4
“BAIK-BAIK
bawak skuter tu, Murni.” Lokman Azad mengingatkan gadis berusia 19 tahun itu.
“Yalah, Bang Azad! Murni tahulah abang tak nak orang yang
bonceng kat belakang ni jatuh tergolek, kan?” usik Murni sambil mengekel-ngekel
ketawa.
“Hisy, engkau ni Murni!” desis Nur Naziha yang sedang
memperkemaskan ikatan tali topi keledarnya. Tidak cukup dengan itu, bahu Murni
digetusnya kuat membuatkan Murni terjerit.
“Kak Ziha ni, macam semut apilah! Sakit tau tak!” dengus
Murni.
Lokman Azad tergelak kecil melihatkan telatah mereka
berdua. Tetapi memang betul kata Murni, dia tidak mahu perempuan yang telah
mula mendapat tempat di hatinya itu jatuh skuter lalu cedera. Kalau boleh dia
sendiri mahu menghantar Nur Naziha pulang, enggan melepaskannya membonceng
skuter Murni. Tetapi bagaimana kalau ajakannya ditolak mentah-mentah oleh gadis
itu? Kelak dia yang akan menanggung malu!
“Abang tak nak kau orang berdua jatuh skuter. Kalau kau
orang berdua dah tersadai kat katil hospital nanti, siapa yang nak jaga
farmasi?”
“Isy... abang ni! Tak patut betullah.” Gerutu Murni.
Lokman Azad ketawa. Matanya menoleh pula ke arah Nur
Naziha yang sudah bertengger di belakang Murni. Wajah gadis itu juga
menunjukkan riak kurang senang dengan kata-katanya seketika tadi.
“Sorry, abang
gurau ajelah. Dahlah tu, bawak skuter tu baik-baik. Assalamualaikum!”
Lokman Azad baru hendak berpaling untuk melangkah ke
keretanya ketika terdengar Murni memanggil namanya.
“Bang, boleh pinjam RM20 tak? Kita orang berdua ni belum
makan lagilah, bang.” Tingkah gadis berkulit hitam manis itu tanpa segan silu.
Lokman Azad tersengih panjang. Tanpa banyak bicara dia
terus menyeluk walletnya lalu
mengeluarkan dua helai wang kertas bernilai RM10 lalu dihulurkan ke arah Murni.
Gadis itu menyambutnya dengan segala senang hati.
“Terima kasih ya, bang.” kata Murni sambil menghulurkan
wang tersebut ke arah Nur Naziha.
“Eh, kenapa bagi akak duit ni?” Nur Naziha kelihatan
ragu-ragu hendak mencapainya.
“Ala... Kak Ziha tolonglah simpankan. Apa gunanya beg
tangan akak yang besar tu?” Murni membalas.
“Ada-ada ajelah Murni ni!” getus Nur Naziha sambil segera
menyumbatkan dua helai wang kertas merah itu ke dalam beg tangannya.
Sebenarnya Nur Naziha segan dengan Lokman Azad. Dia malu
untuk menerima pemberiannya walaupun mungkin Lokman Azad menganggap wang RM20 yang
dihulurkannya itu seumpama mencurah setitik air di lautan luas.
Dan sekali lagi mata Lokman Azad jatuh ke wajahnya
membuatkan Nur Naziha seolah-olah ingin menyuruh Murni segera memecut skuternya
meninggalkan tempat itu.
“Dapat gaji nanti kita orang bayar balik ya, bang.” Kata
Murni.
Lokman Azad menyengih.
“Ah, tak payahlah! Abang belanja.”
“Betul ke ni, bang? Isy, baiknya hati Abang Azad! Next time belanjalah lagi ya, bang.”
Tingkah Murni, galak.
“Insya-ALLAH, boleh. Sebenarnya abang memang teringin nak
belanja Murni dan Ziha makan tapi malam ni nampaknya tak boleh. Insya-ALLAH,
malam esok kalau abang ada kelapangan kita keluar makan bertiga. Tupun kalau
Murni dan Ziha sudi.”
“Ya ALLAH, baiknya hati abang. Dah tentulah Murni dan Kak
Ziha sudi. Kata orang, rezeki jangan ditolak. Betul tak, Kak Ziha!”
“Err... tengoklah dulu macam mana. Ziha tak berani nak
berjanji.”
“Hah, tengok tu! Ada orang yang tak sudi. Yalah...
siapalah abang ni kan!” Lokman Azad pura-pura merajuk dengan kata-kata Nur
Naziha seketika tadi.
“Ala... abang Azad janganlah merajuk. Kak Ziha malu-malu
kucing aje tu, bang. Dalam hati sure
mahu tu. Betul tak, Kak Ziha?”
Nur Naziha bengang sekali mendengar kata-kata yang
terluah dari mulut Murni itu. Wajahnya tiba-tiba berasa panas. Seolah-olah
buli-buli darah membusak ke mukanya. Mujurlah hari malam. Kebetulan pula tempat
mereka berada hanya disirami cahaya neon yang samar-samar dari arah Jalan
Ponniah. Kalau waktu siang sudah tentulah perubahan pada wajahnya ketara di
mata Lokman Azad.
“Apa yang Murni melalut ni? Cepatlah! Sampai pukul berapa
kita nak berborak kat tepi jalan ni?” Dia segera meluahkan ketidakpuasan
hatinya ke arah Murni yang bercakap mengikut sesedap rasa sahaja.
“Kak Ziha marah ke?” Murni mengusik.
Sekali lagi Nur Naziha menggetus bahu Murni. Dan, Murni
menjerit kesakitan.
“Hmmm... okeylah. Kita gerak sekarang. Bye, Abang Azad! Malam esok abang
belanja makan tau.” Murni terjerit untuk melawan ngauman enjin skuternya.
“No problem...
boleh aje.” Lokman Azad menjerit sambil menggeleng-gelengkan kepala melihat
telatah kedua-dua orang gadis tersebut.
SETELAH memakir skuternya di tempat yang selamat, Murni dan Nur
Naziha menyusuri Jalan Mok Hee Kiang. Para peniaga di situ sedang rancak
berniaga di tapak pasar malam. Sepanjang jalan itu telah ditutup kepada lalu
lintas sejak jam 5.00 petang tadi untuk memberikan laluan kepada para peniaga
dan pengujung pasar malam berurusan dengan lebih selesa dan selamat.
Suasana ketika itu sangat meriah. Payung-payung penjaja
yang pelbagai bentuk serta warna mengindahkan pemandangan. Pelbagai barangan
seperti pakaian, kasut, minyak wangi jenama murah, sayur-sayuran, buah-buahan,
kuih-muih serta makanan boleh didapati di pasar malam Jalan Mok Hee Kiang itu. Beberapa
orang penduduk dari kampung berhampiran juga tidak ketinggalan menjajakan
sayur-sayur kampung seperti pucuk ubi, ulam pegaga, daun turi, pisang muda,
jantung pisang dan sebagainya untuk menambah hasil pendapatan keluarga.
Para peniaga riuh mulut dan berlumba-lumba untuk
melakukan barang-barang mereka. Melayu, Cina dan India; masing-masing sibuk
dengan urusan mereka sendiri. Walaupun mereka dibezakan oleh warna kulit,
budaya dan agama yang berbeza namun mereka mampu bergaul dan membeli belah
dengan aman. Itulah warna-warna Malaysia yang sebenarnya. Penuh dengan uniti
dan kesatuan!
“Kak Ziha nak makan apa?” soal Murni.
Semerta wajah seseorang menerpa ke jiwa Nur Naziha. Sudah
tentulah wajah cinta hatinya, si dia yang telah mengisi penuh setiap inci ruang
dalam jiwanya. Hingga kadangkala orang lain begitu sukar untuk menyelit masuk mahupun
berkongsi tempat dengannya.
Dia suka makan nasi ayam, getus hatinya. Nasi bubur kalau
dicampur dengan isi ayam pun dia suka! Hatinya berbisik lagi.
“Hoi, Kak Ziha!”
Nur Naziha terkejut. Dan wajah si dia yang dirinduinya
bercempera entah ke mana apabila tiba-tiba namanya dijerit dan tangannya direntap
kasar oleh seseorang. Murni terkekeh-kekeh melihat dia terkulat-kulat
memandang.
“Kenapa akak ni?” sergah Murni setelah tawanya reda.
Nur Naziha hanya memandang kosong ke arahnya.
“Hah, tengok tu! Heee... selambanya muka dia. Buat-buat blur pulak dah! Apa yang akak angankan,
hah? Kejap tadi Murni tengok akak macam dah tak berada kat atas Jalan Mok Hee
Kiang ni, entah dah ke planet mana akak merantau?” bebel Murni.
“Eh, tak adalah! Kaki akak masih berpijak di bumi nyata.”
Nur Naziha membela diri.
“Eeee... geramnya Murni!” Gadis lincah lagi ceria itu
segera menarik Nur Naziha ke tepi agar mereka tidak menghalang laluan pejalan
kaki yang lain.
“Cuba akak cerita dengan Murni, apa sebenarnya yang akak
fikirkan sampai termenung jauh kejap tadi?”
Nur Naziha termangu. Perlukah dia membuka hijab yang
menyelubungi dirinya selama ini kepada gadis bernama Murni? Dia tahu selama empat
bulan mengenali gadis itu, dia terlalu banyak berahsia dengan Murni. Sedangkan
Murni tidak pernah berahsia apa-apa pun dengannya. Itu kan tidak adil namanya!
“Ni mesti pasal lelaki kan?” Tekaan Murni itu membuatkan
seulas senyum meleret di bibir Nur Naziha.
“Siapakah lelaki malang tu, Kak Ziha?”
“Isy, Murni ni, mana ada!”
“Abang Azad ke? Atau ada lelaki lain yang Murni tak
kenal?”
“Mengarutlah. Eee... dahlah, akak malaslah nak cerita tentang
hal ni. Akak dah lapar ni. Akak rasa macam nak makan nasi ayamlah malam ni.” Nur
Naziha memilih untuk terus berahsia.
Murni tahu tiada gunanya dia terus memaksa Nur Naziha bercerita.
Dia segera meminta wang yang diberi Lokman Azad tadi. Dia mengambil wang RM10
dan menyimpannya di dalam saku seluar jeansnya sementara bakinya dihulurkan
semula ke arah Nur Naziha.
“Tak payahlah, Murni. Akak ada duit. Akak guna duit akak
sendiri.”
“Kenapa pulak? Abang Azad belanja kita berdua ni.
Ambillah duit ni, kak. Nanti apa pulak kata Abang Azad?” Murni terus-terusan
mendesak agar Nur Naziha menerima wang itu.
“Tak payahlah mengadu kat dia. Kalau dia tak tahu takkan
dia nak berkecil hati pulak.” Nur Naziha terus berkeras.
Murni mengeluh perlahan. Dia tahu tiada gunanya
terus-terusan memaksa Nur Naziha menerima wang tersebut.
Ah, peduli apa! Kalau orang tak sudi, aku ajelah yang
rembat! Getus hatinya sambil merancang untuk menukar purse lamanya yang sudah koyak.