Home Novel Cinta Kasih Tercipta
Kasih Tercipta
Yana Agasshi
26/1/2021 18:06:03
31,361
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2
BAB 2 



   "ASSALAMUALAIKUM....!" Wahida memberi salam lantang apabila sudah setapak menginjak masuk ke dalam ruang dapur melalui pintu dapur yang terbuka luas.


Tak sempat lagi Razila yang sedang mencuci pinggan mangkuk di sinki itu menjawab salam, dilihat Wahida tercegat sebelah meja makan menyuap kuih cara gula ke dalam mulut.


Razila menggeleng kepala. Anaknya macam gitu, kawan anaknya pulak macam gini. Nanti sampai sorang lagi yang...


     "Assalamualaikum...!"


Ha, panjang pun umur.


Faiz tergopoh gopoh melangkah masuk mendekati Wahida. Sama-sama melahap makanan tuan rumah tanpa izin. Bertuah punya budak.


'Hmhh....' Razila cuma mampu mengeluh sebelum mengelap tangan yang basah pada kain dapur.


     "Makcik, sedapnya kuih makcik buat.. Kan best kalau umi pandai masak macam makcik," puji Wahida dengan mulut penuh.


Faiz mengangguk setuju. Umur dah 22 tahun tapi masih macam budak-budak pegang kuih dua-dua tangan takut tak cukup.


      "Kalau ya pun duduklah dulu.. Apa anak dara makan berdiri ni Ida.. Kamu pun Faiz.."


"Takpe takpe. Ni makcik, Ara mana? Janji nak keluar pukul 5. Ni dah 5 suku tak nampak batang hidung lagi," selamba Wahida bergerak kearah peti sejuk mencari segelas air teh O. Dah macam rumah sendiri. Sudah dia teguk, dihulur pula pada Faiz. Lelaki berambut pendek ala kadet wataniah itu meneguk sisa minuman dari Wahida.


Sekali lagi Razila mengeluh. Lembut saja orangnya. Wanita berwajah keibuan.


     "Kamu nak pergi mana lagi...? Hari-hari keluar petang. Lepastu balik maghrib. Tak elok anak dara asyik keluar selalu...," omel wanita berkain batik dan blaus hijau itu untuk yang kesekian kalinya.


Si Wahida dengan si Faiz buat-buat tak faham. Cepat-cepat melangkah laju meninggalkan ruang dapur lalu masuk ke ruang tamu. Mereka sama-sama menyelak langsir kamar Zahra sebelum bersahaja masuk tanpa salam.


Zahra yang sudah siap bershawl ringkas sedang terbongkok bongkok di atas lantai mencari sesuatu.


Wahida melabuhkan punggung di atas katil sementara Faiz duduk di atas kerusi meja belajar dekat dinding. Maklumlah. Bff sejak tadika.


     "Kau cari apa? Nilah melayu. Janji tinggal janji. Kau janji nak turun pukul berapa sekarang dah pukul berapa. Aku bukan main solat awal waktu taw sebab nak tepati janji tapi kau?" Giat Faiz bersungguh kalahkan mak nenek. Tapi dia tak lembut macam sutun ya you ollss... Biasa-biasa saja.


Mendengar bebelan Faiz, Zahra pantas bangun bercekak pinggang. Termengah-mengah.


    "Tsk. Serabut lah kau ni. Aku cari perfume aku ni.. Mana entah. Dahla tu je aku ada. Bukan main jimat lagi aku pakai."


Wahida kerut dahi.


     "Nak lepak kedai kak yong je pun . Perfume apa ke benda?" Tempelaknya hairan mengundang senyum nakal dari Zahra.


Senyum orang miang namanya.


"Ala... Macam tak tahu pulak. Kedai kak yong kan dekat dengan bengkel abang Amar.. Manalah tau kalau terserempak dengan dia, nak jugak wangi-wangi kan..."


     "Eeewww...!" Serentak Faiz dan Wahida tayang muka jijik konon loya dengan sikap gedik teman baiknya itu sorang.


Faiz jeling mata terbalik tapi langsung tidak patahkan semangat Zahra.


     "Takpe.. Kau tunggu. Nanti kalau dia dah jadi boyfriend aku esok lusa, baru kau tau."


"Wekk." Wahida mengejek lagi  Gadis berambut lurus separas bahu itu kemudian mencapai komik Ujang dari atas meja sebelah katil lalu membelek ala kadar.


Zahra sekadar mencebik. Tak buang masa, dia lantas berjalan keluar dari kamarnya  Dipandang sekeliling ruang tamu sebagai langkah waspada sebelum setapak demi setapak melangkah masuk ke dalam bilik bersebelahan biliknya yang tak berkunci. Gaya masuk pun dah tahu bukan sekali dua dia buat aktiviti pencerobohan macam ini.


Siap menyanyi kecil lagi senang hati sambil tangannya membelek belek barang milik Melisa yang di atas meja solek. Banyak juga alat solek. Buat masa sekarang targetnya cuma perfume sahaja. Jadi, direnung dulu botol perfume yang berada di baris paling belakang dekat dengan cermin. Dihadam betul-betul kedudukan botol kaca itu kemudian barulah dia ambil.


     "Wow. Pa...ris Hilton Rose Rush? Kelas kau Melisa. Level anak tan sri kau," monolognya sendiri sebelum menyembur wangian itu pada tubuh dan belakang telinganya.


"Hmmm....Wanginya......", ucapnya senang hati. Yelah. Dia paling-paling pun guna perfume one drop aje. Sebotol 5 ringgit. Sekali sekala pakai yang branded, fefeeling orang kaya betul.


Tak berlamaan, dia kembali meletakkan botol perfume ditempat asal. Diletak biar betul-betul sama seperti posisi awal tadi. Seteliti mungkin dia adjust supaya Melisa tak perasan. Kalaulah kakaknya tu perasan, alamatnya, arwah la dia. Usai menghapuskan kesan bukti, dia kemudian melangkah keluar dari kamar Melisa lalu menutup semula pintu. Kepalanya dijongol di balik langsir kamarnya pula.


    "Weh, jom jom. Karang lewat pulak," gesanya membuatkan Wahida dan Faiz berebut rebut nak keluar dari bilik itu. Macam budak-budak!


Mereka berlari kearah dapur. Berebut rebut pula keluar melalui pintu dapur dek tak mahu diomeli Razila lagi.


     "Cepat cepat.." Zahra menggesa Wahida mengangkat basikal yang direbahkan atas tanah sebelum dia memanjat naik duduk diatas para belakang.


Faiz sudah sedia dengan basikalnya sendiri. 


    "Zahra..! Kamu guna minyak wangi kakak kamu lagi ke...?" Tiba-tiba Razila muncul dimuka pintu dapur membuatkan Wahida kalut mengayuh pedal basikalnya meninggalkan halaman rumah. Berdesup kalahkan Azizul Hasni Awang.


Faiz mengejar rapat dibelakang. Jalan kampung boleh la macam ni... Kalau kat bandar sana harus tersepit bawah lori balak.


     "Kau guna perfume kak Ros lagi?" Soal Wahida mulai mengayuh santai bila sudah jauh dari rumah.


Orang kampung memang bahasakan Melisa as kak ros bila cakap belakang. Siapa tak kenal Melisa? Orangnya cantik.., bijak pandai, kerja sebagai doktor pelatih di hospital bandar tapi garangnya tak boleh bawa bincang. Macam kakak upin ipin tu..


Ingat zaman sekolah dulu, nak ajak Zahra main laaa budak-budak kampung paling takut sekali. Ish, seram nak diungkit masa lalu.


"Alah.. Dia takkan tahu punya..." Zahra membalas sambil bersahaja memandang kiri dan kanan perumahan kampung. Petang-petang macam ni memang seronok tengok orang.


    "Lagipun dia selalu tidur asrama. Jarang balik. Eh kau jangan risau lah. Sibuk aje," sambungnya lagi.


Wahida mencebik.


     "Aku nasihatkan aje.. Kau ni tak serik-serik kan? Kalau kak Ros tu kakak aku lah..hmh. Nak tengok mata dia pun aku tak berani."


"Yelah.. Kau untung la.. Anak tunggal kesayangan.. Mesti best kan jadi anak tunggal. Nak apa semua dapat."


     "Betul-betul. Mak aku cakap dia nampak abi kau kat kedai perabot semalam. Dia belikan kau katil baru ke?" Celah Faiz cuba mengayuh seiiring Wahida.


Mendengar itu, Zahra jadi berminat. Kepalanya disengetkan menanti Wahida membalas.


     "Ha'ah. Katil lama tu rendah sangat..Tapi yang biasa aje.. Bukan mahal pun."


"Wahhhh...," sahut Zahra kagum bercampur iri.


Dia ni ha, dari darjah 6 lagi guna katil bujang yang tilam pun dah macam roti canai. Itu pun katil 'ex' Melisa.


     "Best la kau.. Nak apa semua dapat," ucapnya dengan muncung pendek.


"Mana ada... Heshh.. Kau la ni Faiz. Serba serbi kau ambik tahu kan?" 


"STOPPP!!!!" 


HIKKKKKK!! - Berapi tayar basikal bila Wahida menekan brek tangan sekuat mungkin sebaik saja Zahra menjerit tiba-tiba. Sampaikan muka Zahra tersondol atas belakangnya.


Kalut Zahra turun dari basikal sambil membetulkan shawl yang dipakai.


Wahida dan Faiz saling berpandangan dengan kerutan didahi.


      "Kau dah kenapa Ara? Gila ke?" Soal Wahida geram. Nasih baik tak cium jalan tadinya.


Zahra menoleh dengan senyum lebar sambil mengangkat angkat kening penuh makna membuatkan Wahida dan Faiz sama-sama melempar pandang ke arah depan Zahra. Terpampang depan mata bengkel kecil disebelah sebuah rumah separuh batu separuh kayu. Masing-masing mula mengeluh dengan muka meluat. Ingatkan dah kenapa..


Zahra tak hiraukan wajah wajah pematah semangat itu semua. Dia kembali menoleh ke depannya. Memandang sigboard 'Bengkel Munir' dengan mata bercahaya. Bengkelnya kecil saja, dibina sebelah rumah pemilik bengkel iaitu Munir merangkap mekanik kampung. Bab-bab repair motor, kereta, lori, basikal sekalipun, mesti orang kampung cari dia.


Tapi kalau yang namanya Nurul Zahra..., hari-hari dia datang nak cari lelaki pujaan hati yakni Amar. Amar satu-satunya pekerja Munir. Di Kampung Alur Indah ni siapa je yang tak tahu kisah Zahra duk kejar Amar 7 hari seminggu selama 3 tahun tanpa cuti? Semua orang kampung tahu. Dan yang kelakarnya, semua kesian pada si Amar bukannya Zahra. Dah Amar orangnya baik. Tak banyak cakap, tak pernah marah-marah, selalu tolong orang kampung dan tak pernah sekali pun halau Zahra setiap kali datang 'mengacau' walaupun dia tak berminat dengan cinta gadis kecil molek itu.


Al kisahnya macam itulah....


       "Korang tunggu kejap," ucap Zahra tanpa menoleh belakang sambil menapak kearah bengkel yang cuma 5,6 langkah dari jalan.


Wahida dan Faiz tak sempat menyekat, cuma mampu geleng kepala melihat Zahra masuk kedalam bengkel.


Zahra meliarkan mata sekeliling ruang dalam. Sepi. Ruang luar juga kosong. Cuma ada beberapa buah kereta tersadai menanti diperiksa.


    "Mana ni..,"  desisnya perlahan memanjangkan leher kiri dan kanan. Cuma ada alat-alat kereta dab motor yang dia tak kenal satu apa pun. Jangan kata alat kereta, spanar dengan skru pun dia boleh tertukar!


"Hish.. Lewat sangat ke aku datang..? Biasa ada aje," monolognya lagi dengan muncung kehampaan.


Hari ini tak sampai 5 minit pun dapat tengok muka pujaan hati. Nanti malam nak tidur lena macam mana? Haa....


    'Hmmhhh....,' sempat lagi dia mengeluh sebelum memalingkan tubuh ke belakang namun baru saja nak buka langkah, sesusuk tubuh tercegat di depan mata.


"Opocot mak kau jatuh!" Kuat dia melatah tanpa sedar. Dadanya diurut-urut menghilangkan rasa kaget.


     "Ya Allah... Munir! Terkejut lah!" Marahnya benar-benar sebal. Nasib baik tak kena heart attack.


Munir yang dimarah itu sekadar ketawa kecil sambil bergerak ke arah salah satu rak disitu. Mengambil sesuatu dari rak paling tinggi.


Zahra memerhati tingkah lelaki setahun lebih tua darinya itu dengan riak jengkel sebelum sesuatu melintasi benak. Laju dia mendekati Munir.


     "Weh. Mana abang Amar? Dah balik ke?"


"Ada kat belakang. Nanti..," tak sempat lagi Munir habiskan tutur, kedengaran bunyi tin berlaga dari arah kiri membuatkan mereka sama-sama menoleh.


Amar muncul entah dari mana membawa 2 tin sederhana saiz di tangan. Muka selamba macam biasanya. Bergerak ke arah sebuah kereta Wira putih di luar bengkel.


Sepantas kilat Zahra mendekati. Cuba menempel  rapat tapi masih ada halal gap walau cuma beberapa inci. Sengih-sengih dengan badan meliuk gedik.


     "Abang, Ara nak makan meesup kedai kak yong. Abang nak join sekali tak? Ara belanja," pelawanya dengan suara yang di 'sopan' kan. Walhal suaranya kalau bercakap.., sampai kampung sebelah pun dengar. Bingit telinga!


Anak mata gadis itu tak lepas dari memandang wajah hitam manis milik Amar. Tak adalah hensem mana tapi entah apa yang buat dirinya gila bayang.


"Ara, Amar banyak kerja tu. Kau belanja aku jelah,"  celah Munir sengaja mengusik membuatkan Zahra menjeling mata terbalik. Pengacau daun dimana mana. Kat rumah Hafiz, kat sini Munir.


    "Abang Amar..," Zahra masih tak berputus asa.


Bila Amar tunduk duduk mencangkung untuk memeriksa sesuatu dibawah kereta, dia pun kalut ikut tunduk duduk memeluk lutut.


"Abang....dah baca ke surat yang Ara bagi minggu lepas? Kenapa senyap je. Tak balas pun."


Dia memetik pula isu surat luahan cintanya yang sepi walaupun sudah seminggu berlalu sejak surat tu di 'utuskan' kepada si pangeran.


Mendengar itu, Amar angkat muka sekali. Riaknya jelas tak berminat tapi dia terlalu baik untuk marah-marah.


Yang Zahra pun tak reti bahasa. Adoiii....


    "Saya tak baca lagi," ringkas saja Amar menjawab jujur sebelum bersahaja menyambung kerjanya tanpa menghiraukan muncung panjang Zahra.


Zahra menjuih kecewa sementara Munir dekat meja panjang dalam bengkel sudah tersenyum senyum lucu.


      "Ara, kau ni kan. Apalah sangat seminggu surat tak berbalas. Aku ni hah.  Dah setahun aku mintak nombor telefon Melisa. Mana?" Soal Munir sekali lagi mengundang jelingan Zahra.


Pantang benar gadis tu kalau ada mana-mana pemuda  kampung yang gunakan dia untuk pikat kakaknya. Menyampah! Dia ni tak ada pulak orang nak mengorat. Apa kurangnya dia? Hesh..


     "Kalau kau nak, kaulah mintak sendiri! Dengan singa buruk rupa macam tu pun kau nak ke?" omelnya tak puas hati. Lupa sejenak Amar di depan mata.


Walau dihambur begitu, Munir cuma galak ketawa. Seronok mainkan Zahra sebenarnya.


Sedetik, Zahra sedar sendiri. Dikerlingnya sekilas wajah Amar sambil menepuk-nepuk bibirnya sendiri. Munir punya pasal lah ni. Hilang keayuan dia.


    "Ehem," dia berdehem sekali mendapatkan semula mood gadis melayunya.


"Abang, esok ada funfair kat Bandar Shah. Ramai artis datang.. Malam siap ada konsert lagi. Jomla...," sambungnya bersungguh mencuba nasib.


Kelip-kelip mata galaknya menanti jawapan Amar penuh harapan.


Amar diam tak membalas. Seolah olah Zahra tak wujud disitu, selamba dia berdiri lalu menapak ke arah rak belakang Munir untuk mengambil barang.


Zahra pun apa lagi, cepat-cepat turut bediri membuntuti Amar. Dah rupa peminat obses.


    "Macam mana? Abang nak ikut? Kalau abang nak ikut, kita naik motor abang lah. Ara tak pandai  bawak motor. Basikal pun tak ada."


Amar tak memberi sebarang respon. Tekun menilik beberapa berus yang belum diguna. Semacam berus cat tapi kecil saja. Entah apalah nama benda tu.


Zahra jadi makin tak sabar. Gelisah selagi Amar tak memberi jawapan. Harapan sentiasa ada.


     "Abang Amar, dengar tak ni...? Ara tanya..."


"Assalamualaikum..," satu suara tiba-tiba mencelah membuatkan Zahra, Amar dan Munir menoleh serentak.


Seorang gadis cantik tinggi lampai berkain batik dan t-shirt lengan panjang loose melangkah masuk dengan senyum sipu-sipu. Bertudung labuh ungu, sopan orangnya.


Tapi Zahra awal-awal lagi mencebik kurang senang. Dia ada hidu bau-bau 'pesaing'. Jiran tak jiran, siapa yang mendekati pengerannya akan dianggap pesaing.


     "Dina.. Ada apa ni? Lewat datang," sapa Munir ramah seperti biasanya dia.


Dina senyum ayu. Yang ini asli ayu. Dengan pipi pau gebu, comel benar empunya nama Dina ini.


Zahra melirik kearah Amar. Dilihat Amar senyum nipis memandang Dina. Mencuit rasa cemburu dihati. Yelah. Dengan dia ekor mata pun langsung tak pandang.


     "Hm.. Ni, Dina ada buat kek marble sikit tadi..," manja Dina bersuara sambil menghulurkan 2 bekas berisi kek kepada Munir.


Laju Munir menyambut senang.


    "Dina buat lebih, tu yang ibu suruh bagi bagi. Ni untuk abang Munir dengan abang Amar . Tak taula sedap ke tak," sambung Dina manja.


"Ehh.. Dina buat mestilah sedappp... Tak sabar abang nak makan," giat Munir mengundang tawa kecil dari Amar. Tak ada yang lucu pun.


Cukup membuatkan Zahra berkerut dahi tak puas hati. Dipandangnya Dina atas bawah atas bawah. Dia lagi cantik kot dari Dina tapi kenapa Amar tak pandang?


     "Terima kasih Dina. Nenek abang suka kek Dina," suara emas akhirnya Amar kedengaran jelas bersama segaris senyuman membuatkan Zahra spontan menoleh. Merenung sisi wajah Amar dengan rasa terkilan. Geram pun ada.


'Buat aku macam tak wujud aje, dengan Dina boleh pulak senyum senyum!' Getus hati kecilnya sebal.


Tak sanggup berlamaan, Zahra menghentak kaki sekali sebelum membuka langkah besar meninggalkan bengkel.


    "Eh Ara! Tunggu! Kek ni tak nak ke?" Laung Munir berniat mengusik. Dia ketawa sendiri dihujung usikan.


Si Zahra menonong saja berjalan ke arah 2 temannya yang setia menunggu di atas basikal tepi jalan sedari tadi. Muka cemberutnya membuatkan Wahida dan Faiz memahami.


     "Naik. Balik jelah macam ni. Spoil mood aku tengok muka cemberut kau nih," tempelak Wahida selamba disambut anggukan Faiz.


Zahra memanjat duduk di atas para belakang basikalnya Wahida. Pinggang baju Wahida dipegang kemas tatkala basikal mula bergerak perlahan. Menuju semula ke arah rumahnya.


Meesup kak yong cancel!

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yana Agasshi