Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
599,654
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Usai bersolat maghrib, Hajah Fauziah duduk santai di ruang tamu. Sementara menanti suaminya pulang dari surau berdekatan, dia menghabiskan masa dengan menonton siaran berita di televisyen.

Lega hati Hajah Fauziah kerana tugas-tugas di dapur sudah dilaksanakannya sebaik sahaja pulang dari pejabat petang tadi. Pakaian kotor sudah dicuci. Juadah untuk makan malam juga sudah siap dimasak dan kini terhidang di atas meja makan. Tugas yang masih belum selesai hanyalah pakaian bersih yang bertimbun di dalam bakul menunggu untuk dilipat. Yang itu akan dikerahnya Farhana menyempurnakannya nanti. Jika Farhana mahu mengelak, pandai-pandailah dia berkeras dengan anak daranya yang berat tulang itu.

“Termenung aje, umi?” sapa Ziyad yang baru turun dari tingkat atas tatkala terlihat uminya sedang duduk di depan kaca televisyen. Jarang dia melihat umi duduk santai begitu. Selalunya pada waktu begini umi bagai lipas kudung ke sana ke mari menyiapkan kerja-kerja di dapur.

“Umi tengok beritalah. Bukan selalu umi dapat tengok berita pukul lapan ni,” jawab Hajah Fauziah seraya tersenyum memandang wajah tampan anak bujang yang iras-iras Dr. Sheikh Muzaffar itu.

“Kerja umi dah siap ke?” tanya Ziyad. Dia melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan dengan uminya.

“Dah. Petang tadi umi dah siapkan.”

“Cepatnya! Macam ni tak payahlah umi ambilmaid. Umi sendiri pun dah cekap uruskan semuanya.” Ziyad tergelak mengusik umi.

“Memanglah umi boleh buat. Tapi penatlah. Umi ni bukannya muda lagi. Kalau boleh, balik kerja umi terus nak rehat. Tak mahu fikir nak buat kerja-kerja dapur lagi,” keluh Hajah Fauziah sambil duduk tegak di sofa. Mahu meluruskan urat-urat pinggang.

“Susah-susah, ambil ajelah maiddari agensi,” cadang Ziyad. Mudah membuat keputusan bagi pihak umi.

No!Umi tak nak. Umi percaya, mesti ada orang tempatan yang nak kerja dengan kita.” Hajah Fauziah berkeras menolak usul anak sulungnya.

“Kalau macam tu, nanti Ziyad cuba iklankan dalamnewspaper. Manalah tahu ada yang berminat nanti,” ujar Ziyad, menyedapkan hati umi.

“Hmm... bagus juga cadangan tu. Buatlah cepat. Jangan tangguh-tangguh lagi. Takkan tak kesian tengok umi kelam-kabut buat kerja sorang-sorang.”

Ziyad mengangguk.

“Malam ni Ziyad tak keluar dengan Naz ke?” soal Hajah Fauziah menyakat anak teruna yang sudah setahun menjalin cinta dengan Syafinaz, anak Datuk Majid.

“Naz ada hal malam ni,” kata Ziyad. Tersenyum lebar dia mendengar umi menyebut nama bakal menantunya itu. Mengingatkan wajah buah hati yang manis dengan sebiji tahi lalat di tepi bibir, rindunya datang bertamu. Sudah tiga hari Ziyad tidak dapat menatap wajah orang tersayang kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Bila dia lapang, Shafinaz yang bekerja di syarikat papanya pula ada hal. Begitu juga sebaliknya. Ada tidak ada, telefon bimbit itulah tempat mereka melepaskan rindu yang bergelodak dalam jiwa.

Hajah Fauziah menjeling ke arah Ziyad yang sedang tersenyum-senyum sendiri macam orang sedang angau. Entah apa yang difikirkan si bujang itu sedari tadi. Agaknya memikirkan masa depan bersama kekasih hatinya.

Kadang-kadang, risau juga dia mengenangkan hubungan cinta Ziyad dengan Shafinaz. Sudah dua tahun mereka berkepit macam belangkas, tetapi belum terdengar bunga-bunga mahu mendirikan mahligai bahagia. Dia bertanya bukan kerana teringin sangat bermenantukan anak orang kaya. Dia tidak kisah sangat siapa bakal menantunya. Berharta atau tidak, bukan pilihan utama. Asalkan orangnya baik, rajin dan pandai mengambil hati orang tua, dia sudah cukup bersyukur. Apa yang difikirkan sekarang, takut Ziyad dan kekasihnya terlajak melakukan perbuatan di luar batasan agama. Maklumlah mereka itu sudah terlalu mesra.

“Asyik berkepit aje, bila nak ikat?” Entah kali ke berapa Hajah Fauziah menyuarakan suara hati seorang ibu itu, dia sendiri tidak ingat.

“Ziyad dah tanya tapi Naz kata tunggu dulu. Sekarang Naz tengah sibuk uruskan pembukaan anak syarikat baru. Belum ada masa fikirkan tentang ni,” kata Ziyad dengan wajah serba salah.

Mencebik bibir Hajah Fauziah mendengar alasan gadis pujaan hati anaknya itu. Sudah lali telinganya mendengar alasan yang sama berulang kali. Memanjang sibuknya, macam dia sahaja ahli korporat di dunia ini. Kalau sibuk sentiasa mencari harta dunia, baik tidak payah bercinta dan berkeluarga. Buat pening kepala apabila timbul masalah rumah tangga nanti.

“Umi risaukan diri Ziyad tu. Takut dah tak sabar nak kahwin, mula buat benda bukan-bukan.” Muka Hajah Fauziah mencerut memandang wajah Ziyad.

Ziyad ketawa besar mendengar omelan umi. Sampai menepuk dahi. “Umi ni! Macam tak percaya pulak pada Ziyad. Berdosa tau umi buruk sangka pada orang lain.Don’t worry. Anak umi ni baik orangnya.” Tawanya masih bersisa.

Biarpun menyedari umi mula berprasangka bukan-bukan padanya, Ziyad langsung tidak berkecil hati. Dia faham perasaan seorang ibu yang sentiasa meletakkan keluarga sebagai fokus utama kehidupan.Umi risaukannya yang semakin dewasa dan matang. Bimbang jika dia gagal mengawal naluri keinginan seorang lelaki dan akhirnya terlanjur dengan kekasih hati. Tiada guna umi mendidiknya sedari kecil dengan ilmu-ilmu agama jika begitulah tindakannya nanti. Di mana umi patut sorokkan muka jika aib memalit diri kelak?

Hajah Fauziah tersenyum mendengar jawapan itu. Tidak dinafikan Ziyad memang anak yang baik. Solatnya cukup lima waktu sehari. Ziyad juga jarang-jarang keluar malam kecuali bersama Shafinaz. Dia amat berbangga mempunyai anak sebaik Ziyad. Cuma dia tidak berapa berkenan dengan Shafinaz, gadis pilihan anak sulungnya itu. Bukan kerana Shafinaz tidak cantik, tetapi entahlah...

Ada banyak perkara tentang Shafinaz yang membuatkan matanya tidak berkenan memandang. Salah satunya, cara Shafinaz berpakaian ada kalanya terlalu menjolok mata. Hajah Fauziah kalau boleh inginkan perempuan yang sopan dan bertudung menjadi menantunya. Tetapi, selera Ziyad sudah tertumpah pada perempuan seperti itu. Takkan mahu ditegah? Namun begitu, tidak pula disuarakan lintasan hatinya pada Ziyad kerana bimbang anaknya berkecil hati.

“Umi tahu anak umi ni baik, tapi akal kalau dah dipengaruhi hawa nafsu bukannya boleh berfikir dengan waras lagi. Sebab tu umi suruh ikat cepat-cepat. Lagipun Ziyad tak risau ke asyik pandang betis dan pangkal paha dia yang terdedah tu? Hari-hari Ziyad tanggung dosa apabila terpandang bahagian tubuh Naz yang terdedah. Ziyad tahu kan semua tu?” nasihat Hajah Fauziah lembut, namun tajam menusuk gegendang telinga si jejaka berumur dua puluhsembilan tahun itu.

Ziyad tunduk mendengar leteran umi. Biarpun tidak begitu gemar umi menyentuh tentang peribadi Shafinaz, namun dia tidak pernah membantah. Dia sedar apa yang disentuh umi tentang Shafinaz, semuanya benar belaka.

“Ziyad ada cakap pada Naz suruh tutup aurat? Kalau tak nak pakai tudung pun, suruhlah dia pakai baju sopan sikit,” tegur Hajah Fauziah sambil menjeling Ziyad.

“Ziyad ingat nak cakap bila dah kahwin nanti,” kata Ziyad lemah. Matanya masih tunak merenung permaidani berwarna hijau lumut di ruang tamu.

Berkerut muka Hajah Fauziah mendengar alasan Ziyad. “Kenapa tak cakap sekarang? Takut Naz marah dan tinggalkan Ziyad ke?” Dia mahu menyelidik ruang hati anak lelakinya.

Ziyad diam tidak menjawab. Apabila soal Shafinaz diperkatakan umi, dia selalu mati akal mahu membalas balik. Akhirnya, perbualan yang rancak dengan umi terhenti begitu sahaja.

“Umi sebenarnya ni tengah tunggu panggilan Zarul. Janjinya hari tu nakcall dalam minggu ni tapi sampai sekarang tak ada pun diacall. Umi nakcall dia, takut dia tengah sibuk pulak.” Hajah Fauziah pantas mengubah topik bila melihat muka anak bujangnya berubah monyok macam ayam sakit. Gagang telefon yang terletak di atas almari antik berdekatan tangga, dikerlingnya dengan ekor mata.

“Kenapa pulak umi tunggu Zarulcall? Zarul ada masalah ke?” tanya Ziyad. Hairan sedikit, apabila umi tiba-tiba menyebut nama adiknya yang kini sedang menuntut di London. Ada apa-apa yang berlaku pada Zarulkah? Ataupun umi rindu sangat pada Zarul? Hati kecil Ziyad bertanya begitu.

“Tak ada apa-apa. Zarul kata hari tu, tak lama lagi dia dah nak habis belajar. Kalau tak silap umi, dalam pertengahan tahun ni. Umi nakconfirm betul-betul bila tarikhnya tu sebab umi nak ambil cuti dan juga nak tempah tiket,” jelas Hajah Fauziah sambil memandang sekilas ke wajah Ziyad yang kelihatan terkejut.

“Umi nakbook tiket? Nak pergi jemput Zarul kat London ke?” soal Ziyad. Teruja mendengarnya.

“Yalah, umi dengan abah dah lama rancang nak pergi melancong. Dah lama kami tak pergi jalan-jalan, lapangkan fikiran dan tengok negara orang. Sebelum Zarul balik ke Malaysia, umi nak suruh dia bawa umi dan abah jalan-jalan dan tunjuk tempat-tempat menarik kat London. Sambil menyelam minum air,” kata Hajah Fauziah. Tersenyum meleret memikirkan perancangan sendiri.

“Ohh... bolehhoneymoon sekali, kan?” usik Ziyad.

“Hisy! Dah tua-tua nakhoneymoon apa!”

Ziyad tergelak.

“Siapa yang nakhoneymoon, umi? Abang long ke? Hai... tunang pun belum, dah sibuk fikir nak honeymoon.” Menyampuk pula Farhana yang baru turun dari tingkat atas. Sengaja mahu menyakat abang sulungnya. Si abang pula menjeling tajam mendengar sindiran si adik.

“Tak ada siapa-siapalah,” kata Hajah Fauziah. Pantas mencantas perbualan yang mula berbau sensitif itu. Lebih-lebih lagi tatkala melihat wajah Ziyad sudah berubah keruh macam air sungai selepas hujan.

Farhana menghenyakkan punggung di sebelah Hajah Fauziah. “Tadi abang ngah adacallHana. Dia kirim salam kat umi, abah dan abang long,” ujarnya dengan muka ceria memandang umi dan abang sulungnya.

“Waalaikumussalam... ada dia beritahu bila dia habis belajar?” tanya Hajah Fauziah gembira mendengarnya.

“Hana ada tanya tapi abang ngah kata dia sendiri pun belum pasti. Nanti bila dia dah tahu tarikhnya, dia akancall umi,” terang Farhana yang sememangnya agak rapat dengan abang ngahnya itu.

“Yalah,” sahut Hajah Fauziah perlahan. Kecewa sebenarnya. Puas menunggu mahu mendengar suara Zarul, tetapi hampa apabila anak yang jauh di mata menghubungi adik kesayangannya pula.

“Hana tak sabar tunggu abang ngah balik. Agak-agak abang ngah kat sana dah adagirlfriend tak? Entah-entah dapat tangkap girlfriend minahsalih. Silap-silap, balik Malaysia nanti abang ngah bawa perempuan rambut perang, kulitnya kemerah-merahan...”

“Hisym budak ni memandai aje! Mulut tu cabul betul,” marah Hajah Fauziah dengan mata mencerlung merenung muka anak perempuannya.

Dia bimbang perkara yang disebut oleh Farhana itu benar-benar terjadi. Zarul bawa balik isteri orang putih? Ya ALLAH! Minta disimpangkan! Sedangkan bakal isteri Ziyad pun aku tidak berkenan, inikan pula hendak melayan menantu orang putih. Mahu kelam-kabut hidup aku nanti, desis hatinya sambil memicit dahi yang tidak sakit.

“Kenapa ni, umi? Pucat aje muka tu? Hah, umi risau abang ngah bawawife minah salih ya?” teka Farhana, tersengih-sengih mengusik uminya. Seketika kemudian berderai tawanya memecah kesunyian.

Ziyad yang cuma menjadi pemerhati turut tergelak melihat muka umi sudah berubah masam-masam kelat.

Pintu hadapan terbuka. Terjengul muka Haji Marzuki yang baru pulang dari menunaikan solat isyak di surau berdekatan taman perumahan mereka.

“Apa yang suka sangat ni? Dari luar tadi saya dengar suara riuh-rendah. Ada berita gembira ke?” tanya Haji Marzuki seraya menanggalkan kopiah. Dia duduk di sofa bersebelahan Ziyad.

“Umi ni, abah. Takut dapat menantu minah salih,” terang Farhana sambil tersengih memandang umi.

“Hah? Siapa pulak yang nak kahwin minah salih? Kamu ke, Ziyad?” tanya Haji Marzuki. Berpaling memandang Ziyad.

Ziyad yang baru hendak membuka mulut, terus terbantut niatnya apabila Farhana sudah menjawab bagi pihaknya.

“Hisy, abah ni! Apa pulak abang long? Nak kena kerat lapan belas dengan Kak Naz ke? Ni abang ngahlah!” kata Farhana dengan dahi berkerut memandang abahnya. Geram kerana abah kerana lambat menangkap maksudnya.

“Zarul nak kahwin? Dengan orang sana? Betul ke? Tak ada angin, tak ada ribut... alih-alih nak kahwin,” ulas Haji Marzuki spontan.

Dari nada suara dan ekspresi pada wajahnya tidak menampakkan dia gembira atau marah mendengarnya. Riak mukanya selamba.

“Dengar sangatlah temberang anak dara awak tu. Dia memandai aje tu. Zarul tu mana adagirlfriendlagi. Umi dah tanya dia betul-betul, dia kata belum ada,” jawab Hajah Fauziah membetulkan cakap anaknya.

“Entah-entah abang ngah tipu umi tak? Kalau betul macam mana, umi? Habislah umi nanti,” sakat Farhana yang belum kering gusi mahu mengusik uminya.

“Hisy, budak bertuah ni!” Tangan Hajah Fauziah sudah bergerak mengetil badan anak daranya yang duduk di sebelah.

“Umi ni!” Menjerit Farhana dibuatnya. Terus dia mengelak dengan menyengetkan sedikit badannya. Mahu mengelak daripada terus digetis umi.

Haji Marzuki dan Ziyad tergelak melihat aksi dua beranak itu.

“Saya ada cerita pada jemaah kat surau tadi pasal kita nak cari pembantu rumah orang tempatan. Haji Said kata, ada seorang perempuan duduk dekat-dekat sini tengah mencari kerja jadi orang gaji. Isteri dia yang bagitahu,” terang Haji Marzuki apabila masing-masing sudah senyap dan menumpukan perhatian pada kaca televisyen di hadapan.

“Ya ke ni, bang? Seronoknya saya dengar. Orangnya macam mana? Muda ke tua? Dah kahwin ke belum?” Hajah Fauziah yang begitu teruja mendengar berita itu tidak bertangguh terus menyerang dengan deretan soalannya.

“Tak tahulah saya sama ada orangnya tua ke muda. Haji Said tak cakap pulak. Yang dia bagitahu saya, perempuan tu janda, ada anak kecil. Dia tinggal dekat-dekat sini aje. Di Kampung Seri Menanti sana. Memang nak cari kerja jadi orang gaji dekat kawasan perumahan sini sebab senang boleh balik susukan anak dia,” terang Haji Marzuki sambil memandang tepat ke wajah isterinya.

“Nak balik susukan anak dia? Habis tu dia tak mahu tinggal sini terus ke, abah?” sampuk Ziyad tidak faham.

“Yalah. Takkanlah dia nak bawa anak dia tinggal sini dengan kita? Dia ni cuma nak kerja dari pagi dan balik petang ataupun malam lepas maghrib. Lepas habis semua kerja, dia baliklah rumah dia,” jelas Haji Marzuki dengan lebih terperinci.

“Ohh... macam tu.” Kepala Hajah Fauziah terangguk-angguk tanda faham.

“Hah, macam mana? Awak setuju tak ambil dia kerja dengan kita? Kalau setuju nanti saya telefon Haji Said.” Haji Marzuki mahukan kepastian dari mulut isterinya.

Semua mata sudah bertumpu ke wajah Hajah Fauziah, namun orang yang ditanya belum dapat memberi kata putus. Masih berfikir-fikir. Menimbang-nimbang.

“Kalau dah datang pagi, balik petang, gaji kena kuranglah. Tak boleh sama macam gaji pembantu rumah Indonesia sebab kerja pun dah kurang sikit,” kata Hajah Fauziah menyarankan begitu.

“Apalah awak ni berkira sangat? Bagi sajalah gaji sama macam maid Indonesia tu. Dia pun mesti orang susah. Dah namanya janda, kenalah cari nafkah sendiri untuk besarkan anak-anak dia. Bukan ada suami nak bergantung hidup,” bantah Haji Marzuki memandang tajam muka isterinya.

Hajah Fauziah terdiam.

“Kita ambil ajelah ya, umi? Betul kata abah tu. Tentu dia susah, sebab tu nak sangat kerja jadi orang gaji. Ada anak kecil lagi. Tentang gaji tu jangan risau, biar Ziyad yang bayar,” cadang Ziyad, mahu melembutkan hati umi.

Dia tidak kisah membayar lebih untuk gaji pembantu rumah baru ini. Selain ikhlas membayar untuk perkhidmatan yang diberi, niat selebihnya adalah untuk bersedekah membantu janda yang susah hidupnya ini. Lagipun apa yang dikisahkan sangat? Gaji semua pembantu rumah yang bekerja di rumah sebelum ini, dia yang bayar. Pendapatannya yang ada firma arkitek sendiri lebih daripada mampu untuk membayar tiga, empat orang pembantu rumah. Jadi, mengapa umi mahu berkira sangat dengan gaji jika bezanya nanti cuma dua, tiga ratus ringgit sahaja?

“Macam mana, nak tak? Cerewet sangat nanti, melepaslah. Saya tengok tadi Encik Bakhtiar yang tinggal kat hujung simpang tu nampak berminat. Dia pun dah ambil nombor telefon Haji Said. Silap-silap nanti Encik Bakhtiar dah sambar dulu.” Haji Marzuki menakut-nakutkan isterinya.

“Saya bukannya apa, kalau boleh nak cari yang boleh terus tinggal dengan kita. Senang sikit. Tapi kalau dah tak ada, tak apalah. Abang telefonlah Haji Said kata kita jadi ambil dia kerja dengan kita. Esok petang suruh dia datang rumah. Saya nakinterview dia sikit-sikit. Kena tengok juga orangnya macam mana. Takut dapat spesies sama macam Kesuma. Eeii... fobialah saya dapat orang macam Kesuma tu,” putus Hajah Fauziah sambil menarik nafas.

“Umi tak takut ke? Buatnya yang datang tu janda cantik, muda lagi...”

“Dah... dah... jangan nak melalut. Jom pergi makan semua. Malam ni umi masak simple aje. Ikan selar masak kicap, sayur kubis tumis air, sambal belacan dah cukup. Tak laratlah nak masak kari atau asam pedas. Datang pembantu rumah baru nanti, kita kerah dia masak ikut selera kita.” Hajah Fauziah mula berangan macam-macam. Biarpun begitu, hatinya mula lapang apabila memikirkan tugasnya di rumah akan menjadi ringan. Dapatlah dia terus berehat apabila pulang dari kerja. Tidak lagi bertungkus-lumus seperti sekarang ini.

“Betullah, umi. Minta-minta yang baru ni pandai masak. Tak adalah macam Kesuma dulu. Masakan dia tak ada rasa langsung.” Ziyad pula menyambung angan-angan uminya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.