Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
601,394
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

"Projek Vila Kencana di Bandar Sri Kembangan dah hampir siap. Agak-agak bila you boleh keluarkan CCC?” tanya Datuk Majid kepada Ziyad setelah selesai bermesyuarat dengan semua pihak yang terlibat dengan projek pembinaan taman perumahan rumah teres dua tingkat di Bandar Sri Kembangan.

Ziyad mengalihkan pandangan ke arah Shafinaz yang berdiri di sebelahnya. Kemudian terdiam beberapa detik. Mengambil masa untuk menjawab pertanyaan Datuk Majid. Bukan mudah menjawab pertanyaan ayah kepada Shafinaz, buah hatinya itu. Dia tahu Datuk Majid sedang berusaha memujuknya sebagai PSP (the Principal Submitting Person) atau Orang Utama Yang Mengemukakan untuk mendapatkan CCC iaitu Perakuan Siap dan Pematuhan untuk menuntut bayaran akhir daripada pembeli walaupun sedar projek itu belum pun siap sepenuhnya.

Walaupun sebagai seorang arkitek profesional, dia dibenarkan mengeluarkan CCC tetapi mengeluarkan sijil perakuan itu dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan aspek keselamatan pembeli adalah satu tindakan yang kurang bijak. Silap-silap Ziyad dan firmanya akan didakwa oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan dikenakan tindakan disiplin. Dia tidak mahu lesennya digantung kerana kecuaiannya menurut arahan Datuk Majid.

“Tapi dalam aspek teknikal, projek tu belum siap sepenuhnya, Datuk. Saya bimbang kalau CCC dikeluarkan lebih awal, PBT akanreject. Datuk pun tahu mereka akan datang checkprogres projek tu bila-bila masa, termasuklah selepas projek disiapkan. Saya takut mereka akan keluarkan arahan berhenti kerja bila mereka sedar terdapat penipuan. Ataupun yang lebih teruk mereka akan terus keluarkan arahan menahan pengeluaran CCC,” bantah Ziyad dengan lembut. Risau Datuk Majid berkecil hati kerana dia gagal menurut arahannya.

“Yalah, papa. Papa nak ke pembeli rumah kita kompelin rumah yang diterima dalam keadaan strukturnya tidak sempurna? Kalau mereka mengadu pada media macam mana? Nama syarikat kita juga yang busuk nanti,” sampuk Shafinaz yang turut bersetuju dengan pendapat Ziyad tadi.

Datuk Majid diam berfikir dan akhirnya mengangguk bersetuju dengan kata-kata Ziyad dan anak tunggalnya. Walaupun syarikatnya berdepan dengan masalah kewangan dan seboleh-bolehnya ingin menuntut bayaran akhir daripada pembeli rumah dengan segera namun, dia tidak mahu menanggung risiko didenda Pihak Berkuasa Tempatan.

Jika sudah didenda, nama syarikatnya yang selama ini bersih akan tercemar. Dia juga tidak mahu mencemarkan kredibiliti Ziyad sebagai seorang arkitek profesional yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir keseluruhan perjalanan projeknya.

“Kalau begitu kata you, baiklah. Kita tunggulah sampai projek tu siap sepenuhnya.”

“Tak lama lagi, papa. Kalau ikut jadual, sampai akhir bulan ni aje. Harap-harap, tak ada masalah besar yang mengganggu kelancaran projek Vila Kencana tu,” sambut Shafinaz, mengharapkan yang terbaik untuk projek Maju Jaya Permai Holdings, syarikat pembinaan milik papanya dan akan diperturunkan kepadanya sebagai waris tunggal.

“Ya, harap-harap macam tulah.” Datuk Majid turut sama berharap.

Dua kali perjalanan projek itu tergendala. Pertama, kerana bahan binaan yang dipesan gagal tiba pada masa yang ditetapkan. Kali kedua materialnya pula tidak mengikut spesifikasi dan terpaksa dipulangkan kembali kepada pembekal. Datuk Majid risau projek perumahan itu tidak dapat disiapkan mengikut jangka waktu yang dijanjikan kepada pembeli. Takut pihak pembeli rumah bising dan mula mengadu ke sana ke mari.

When is the next PBT visit?” tanya Datuk Majid pada Ziyad.

If I’m not mistaken, next Thursday, Datuk,” jawab Ziyad penuh yakin.

“Hmm… kalau macam tu, you kena bersedia sepenuhnya, Ziyad.” Datuk Majid tersenyum memandang Ziyad.

Buah hati pengarang jantung anak perempuannya itu hanya tersengih.

Don’t worry, papa. Ziyad is always the best. Dia takkan kecewakan papa. Err, papa... Ziyad dan Naz nak keluar lunch.Do you want to join us?” Shafinaz mempelawa papanya.

No, You both go ahead.Papa dah janji dengan mama naklunchsama hari ni. Ni papa tengah tunggu mamalah ni,” ujar Datuk Majid dengan senyuman.

“Wah, romantiklah Datuk ni. Lunch sama dengan Datin. Adaspecial occasion ke, Datuk?” Ziyad ketawa mengusik bakal bapa mentuanya.

“Tak ada apa-apa yang istimewa, Ziyad. Saja nak berdua-duaan dengan Datin. Takkanlah nak keluar makan dengan isteri sendiri pun kena tunggu hari-hari istimewa?” balas Datuk Majid.

“Kalau you nak tahu, Ziyad. Papa memang romantik orangnya. Papa selalu keluarlunch atau dinnerberdua aje dengan mama. Selalu mereka tinggalkan I sorang-sorang kat rumah tu. Jealous I tengok mereka berdua ni,” celah Shafinaz turut ketawa.

“Macam tulah yang sebaiknya, Naz. Usia bukan penghalang untuk kita terus bercinta. Semakin matang usia kita, semakin matang juga sikap kita. Dalam soal percintaan ni, bila usia bertambah matang, kita jadi lebih bersungguh mahu membahagiakan pasangan kita,” ujar Ziyad menyatakan pendapatnya tentang cinta.

“Wah, pandainya you, Ziyad! I tak sangka youexpertdalam soal cinta-cinta ni,” usik Shafinaz.

“Taklah pandai, Naz. I pun pinjam ayat daripada buku,” kata Ziyad sambil tergelak besar.

“Dah... cukup-cukuplah bercakap pasal cinta ni. Meremang bulu tengkuk papa dengar. Mama dah tunggu kat bawah, Naz. Papa pergi dulu.Ziyad, please take good care of my lovely daughter,” kata Datuk Majid bersedia untuk bangun.

I will, Datuk,” janji Ziyad dengan mata merenung lembut ke wajah Shafinaz. Penuh rasa kasih.

Ketika memandu kereta menghala ke Bandar Baru Bangi untuk menikmati makan tengah hari, Ziyad sempat menoleh ke arah Shafinaz yang duduk di sebelahnya. Terlukis senyuman di bibir melihat penampilan buah hatinya.

“Manislah you hari ni. Jarang-jarang you pakai baju kurung. Macam nilah baru sedap mata I memandang,” puji Ziyad dengan mata tidak lepas-lepas menatap penampilan gadis berambut perang berombak mencecah bahu itu.

“Hai… baru sekarang nampak? Dah berpeluh badan I baru dengar you memuji,” rajuk Shafinaz dengan muka masam dibuat-buat.

“Sayang, janganlah marah. Masuk-masuk ofis you tadi, I dah perasan you nampak lain hari ni. Tapi takkan nak puji depan-depan orang ramai? Kan kita adameetingtadi? Tapi hari ni you memang cantik sangat. I rasa bertuah sangat dapat bertemankan gadis secantik you ni.”

“You ni ikhlas ke puji I ni? Entah-entah ada udang di sebalik batu tak?” Shafinaz yang sudah hilang rasa marah, tersenyum menjeling pemuda tampan yang sedang tenang memandu itu.

“You ni macam tahu-tahu aje I ada hajat,” sambut Ziyad. Ketawa besar.

“Kan betul I cakap, you tak ikhlas puji I tadi. Hmm... apa halnya? Hajat apa yang besar sangat tu?” tanya Shafinaz ingin tahu.

“You ada apa-apa tak Ahad ni?” Ziyad mahu memastikan atur cara Shafinaz pada hari Ahad ini.

“Hmm… rasanya tak ada program apa-apa. Kenapa?”

“I nak ajak youlunch kat rumah I hari Ahad ni. Boleh I kenalkan you dengan famili I,” ajak Ziyad dengan mata merenung lembut anak mata Shafinaz. Mengharapkan Shafinaz menerima pelawaannya.

“Nak kenalkan I dengan famili you? I kan dah kenalmother you?” tanya Shafinaz. Dia serba salah hendak menerima ajakan Ziyad. Malu sebenarnya mahu bertemu umi Ziyad. Pertama kali bersua muka dengan umi Ziyad di sebuah pusat membeli-belah suatu ketika dahulu, hatinya sudah berasa tidak selesa. Apa tidaknya, pertama kali diperkenalkan Ziyad sebagaigirlfriendnya, mata umi Ziyad sudah merenungnya semacam. Macam tidak berkenan anak lelakinya berkawan dengan gadis seksi dan berambut ala minah salih sepertinya.

“You baru kenal dengan umi I. Tapiabah dengan adik I, you belum kenal lagi kan? Jomlah, bila lagi nak kenal dengan keluarga bakal mentua you?” Ziyad sudah tersengih-sengih menyakat Shafinaz.

“Keluarga bakal mentua? Hisy, you ni tak malu ke? Siapa nak kahwin dengan you?” ujar Shafinaz yang tersenyum malu-malu kucing.

“Tak nak kahwin dengan I tak apa. Tapi you tak rasa ralat ke? I ni ramai peminat. You tolak aje lamaran I, ada sepuluh lagi yang menanti. I tak payah susah-susah nak cari.”

Mencerlung mata Shafinaz mendengar kata-kata Ziyad tadi. Dia akui Ziyad memang punya ramai peminat daripada golongan kaum Hawa tetapi sengaja tidak melayani mereka kerana kasih Ziyad terhadap dirinya menggunung tinggi.

“Nak cari lain? Cubalah kalau you berani!” cebik Shafinaz pura-pura merajuk.

Ketawa besar Ziyad melihat reaksi gadis pujaan hatinya itu. “Tengok you menyinga macam ni, I tak berani nak cari lain. Tapi jomlah, sayang... datang rumah I. Pakai cantik-cantik macam ni, mesti umi I terpegun tengok you,” pujuknya dengan muka manis.

Pakai baju kurung dan bergaya sopan semata-mata mahu mengambil hati umi Ziyad? Tak hipokrit ke namanya tu? cemuh Shafinaz dalam hati. Biarpun hati berkata begitu, mengelopak juga senyuman manis di bibirnya.

“Okeylah. Pukul berapa tu?” Akhirnya, dia bersetuju.

“I datang jemput you dalam pukul sebelas.” Suara Ziyad bertukar riang bagai burung-burung berkicauan. Wajahnya berseri bagai bunga kembang pagi. Gembira sungguh rasa hati kerana gadis idaman sudah mula menunjukkan minat mahu berkenalan dengan ahli keluarganya. Apabila Shafinaz sudah kenal rapat dengan umi,abah dan Farhana, dia akan terus masuk melamar buah hatinya itu. Itulah rancangan yang terperam lama di sudut hatinya.

Bagaimana pula dengan Ainin Sofiya? Apa perasaan Ainin bila aku berkahwin dengan Shafinaz nanti? Tidak kecewa ke dia? Eh, nak kecewa apanya? Bukan ke awal-awal lagi aku sudah menegaskan, aku tidak mungkin punya perasaan lain pada dia? Dan dia pun sudah berjanji tidak akan menuntut hak bukan-bukan dari perkahwinan ini!

Ainin cemburukan Shafinaz? Huh! Mengarutlah!

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.