Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
142,693
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

23

PAJERO yang dipandu Lokman Azad akhirnya selamat sampai ke destinasi. Mereka berempat melangkah turun lalu menuju ke pintu utama. Pintu itu terkuak. Seorang perempuan bertubuh gempal berdiri di situ untuk menyambut ketibaan mereka.

“Assalamualaikum.” Tuan Haji Saadun mendahulukan ucapan salam untuk isterinya sebelum diikuti oleh yang lain-lain.

“Waalaikumussalam.” Hajah Hawa menjawab.

“Takkan awak tak kenal, ni Nur Naziha.” Tegur Tuan Haji Saadun ketika melihat mata isterinya seolah-olah hendak terjojol memandang ke arah gadis yang berdiri di sisinya.

“Kenal, apa pulak tak kenalnya.” Getus Hajah Hawa.

“Apa khabar, mak cik?” sapa Nur Naziha sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan ibu Lokman Azad itu.

“Baik. Jemputlah masuk.” Kata Hajah Hawa sambil membiarkan tangan kanannya disalam dan dicium oleh gadis itu.

“Jemput masuk, Ziha.” Pelawa Lokman Azad pula. Gembira hatinya bukan kepalang. Dia terasa seolah-olah di senja itu dia sedang membawa bakal isteri untuk diperkenalkan dengan ibunya.

“Terima kasih,” sahut Nur Naziha dengan sopan. Walaupun dia sebenarnya rasa canggung tetapi tidak ada apa-apa yang mampu dilakukannya ketika itu selain daripada melangkah masuk ke rumah keluarga Lokman Azad.

“Awak dah solat Maghrib?” soal Tuan Haji Saadun kepada isterinya.

“Dah.” Sepatah Hajah Hawa menjawab. Matanya asyik tertumpu ke wajah Nur Naziha.

“Kalau macam tu, bawaklah Ziha dan Anim ke bilik. Mungkin mereka nak tumpang solat Maghrib kat sini. Lepas tu awak siapkan makan malam, ya sayang.” Tingkah Tuan Haji Saadun dengan nada mengusik membuatkan Lokman Azad dan Hanim yang mendengarnya, tergelak besar.

Hajah Hawa menggetap bibir. Geram!

“Anim, kau bawaklah tetamu kita ni ke bilik di atas tu. Macam tak biasa pulak kau dengan rumah ni.” Hajah Hawa bersuara.

“Baiklah, mak long. Jom Kak Ziha.” Hanim segera mencapai tangan Nur Naziha.

“Terima kasih, mak cik.” Ucap Nur Naziha ke arah Hajah Hawa.

“Sama-sama.”

HAJAH Hawa menuruti suaminya yang masih berada di bilik. Dadanya dikepung dek rasa tidak puas hati kerana suaminya telah membawa perempuan yang tidak disukainya ke rumah mereka tanpa memberitahunya terlebih dahulu.

Ketika dia melangkah masuk, dilihatnya Tuan Haji Saadun sudah selesai mengerjakan solat Maghrib. Dia menuju ke katil lalu melabuhkan punggungnya di situ.

“Dia tak ada kenderaan nak balik ke rumahnya tadi. Jadi kami tumpangkanlah dia.” Tuan Haji Saadun membuka mulutnya sebelum sempat isterinya melontarkan soalan.

“Kenapa tak hantar dia terus ke rumahnya aje? Kenapa bawak balik kemari pulak?”

“Apa salahnya sekali-sekala kita terima tetamu di rumah ni? Kalau tetamu datang ke rumah dan kita layan dengan baik, selain dijanjikan pahala... rezeki jugak bertambah tau.” Tuan Haji Saadun berhujah.

“Abang Aji sengaja nak sakitkan hati saya, kan? Abang tahu saya tak sukakan dia tapi yang abang bawak jugak dia ke sini tu, kenapa?”

“Apa dosa budak tu pada awak, Hawa? Dia pernah sakitkan hati awak ke sampai awak bencikan dia?” terjah Tuan Haji Saadun. Dia sudah muak bertelingkah dengan isterinya yang seolah-olah memusuhi Nur Naziha.

“Apa si Ziha tu ada buat salah pada awak ke?”

Hajah Hawa menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Habis tu?” tekan Tuan Haji Saadun.

“Abang tahu kan yang isteri abang ni susah nak terima orang asing? Lebih-lebih lagi orang yang saya tak tahu siapa emak bapaknya dan dari mana asal usulnya? Memanglah si Ziha tu cantik, putih melepak orangnya. Tapi buruk baik perangainya kita tak tahu lagi, Bang Aji oi! Perempuan misteri macam tu ke yang abang tergamak nak jadikan calon menantu di rumah ni?”

“Awak ni, tak baik tau berburuk sangka dengan orang. Ziha tu memang budak baik. Saya tengok dia rajin mengerjakan solat kat surau farmasi tu.” Tuan Haji Saadun pantas membela Nur Naziha.

“Tengok air mukanya yang lembut tu pun saya dah dapat agak yang dia tu gadis baik.”

“Oh, mudahnya abang menilai manusia. Tengok aje air mukanya lembut, ayu dan berwajah keibuan... terus jatuh hukum dia perempuan baik? Kalau berwajah garang macam saya ni atau yang hitam legam macam Dayang Senandung, abang kata dia perempuan jahat? Gitu, Bang Aji?” Hajah Hawa pantas membidas.

Tuan Haji Saadun terkapa-kapa seketika dihujani peluru berpandu isterinya. Dah silap cakap ke aku ni, gerutu hatinya.

“Dan lagi satu, Abang Aji jangan lupa betapa ramai manusia munafik di luar sana tu yang mengerjakan solat tapi tak ikhlas, sekadar menunjuk-nunjuk di depan orang lain.” Sambung Hajah Hawa.

“Ya ALLAH, Hawa! Cukup-cukuplah bersangka buruk dengan orang lain. Cuba awak berkenalan dulu dengan dengan Ziha tu, manalah tahu kalau-kalau tanggapan awak pada dia akan berubah pulak nanti. Satu aje saya nak ingatkan awak, Ziha tu tetamu kita malam ni. Jadi jangan sesekali awak sakitkan hati dia.” Tuan Haji Saadun siap memberikan amaran kepada isterinya.

Amarannya yang tegas itu membuatkan Hajah Hawa terdiam, tidak berani membantah. Tanpa sepatah kata, dia terus menonong keluar dari bilik tidur mereka. Tuan Haji Saadun memperkemaskan pakaiannya lalu turut melangkah keluar tidak lama kemudian.

KETIKA melintasi ruang tamu untuk ke dapur, Lokman Azad terpandangkan Nur Naziha sedang meneliti gambar-gambar keluarga yang sengaja diletakkan di atas almari rendah yang berisi pinggan mangkuk kesayangan ibunya. Perempuan itu dirapatinya.

“Itu gambar arwah isteri abang.” Dia menerangkan walau tanpa ditanya.

Nur Naziha mengalih sorotan matanya daripada gambar arwah Melissa ke arahnya pula. Mata mereka bertatapan beberapa ketika.

“Cantik arwah isteri abang.” Puji Nur Naziha.

Lokman Azad mengangguk.

“Terima kasih. Ziha pun apa kurangnya? Ziha pun cantik.”

Nur Naziha mendengus, seolah-olah tidak menyukai pujian yang dilontarkan lelaki itu terhadap dirinya.

“Ziha marah ke? Abang cakap yang betul ni.”

“Sanggup abang puji perempuan lain kat depan gambar dia? Ziha tak suka sikap abang ni! Tak suka!” lontar Nur Naziha. Tajam.

Gulp! Dah tersalah puji ke aku ni? Lokman Azad menelan air liurnya. Dia memang cantik. Salahkah aku memuji kecantikan dirinya di depan gambar arwah Melissa? Lagipun arwah bukannya dapat mendengar pujian yang aku lontarkan ini.

“Err... maafkan abang. Abang ingatkan semua perempuan suka kalau diri mereka dipuji cantik. Rupa-rupanya Ziha tak suka. Ziha jangan ambil hati ya.” Tingkahnya sambil melangkah meninggalkan Nur Naziha lalu menuju ke dapur.

Aroma sup ayam yang sedang menggelegak, berlegar-legar di ruang dapur. Hanim sedang sibuk membantu mak longnya menyenduk nasi ayam ke dalam mangkuk. Hajah Hawa segera menggamit ke arahnya sebaik-baik terlihatkan kemunculannya di ruang yang sama. Dia melangkah menghampiri ibunya.

“Tuan puteri kita buat apa kat luar tu, Azad? Dia takut nak masuk ke dapur ni ke?” Nada suara Hajah Hawa penuh dengan sindiran. Hanim yang mendengarnya, tergelak lantang.

“Ala, biarlah, mak. Dia segan agaknya. Ni kan pertama kali dia sampai ke rumah kita. Ada apa-apa yang Azad boleh tolong?” Lokman Azad segera membela Nur Naziha.

Hajah Hawa mendengus. Lokman Azad sengih macam kerang busuk.

“Tolong angkat hidangan tu ke meja makan. Kalau lambat makan nanti, masuk angin pulak perut tuan puteri tu!” tingkah Hajah Hawa dengan bibir yang terherot-herot. Reaksinya jelas menunjukkan bahawa dia tidak menyukai Nur Naziha.

Lokman Azad malas hendak memanjangkan cerita. Dia segera membuat apa yang disuruh ibunya.

“Mak long, Kak Ziha tu malu agaknya. Almaklumlah, dia belum biasa lagi dengan mak long. Sebenarnya Kak Ziha tu rajin orangnya. Mak long tentu sukakan dia kalau dia betul-betul dah jadi menantu mak long nanti.” Hanim melobi Nur Naziha.

“Orangnya pun cantik kan, mak long?”

Hajah Hawa mendengus.

“Orang yang cantik ni bukannya boleh dipercayai sangat. Entah-entah dia dah ada buah hati, mana tahu? Pak long kau yang sibuk-sibuk nak jodohkan Abang Azad kau tu dengan dia.” Getus Hajah Hawa.

“Mak long lebih suka kalau Abang Azad kau tu dijodohkan dengan saudara mara kita ke, atau orang yang mak long kenal. Si Ziha tu entah siapa-siapa.” Dia meluahkan isi hatinya kepada Hanim.

“Hmm... Anim tak mau campurlah hal ni, mak long. Kita serahkan pada jodoh ajelah. Kalau Abang Azad ada jodoh dengan Kak Ziha, Anim pun turut tumpang gembira.” Sahut gadis itu sambil mengangkat semangkuk besar sup ayam ke ruang tamu.

NUR NAZIHA sedar yang kehadiran dirinya di rumah itu tidak berapa disenangi oleh Hajah Hawa. Oleh itu dia sengaja mencipta ruang di antara dirinya dengan perempuan itu. Bukannya dia berat tulang ataupun tidak mahu beramah mesra dengan Hajah Hawa, bukan! Sebaliknya dia mencari jalan selamat supaya hatinya tidak disakiti sesiapa.

Hatinya seringkali disakiti. Sudah lama berbilur-bilur. Dan dia tidak sanggup Hajah Hawa menambah satu lagi kesan bilur di hatinya. Jadi, lebih baiklah dia menjauhkan dirinya daripada perempuan itu awal-awal lagi.

Aroma dari ruang dapur, membuatkan ingatannya segera menjalar ke arah seseorang. Insan itu amat menggemari nasi ayam. Dan rindu yang menyelusup masuk ke jiwanya membuatkan dia ingin dirinya didakap oleh insan itu. Tidak sabar rasanya hendak bersua muka melepaskan rindu dendam yang bersangkar di dada.

“Eh, Ziha! Apa yang dimenungkan tu?” soal satu suara.

Mata Nur Naziha bertembung dengan mata Tuan Haji Saadun.

“Err... tak adalah, Tuan Haji. Saya tengah tengok gambar-gambar ni.” sahutnya, menyembunyikan gelojak hati yang sedang merindui seseorang.

Tuan Haji Saadun mencapaibingkai gambar perkahwinan Lokman Azad dengan arwah isterinya.

“Dah empat tahun Azad menduda sejak kematian isterinya dalam kemalangan jalanraya. Masa tu arwah sedang hamil.” Terang Tuan Haji Saadun. Bingkai gambar itu diletakkan semula di tempatnya. Mata Nur Naziha ditenung.

“Hamil?” soal Nur Naziha. Sepatah.

Tuan Haji Saadun mengangguk.

“Iya. Itulah yang memberikan tekanan hebat pada Azad. Bayangkanlah, dalam sekelip mata saja dia kehilangan isteri dan anak yang dikandung arwah isterinya. Sebab tulah sampai sekarang hatinya tertutup untuk berkahwin lagi walaupun puas kami mendesak.”

Tanpa disedarinya, Nur Naziha mengusap-ngusap perutnya. Dia kelihatan gelisah. Entah kenapa tiba-tiba bayangan seorang perempuan yang sedang memaut lutut dan merayu-rayu agar dirinya dan kandungannya dikasihani, terpapar di ruang matanya.

“Kalau awak nak tahu, Azad tu sebenarnya sukakan awak. Ziha, awak dengar tak apa yang saya cakap ni?” soal Tuan Haji Saadun apabila dilihatnya Nur Naziha seolah-olah tenggelam dalam dunianya sendiri.

“Err... apa dia Tuan Haji?”

Tuan Haji Saadun tersenyum.

“Takkan awak tak sedar yang Azad tu sukakan awak? Dia pernah mengadu dengan saya, awak dingin sangat pada dia. Kenapa, Ziha? Awak dah berpunya ke?”

Nur Naziha tersipu-sipu. Wajahnya memerah tiba-tiba.

“Banyak yang saya tak tahu tentang awak sebenarnya. Awak ada kekasih?”

Nur Naziha tidak menjawab. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Baguslah. Kalau macam tu, saya nak mintak pertolongan awak sikit, boleh tak?”

“Pertolongan yang macam mana tu, Tuan Haji?”

“Tolonglah beri peluang pada Azad. Dia perlukan seorang isteri yang baik di sisinya. Kami juga dah tak sabar-sabar nak menimang cucu. Boleh tak, Ziha?” pinta Tuan Haji Saadun.

“Tapi kenapa pilih saya, Tuan Haji? Saya tak layak untuk jadi isteri dia!”

“Ziha, kenapa pulak awak cakap macam tu? Azad pun dah mula sukakan awak. Saya pun setuju sangat kalau awak yang dipilih Azad untuk jadi bakal isterinya.” Tuan Haji Saadun nampaknya mula mendesak membuatkan gadis itu serba-salah hendak menjawab.

“Ayah, apa yang dibualkan tu? Hidangan dah siap ni! Marilah kita makan.” Suara Lokman Azad yang hinggap ke telinga mereka membuatkan perbualan terus terhenti.

“Mari makan, Ziha.” Pelawa Tuan Haji Saadun.

Dia melangkah ke meja makan. Nur Naziha mengekorinya dari belakang.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.