Home Novel Cinta Kasih Tercipta
Kasih Tercipta
Yana Agasshi
26/1/2021 18:06:03
31,392
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12
BAB 12


   LANGKAHNYA sedikit berjinjit sambil memanjangkan leher sekeliling mencari kelibat ibunya di pekarangan rumah. Selipar yang dah bersalut lumpur dari sawah dibimbit di tangan kiri. Ini kalau mak tengok lah dia yang sudah macam kuih badak berendam ni, matilah kena bebel sehari semalam.


   "Mak...? Orang dah balik ni..," dia bersuara perlahan di depan pintu rumah memastikan keberadaan musuh.


Setelah beberapa saat tak ada sahutan, dia mengangguk-angguk kepala. Itu tandanya maknya tak ada di dalam rumah jadi dia berjinjit pula ke arah pintu dapur sebelah kiri rumah. Sudah rupa nak pecah masuk rumah JKKK.


   "Pasal tu ke abang nampak serabut sangat 2-3 hari ni?" Cupingnya tiba-tiba menangkap suara ibunya membuatkan langkahnya mati betul-betul di depan pintu dapur yang tertutup. Dahinya berkerut seribu sambil mendekatkan telinga kiri pada pintu kayu untuk mendengar dengan lebih jelas.


   "Tak tahu lah mak..," kedengaran suara Hafiz pula membalas perlahan.


   "Meeting apa serius sangat ni?" Desisnya perlahan semakin berminat. Beria tadah telinga sampai melekat pada pintu kayu bak cicak kubing.


   "Abang ingatkan abang boleh fikirkan jalan tapi...entahlah. Abang dah penat nak fikir," lirih kedengaran suara Hafiz menyambung.


Cukup buat Zahra jadi penasaran tentang topik apa yang sedang dibincangkan. Kenapa dengar macam tak baik aje ni. Sayu.


   "Takpelah bang. Abang jangan lah susah hati sangat. Mak selagi hidup, mak akan tolong abang, anak-anak mak semua sama," pujuk Razila lirih.


Double triple lah curious Zahra jadinya.


   "Heshhh.. Apa dorang tengah cakap ni? Abang Hafiz ada buat masalah ke?" Monolognya separuh berbisik.


   "Dah lah. Jangan sedih sedih dah. Lain kali jangan pendam masalah abang. Belajar cerita kat mak ni. Pasal masalah abang tu, nanti mak jumpa mak cik Farida sendiri. Bincang tengok macam mana."


'Bamm!'- Berdentum Zahra menolak pintu kayu dapur mengejutkan Razila dan Hafiz.


   "Allahuakhbar.. Zahra!" Razila kaget memegang dada.


   "Mak tengah cakap pasal apa? Kenapa nak jumpa makcik Farida? Nak pinjam duit? Abang ada buat masalah lagi?" Bertubi tubi Zahra menyoal senafas. Dadanya dah macam nak pecah dek diasak rasa penasaran.


Razila dan Hafiz saling berpandangan dengan kerutan di dahi sebelum mereka sama-sama kembali lagi pada Zahra dimuka pintu.


   "Apa kamu cakap ni Zahra.. Kamu curi dengar ke mak cakap dengan abang?"


   "Jawab lah dulu. Mak tengah cakap pasal apa?"


   "Tak, kau ni dari mana Zahra?" Celah Hafiz sambil bangun mendekatinya. Serius seperti biasanya membuatkan Zahra sedikit gentar. 


Zahra gigit hujung bibir. Silap dia juga pergi rempuh pintu tadi. Kan dah kantoi...


   "Kau buat hal lagi ke? Kenapa kotor sangat ni? Main dalam lumpur mana?" Soal Hafiz lagi dengan nada tegas.


Kali ini Zahra telan liur. Anak matanya liar sedang otak ligat merangka alasan tapi dalam masa yang sama dia sudah berjanji tak nak lagi menipu.


   "Erm...orang jatuh dalam sawah," jawabnya tak memandang ke dalam anak mata abangnya.


Ha. Betullah jawapannya itu. Cuma tak detail saja.


   "Orang masuk dulu lah, nak mandi, nanti lewat pulak nak masuk kerja," dalihnya sambil cepat-cepat cuba membuka langkah namun Hafiz lebih pantas menghalang laluan.


   "Kau nak masuk mana dengan kaki kotor macam ni? Kau nak ke aku kurung kau dalam reban ayam belakang baru nak reti ke?"


Zahra mencebik sedih bila dibebel macam tu sekali. Tak jadi dia nak loloskan diri.


   "Pergi basuh kaki kat luar dulu baru masuk mandi,"  tegas Hafiz membuatkan Zahra menurut monyok.


   "Abang.. Jangan lah kasar sangat dengan Zahra tu.." Razila pula mengusap ngusap belakang Hafiz.


Lelaki itu tercegat saja memerhati gerak geri Zahra di luar tak jauh dari muka pintu. Sedang basuh kaki menggunakan air paip disitu.


   "Mak, abang, Mel nak gerak dah ni." Tiba-tiba Melisa pula muncul dari ruang tamu menggalas beg pakaian. Gadis bertudung bawal hijau itu menyalami tangan Razila dan Hafiz. Serius saja riaknya.


Memang perangainya sejak kecil lagi bukan yang jenis bermanja atau jenis menunjukkan banyak ekspresi seperti Zahra. Lebih kurang Hafiz lah perangai.


   "Dah nak maghrib ni Melisa. Tak nak tunggu lepas sudah azan dulu ke?"


   "Takpelah mak. Kawan Mel dah tunggu."


   "Ada duit belanja tak?" Soal Hafiz pula mencelah. Muka serius macam biasa cuma nadanya itu lebih prihatin didengar.


Melisa sekadar mengangguk sekali sebelum terus mengatur langkah keluar melalui pintu depan.


Dari kejauhan, Zahra memerhati sambil terkumat kamit membebel geram.


   "Anak kesayangan pun macam jin jelmaan. Sekejap ada, sekejap hilang. Sekejap balik, sekejap pergi lagi. Seronok lah kau kan. Nak pergi mana semua dapat. Nak apa semua dapat," lancar mulutnya meluah perasaan cemburu.


   "Ha! Tak reti nak masuk ke? Nak tunggu orang Azan baru nak masuk??"


Tersentak dia apabila Hafiz tiba-tiba melaung dari pintu dapur. Dia kalut membilas kakinya yang sudah bersih lalu tergopoh-gopoh menuju ke arah pintu. Tersengih bak kerang busuk saat melintasi Hafiz di muka pintu.


Apaaaaaa lah nasib dapat kakak singa, abang harimau.


Dia?


Cuma seekor tikus tanah.



******


   "HABIS tu takpe ke ni kamu pergi sorang-sorang? Faiz?" Razila menyoal risau sambil meletakkan kuih boom ke dalam bekas plastik.


Zahra yang meneguk air dari jag besar itu menggerak-gerakkan tangan cuba berkata sesuatu tapi tak dapat difahami ibunya. Tak senonoh betul anak dara ni sorang.


   "Kan orang dah cakap..," dia mencari nafas terlebih dahulu sebelum menyambung lagi.


   "Orang dengan Faiz cuti harini tapi tadi orang terserempak dengan Udin. Anak dia demam sebab tu dia nak orang ganti dia."


   "Lepastu nanti balik 6 pagi, 10 pagi masuk kerja pulak?"


   "Yelah. Kan minggu ni orang syif siang."


Razila sedikit gusar. Hati ibunya dicuit rasa tak senang. "Kamu tak penat ke nanti...?"


   "Takpelah, dah biasa. Meh bekal orang. Dah lewat ni," Zahra mengambil bekas makanan dari ibunya lalu dimasukkan ke dalam beg galas belakangnya. Air botol mineral pun disumbat juga sebelum dia galas beg itu dibelakang tubuhnya.


   "Salam," dia mencari pula tangan si ibu untuk disalami.


   "Hati-hati tu jalan. Kalau ada apa-apa telefon abang kamu," sempat Razila berpesan walau Zahra sudah berjalan keluar tergesa-gesa.


Zahra menutup pintu rumah sebaik saja dia melangkah keluar. Kasut kerjanya disarung ala kadar dek mengejar masa. Tapi baru saja memalingkan tubuh, anak matanya jatuh pada sebatang tubuh tinggi lampai yang berdiri tepi jalan depan pekarangan rumahnya. Dari jauh nampak sedang tunduk menguis-nguis kaki pada batu-batul kecil.


Zahra jadi kecut perut. Kecut sebab teruja. Laju benar dia berlari ke arah lelaki berkain pelikat dan t-shirt putih lengan panjang itu.


   "Abang Amar!" Dia menyeru sedikit kuat dek terlampau teruja. Sengih sampai ke telinga saat Amar menoleh membalas pandangannya.


   "Abang buat apa kat sini? Malam-malam macam ni."


   "Saya nak teman awak pergi kerja. Faiz tak ada kan? Bahaya kalau awak jalan sorang. Kat selekoh ladang sawit gelap," tenang Amar membalas membuatkan Zahra tambah lah sebu perut. Seronok tu cuma tuhan yang tahu. Rasa macam di alam mimpi pun ada.


Amar tersenyum nipis. Dia menghidupkan lampu suluhnya lalu mulai mengatur langkah perlahan.


Zahra berjalan seiiring dengan senyum tak lekang. Nak ke sampai dikilang, mau kejang itu urat pipi.


Suasana malam di kampung tak payah cakap la kan. Dengan bintang berteraburan indah di dada langit, udara hijau yang nyaman, angin malam pula sepoi sepoi bahasa. Haih. Menambahkan rasa romantis orang baru bercinta.


Zahra lah terutamanya. Badan tu tak boleh duduk diam. Meliuk kiri kanan kiri kanan tak tahu apa penyakit. Miang semacam.


Amar tenang memandang ke depan. Senyum nipis terserlah diwajah. 


   "Kan best kalau dari dulu abang terima cinta Ara," Zahra bersuara memulakan bicara.


Amar menoleh. "Kenapa?"


   "Yelah. Tak ada lah Ara macam orang angau siang malam berangan nak berjalan dengan abang macam ni. Tak sangka tercapai jugak hajat Ara sebelum Ara atau abang mati dulu," selamba saja Zahra menuturkan apa yang berlegar dikepalanya.


Bulat sesaat mata Amar mendengar. Kejutan budaya bahasa. Kasar bunyinya tapi..dia suka.


Dia masih memahami apa yang Zahra cuba sampaikan. Niatnya baik cuma kamus bahasanya saja terhad. Betul kot khabar angin yang dia dengar tentang Zahra dapat 5G 3E untuk keputusan SPM 5 tahun lepas. Hmm.. Ssjarah silam tak perlu diungkit. 


   "Esok awak kerja dengan Faiz?"


   "Esok syif pagi. Kan Ara dah bagitau petang tadi. Kenapa? Abang nak hantar Ara ke? Boleh je sebab Ara takut la pagi-pagi.. Banyak katak...,"  manjanya Zahra bertutur dengan muka konon puteri raja perlukan perlindungan putera berkuda.


Amar ketawa lucu. "Saya nampak awak pegang katak puru usik Faiz dengan Wahida itu hari."


Nah. Sebijik kena katak puru atas dahi.


Zahra tunduk menekur kaki sendiri sambil mengherot herotkan bibir sendiri. Malu muka.


   "Awak langgar syarat ni.."


   "Tak tak tak...," laju Zahra menggeleng kepala dengan muka anak anjing tersepitnya.


   "Maaf... Janji tak tipu lagi... Abang pun satu. Bila masa pulak boleh nampak Ara main katak."


   "Sebab saya selalu tengok awak."


Jeng, jeng, jenggg... Amar terlepas cakap. Zahra terkedu. Amar pun terkelu. Mereka sama krik krik. Cengkerik dalam semak pun tumpang krik krik.


Haaa... Kantoiii...


Zahra bergerak ke depan Amar. Berjalan mengundur untuk melihat wajah pujaan hatinya dengan lebih jelas. Senyum bahagia gadis itu.


   "Abang selalu tengok Ara? Kenapa? Abang suka Ara?"


   "Saya cakap macam tu ke? Tengok depan lah, Ara. Hati-hati jalan tu, tersadung nanti," bersahaja Amar cuba berpura-pura bodoh. Biru muka cuba menyorokkan perasaan sebenar.


Makin seronok lah Zahra melihatnya.


   "Ara pun suka tengok abang. Suka sangat-sangat. Ara suka seeeemua tentang abang," jujur dan jelas Zahra meluahkan isi hatinya tak berselindung.


Mengundang senyum senang dari Amar. Terasa seolah-olah dia adalah lelaki paling bahagia malam ini.


Sedetik, dia teringat sesuatu.


   "Awak ada telefon?"


   "Ada." Pantas Zahra mengeluarkan telefon Nokia zaman batunya dari poket baju seragam yang tersarung ditubuh genitnya.


Berkerut dahi Amar melihat. "Ni telefon awak?"


Zahra angguk polos.


   "Ok... Er...mari sini fon awak," walaupun 'terkejut' tapi Amar tetap mengambil telefon milik Zahra. Dia mendail sebaris nombornya sendiri sebelum terus mematikan setelah beberapa saat. Nokia 3315 dikembalikan pada tuan asalnya.


   "Abang call siapa?"


   "Tak, saya call nombor saya sendiri. Nanti saya save nombor awak. Awak pun save la nombor saya. Nanti ada apa-apa awak boleh call saya."


   "Wahhhh.. Bestnya..,"  tak semena-mena Zahra jadi teruja.


Amar ketawa kecil. "Apa yang best?"


   "Yelah, Ara tak pernah 'bergayut' dengan sesiapa selain Faiz dengan Ida. Seronok lah dapat 'bergayut' dengan abang nanti."


   "B..Ber.Bergayut? Bergayut apa ni?" Bingung Amar jadinya.


Saat dia bersama Zahra tak ubah seperti saat dia berada di planet lain.


Zahra sengih.


   "Tak ada apa lah. Esok kita boleh jumpa lagi kan? Jalan-jalan macam ni."


   "Hmm... Esok saya ada urusan kat KL. Lusa saya jumpa awak."


   "Urusan apa? Kenapa? Ala.. Kalau Ara rindu abang macam mana.....?"


Halah, halah, halah.. Mengadanya Nurul Zahra malam ini. Kalau depan Faiz atau Wahida tunjuk perangai macam ni, sah sah makan penyepak. Tapi di mata Amar, semuanya nampak comel.


   "Kalau rindu call aje lah saya.."


   "Betul ni?? Ara boleh call setiap kali Ara rindu abang?"


Amar angguk bersama senyum nipis. Tenang saja yang namanya Amar ini. Dah style dia kot macam gitu . Tapi bila dah bergaul dengan Nurul Zahra ni, tak tahu lah sikap tenang itu boleh bertahan sejauh mana.Takut Amar berubah jadi macam Zahra.


Ha sudah.... Harapnya tidak lah.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yana Agasshi