyad ada agenda lain
yang tersembunyikah? Atau... Ziyad sememangnya insan yang mulia hatinya?
“Kenapa Encik Ziyad nak
tolong saya? Dan kenapa pulak saya perlu terima pertolongan Encik Ziyad? Encik
Ziyad bukan suami saya!” Suara Ainin meninggi semula.
“Memang saya bukan suami
awak! Tapi saya ikhlas mahu menolong! Salah ke niat saya tu?”
“Memang salah! Saya dah
cakap, saya tak nak terhutang budi pada Encik Ziyad! Saya tak nak duit Encik
Ziyad! Encik Ziyad tak faham-faham ke?” bentak Ainin yang mula panas hati
dengan perangai Ziyad yang tidak reti bahasa. Orang tidak sudi menerima bantuannya,
masih juga mahu mendesak.
Ziyad yang tidak suka
diherdik pembantu rumah, turut naik angin mendengar jawapan Ainin. Matanya
tajam memanah muka wanita itu. Tegang wajahnya.
“Hei, dengar sini Ainin
Sofiya! Awak tahu tak, awak ni sebenarnya bodoh sombong? Awak tahu apa maknanya
bodoh sombong tu? Dah tahu susah, tak nak mengaku! Okey, kita tengok sampai
bila awak boleh bertahan dengan perangai bodoh sombong awak tu!”
Sinis kata-kata Ziyad
menghiris tangkai hati Ainin. Panas cuping telinga dibuatnya. Hatinya sakit.
Batinnya luka dikeji orang seperti tidak punya maruah diri. Dia sedar siapa
dirinya, tetapi apa hak Ziyad untuk menghinanya sesuka hati?
Ainin berpusing ke
belakang, menghadap Ziyad. Muka Ziyad yang tegang direnung tanpa berkelip mata.
“Lebih baik menjadi orang
yang bodoh sombong dari jadi orang tak sedar diri. Asyik mengharap belas ihsan
orang. Sampai bila Encik Ziyad nak tolong saya? Dan sampai bila saya akan
meminta tolong dari Encik Ziyad? Saya tak mahu nasib saya sama macam nasib arwah
ayah saya. Puas berhutang dengan orang, akhirnya rumah dan tanah sekangkang
kera tergadai. Saya tak mahu berhutang banyak-banyak dengan Encik Ziyad. Saya
langsung tak ada harta untuk saya gadaikan bagi menebus hutang saya pada Encik
Ziyad nanti.” Lantas dia bergegas ke dapur.
Berderai air matanya ketika
mengemas pinggan mangkuk ke dalam kabinet. Sesekali air jernih yang mengalir di
pipi, disekanya dengan hujungT-shirt lengan
panjangnya. Wajah Ziyad yang sedang berdiri hampir dengannya langsung tidak
dipandang. Menyampah benar dia hendak menatap muka pemuda yang suka bercakap
ikut sedap mulut itu.
Cakaplah sesuka hati.
Hinalah orang sesedap rasa. Ziyad yang sejak lahir tidak pernah rasa susah,
bukannya faham perasaan orang miskin macam dirinya ini.
Ziyad kaku di tempatnya
berdiri. Tidak tahu apa lagi yang harus diucapkan. Melihat Ainin menangis,
timbul sesal di hatinya kerana meninggikan suara pada wanita itu. Dia tahu
Ainin terluka mendengar kata-kata pedasnya. Hendak memujuk, ucapan bagaimana
lagi mampu merawat hati Ainin yang luka berdarah?
Sudahnya, wang yang mahu
dihulurkan kepada Ainin dimasukkan ke
dalam poket seluar. Kemudian, dia bergegas ke ruang tamu, pantas mencapaibriefcase dan kunci kereta kerana sudah terlewat ke pejabat.