PANORAMA malam nan indah menggamitnya untuk bersiar-siar. Usai makan malam di hotel penginapan Bulj Al Arab tadi, dia terus ambil kereta dan pandu keluar. Tanpa pengetahuan assistantnya, Muzaffar.
Kalau tahu dek lelaki itu, mahu cepat saja direport sama baba!
Senyum Aryan terukir perlahan.
Konon malam ini nak rehat. Seharian penat hadiri mesyuarat. Tapi bila tengok pemandangan Abu Dhabi yang memukau waktu-waktu malam begini, hatinya melonjak-lonjak untuk menikmati.
Bukan takat dia, malah sesiapa saja yang datang ke negara UEA ini pasti takkan lepas peluang. Buktinya, sekarang pun dia dikelilingi ribuan pelancong yang bersiar-siar sambil ambil angin malam.
Aryan terus berjalan. Sesekali lensa kamera merakam view yang mempesonakan. Subhanallah... indahnya bumi ciptaan Tuhan. Diserikan lagi dengan sentuhan kreatif yang manusia hasilkan.
Ini kali kedua dia sampai ke sini. Kali pertama waktu siri kembaranya mengelilingi dunia. Lebih kurang tiga tahun lalu.
Tiga tahun. Satu tempoh yang singkat. Tapi cukup untuk Abu Dhabi membangun dengan pesat. Bersama ciptaan-ciptaan moden yang baru. Banyak perubahan yang dia nampak, yang tak ada masa dia datang dulu.
Penat berjalan, Aryan duduk bersantai. Mata masih tetap menjamah pemandangan. Sesekali gelagat pengunjung-pengunjung asing jadi tumpuan. Terhibur ada, lucu lagilah tak terkira. Sampai dia pun tergelak sama.
Dalam ralit memerhati, pandangan Aryan melekat pada seorang gadis. Wajah, gaya, caranya. Persis seseorang yang pernah dikenali.
'Nggak mungkin dia. Dia udah lama pergi.'
Tanpa sedar, bening airmata bertakur di tubir. Cepat-cepat pandangan dialih. Mengusir sebak dan rindu yang merantai hati.
'Sampai bila kau nak seksa jiwa, Aryan? Sebelum ia jadi parah, baik lepaskan.'
Suara hatinya kembali menjelma.
Entah. Dia sendiri tak tahu. Mungkin sebulan, setahun, bertahun-tahun. Atau mungkin takkan lansung.
'Dah sampai masa kau cari bahagia baru kau.'
Suara itu bergema lagi.
Bahagia baru? Aryan tergelak halus. Entah bila benda itu akan berlaku. Dan dia tak rasa ada perempuan mampu cairkan hatinya yang dah beku.
'Jangan yakin sangat, Aryan. Aku kat dalam ni boleh dengar getar perasaan tu dah kembali semula.'
Aryan terdiam. Bisikan itu buatkannya mula tak tenteram. Dan serta-merta, satu wajah datang menyapa fikiran.
Bagaimana keadaan gadis itu sekarang? Makin baik atau sakitnya masih menyerang?
Sebelum berangkat ke Abu Dhabi, sempat dia telefon Wafri. Minta tolong datang ke rumah periksa Sefhia. Malam itu juga lelaki itu turutkan permintaannya.
Alhamdulillah, tak ada yang serius. Cuma lebam-lebam saja. Tapi kalau kaki Sefhia sakit atau bengkak, gadis itu kena cepat-cepat dibawa ke hospital.
Dan seperti jangkaannya, soalan Wafri datang menyerang bertalu-talu.
Apa yang dah terjadi? Kenapa muka dan badan Sefhia lebam sana sini? Kau dengan dia excident lagi?
"Aku akan ceritain semuanya saat ketemu nanti."
Ringkas jawapannya. Sementara Wafri, lelaki itu hanya menurut kata seperti biasa.
Aryan tunduk. Telefon di tangan, dijenguk.
Ikut gerak hati, nak saja didail nombor rumah. Tanya keadaan Sehfia melalui Mak Minah. Tapi dia segan. Baru semalam bertanya. Takkan hari-hari nak aju soalan yang sama. Tak pasal-pasal timbul lain cerita.
Lelaki itu hela nafas.
Kan bagus Sefhia ada telefon sendiri. Tak perlu dia nak risik dari Minah lagi. Setiap minit, setiap jam, setiap hari. Bila-bila saja gadis itu bebas dihubungi.
"Telefon sendiri?"
Spontan Aryan mendongak. Satu idea bijak!
Belikan Sefhia telefon. Jadi lepas ini dia boleh berkomunikasi dengan gadis itu bila-bila masa dan di mana-manapun. Tanpa libatkan sesiapa.
Aryan mengulum senyum. Panorama malam yang semakin rancak ditonton dengan rasa berbunga-bunga yang menggunung.
MALAM kian larut. Namun matanya masih enggan tutup. Puas dicuba. Tapi tak berjaya.
Sefhia raup muka. Habis itu dia mengiring ke kanan. Berharap matanya akan lelap. Nampaknya tak.
Kini dia beralih ke kiri. Matanya dipaksa pejam kali ini. Lima minit berganti, usahanya sia-sia lagi.
Serentak tubuhnya menelentang kembali. Wajahnya diraup berkali-kali.
'Kenapa kau tak nak pejam? Agrrhhh!!!'
Gadis itu dengus tak puas hati.
Sudahnya, dia bangkit dari katil. Mundar-mandir dalam bilik sambil berfikir. Biasa waktu-waktu macam ini dia dah selamat belayar. Entah kenapa malam ini terasa sukar.
Jam di dinding dipandang. Pukul 12.30 tengah malam.
Pak Majid dan Mak Minah mesti dah lena.
Perlahan Sefhia menapak keluar. Bilik Mak Minah diintai. Cahaya lampu terlihat sama-samar.
Dengan hentakan paling minima, dia hayun kedua-dua tongkat. Bawa langkahnya ke ruang istirehat. Duduk dalam bilik pun tak ada apa nak buat. Jadi dia putuskan untuk keluar melihat-lihat banglo besar tersebut.
Dah berapa bulan dia di sini. Selok-belok rumah ini masih tak diketahui. Kebetulan tuannya tak ada. Jadi kesempatan yang datang dimanfaatkan sepenuhnya.
Sambil melangkah, mata biru Sefhia perhati sekeliling. Daripada bahan binaan rumah hingga ke perkakas yang dipamer, dia tahu semuanya bukan dalam nilai yang kecil. Sesuailah dengan pemiliknya yang bukan sembarangan boleh dibuat main.
Dalam mata ralit memerhati, pandangan tiba-tiba terhenti. Sejumlah gambar yang bersusun atas sebuah almari menggamit tangkai hati. Lantas kaki diatur hampiri.
Satu-persatu gambar ditatap. Gambar Aryan bersama seorang lelaki dan dua orang wanita yang paling lama. Seorang pertengahan umur, seorang lagi sedikit muda.
'Mungkin keluarganya.'
Puas renung gambar itu, perhatian beralih pada yang seterusnya. Kesemua gambar diteroka. Tak satu pun yang terlepas dari tilikan mata.
"Audzubillahiminasyaitonirrojim..."
Sefhia kaget. Hampir-hampir bingkai gambar yang dipegang terlepas ke lantai.
"Bismillahirrahmanirrahim..."
Suara itu berkumandang lagi.
Sefhia letak semula gambar di tangan. Minat untuk jelajah banglo besar itu serta-merta padam. Tumpuannya telah dicuri oleh suara yang kini mula mengalun ayat-ayat yang begitu menenangkan.
Langkah diatur kembali. Ingin cari arah datangnya suara yang sedang mengaji. Sayup-sayup, namun begitu jelas didengari.
Gadis itu terus berjalan. Hingga depan pintu bilik Mak Minah, kakinya terhenti. Dirinya tak pasti. Tapi dia yakin, suara tersebut datangnya dari dalam bilik ini.
Adakah itu suara Mak Minah?
Dari tona suara, memang saling tak tumpah.
Sefhia bersandar ke dinding. Telinga terus menghayati bait-bait bacaan kitab Al-Kareem. Dapat dirasakan tubuhnya bagai ada satu aliran listrik sedang mengalir. Sampai bulu romanya terasa sama merinding.
Perlahan-lahan gadis itu jatuhkan tubuh. Terduduk kaku sosoknya di sisi pintu.
Dia ingin terus di situ. Menikmati alunan ayat-ayat suci yang dah lama menjauh. Indah. Merdu. Syahdu. Tiap baris kalimah yang dilafaz begitu menusuk ke kalbu.
Dalam tak sedar, linangan jernih jatuh menitis di pipi satu demi satu.