Home Novel Cinta ReLaKu PuJuK
Bab 22


MAK MINAH
 ambil mangkuk di meja bar mini. Ini yang terkahir. Sejak tadi dia dah berulang-alik berapa kali hidang sarapan. Dari dapur ke ruang makan. Hari ini Aryan tak ada. Dapatlah buat kerja dengan santai.

"Eh, Sefhia. Bangun dah?" sapa wanita itu. Keluar saja dari dapur, kelibat Sefhia tercegat menunggu.

Sefhia angguk.

"Marilah sini, duduk." Mak Minah pelawa. Mangkuk berisi mee goreng tadi turut diletak atas meja.

Sefhia bergerak perlahan. Dua tongkat sebelum ini kembali di tangan. Gara-gara malam tadi punya penangan. Sebuah kerusi ditarik. Dengan hati-hati duduknya dilabuhkan.

"Eh! Sekejap!" Mak Minah dekati Sefhia. Wajah gadis itu dipegang. "Apa kena muka Sefhia lebam-lebam ni? Rasa Mak Minah lebam hari tu semua dah baik. Dah hilang. Macam mana boleh ada balik?"

Sefhia telan liur. Apa patut dia jawab? Malam tadi baru lepas bertempur?

"Sefhia? Mak Minah tanya ni?"

"Hmm? Err...," Sefhia buka mulut, cuba nak jawab. Tapi hujung bibirnya rasa nyilu. Cepat-cepat tangannya pegang.

"Hmm... kan. Sakit sangatlah tu! Sampai nak cakap pun tak dan!" Mak Minag geleng kepala. "Habis ni boleh makan ke tak? Bukak mulut sikit pun macam dah seksa sangat!"

Gadis itu angguk sahaja.

"Dah, tak apa. Kejap lagi lepas makan kang sapu ubat. Kita tunggu Pak Majid kejap, ya. Sarapan sama-sama," ujar Mak Minah lagi lalu tuang teh panas untuk Sefhia.

"Nungguin Pak Majidnya aja? Aryan?"

Satu suara tiba-tiba menerpa. Habis tersasar air yang dituang Mak Minah.

"Aryan?!" ucap Mak Minah sebaik berpaling. "Astaghfirullahalazim! Macam mana kamu boleh ada kat sini?"

"Ini rumah Aryan, dong. Kalau nggak di sini, mau di mana lagi?"

"Iya! Mak Minah tahu! Tapi kamu kata nak ke Abu Dhabi petang semalam? Macam mana pagi ni boleh timbul tiba-tiba kat sini ni?!"

"Ya itu namanya magiklah, Mak Minah."

"Tak payah nak magik-magik sangatlah, Ryan! Kalau iya betul pun magik, takkan boleh sampai dari sana ke sini sekelip mata! Mak Minah kalau pergi pasar pun tak sempat nak beli apa-apa!"

Aryan tertawa. Langkah lansung diatur ke arah meja. "Aryan bercanda doang aja sih, Mak Minah. Usah serius banget."

"Mahu tak serius. Boleh mati terkejut Mak Minah macam ni, tahu!"

"Mak Minah lagi marah sama Aryan?"

"Tak adalah marah. Tapi terkejut, tahu! Terkejut! Ni... muka ni kenapa muka ni? Lebam sana sini. Sama macam Sefhia. Hah, Aryan?"

"Nggak ada apa-apa kok, Mak Minah."

"Mustahil tak ada apa! Semalam muka dua-dua elok aje. Hari ni masing-masing macam dah tak ada rupa. Apasal? Kamu berdua bertumbuk, ya?"

"Isk, nggaklah!"

"Habis? Sampai lebam-lebam, luka-luka ni?"

"Err...,"

Aryan mati kata. Tak tahu alasan apa patut dibagi pada pembantunya. Pandang Sefhia minta jawapan, hmm... lansung tak angkat muka!

"Takkan berlanggar lagi kut?"

"Hah! Iya, iya! Tadi malam kita berdua lagi ketabrakan nggak sengaja, Mak Minah."

"Masa bila?"

"Waktu Aryan pulang. Mau ke dapur, minum. Sefhia juga kebetulan haus sama. Lagi gelap nggak perasan lansung... bum!"

"Sampai teruk macam ni? Macam tak logik aje!"

"Ya kalau udah mau jadi, apapun pasti bisa Mak Minah!" dalih Aryan elakkan diri. Kerusi bertentangan Sefhia cepat-cepat diduduki.

"Cuba cakap kat Mak Minah betul-betul. Aryan sebenarnya pergi ke tak semalam?"

"Ya seharusnya begitu, deh. Tapi flightya saat-saat akhir dibatalin. Kerna ada kejadian

ribut pasir di sana. Makanya, Aryan balikin kembali."

"Oh, itu yang tiba-tiba tercegat kat sini ni? Ingatkan hantu raya kamu yang balik tadi!"

"Ya nggaklah. Masakan begitu, sih. Selisih!"

"Habis tu, tak jadi pergi outstationlah ni?"

"Pergi ya tetap pergi. Cuman ditangguh ke pagi hari ini."

"Hmm... syukurlah kamu belum pergi. Buatnya kamu dalam perjalanan ke sana ribut pasir tu tiba-tiba jadi, hah, tak ke niaya?"

"Emangnya bersyukur banget Mak Minah nggak jadi pergi. Kalau nggak, pasti sesuatu bakal terjadi tanpa kita sadari."

Serentak, Aryan kerling gadis di depan. Bening biru itu turut melempar satu renungan.

"Kalau macam tu, tak apalah. Tiap yang berlaku tu mesti ada sebab kenapa ia nak jadi. Wallahualam. Dah, Aryan. Sarapanlah."

"Siap."

"Eh! Makan pun belum, dah siap apanya?"

"Minum aja."

"Tak nak makan ke? Mee goreng ada. Roti ada. Telur setengah masak pun ada, ha."

"Nggak apa-apa. Udah telat. Nanti lagi ketinggalan sama flightnya."

Mak Minah tak kata apa. Hanya mampu lihat Aryan habiskan saki-baki minuman yang ada sebelum bangun dari kerusinya.

"Aryan pamitan dulu ya, Mak Minah. Jagain rumah. Jangan lupa dikunci semua pintu sama tingkapnya. Takut ada yang kabur lagi."

"Hah? Kabur? Siapa yang kabur?"

"Itu... si Leo itu cuba kabur dari rumah tadi malem."

"Eh, biar betul Aryan ni! Mak Minah sendiri yang masukkan Leo dalam sangkar dia lepas makan malam tadi. Siap kunci ketat-ketat lagi. Mustahil Leo boleh terlepas lari!" tingkah Mak Minah. Memang dia yang bertanggungjawab uruskan kucing parsi belaan Pak Aryawan dan Ibu Dian itu. 

"Ya mungkin kuncinya dibukain lagi, dong. Siapa tau? Mau kabur ini bisa punya idea yang macem-macem. Mujur Aryan pulang. Kalau nggak, pasti udah lolos. Kerna itu Aryan harus pesan sama Mak Minah supaya diperiksa kesemuanya sebelum masuk ke kamar. Takut....," ayat Aryan tergendala. Mata tenung tepat ke wajah Sefhia yang dah berubah rupa. "... orang di dalam rumah ini pula yang coba-coba kabur."

"Siapa pulak yang nak kabur ni, Aryan? Isk! Aryan ni buat Mak Minah makin takutlah!"

"Siapa-siapapun bisa, Mak Minah. Baik yang sihat, apalagi yang sedang sakit."

Mata Aryan kian cerun pandang Sefhia. Kalau gadis itu rasa pandangan ini satu amaran, baguslah!

"Aryan permisi dulu, Mak Minah. Ingat pesannya. Assalamualaikum."

Sejurus itu Aryan berlalu dari ruang makan. Mak Minah semakin kebingungan. Dan Sefhia, nyata terpukul dengan sindiran yang diberikan.


BUNYI sudip dan kuali berlaga jelas kedengaran. Itu tandanya Mak Minah tengah berperang dengan masakan. Penghuni banglo pun dah maklum. Pagi, tengah hari, petang, malam. Itu rutin Mak Minah setiap hari di dapur. Luar dari itu, Mak Minah akan sibuk dengan tugas lain ikut jadul yang Ibu Dian dah atur.

Untuk tengah hari ini, tak banyak yang dimasak. Hanya dirinya, Pak Majid dan Sefhia di rumah. Jadi apa saja menu ringkas yang terlintas, itu yang akan mereka jamah. Sefhia pun nampaknya macam jenis tak kisah.

Sebut nama Sefhia, serta-merta Mak Minah teringat gadis itu. Lepas sarapan tadi masuk bilik, sampai sekarang tak muncul-muncul.

Kadang-kadang dia hairan juga. Tak bosankah gadis itu berkurung dalam bilik saja?

"Dari terperap duduk dalam bilik tu, baik duduk sini temankan aku. Boleh jugak borak-borak. Tak pun duduk kat taman luar sana, hah. Hirup udara segar. Mana tahu cepat sembuh sakit tu. Hai... Sefhia, Sefhia." Mak Minah ngomel sendiri.

Sambil masak, Sefhia terus difikir. Ada baiknya dia pergi jenguk. Kut jadi sesuatu yang buruk, dia juga nanti yang kena bebel teruk.

Cepat-cepat Mak Minah sudahkan kerja. Gorengan ayam dalam kuali disenduk ke pinggan. Selesai itu, dia pasang langkah untuk ke bilik gadis berkenaan.

"Allahuakhbar! Kus semangat!"

Mak Minah urut dada. Terkejut lihat sosok Sefhia dah tercegat berdiri di belakangnya.

"Sefhia! Bila masa pulak kamu ada kat sini ni? Aduh... terkejut Mak Minah!"

Sefhia tak jawab. Sekadar pandang wajah Mak minah yang berubah pucat.

"Kamu dengan Aryan sama aje, tau! Suka terkejutkan Mak Minah macam ni. Memang nak bagi Mak Minah mati kejung kena sakit jantung agaknya!"

Kali ini Sefhia tak dapat tahan. Ayat Mak Minah sedikit melucukan. Hingga bibirnya terselit secebis senyuman. Mak Minah yang tengah panas, terus bertukar mood.

"Ha... kan cantik senyum macam tu. Manis aje. Tak adalah muka tu asyik serius manjang. Mak Minah yang perempuan ni tengok pun terus sejuk, tau!"

Dan-dan itu Sefhia tunduk. Malu.

Dia sendiri pun dah lupa perkataan senyum itu. Apalagi nak berbuat begitu. Tadi itu pun secara spontan berlaku.

"Apa yang hangat, apa yang sejuk ni? Dari luaq lagi dah hingaq."

Sosok Pak Majid tiba-tiba muncul dari pintu dapur. Lelaki itu menapak masuk sebelum melabuh duduk tak jauh dari mereka.

"Tak ada apa, Bang Majid. Ni hah...baru hari ni nampak si Sefhia ni senyum. Lawa! Selama ni dok pandang muka serius dia tu aje. Saya yang perempuan ni tengok pun cair. Tu baru senyum. Belum ketawa."

"Orang kalau memang dah cantik senyum sikit pun dah nampak cantik, Cik Minah oi! Lagu Cik Minah jugaklah. Tapi satu ja masalahnya."

"Apa yang masalah?"

"Cengey! Lagi-lagi dengan kami. Sesekali senyum lagu Sefhia tu kat kami, kan baguih!"

"Isk! Jangan nak mengada-ngadalah!" tingkah Mak Minah. Wajahnya turut bertukar merah. "Err... Sefhia dah lapar ke? Mak Minah belum siap masak lagi ni."

"Tak apa. Belum lapar."

"Kalau macam tu, Sefhia pergilah rehat dulu. Tak pun duduk kat taman depan tu ke. Ambil angin luar sikit. Asyik terperap dalam bilik pun tak elok juga."

"Betui kata Mak Minah hang tu, Sefhia. Sesekali hang kena ambik angin kat luaq sat. Lagi-lagi yang sakit macam hang ni. Baru sakit tu cepat sembuh!" tokok Pak Majid.

"Pergilah, nak. Tak payah nak takut. Kat rumah ni pun bukannya ada siapa-siapa. Kita bertiga aje. Dah siap masak nanti Mak Minah panggil, ya."

Mak Minah terus sambung kerjanya. Sedar dia dah kesuntukan masa. Selalu waktu macam ini dah siap semua. Tapi hari ini dia terleka. Mentang-mentang majikannya tak ada.

Sefhia masih tak berganjak. Mata pandang Pak Majid yang sedang teguk air melepas penat. Kemudian beralih ke Mak Minah yang dah sambung masak.

Perlahan dia hampiri wanita itu.

"Boleh tolong?"

"Laa... kamu dok tercegat kat sini lagi ke? Mak Minah ingat dah pergi. Eh, tak payah. Mak Minah boleh buat seorang. Kang kalau tahu dek Aryan, masak Mak Minah kena syarahan! Sefhia pergi aje rehat sana. Kaki pun belum baik betul tu."

"Tak apa. Dia tak ada."

Sefhia capai pisau. Kaki terus diatur ke meja bar mini. Bahan-bahan masak yang masih belum berusik, dikerjakan.

Mak Minah tercengang. Pandang Pak Majid, riak lelaki itu juga turut sama hairan. Namun Sefhia... gadis itu hanya bersikap tenang.

Tiba-tiba saja ni. Apa yang tak kena?

Sudahnya, Mak Minah hanya mampu pandang. Dah ditegah, tapi empunya badan sendiri yang relakan.

Hmm... biarlah. Asalkan gadis itu bahagia. Sekurang-kurangnya ada juga dia teman buat kerja. Wanita itu sambung tugas semula. Tanpa sedar, senyum gembira terlahir di sudut bibirnya.



Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.