Home Novel Cinta Kisah Adam Dan Ainur
Kisah Adam Dan Ainur
Yana Agasshi
29/11/2020 20:54:42
28,122
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 16

   AINUR menyisir rambutnya di depan jendela kamar sambil sebelah tangan memegang telefon di cuping telinga. Dahinya berkerut dengan mulut memuncung meski tak ada yang nampak.


   "Abang selalu macam tu, kalau ya pun nak cepat, bagitahu je lah Ainur. Kejutkan Ainur dulu," omel wanita berkain batik jawa itu masih tak puas hati. Mana tak nya, bangun subuh hari, dilihat kelibat suami sudah hilang dari radar. Tanpa titip pesan pun. Call pun tak dapat. Sekarang pukul 9:30 pagi baru lah panggilannya bersambut. Bukan tak biasa, tapi risau..


Suara di hujung talian tak kedengaran lagi. Cuma bunyi latar belakang yang bising tak jelas.


   "Abang? Dengar tak ni?" Ainur menyoal.


"Dengar. Nur, abang sibuk ni. Ada dekat site. Nanti tengah hari abang turun Kuantan."


   "Tapi..," Ainur diam sejenak. Teragak-agak nak bagitahu soal Faizal pada Adam. Dengar suara pun dah tahu suaminya itu sedang mengejar masa. Akhirnya niatnya itu dibatalkan saja.


"Yelah. Abang hati-hati. Kalau balik lewat, bagitahu la Ainur sepatah. Kalau on the way balik, bagitahu jugak. Ainur panaskan lauk." 


   "Ya."


"Assal..," tak sempat lagi dia nak habiskan salam, Adam sudah pun mematikan talian. 


   "Ishh.. Perangai dia ni kan? Nak kena tarik telinga agaknya baru tahu rasa." Ainur menggeleng kepala sebelum meletakkan telefon di atas meja lampu. Tudung sarung dipakai di kepala lalu kakinya mengorak langkah keluar dari kamar. Bersedia untuk memasak lauk tengah hari di dapur. Sempat dia kerling pada Farisha yang tidur terlentang di atas sofa ruang tamu. Kebiasaannya kamar dia dan Farisha sememangnya agak panas pada waktu begini, itu yang pindah tidur ruang tamu. Lebih nyaman. Lepastu nanti, abah nampak terus kena ceramah. Anak dara apa pukul 10 tidur lagi?


   "Ainur, mak dah letak ikan dalam sinki. Ainur pilih lah nak masak yang mana," suara Hajah Fauziah menyapa sebaik saja Ainur menapak di ruang dapur. Wanita itu duduk berjelunjur di atas lantai depab muka pintu dapur. Sedang memasukkan beras pulut ke dalam daun palas.


Mendengar itu, Ainur segera bergerak ke arah sinki. Lengan baju t-shirtnya disinsing separas siku. Tak kekok tangannya mula membelek ikan bawal dan ikan selar kuning sambil berfikir menu hari ini. 


   "Bawal ni Ainur masak asam pedas mak ya? Ikan.., Ainur goreng kunyit je. Boleh mak?" Dia menoleh ke belakang menanti respon ibu mentuanya.


"Masaklah apa-apa pun, Ainur. Ainur bukan tak kenal orang dalam rumah ni. Paling tak cerewet bab makan," balas Hajah Fauziah mengundang senyum Ainur.


Ainur angguk lalu mulai melakukan kerja memasak. 


   "Ada orang tempah ketupat lagi ke mak?" Dia bertanya memulakan perbualan sambil buat kerja.


Hajah Fauziah mengangguk kepala. "Fatin itu lah... Katanya adik bongsu dia yang duduk Kedah tu nak singgah hari ini.., itu yang dia nak bagi lah adik dia tu buat balik Kedah.."


"Adik bongsu kak Fatin? Fitrah?"


   "Tak ingat lah, mak. Adik beradik Fatin yang ikut ayah dia, mak tak kenal sangat.. Sebab dulu, kecik-kecik lagi dah pindah Kedah.. Tinggal Fatin, Asrul dengan Hazim yang duduk dengan mak dia kat kampung ni."


Terangguk-angguk Ainur mendengar bicara Hajah Fauziah. Sedia maklum tentang mak ayah Fatin yang dah berpisah dalam 15 tahun yang lalu. 


  "Si Farisha tak bangun lagi, Ainur? Cakap MC sakit perut, senggugut tapi elok je tidur tu."  


"Dia makan ubat, mak. Ubat tu memang mengantuk sikit." 


   "Hmh, tak makan ubat pun sampai tengah hari jugak tidurnya, Ainur.. Mak bukan tak kenal anak mak tu sorang..," giat Hajah Fauziah memahami niat Ainur nak 'back up' Farisha.


Ainur menyeringai sampai ke telinga. "Biar lah dia tidur dulu, mak. Bukan selalu dia dapat cuti."


"Nanti Ainur tengoklah. Dah siap masak, dia turun la makan. Lepas tu sambung tidur."


Ainur ketawa lagi. Hebat seorang ibu ni. Apa yang mereka tak tahu soal anak-anak mereka? Semua dalam tapak tangan.


   "Urm.. mak, mak ingat.... kan, Faizal?" Dia tiba-tiba mengubah topik perbualan tatkala seseorang melintasi benak. Tangannya yang tadi menggaul ikan dan serbuk kunyit juga berhenti bergerak. Dia membawa besen plastik itu ke meja makan pula. Pandangannya dilempar pada Hajah Fauziah.


"Kenal lah. Faizal anak Encik Hasnol. Kenapa dengan dia?"


   "Urm....," berat pula mulut Ainur nak meluahkan hajat di hati. Tapi kena jugak bagitahu. At least salah seorang dalam rumah ni kena tahu. Adam sibuk, jadi.. Hajah Fauziah mungkin calon terbaik.


"Faizal dia niat nak bagi buah tangan kat orang kampung.."


   "Buah tangan apa pulak..?"


"Buah tangan tanda terima kasih macam tu mak... Sebab orang kampung jaga rumah ayah dia.."


   "Lah.. Dah tanggungjawab kita sesama penduduk kampung ni, Ainur. Tak payah lah. Buat susah susah aje.. Allah, Faizal ni.."


"Tapi mak, dia memang nak bagi... Dalam masa yang sama, dia kenal-kenal orang kampung.. Kan dah lama tinggal.. Lupa dah dia," panjang lebar Ainur menyusun kata. Cukup membuatkan Hajah Fauziah mengangguk faham.


   "Jadi, Faizal tu, mintak Ainur temankan dia.. Kan dia tak kenal orang kat sini.."


"Bila tu?"


   "Petang ni kot. Boleh ke mak?"


"Eh. Kenapa tanya mak.. Mak tak kisah.. Kalau niat Ainur nak bantu Faizal tu, apa salahnya kan.. Tapi Ainur kena lah mintak izin along dulu.."


   'Aduuh...' Ainur terdiam sejenak. Soal Adam ini lah yang masalah sebenarnya. 


"Ainur memang nak bagitahu mak, tapi abang Am tu subuh hari lagi dah pergi kerja. Tadi call pun tak sempat bagitahu. Nanti abang Am balik, Ainur bagitahu abang Am."


   "Cari penyakit namanya tu....," celah satu suara memeranjatkan Ainur.


Ainur dan Hajah Fauziah serentak menoleh kr arah Farisha yanh turun dari anak tangga. Sememeh muka baru bangunnya, gadis itu bersahaja menarik kerusi di meja makan. 


   "Dah tahu along tu macam mana, saja cari masalah kau kan? Tanya dia dulu, baru keluar. Kalau dengan aku lain lah. Ni Faizal. Cinta lama kau kot."


"Mana ada!" Pangkas Ainur laju sambil mengerling sekilas air muka tenang Hajah Fauziah. Dia takut ibu mentuanya itu salah faham.


Farisha mencebir. "Faizal tu boleh je mintak tolong ketua kampung. AJK kampung pun ramai yang sebaya dia. Kenapa mesti kau? Nak flashback memori lama la tu..."


   "Sha.., tak baik tuduh macam tu.. Mungkin sebab Faizal selesa dengan Ainur, dia ajak lah Ainur...," celah Hajah Fauziah membuatkan Ainur mengangguk laju. Muka beria dek dapat sokongan.


"Betul tu. Lagi pun, kalau kau cuti, kau boleh je ikut sekali."


   "Eih, tak kuasa aku. Karang aku sekali kena marah dengan along. Tak nak, tak nak. Seram..."


"Tsk," Ainur berdencit geram. Yelah, dah Farisha cakap macam tu, dia pun ikut seram lah. Macam mana kalau Adam marah? Macam mana kalau Adam tak izinkan? Ha.. Tak ke dah jatuh derhaka dia keluar tanpa izin? Ya Allah.. Kenapa lah aku tak fikir panjang. 


   "Yelah yelah. Aku tak keluar."


"Lah, aku tak larang pun kau nak dating dengan Faizal. Aku suruh kau tanya along dulu.."


   "Diam lah," tajam jelingan Ainur seraya bergerak ke arah sinki membuatkan Farisha galak ketawa. Hajah Fauziah cuma mampu menggeleng kepala melihatkan keletah anak menantunya.



******* 



   "MAAF sekali lagi ya?" Ainur masih serba salah kerana menolak permintaan Faizal. Dia yang duduk di atas pangkin bawah pokok rambutan itu menggerak-gerakkan kakinya yang terapung tak mencecah tanah.


"Takpe. Saya faham. Lagi pun hari ni saya memang ada urusan sikit. Maybe esok atau lusa kot saya pusing kampung. Sempat la kan awak cakap dengam suami awak?" Faizal di hujung talian pula masih tak berputus asa. Cukup membuatkan Ainur merasa tambah serba salah. 


   "In shaa Allah.. Nanti saya bagitahu awak okey?"


"Mm. Saya tunggu, Ainur."


Ainur senyum. "Kalau macam tu tak apa lah. Farisha datang ni, ada la tu dia nak menyakat," ucapnya apabila dilihat Farisha sedang menuruni anak tangga rumah. Faizal ketawa lucu.


   "Yelah. Nanti saya call lagi, Assalamualaikum Ainur."


"Wa'alaikumussalam...."


Talian dimatikan di hujung salam. Jarang sekali Ainur yang matikan talian terlebih dahulu. Kebiasaannya itu, dia tak habis cakap lagi Adam dah off panggilan. Sadis.


   "Ha... Bukan main lama bergayut.., confirm bukan along," giat Farisah melirik ekor mata tanda nak menyakat Ainur.


Ainur menjeling. "Sibuk je kau ni. Mulut tempayan, tak boleh simpan rahsia. Malas aku bagitahu kau."


   "Ha yelah. Yang mulut tempayan ni lah yang banyak tolong kau depan along. Yang banyak cover kau bila kau buat onar."


"Alalala... Sentap ke tu..?" Ainur senyum mencuit pinggang Farisha yang tayang muka merajuk.


Angin petang sesekali mengalunkan tudung yang mereka pakai di kepala. Bunyi suara budak-budak kampung menjerit dalam galak bermain sayup sayup kedemgaran dari arah padang bola tak jauh dari rumah mereka itu.


   "Kalau kau nak pujuk aku, panjat naik ambilkan aku buah rambutan. Dah lama tak makan ni," ujar Farisha mendongak ke arah buah rambutan yang dah tak banyak bergantungnya pada pohon.


Ainur ikut mendongak. "Panjat? Gila ke? Tak nak lah."


   "Aku bukan suruh kau panjat pokok macam kera.. Aku surub kau naik atas pangkin ni, ambilkan buah tu..."


"Ishh!! Saja je kan kau?" Dalam sebal pun Ainur tetap menurut. Dia menanggalkan selipar jepunnya lalu berdiri di atas pangkin tapi buah itu masih saja tinggi.


   "Tak sampai lah, Sha.. Ambik lah galah..," katanya sambil berjinjit pula.


"Sampai tu.. Lompat-lompat," dah macam komando Farisha bercekak pinggang memberi arahan. Ainur menurut.


   "Ha, atas sikit. Kanan, kanan... Eh, buta ke apa kau ni..? Aku cakap sebelah kanan, kau gerak kiri....," sedap pula Farisha mem 'buta-buta' kan Ainur. Naik geram dia dengan Ainur yang lembab semacam petang ini.


Yang Ainur pula, dahla tak cukup tinggi, terjinjit jinjit dia cuba mencapai buah rambutan dari atas pokok itu. Dah panjat naik atas pangkin pun masih tak berjaya cecah walau cuma kulit buah. Batang tengkuk dah nak patah dek sedari tadi lagi mendongak.


   "Ish, cuba beria sikit kau lompat tu... Tak boleh harap betul kau nih. Fikir la...,"  marah Farisha tak puas hati. Kalau ada abahnya dah lama dia suruh abah je yang kaitkan. Abah dengan mak baru saja keluar hantar ketupat rumah Fatin. Alang-alang nak beli barang sikit. Lusa Farhana nak balik sini.


Ainur tunduk menjeling Farisha . "Kenapa tak kau aje naik sini?"


   "Kau asyik nak berkira je dengan aku kan? Aku bukan selalu pun cuti.. Kau tu lain lah, hari-hari goyang kaki kat rumah.."


   "Amboi amboi amboi.. Kain baju kau pun aku yang cuci tau?"


"Ha, mengungkit lagi. Dah dah, jangan banyak songeh. Kau ambik aku rambutan tu cepat. Tekak aku teringin ni.. Aku.. Aduh!"  Tiba-tiba saja kepalanya disekeh dari belakang sekali gus mematikan tuturnya. Nasib baik dia tak tersugung cium tanah.


Tak sempat menoleh, dilihat Adam sudah pun berdiri dekat pangkin sambil memandangnya dengan muka serius. Merinding bulu roma dibuatnya. Belakang kepalanya yang dilitupi tudung instant ungu digosok gosok tersenyum sumbing.


"Hihihi... Dah...lama ke along kat belakang?"


"Kau suruh Nur buat apa?"


   "Esh! Maaana ada! Mengarutlah. Sha tak suruh pun, Ainur yang nak ambik sendiri. Kan?" Farisha mencari mata Ainur mengharap kan 'back up' tapi Ainur malah menjelir lidah tanda tak mahu bekerjasama.


"Kalau kau nak makan, lain kali ambik sendiri," ucap Adam lagi mengundang cebikan sebal dimuka Farisha.


   "Suruh sikit pun tak boleh. Kalahkan ratu. Hmh. Mengada ngada,"  omelnya perlahan sebelum menjeling tajam pada Ainur yang tersenyum-senyum seakan mempersendakannya. Menyampah!


Tak menunggu lama, otaknya merangka satu olah nakal. Dalam kiraan 1,2,3 dalam hati, sepantas kilat dia tunduk mengambil sepasang selipar jepun milik Ainur diatas tanah lalu berlari kalahkan lipas kudung. Lesap sekelip mata.


   "Farisha!! Selipar aku!"  Jerit Ainur kuat. Berkerut seribu dahinya apabila tubuh Farisha dah hilang dibalik pintu dapur. Geram betul!


"Ishh.. Macam budak-budak lah dia tu," omelnya tak puas hati.


Dia yang masih tercegat diatas pangkin itu, tunduk memandang Adam. Suaminya itu kebetulan turut angkat muka membalas pandangannya . Lambat-lambat dia melempar senyum kambing. Ha, lepas ni turn kau pulak, Ainur..


   "Dah tahu tinggi kenapa panjat naik?" soal Adam dengan nada tegas. Tak berniat pun nak marah, dia cuma tak mahu isteri kesayangan itu sorang cedera.


Ainur tayang muka bersamamu TV3 


  "Ainur naik atas pangkin je pun, bukan panjat pokok..."


"Kalau jatuh dari pangkin, luka tak? Sakit ke tak?Ke nak rasa sakit dulu baru tahu rasa?"


   "Kan tak jatuh..."


"Nak tunggu jatuh dulu baru beringat?" Betul-betul macam orang tua Si Adam membebel.


   "Yelah... Ainur salah, Ainur mintak maaf.. Abang sikit-sikit nak marah. Ni Ainur nak turun macam mana..? Tengok tu Farisha dah bawak lari selipar Ainur....," manja pula Ainur mengadu pada Adam. Dengan mukanya sekali monyok.


Adam diam. Sempat dia melempar pandang ke arah rumahnya sendiri. Berfikir-fikir sejenak sebelum memalingkan tubuhnya membelakangi Ainur.


Ainur kerut dahi. Dah kenapa?


   'Jangan jangan....," laju kepalanya digeleng menolak satu andaian mengarut itu. Terlebih layan drama korea kot dia ni sampai fikir yang bukan-bukan. Takkanlah suaminya ni sorang nak...


   "Naiklah,"  suara garau Adam kedengaran perlahan tapi cukup membuatkan Ainur terkebil kebil. Wanita itu merenung lama belakang Adam yang disua arahnya. Biar betul!


Sedetik, hatinya berbunga-bunga mengundang senyum lebar dibibir. Tak tunggu lama, dia pantas melompat naik kebelakang Adam membuatkan Adam terus menahan belakang peha Ainur menggunakan kedua-dua tangan sebelum mula membuka langkah perlahan.


Ainur seronok memeluk leher Adam.


   "Ainur berat tak?" Soalnya dekat cuping Adam. Adam yang serius saja riaknya sekadar menggeleng. Tambah lah seronok si Ainur dibelakang.


   "Kalau macam tu lepas ni boleh la abang gendong Ainur hari-hari kan?"


"Boleh."


   "Betul?"


"Tapi dah tak payah beli selipar la lepas ni. Raya ke, keluar ke, kaki ayam. Nak berdukung sangat kan?" Tempelak Adam serius mengundang pandangan tajam Ainur. Berkecai mood romantiknya barusan.


Terkumat-kamit mulut kecil Ainur mengomel tanpa suara. Nak saja digigit-gigit cuping telinga Adam. Eih! Nasib baik sayang.


Setibanya di anak tangga rumah, mereka berdua bersama masuk ke dalam kamar. Ainur melabuhkan punggung di atas birai katil memandang Adam yang menanggalkan kemeja di tubuh bersedia untuk mandi.


   "Abang betul pergi Kuantan ke tadi? Awal abang balik." Ainur merisik khabar. Nak tunggu Adam bagitahu sendiri? Hmh, umpama menanti bulan jatuh ke riba.


Adam tak memandang Ainur. Tanggalkan baju pun nak serius.


   "Bukan pergi bercuti nak sampai 3 hari 3 malam," tempelaknya mengundang dencitan Ainur.


   "Biasa kan kalau tak malam, tak balik.."


"Hm," sepatah Adam membalas. Sudah menyangkut tuala di bahu, dia menanggalkan jam dipergelangan tangan pula.


   "Nur bagitahu mak esok Mak Lang nak datang," sempat Adam menyambung sebelum beredar keluar meninggalkan Ainur terkebil-kebil.


"Mak Lang nak datang?" Laju Ainur berdiri mengejar jejak Adam sampai ke anak tangga dapur. Adam menghilang di balik pintu bilik mandi.


   "Mak Lang dengan siapa bang?" Soalnya sedikit lantang namun sepi tiada balasan. Dia mencebik lagi.


"Suka lah tu Kak Maira datang. Patut pun balik awal. Jangan-jangan esok pun dia cuti," omelnya sendiri membayangkan anak Mak Langnya yang bernama Humaira. Cantik dan berkarisma orangnya. Sepupu Adam paling cantik. Dan kata Farisha, Humaira pernah minta Mak Langnya melamar Adam. Ha, hebat kan yang namanya Humaira? 


Sedetik, dia geleng kepala. Humaira melayannya baik selama ini jadi tak baik la pulak dia fikir bukan-bukan. Tapi...tak tahu lah kenapa dia nak cemburu. Aduh... Esok macam mana?










P/s- Sesiapa berminat nak dapatkan ebook JAC (Jangan Ada Cinta) boleh terus whatsapp yana ya^^ 


W/A 0199203723

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yana Agasshi