Home Novel Cinta Kasih Tercipta
Kasih Tercipta
Yana Agasshi
26/1/2021 18:06:03
31,333
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 13
BAB 13


   "SELAMAT datang encik Amar."


Seorang lelaki berkemeja putih yang sedang mengelap cermin kereta BMW hitam di pekarangan garaj menyapa hormat sebaik saja melihat Amar mendekati dari arah pintu pagar utama.


Amar senyum. Berhenti di depan Husin yang telah berkhidmat dengan keluarganya sejak 12 tahun lepas.Dia kemudian meluaskan pandangan sekitar banglo mewah itu sebelum kembali pada Husin.


   "Mama mana?" Soalnya tenang. Seakan baru sehari dia meninggalkan rumah.


   "Puan Malika ada kat dalam. Tengah tunggu Encik Amar."


Amar angguk sekali. Jelas riaknya tak terlihat teruja.


Dia kemudian menepuk sekali lengan Husin sebelum mengatur langkah masuk ke dalam rumah agam melalui pintu depan. Tak banyak yang berubah. Interior dalam masih lagi sama. Semuanya tampak mewah dan kemas.


Geraknya sedikit perlahan seakan tak mahu mengeluarkan sebarang bunyi. Anak matanya diluaskan sekeliling. Sepi. Jadi dia menapak pula ke arah tangga besar disebelah kiri ruang dalam rumah. Mendaki anak tangga satu persatu untuk naik ke tingkat atas dimana kamar tidurnya terletak. Sesampai saja di depan pintu kamar yang tak berkunci, dia menapak masuk lalu menutup semula pintu. Tak pandang kiri kanan, tubuhnya terus saja direbahkan di atas katil bersaiz king. Melepas lelah 4 jam berada didalam bas tadi. Kelip-kelip matanya merenung siling. Kosong.. Fikirannya juga kosong.


Sedetik, dia angkat tubuh. Duduk sambil meneroka setiap inci kamar melalui pandangan mata sahaja. Terlalu malas untuk berdiri.


Dinding bercat warna krim tak banyak perhiasan. Almari berkembar, meja kerja, TV 40 inci melekat pada dinding bertentangan katil, lantai marmar putih, semuanya sama tak berubah. Melainkan semakin bersih dan kemas.


'Hhaaahhh....' - Keluhan panjang dihela.


Entah betul atau tidak keputusannya pulang semula setelah 3 tahun membawa diri. Selama 3 tahun tiada seorang pun yang mencarinya.


'Kok! Kok! Kok!' - Tiba-tiba bunyi pintu diketuk perlahan membuatkan dia spontan menoleh. Dilihat seorang wanita anggun berblaus merah dan kain duyung hitam melangkah masuk dengan gayanya.


Tersenyum mendekati Amar lalu memeluk lelaki itu kejap. Cuma 3 saat.


Amar senyum nipis. Senyum yang sangat dipaksa.


   "I miss so much my dear," ucap Datin Malika mengusap sekali kepala Amar.


Wanita cantik bersolek ala western glam look itu menilik penampilan anak sulungnya itu untuk beberapa saat. Dengan riak seorang juri proffesional menilai peserta the next top model show.


Hmm.. Rambut agak tak rapi, kulit semakin gelap ditumbuhi pula jambang nipis disekitar muka. Pakaian pula...cuma berseluar banyak poket, T shirt putih dan kemeja loose rona navy.


Berkerut sekejap dahinya.


   "Sayang, kenapa ni..? You pergi mana sampai jadi macam ni sekali...?"


Amar sudah menjangka reaksi sebegitu jadi dia cuma diam menjongket bahu. Nanti juga ibunya akan biar ia berlalu.


   "Oh by the way," Datin Malika memetik jari dengan senyuman bila teringatkan sesuatu.


See? Belum bagitahu ibunya sudah biar ia berlalu. Ke mana dia menghilang selama 3 tahum itu tidak penting sama sekali.


   "Mama nak you keluar, pergi grooming yourself sebab today we will have a special guest so mama tak nak you pakai ala kadar or pakai baju yang sedia ada which is sooo old fashioned. Mama nak you keluar sekarang, go buy new clothes and make sure to groom well. Ni apa ni kusam sangat ni muka, oh god..," panjang lebar Datin Malika berhujah seakan tiada wakaf untuk bernafas sedetik.


Amar mengeluh kecil sambil tunduk ke bawah. Batang tengkuknya dipegang kejap. Sedikit hampa melihat situasi sekarang walaupun dia sudah bersiap sedia.


Datin Malika Azizi langsung tak berubah. Masih seperti dulu. Masih menganggap anak-anak sebagai boneka semata-mata.


   "Amar Luthfi? Do you hear me?" Datin Malika bercekak pinggang di depan Amar tanpa menyedari langsung reaksi apa yang Amar tayangkan.


Amar sekali lagi angkat muka. Mengukir senyum nipis.


   "I think that the guest is guest of yours so why Amar yang kena grooming? It just does not make sense," lembut saja lelaki itu 'membantah' walau hatinya memendam rasa luka untuk sekian lama.


Dia masih lagi menghormati wanita yang telah bersusah payah melahirkan dirinya ke dunia ini 29 tahun yang lalu.


Mendengar itu, Datin Malika berpeluk tubuh pula.


   "Amar, mama nak guest kita nanti see us as a perfect family. She will soon be a part of our family so mama tak nak dia judge mama or our family on our first meet nanti.."


Dahi Amar berkerut seribu. "Tak. Siapa sebenarnya guest mama ni? Apa kena mengena dengan Amar? Amar tak faham."


   "No need to understand la dear...Just go now. She will be here at 8. We'll have a dinner together and when i say together means mama, you, Aryan and papa so no more questions, no more excuses. Go go."



**********



      ZAHRA meneguk air putih dari botol jenama cap ayamnya sebelum mengeluh berat. Dia yang duduk bersila di atas rumput bawah pokok besar luar pagar kilangnya itu menegakkan tubuh. Rasa nak patah tulang belikat. Semalam dah 8 jam berdiri, ni sambung pulak 4 jam. Untung ada waktu rehat tengahari macam ni untuk dia melepas lenguh.


Faiz baring di atas rumput sebelah Zahra mengibas-ngibas muka menggunakan kepingan kotak yang diambil dari stor tadi. Panas sungguh cuaca hari ini.


   "Weh, bangun pukul belakang aku kejap," arah Zahra lagi apabila rasa mencucuk-cucuk semakin kuat dalam tulang belakangnya.


Faiz berdecit 'marah' tapi tetap saja menurut arahan ketua kumpulan. Lelaki yang sedikit kurus itu mengangkat tubuh. Mengensot ke arah belakang Zahra lalu mengetuk ngetuk garis tulang belakang Zahra menggunakan tangan yang digenggam.


   "Atas sikit, buat betul betul eh," demand betul Zahra memberi arahan. Dah macam big bos.


Faiz pula dah rupa hamba abdi, menurut saja dia tak membantah.


   "Ha.. Good, good. Teruskan."


   "Kau tak tanya ke mak dia tadi? Tak pernah-pernah lagi ni Ida MC tak bagitahu kita," Faiz memetik topik tentang bffnya sorang lagi yang tak masuk kerja hari ini.


Zahra meneguk lagi air mineralnya sebelum menjawab.


   "Entah. Makcik Farida cakap Ida tak sihat. Tu aje. Esh.. Aku dah lah nak tanya dia pasal bekas makanan Dina. Itu hari kita pergi bandar, aku tertinggal dalam kereta ayah dia. Karang kalau Dina tanya abang Amar mana bekas dia, mati aku. Tupperware ori tu weh. Boleh buat gaduh kalau hilang."


   "Beli je lah lain. Apa susah?"


   "Kau biar betul.. Aku pun guna bekas 2 ringgit 10 sen, agak-agak lah aku nak belikan dia Tupperware. Mahal tu.."


   "Lah, aku ada kawan yang jual barang cetak rompak macam ni. Sumpah kalau tengok memang nampak macam ori. Mak aku selalu beli. Mak mahal pun. Aku rasa kalau bekas makanan atau botol air dalam 5 ke 8 ringgit macam tu aje. Nak ke?"


Laju Zahra menoleh kebelakang. Berminat.


   "Betul ke? Dasyat gak ek? Mak kau selalu beli tu maknanya betul lah tu. Kawan kau seludup dari mana? Sempadan Thailand? China?"


   "Dia borong kedai 2 ringgit tak silap aku," selamba saja Faiz menjawab membuatkan Zahra terdiam sesaat.


Hatinya dah menyumpah seranah si Faiz dengan muka tak boleh blah. Dia pandanggg aje Faiz yang jelas jelas tak bergurau. Haih.. Kecil besar kecil besar aje Faiz di depan matanya saat ini.


   "Haii..kau ni Faiz. Lembing betul. Ada karang aku humban kau dalam longkang sana. Apa ke bo...", baru saja nak memaki hamun, suara Amar pula entah dari mana berbisik gemersik di cuping telinga 


Syarat nombor 2, Ara.. Syarat nombor 2.. Nak nikah ke tidak...?


'Fuh..." - Keluhan panjang dihela bagi menenangkan hati yang menggelupur nak keluarkan banyak benda.


Faiz terkebil kebil tak tahu apa-apa.


   "Kenapa kau ni? Nak ke tak ni? Aku boleh mesej dia balik nanti."


   "Faiz.., kalau dia beli kedai 2 ringgit, lepastu nak jual kat aku harga 8 ringgit, kan lebih baik kalau aku beli sendiri kedai 2 ringgit. Tak jauh pun dari sini. Keluar simpang kampung, depan sikit aje hah. Kau naik siput babi pun sampai. Ya Allah Faiz...."


   "Yeke?" Berkerut dahi Faiz masih was-was. 


Cukup membuatkan Zahra dihujung tanduk tahap kesabarannya. Dia mengawal pernafasan seperti orang nak bersalin.


   "Astaghfirullahaladzim.... Ya Allah.. Bagilah aku kesabaran meneruskan persahabatan ini ya Allah... Aku tak kuat..."


   "Apa benda kau ni Ara?"


   "Diam la bodoh! Kalau aku tak jadi kahwin nanti siap kau! Aku sumpah kau 7 keturunan!"



***********



       "MINUM la kak Ila. Teh o kosong aje..," pelawa Farida menghidangkan secawan teh o panas di atas meja makan dapur rumahnya.


Razila senyum sambil memegang tangan cawan. Tak berniat untuk minum pun, cuma hendak mengurangkan rasa kekok dalam dirinya tika ini. Dia bukanlah tak selesa cuma hari ini dia datang membawa hajat jadi ada sedikit beban di bahu.


Farida menarik kerusi dekat Razila. Melabuhkan punggung tanda sudah bersedia untuk berbincang. Ruang dapur batu yang agak luas itu sunyi. Cuma mereka berdua.


   "Cakaplah kak Ila."


   "Ya.. Akak pun bukan lah reti sangat nak cakap ni Fa. Akak malu, tak tahu nak cakap macam mana," lirih suara Razila berkata jujur.


Farida senyum, meletakkan tangannya di atas pergelangan Razila yang memegang tangkal cawan.


   "Cakap aje lah kak Ila.. Sesama kita saja pun.. Lagipun kalau tak keluarkan isi hati, saya takut tak selesai masalah anak-anak kita ni...."


Razila angguk tanda mengakui kata-kata Farida itu. Nafasnya dihela sekali.


   "Tentang Hafiz dengan Wahida ni, Fa. Hafiz bagitahu yang Fa nak dia masuk minta Wahida bulan depan. Majlis nikah pun sekali bulan depan. Betul ke Fa...?"


Farida serba salah tapi apa yang telah ditetapkan dia tak berniat nak batalkan. Jadi dibalas juga pandangan Razila yang sudah dikenali lebih 30 tahun.


   "Betul lah apa yang Hafiz cakap tu kak Ila. Mereka dua dah 2  tahun bercinta. Kita semua tahu kan. Dah kenal pun dari kecik lagi. Kalau boleh saya taknak lah Wahida keluar dengan Hafiz dalam hubungan yang tak menghalalkan. Yelah.. Anak muda, darah muda.. Kita tak tahu apa yang ada dalam kepala, dalam hati diorang...," panjang lebar Farida cuba menjelaskan sebaik mungkin.


Razila terangguk-angguk tapi riaknya mendung tak dapat disorok.


    "Akak faham Fa. Sebab itulah akak datang nak mintak budi bicara Fa.. Tak boleh ke tangguhkan sikit masa lagi..? Setahun pun takpe. Kalau nak tunang dulu pun boleh. Sebabnya simpanan Hafiz tak cukup lagi.. Fa pun tahu, Hafiz kerja selama ni tanggung kami 4 beranak. Sejak sejak Zahra kerja, Melisa habis kolej, barulah dia boleh menabung untuk diri dia sendiri tapi kalau bulan depan Fa nak buat majlis, tak sempat kami nak tampung."


Razila tambah serba salah. Tambahan pula Razila itu, tuturnya lemah lembut semulajadi. Dia tak sampai hati nak menolak mentah-mentah.


   "Macam ni sebenarnya kak Ila. Mak sedara Ida tu lah.. Mak Teh dia tu. Hari-hari telefon tanya pasal Ida. Dia nak pinangkan Ida untuk anak lelaki dia yang kerja tentera tu... Saya pun dah segan nak berdalih. Melainkan kalau Ida dah jadi milik orang, barulah saya rasa lega. Mak Teh dia pun tentu faham..."


Sayu hati Razila mendengar penjelasan dari Farida tapi dia tak menyalahkan wanita itu. Dia faham niat Farida cuma dia kasihankan nasib anak lelaki satu-satunya, Hafiz. Dari kecil lagi banting tulang untuk keluarga. Tapi diri sendiri tak sempat diuruskan. Remuk hati ibunya mengenangkan dia tidak dapat membantu Hafiz. 


Keluhan kecil dihela tanpa sedar. "Takpe lah, Fa. Akak faham. Alang-alang dah datang, boleh akak tahu berapa hantaran untuk Wahida?"


   "Hmmm...." Farida sedikit berat hati nak menyatakan jumlah yang sudah lama dia tetapkan. Tangan Razila dipegang kemas.


   "Sebelum tu saya nak kak Ila faham lah yang Ida tu satu-satunya anak saya dengan abang Karim. Anak tunggal kami. Anak kesayangan kami. Semua orang kampung tahu yang Ida tak dinafikan ada rupa, dia pun pandai walaupun tak belajar tinggi. Jadi awalnta saya letak 10ribu tapi..," laju Farida menekankan perkataan 'tapi' apabila melihat air muka Razila yang agak terkejut.


   "Tapi sebab saya pun faham keadaan Hafiz jadi saya letak 8 ribu aje dengan satu set barang kemas."


Terkedu sejenak Razila mendengar jumlah hantaran yang diminta bagi mendapatkan Wahida buat anaknya Hafiz. Terasa terbang seluruh semangat dalam dirinya saat ini. Kosong dalam kepala.


Patutlah Hafiz sendiri pun berserabut kebelakangan ini. Dia yakin anak lelakinya itu sudah dimaklumkan soal ini. Ya Allah....


   "Kenapa kak? Saya buat akak terasa ke?"


   "Tak, tak, tak..,"  Razila pantas memaksa segaris senyuman. Farida tak bersalah sama sekali. Bukan senang nak besarkan seorang anak perempuan hingga membesar jadi manusia yang baik budi bahasa seperti Wahida. Sudah tentulah ada harganya.


   "Takpe lah, Fa. Nanti akak usahakan. Maaf sebab susahkan Fa."


   "Esh kak Ila. Jangan la macam tu.. Saya sebenarnya segan dengan kak Ila..."


Razila menggeleng sambil berdiri. Dia bahkan tersenyum agar Farida tak merasa bersalah.


   "Akak balik dulu Fa. Apa-apa, nanti akak maklum semula," ucapnya lembut lalu mengatur langkah meninggalkan Farida yang diam dihambat rasa serba salah.


Razila keluar melalui pintu depan. Dilihat Wahida duduk di atas buaiab besi di anjung rumah.


Gadis bertudung ungu itu berdiri mendekati Razila dengan muka sedih. Air matanya tumpah saat memegang tangan berurat Razila.


   "Ida mintak maaf makcik... Ida tak berani bantah umi...,"  menangis Wahida saat meluah kata maaf dari lubuk hati.


Hiba mencuit hati Razila. Pipi Wahida yang basah dia sapu lembut. "Kenapa kamu nak mintak maaf nak..? Kamu tak salah pun."


   "Tapi Ida dah bebankan abang Hafiz."


"Setiap apa yang berlaku tu ada hikmahnya. Dah, jangan nangis. Makcik akan usahakan."


Wahida memeluk Razila dengan rasa sebak menusuk jantung. Tak pernah dia menyangka dia akan lalui dilema seperti ini.


Dia benar-benar tak sanggup berpisah dengan Hafiz. Dia yakin Hafiz pun merasa hal yang sama ..

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yana Agasshi