18
JARUM jam menuding ke angka 5.45 petang. Tuan Haji Saadun dan
Lokman Azad masih lagi berkurung di pejabat. Di luar pula, Murni, Nur Naziha
dan Hanim sudah bersiap sedia untuk pulang. Acapkali Murni menoleh ke arah jam
berbingkai bulat yang melekap di dinding farmasi itu.
“Kenapa
kau ni, Murni? Dah tak sabar nak keluar dating dengan buah hati ke?” Hanim mula
bersuara.
Sengaja
mencari pasal untuk kesekian kalinya dengan gadis itu. Ugutan yang terkeluar
dari mulut Lokman Azad supaya mereka berdua berhenti bertelagah sejurus tadi bagaikan
sudah terbang dari ruang ingatan. Sudah dilupakan!
“Eh, apa hal
kau ni!” jerkah Murni.
“Yang kau
sekejap-sekejap tengok jam tu, kenapa?”
“Eh, ni
mata aku! Suka hati akulah nak tengok jam tu seribu kali pun. Yang kau
sibuk-sibuk, apa hal?” Murni membalas.
Hanim
tidak menjawab. Dia hanya menyengih bagaikan kerang busuk lalu mencapai sebuah
kerusi dan duduk di belakang kaunter pembayaran.
“Apa
agaknya yang bos-bos bincangkan kat dalam bilik tu, hah?” Murni merungut.
“Emm...
jangan haraplah kita dapat baik awal. Selagi jarum panjang tu tak menuding
tepat ke angka 12, jangan haraplah kita dapat keluar dari farmasi ni.” Hanim
mencelah.
“Kak Ziha
nanti balik dengan Murni ke?”
Nur Naziha
mengangguk.
“Naik
skuter?”
“Iya, naik
skuterlah.”
Murni
hanya menelinga perbualan mereka dan sesekali menjeling dengan bibir tercebik.
“Yalah,
lupa pulak Anim yang Murni tu tak ada kuda.” Getus Hanim dengan nada perli.
“Kalau Murni
ada kuda mesti Kak Ziha balik naik kuda kan?”
Kata-kata
bodoh yang terkeluar dari mulut Hanim itu membuatkan Nur Naziha ketawa. Murni
pula tercebik.
“Nasib
baik Murni tak ada gajah. Kalau ada, Kak Ziha terpaksa naik gajahlah
nampaknya!” tingkah Nur Naziha sambil menyambung gelak.
“Dah habis melalut?” Murni menyergah. Sakit
hatinya mendengar dirinya diperli oleh kedua-dua orang temannya itu.
Nur Naziha
segera menyentuh bahu Murni.
“Janganlah
marah, Murni. Kami bergurau aje.” Getusnya, sementara Hanim hanya tergelak
panjang.
Tiba-tiba
kedengaran pintu pejabat Tuan Haji Saadun terkuak. Serentak itu tiga pasang
mata menoleh. Wajah Lokman Azad terakam oleh mata mereka bertiga.
“Ziha,
masuk sini kejap.” Panggil Lokman Azad.
Kemudian
pemuda itu segera menghilangkan dirinya semula ke dalam bilik sebelum sempat Nur
Naziha bertanya mengapakah gerangannya dia dipanggil masuk ke bilik itu. Berdebar
dada Nur Naziha dipanggil masuk ke bilik Tuan Haji Saadun. Apa yang dimahu oleh
Tuan Haji, bisik hatinya. Sebelum ini belum pernah sekalipun dia dipanggil
masuk seorang diri ke bilik majikannya itu.
“Kak Ziha,
bos panggil tu!” Murni mengingatkannya tatkala melihat dia masih tercegat di
tempatnya.
“Apa yang
Tuan Haji nak agaknya ya?” soal Nur Naziha sedangkan dia sendiri tahu baik
Murni mahupun Hanim tidak tahu jawapan kepada soalan yang dilontarnya itu.
“Agaknya bos
nak naikkan gaji Kak Ziha, kut?” Murni menerbak.
“Mungkin
jugak nak naikkan pangkat Kak Ziha.” Sampuk Hanim pula.
“Apa-apa
pun baik Kak Ziha masuk dulu ke bilik bos.” Hanim menggesa.
Nur Naziha
mengangguk. Dia segera mengatur langkah ke bilik majikannya. Pintu bilik
diketuk beberapa kali. Setelah mendengar suara Lokman Azad yang menyuruhnya
masuk, barulah dia berani memulas tombol tembaga dan menolak daun pintu.
Dadanya
semakin bergemuruh dengan debaran tatkala direnung tajam oleh kedua-dua orang
lelaki yang berada di dalam bilik itu. Tuan Haji Saadun duduk di belakang meja
kerjanya, sementara Lokman Azad duduk di depan ayahnya.
“Masuklah,
Ziha. Kenapa tercegat aje kat situ? Sila duduk.” Kata Tuan Haji Saadun.
Nur Naziha
tidak tahu di mana dia harus duduk di dalam bilik yang sempit itu. Jadi
terpaksalah dia duduk di sebuah kerusi kosong yang terletak betul-betul di
sebelah Lokman Azad.
Nur Naziha
canggung dengan keadaan itu. Kedekatannya dengan jejaka itu sehingga dia dapat
menghidu bau minyak wangi yang disembur Lokman Azad ke tubuhnya terasa
menggetarkan perasaan. Bau wangian yang harum dan manis itu segera mengimbau
memori silamnya bersama...
Argh!!!
“Awak
terkejut ke kami panggil awak masuk ke bilik ni?” soal Tuan Haji Saadun.
Nur Naziha
segera mengangguk. Memang pun dia terkejut. Tuan Haji Saadun cuma tersenyum.
“Kenapa
Tuan Haji panggil saya, ni?” soalnya.
“Dah lebih
empat bulan rasanya awak bekerja di sini kan, Ziha? Berapa gaji awak sekarang?”
“Gaji
bersih saya setelah dipotong Socso dan KWSP adalah dalam RM700, Tuan Haji.”
“Selama 4
bulan ni saya dah menilai prestasi kerja awak dan saya sangat berpuas hati.
Belum pernah sekalipun awak minta cuti. Oleh itu, saya nak bagitau awak yang
hujung bulan ni saya bercadang untuk naikkan gaji awak sebanyak RM200. Jadi
gaji bersih awak sekarang ialah RM900.”
“Iya ke,
Tuan Haji? Syukur alhamdulillah di atas kurniaanNYA ini. Saya ucapkan terima
kasih banyak-banyak pada Tuan Haji.” Ucap Nur Naziha lembut.
“Hmm...
ucapkanlah terima kasih pada Azad. Dia yang bagi cadangan supaya saya cepat-cepat
naikkan gaji awak ni. Katanya, supaya awak tak cari kerja lain di luar sana.” Haji
Saadun menyengih. Dia terlepas cakap sebenarnya, namun dia tidak peduli. Dia
sengaja mahu melihat reaksi Nur Naziha.
Nur Naziha
terkesima. Dia yang sudah sedia gabrah semakin tidak tentu arah. Namun,
ditolehnya juga lelaki di sisinya. Mata yang bertentang lagi untuk kesekian
kalinya menerbitkan resah di jiwa Nur Naziha. Dan, menerbitkan keinginan yang
mendalam di hati Lokman Azad.
“Err... Ziha
tak tahu nak cakap apa.”
“Ucapkanlah
terima kasih. Mudah kan?” getus Lokman Azad, lembut sekali.
Nur Naziha
mengangguk.
“Terima
kasih, Abang Azad.” Kemudian, dia segera melarikan matanya dan menoleh semula
ke arah Tuan Haji Saadun di depannya.
“Err...
ada apa-apa lagi tak yang Tuan Haji nak cakap dengan saya?” soalnya.
Kalau
boleh dia mahu segera meninggalkan bilik itu dan meninggalkan lelaki di
sisinya. Dirinya terasa seolah-olah dikepung oleh Lokman Azad dengan renungannya
yang memenjara. Dan dengan renungannya yang meresahkan. Dia betul-betul tidak
selesa dengan keadaan itu.
Tuan Haji
Saadun menggelengkan kepalanya.
“Saya tak
ada apa-apa lagi nak cakap. Kamu, Azad? Ada apa-apa kamu nak cakap pada Ziha?”
“Hmm....
memang ada hal yang abang nak cakap dengan Ziha ni. Takut Ziha tak sudi aje.”
Getus Lokman Azad dengan nada yang ragu-ragu.
“Ah, cakap
ajelah, Azad.” Desak Tuan Haji Saadun.
“Kalau
kamu tak lontarkan apa yang ada dalam dada kamu tu, mana kamu tahu jawapannya
negatif ke positif.”
Dada Nur
Naziha rasa hendak runtuh mendengar kata-kata Tuan Haji Saadun itu. Apakah yang
hendak diluahkan oleh jejaka di sisinya?
“Ziha, ni
abang nak tanya sikit.”
“Iya?”
“Esok hari
Isnin, farmasi tutup. Abang ingat nak belanja Ziha makan tengah hari. Macam
mana? Ziha setuju tak keluar dengan abang?”
“Err...”
Melihatkan
gadis yang teragak-agak hendak menjawab itu, Lokman Azad teringin untuk
mengucapkan ungkapan begini, “abang ikhlas nak keluar dengan Ziha, ni. Abang
nak kenal Ziha dengan lebih rapat lagi. Tolonglah berikan persetujuanmu, duhai
gadisku, kerana dirimu telah mula mengetuk pintu hatiku yang terkunci rapat
selama ini.”
Namun
begitu, dia tidak mampu meluahkannya.
Sebaliknya
dia berkata, “kalau Ziha segan nak keluar dengan abang, ajaklah Murni sekali.
Abang tak kisah. Kebetulan pula esok birthday
abang.”
“Maaflah,
bang. Ziha tak boleh nak janji. Manalah tau kalau-kalau Ziha ada hal lain pulak
esok.” Nur Naziha menjawab.
“Hmm...
kalau macam tu, lain kali ajelah.” Lokman Azad akhirnya mengalah.
“Kalau tak
ada apa-apa lagi, izinkan Ziha keluar.” Gadis itu bersuara.
“Tak ada
apa-apa lagi. Awak boleh keluar.” Tuan Haji Saadun membenarkan.
Nur Naziha
tidak menunggu lagi sebaik sahaja kebenaran itu terlontar dari mulut
majikannya. Dia mencicit keluar. Namun, dia terkejut besar apabila melihat
sesusuk tubuh asing berada bersama-sama dengan Murni dan Hanim. Ya ALLAH,
kenapa Firdaus ni boleh singgah ke sini, soal hatinya.
Dia
menjadi semakin serba-salah apabila ketiga-tiga pasang mata itu menjunam ke
arahnya.
“Panggilan
telefon yang akak jawab tadi daripada mamat ni ke?” suara Hanim mendahului
sambil jari telunjuknya menuding ke arah Firdaus.
“Kenapa
Kak Ziha kata ‘hantu’ yang telefon?”
“Anim,
bila masanya pulak akak cakap macam tu? Yang cakap macam tu ialah...” Dia
menuding jari telunjuknya ke arah bilik Tuan Haji Saadun tempat di mana Lokman
Azad masih berada.
Seingat-ingatnya,
bukan dia yang menyebut perkataan ‘hantu’. Tetapi perkataan itu muncul dari
mulut Lokman Azad.
“Hantu?
Kenapa Kak Ziha sanggup panggil Firdaus ni hantu?” sergah Murni tanpa usul
periksa. Jelas wajahnya memaparkan rasa kurang senang.
“Sebab
rambut saya yang tercacak-cacak ni ya, kak?” suara Firdaus pula menyapa
telinganya. Penuh sinis.
“Err...”
Nur Naziha tidak mampu menjawab sebab memang dia bersalah. Wajahnya mula
berubah. Takut. Gentar.
“Kenapa
Kak Ziha langsung tak bagitau Murni yang Firdaus ada call ke mari, cari Murni? Kenapa, kak? Akak cemburu ke? Kalaupun akak
tak sukakan lelaki tapi janganlah buat Murni macam ni!” Suara Murni semakin
meninggi. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu oleh Nur Naziha.
“Akak
minta maaf, Murni.” Suaranya bergetar.
Firdaus
menarik tangan Murni membuatkan gadis itu menoleh ke arahnya. Kemudian dia
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Dahlah
tu, Murni. Janganlah perbesarkan hal ni. Mungkin Kak Ziha ada alasannya sendiri
kenapa dia buat semua ni. Janganlah buang masa kat sini lagi.”
Murni
menghunjam renungan yang lebih berupa sebuah pemusuhan ke arah Nur Naziha
sebelum melangkah laju mengekori Firdaus yang sedang bergerak meninggalkan
ruang farmasi itu.
“Eh,
Murni, kau nak ke mana dengan mamat tu? Hati-hati ya, Murni!” Hanim bersuara,
mengingatkannya.
Murni
tidak menjawab. Menoleh ke belakang pun dia tidak sudi. Berkeriut bunyi pintu
farmasi tatkala dikuak Firdaus. Dan, Murni segera membolos keluar seolah-olah
ingin segera meninggalkan ruang farmasi itu. Hanim yang ditinggalkan di
belakang hanya mampu memandang sambil jungkit bahu.