Dengar sahaja bunyi motosikal di
hadapan rumah, Ziyad sudah tidak teruja lagi mahu membuka pintu. Dia sudah
dapat mengagak kedatangan Ainin Sofiya. Pandai-pandailah dia masuk sendiri.
Rumah bukannya berkunci. Dia menghirup kopi panas yang dibancuh umi pagi tadi.
Tidak lama selepas itu,
terdengar bunyi pintu pagar dibuka orang dan beberapa saat kemudian kedengaran
suara Ainin memberi salam. Apabila pintu tidak dibuka, suara Ainin tambah kuat
mencuit gegendang telinga Ziyad.
Dia ni tak reti masuk
sendiri ke, detik Ziyad geram sedikit. Dengan rasa malas, dia bangun membuka
pintu. Ainin sedang tersengih di hadapan pintu dengan tangan menjinjit sebuah
beg plastik kecil. Entah apa isinya, Ziyad tidak dapat mengagak. Tajam matanya
mengerling ke arah beg plastik di tangan wanita itu.
“Lain kali tak payah suruh
saya buka pintu ni untuk awak. Pagi-pagi macam ni, pintu ni memang jarang berkunci.
Kalau berkunci pun, awak kan ada kunci, boleh masuk sendiri?” rungut Ziyad
tanpa memandang muka Ainin. Langkahnya dibawa ke ruang makan. Mahu menyambung
menghirup kopi panas yang masih berbaki di dalam cawan.
Terdiam sejenak Ainin
mendengar sungutan Ziyad. Apalah nasibnya hari ini? Baru bekerja dua hari sudah
kena leter dengan anak majikan, keluhnya di dalam hati dan asyik berfikir
mencari salah sendiri. Beri salam pun salahkah? Ataupun Ziyad rasa martabatnya
jatuh hanya kerana membukakan pintu untuk orang gaji?
Kalaulah dia tahu perangai
anak orang kaya semuanya berlagak seperti ini, dia tidak kuasa bekerja di rumah
orang. Lebih baik dia bekerja di kilang plastik seperti Suraya, anak Mak Cik
Senah tu. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu berhadapan dengan orang yang
sombong tidak bertempat seperti Ziyad ini.
Tak apa, lepas ni aku tak
mahu ramah-ramah dengan dia. Aku akan jawab bila dia tanya aje, bisik Ainin
membina azam di dalam hati.
Ainin melangkah ke dapur.
Beg plastik yang dibawanya tadi diletakkan ke atas meja kecil. Dicapainya dua
biji pinggan di atas rak. Nasi lemak dan kuih koci yang dibawa dari rumah
diletakkan ke dalam pinggan, kemudian dibawa ke ruang makan. Tanpa menegur
Ziyad, pinggan nasi lemak diletakkan ke atas meja makan. Betul-betul di hadapan
Ziyad.
“Apa ni?” tanya Ziyad
sambil merenung nasi lemak di hadapannya.
“Nasi lemak,” jawab Ainin,
ringkas. Langsung tidak memandang wajah Ziyad. Di dalam hati berdetus juga rasa
hairan. Itu pun nak tanya? Tak pernah makan nasi lemak ke dia ni?
“Saya tahulah ni nasi
lemak. Tapi kenapa awak letak depan saya?” Ziyad mengerutkan muka memandang
Ainin.
“Saya ingat Encik Ziyad nak
makan sebelum pergi kerja. Saya tengok semalam tak ada sarapan, tu yang saya
bawakan sikit untuk Encik Ziyad. Kebetulan memang ada lebih tadi,” kata Ainin,
cuba menahan sabar melihat perangai bongkak Ziyad.
“Saya tak biasa makan pedas
pagi-pagi macam ni,” ujar Ziyad bersahaja tanpa memandang Ainin Sofiya.
Berkerut dahi Ainin melihat
perangai Ziyad. Nasi lemak 50 sen yang ada sambal sejemput itu dikatanya pedas?
Berlagaknya dia!
Seumur hidupnya, dia belum
pernah berjumpa dengan orang yang seangkuh Ziyad ini. Perangai orang kaya
memang semuanya macam inikah? Entahlah! Dia tidak tahu kerana sepanjang
hidupnya tidak pernah bergaul dengan orang kaya. Sejak lahir, dia telah diajar
hidup serba sederhana. Selepas berkahwin pun hidupnya masih begitu kerana arwah
Abang Hairi juga bukan daripada kalangan orang berada. Apabila bertemu dengan
lelaki kaya seangkuh Ziyad, dia berasa terkejut bukan main.
Cepat-cepat pinggan berisi
nasi lemak dan kuih koci itu diangkat dengan niat hendak dibawa ke dapur
semula.
“Awak nak buat apa tu?”
tanya Ziyad dengan mata memandang pinggan di tangan Ainin.
“Saya nak bawa ke dapur,”
jawab Ainin sambil menoleh memandang Ziyad.
“Biar ajelah kat sini.
Lagipun yang saya tak boleh makan, nasi lemak aje. Saya tak kata saya tak boleh
makan kuih tu.”
Ainin meletakkan semula
pinggan berisi kuih koci di atas meja sementara pinggan nasi lemak masih
ditatang dengan tangan kirinya.
“Hari-hari awak buat nasi
lemak ke?” tanya Ziyad sambil membuka
daun pisang yang membungkus kuih koci.
“Ya. Saya jual kuih dengan
nasi lemak. Saya lambat datang rumah Encik Ziyad sebab nilah,” ujar Ainin.
Masih berdiri terpacak macam patung di hadapan Ziyad.
“Banyak ke dapat untung
satu hari?” soal Ziyad lagi. Kuih koci pulut hitam disumbat ke dalam mulut.
Enak rasanya. Terasa lemak dan manisnya apabila sampai di tekak.
Ainin ketawa geli hati
mendengarnya.
“Kalau dapat untung banyak,
saya tak kerja kat rumah Encik Ziyad ni,” balas Ainin tersenyum sinis.
“Arwah suami awak dulu
kerja apa?” selidik Ziyad. Tangannya sudah mencapai seketul lagi kuih koci.
“Arwah Abang Hairi dulu
kerja kilang aje. Dia meninggal sebab kemalangan jalan raya sewaktu nak balik
rumah,” jawab Ainin sambil menunduk. Ceritanya terhenti di situ. Harapannya
agar Ziyad tidak bertanya lagi tentang arwah suaminya. Bimbang mencetuskan rasa
pilu apabila terpaksa membongkar kenangan lalu bersama suami tercinta.
“Sedap kuih ni. Awak buat
ke?” tanya Ziyad sambil bangun menuju ke singki yang terletak di tepi dinding.
Mahu mencuci tangan.
“Ya. Kalau sedap makanlah
lagi.”
Ziyad sudah berhenti
bertanya. Ainin mengambil kesempatan itu untuk ke dapur, meletakkan pinggan
berisi nasi lemak di atas meja kecil. Nasi lemak ni nanti masuk perut aku juga.
Takkan nak dibuang? Sayang. Penat aku masak pagi tadi. Hatinya berkata sendiri.
“Awak ada nombor akaun
bank?”
Ainin terdengar Ziyad
melaung dari ruang tamu. Dia berlari menuju ke ruang tamu.
“Akaun bank? Nak buat apa?”
tanyanya tidak faham.
“Nak masukkan gaji awak.
Saya bukannya ada masa nak pergi bank selalu, keluarkan cash. Jadi, saya fikir senang kalau awak ada akaun bank. Saya boleh
terustransfer gaji awak ke dalam akaun,” terang Ziyad.
“Saya ada akaun Maybank.
Boleh ke?”
“Boleh, lagi senang. Ni kad
saya. Nomborhandphonesaya ada kat situ. Awak boleh SMS nombor akaun Maybank awak pada
saya,” kata Ziyad lalu menyarung stoking.
“SMS? Tapi saya tak adahandphone,” ujar Ainin jujur. Pada
mulanya, dia malu hendak mengakuinya di hadapan Ziyad. Bimbang digelakkan
Ziyad. Apa tidaknya, pada zaman serba moden ini, ada lagi orang yang tidak
punya telefon bimbit! Namun, dia tidak kisah langsung kerana tidak memiliki
peranti canggih itu. Bukan ada sesiapa pun yang mahu menelefonnya. Kalau ada
yang mahu mencarinya, mereka lebih senang datang sendiri dan bercakap dengannya
di rumah. Jika dia pula ada hal penting, dia akan menumpang menggunakan telefon
Mak Cik Senah, jiran sebelah rumahnya.
“Awak tak adahandphone?” tanya Ziyad, hairan.
Ainin Sofiya
terkulat-kulat. “Memang tak ada. Memang saya tak mampu pun pakaihandphone. Mana saya ada duit nak bayar bil atau nak beli kadprepaid. Dulu ada telefon rumah. Sekarang telefon rumah pun dah kena potong.”
Ziyad termenung tidak
percaya. Terdesak betul hidup dia ni. Itu saja yang terdetik di hatinya.
“Kalau macam tu, esok
ajelah awak bagi saya nombor akaun bank awak,” ujar Ziyad sambil menarik nafas.
Ainin Sofiya mengangguk.
Selepas pemergian Ziyad, dia
berlalu ke bilik. Kad nama pemuda itu disumbat ke dalam beg sandangnya.