GADIS itu menapak keluar dari bilik air. Rasa segar tubuh usai bersihkan diri. Langkah terus diatur ke katil. Tiga minggu selepas kemalangan, kini dia dah boleh bergerak sendiri. Itupun dengan kedua tongkat. Dan sebelah kaki.
Dengan penuh hati-hati, duduknya dilabuh di birai katil. Kaki yang masih berbalut gips hiperglass biru diangkat perlahan ke atas tilam. Botol ubat di meja sisi kemudian dicapai.
Luka-lukanya masih perlu dicuci. Rutin harian yang harus dibuat tiap kali selesai mandi. Seperti dipesan Aryan.
Tangan yang ralit sapu ubat dengan tisu tiba-tiba terhenti.
Aryan. Sebut nama itu buat hatinya panas kembali. Kenapa mereka perlu jumpa semula? Lepas apa yang jadi?
Dahlah tempoh hari dia culik lelaki itu. Tiba-tiba lelaki itu datang bantu dan selamatkannya pula. Tak pasal-pasal sekarang dia tercampak ke rumah ini. Rumah besar milik lelaki yang sama.
Sefhia perhati keliling. Dah dua minggu dia tinggal di sini. Konon nak lari jauh dari lelaki itu seboleh-bolehnya. Tapi nampaknya, makin dekat kini.
Dapatkah dia bertahan? Walau tahu peluangnya sangat tipis bila dah terjebak semula dengan lelaki berkenaan.
Satu keluhan dilepaskan. Keluhan yang cukup berat.
Ikut hati mahu saja dia tinggalkan banglo ini sekarang. Tapi mengingat ugutan Aryan, juga kad pengenalannya dalam pegangan, dia jadi tak keruan.
Macam mana kalau dirinya diserah pada polis? Dah tentu-tentu akan terima hukuman. Sia-sia sajalah dia susah-payah loloskan diri tempoh hari dari gudang.
Sejenak, gadis itu terkenang ahli kumpulannya.
Apa nasib mereka sekarang? Zen. Hunter. Geng Crazier yang lain-lain. Sedang dibicarakan? Atau dah dijatuhi hukuman?
"Sefhia."
Lamunan Sefhia terhenti. Segera dia berpaling. Wajah Mak Minah terjengul di muka pintu bersama dulang.
"Maaflah Mak Minah masuk aje. Dari tadi Mak Minah ketuk pintu Sefhia tak sahut. Risau jugak kalau jadi apa-apa. Sefhia baik-baik aje ke, nak?"
Tak ada balas kata. Hanya satu anggukkan yang diterima.
Wanita tua itu lalu berjalan ke katil. Dulang di tangan disua depan Sefhia. Duduknya
turut dilabuhkan.
"Mak Minah datang bawakan sarapan ni. Sefhia makanlah. Lepas tu makan ubat. Aryan dah pesan jangan tertinggal walau sekali pun. Pagi tadi dia tak sempat nak jenguk kamu. Dah lambat ke pejabat."
Sefhia pandang sepintas lalu makanan dalam dulang.
"Sefhia macam mana hari ni? Rasa lebih sihat?"
Mata biru Sefhia kerling Mak Minah. Lambat-lambat dia angguk.
"Luka-luka kat badan tu dah sapu ubat?"
Gadis itu angguk lagi.
"Kaki masih rasa sakit?"
Sekali lagi Sefhia mengangguk.
Mak Minah tenung anak gadis di depan. Sepatah ditanya, sepatah pun tak jawab. Payah betul nak bersuara. Kepala saja yang bergerak.
Tak pandai bercakap ke? Takkan bisu?
Memang sejak datang sini, mulut Sefhia lansung tak pernah keluar suara. Hanya anggukkan dan gelengan. Dah macam berbahasa isyarat pun ada.
Hai! Tak faham betul dengan budak-budak muda zaman sekarang!
"Err... tak apalah. Mak Minah ke dapur dulu, ya. Nak masak untuk tengah hari. Sefhia ada nak apa-apa lagi?" soal Mak Minah seraya bangkit.
Sefhia geleng untuk kesekian kali.
"Kalau macam tu Mak Minah keluar dululah. Kalau Sefhia nak apa-apa, panggil aje. Kalau Mak Minah tak dengar, guna telefon tu ya."
Tangan Mak Minah terarah ke meja sisi katil. Tunjuk alat komunikasi yang selalu diguna penghuni banglo ini. Rumah besar. Kadang tak tahu orang yang dicari ada kat mana. Jadi telefon itu jalan selesainya.
Sebaik Mak Minah keluar, Sefhia renung juadah sarapannya. Pandangan kemudian beralih pada ubat-ubatan atas meja.
Dia tak faham, kenapa Aryan begitu ambil berat. Sedangkan sebab dia, nyawa lelaki itu hampir melayang. Nak balas dendam?
Jemari Sefhia erat menggenggam tisu dalam tangan.
FAIL-FAIL laporan diteliti penuh khusyuk. Sebagai persedian mesyuarat esok. Kalau dulu baru beberapa helai baca dah rasa nak pengsan. Tapi sekarang cuma beberapa minit satu fail dah boleh dihabiskan.
Asam garam sebagai orang baru. Adatlah. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta.
Dan sekarang rasanya dia memang benar-benar dah jatuh cinta dengan profesionnya. Dengan pengalaman yang dikutip selama merantau, cukuplah jadi bekalan untuk menapak dari dasar hingga ke puncak. Seperti babanya.
Dalam tak sedar, ada baik juga dirinya ditinggalkan. Banyak benda dia belajar uruskan Armaya sendirian. Mungkin ini antara hikmah macam yang orang tuanya katakan.
'Makasih, ba, ma!' ucap hati kecilnya.
Tak pasti sampai bila mereka akan di kampung. Yang pasti, hingga kakek sihat sepenuhnya. Alhamdulillah. Khabarnya keadaan kakek juga semakin pulih.
Ada kesempatan, pasti dia akan pulang nanti. Jenguk datuk dan nenek. Rindu pada keduanya sudah separuh mati.
Rindu?
Perkataan itu buat tangan yang sedang menulis, terhenti. Seraya wajah sesorang hadir menggamit tangkai hati.
Sefhia.
Dah dua minggu gadis itu ada di rumah. Dan sejak itu dia cuba faham perwatakan gadis tersebut. Pendiam, kasar, dingin. Bercakap tak nak. Pandang dia pun macam tak ingin. Itu belum lagi sembuh betul. Kalau dah sembuh, tak tahulah gaya macam mana.
Aryan bersandar. Minda terus berputar. Memikir tentang Sefhia.
Gadis secantik itu, macam mana boleh terjebak dalam kancah jenayah? Dengan pakej perawakannya, banyak lagi kerja halal boleh dia dapat. Tengok gaya pun macam orang pandai. Tapi kenapa rezeki macam itu yang jadi pilihan?
Di mana keluarganya? Tak fikir ke perasaan mereka bila tahu gadis itu adalah salah seorang ahli sindiket culik terkenal Malaysia? Ke dia tak maklumkan? Atau mungkin keluarganya dah buang?
Hmmhh!
Aryan mengeluh penasaran. Wajah diraup lalu menyeka rambut ke belakang. Tak tahu kenapa gadis bermata biru itu yang selalu difikirkan.
'Sebab kau dah jatuh cinta dengan dia, Aryan.'
Suara hati seakan jawab pertanyaannya. Dan-dan itu, Aryan ketawa.
"Nggak. Mustahil!"
Jatuh cinta dengan Miss of Crazier? Itu menempah bala namanya!
Banyak kali dia pelu fikir. Dengan keadaannya yang macam itu. Asal usulnya dari mana pun tak tahu. Itu belum tingkahnya. Muka saja lawa. Tapi kalau dah buka langkah, nauzubillah! Dirinya sendiri boleh mengalah.
Cuma satu yang dia berminat. Dirinya nampak sesuatu dalam mata Sefhia. Mata biru itu. Yang jernih itu. Itu yang menariknya untuk lebih dekat.
Tiap kali mata biru itu merenungnya, bagai ada semua jawapan untuk segala persoalan-persoalan. Dan dia nakkan jawapan-jawapan itu. Kerana itu dia tak mahu lepaskan. Sementelah, 'dendam'nya juga masih belum berbalas.
"Tuan Aryan."
Lelaki itu tersentak.
"Are you okay?"
"Err... yup!" pantas Aryan jawab. Cepat-cepat badannya ditegakkan.
"Sure? Tengok tuan macam termenung panjang."
"Ah, nggak. Cuman capek dikit. Ngapain kamu masuk ini?"
"Saya nak ingatkan tuan pasal flight ke Singapura petang ni. Kereta syarikat akan jemput tuan kat bawah pukul 5.30 untuk ke airport nanti."
"Oh! Ya, ya. Makasih Intan ingatkan saya."
"Sama-sama. Tuan ada nak apa-apa sebelum saya keluar?"
"Ya, ada. Tolong kasikan laporan ini sama Naim. Minta dia perbetulkan segala yang udah saya tandain. Sebelum jam 4.00 serah kembali ke saya. Ini penting untuk mesyuarat di Singapura."
Intan ambil fail dari tangan bosnya. "Ada apa-apa lagi, tuan?"
"Err, ya... kamu bisa buatkan kopi untuk saya? Haus, deh."
"My pleasure. Kejap lagi saya hantarkan."
Aryan hantar langkah setiausahanya. Yang sebenar dia taklah haus sangat. Tapi kopi itu lebih kepada nak tenangkan diri yang sedikit gelisah.
Hilang saja kelibat Intan, Aryan capai telefon. Nombor rumah didail. Pada Mak Minah ingin diberitahu tentang keberangkatannya, walaupun pembantu itu dah sedia maklum.
Dan paling penting, untuk sampaikan niat utamanya. Pesanan untuk jaga Sefhia baik-baik sepanjang dia outstation.