Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
144,957
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

11

LENA tidur malam tadi, Kak Ziha?” Itulah soalan pertama Murni sebaik-baik sahaja mereka berdua menapak turun dari skuter merah jambu dan mula menyusuri kaki lima kedai untuk mencari tempat makan yang sesuai bagi menjamu selera pagi itu.

“Mana boleh tak lena? Kalau badan dah penat, pasti lena ajelah.”

Murni mengekel.

“Manalah tau kalau-kalau tak lena pulak? Kalau-kalau tidur akak asyik diganggu oleh mimpi-mimpi indah bersama Abang Azad!” Murni sudah mula mengusik.

“Hisy, akak tak sukalah Murni asyik sebut-sebut nama dia!”

“Dia tu siapa, kak? Abang Azad ke? Ala... takkan nak sebut nama Abang Azad pun tak boleh? Akak malu ke?”

“Akak tak sukalah, Murni!” Nur Naziha meninggikan suaranya. Sambil itu kaki mereka berdua terus melangkah menuju ke sebuah restoran milik peniaga Melayu.

Murni tergelak kecil.

“Ala... suka ajelah, kak. Apa kurangnya Bang Azad tu? Baik, handsome... berduit orangnya. Dia pun sukakan akak. Akak aje yang jual mahal. Jangan letak harga tinggi sangat kak, nanti tak laku baru padan muka!”

“Dah tu, Murni! Cukup!! Akak tak sukalah Murni cakap yang bukan-bukan macam ni. Nanti akak patah balik ke farmasi baru tahu!” Nur Naziha mengugut.

“Opps!!” Murni segera menutup mulutnya. Baru tersedar akan keceloparan diri.

Sorry ya, kak. Janganlah merajuk. Murni tak pandai nak pujuk.”

Nur Naziha memuncungkan mulutnya tetapi tetap melangkah masuk ke perut restoran yang hampir dipenuhi pengunjung. Mujurlah masih ada sebuah meja yang kosong. Seorang pelayan menghampiri mereka sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung di atas kerusi plastik yang tersedia. Nur Naziha dan Murni masing-masing memilih untuk makan nasi lemak berlaukkan sambal sotong. Setelah mengambil pesanan mereka, pelayan itu terus berlalu meninggalkan kedua-dua orang gadis itu berbual kosong sesama sendiri.

“Bila Kak Ziha nak datang ke rumah Murni?” soal Murni ke arah Nur Naziha yang hanya berbeza usia tiga tahun dengannya itu. Telah hampir empat bulan dia mengenali Nur Naziha, namun sekalipun gadis itu belum pernah singgah ke rumahnya.

“Tunggulah. Lagipun bilalah akak ada masa nak pergi ke rumah Murni? Kita kan sibuk dengan kerja. Balik dari farmasi tupun bila matahari dah terbenam.”

“Esok hari Isnin. Isnin kan cuti. Apa kata kalau esok aje akak datang ke rumah Murni? Murni jemput akak. Apa macam?”

“Nantilah akak fikirkan dulu. Entah-entah Acik Su ada rancangan lain untuk esok.” Nur Naziha tidak segera memberikan persetujuannya.

“Eleh... kalau tak sudi, cakaplah terus terang. Murni tak marahlah, kak!” getus Murni. Namun suaranya sedikit meninggi menandakan dia jengkel dengan jawapan Nur Naziha.

Nur Naziha memandang tepat ke wajah Murni.

“Janganlah merajuk, dik.”

“Hai, panas aje hati ni. Bilalah agaknya air yang kita pesan tu nak sampai kan, kak?”

“Kenapa tiba-tiba aje panas hati pulak? Ala... takkan marahkan akak, kut? Jangan risau, nanti bila-bila lapang akak pergilah ke rumah Murni.” Nur Naziha memujuk.

Wajah Murni yang mencuka seketika tadi berubah ceria tatkala melihat pelayan restoran tiba dengan membawa pesanan mereka. Nasi lemak sambal sotong dan minuman yang dipinta diletakkan di atas meja. Murni pantas menyambar teh ais yang diletakkan di depannya lalu menyedut minuman itu dengan rakus.

Nur Naziha hanya melihat telatah temannya itu. Dia jarang sekali mengambil minuman berais. Bukan kerana hendak jaga badan tetapi itu adalah amalannya sejak remaja lagi. Amalan yang dititipkan oleh arwah nenek pada dirinya. Seperti pagi ini, dia hanya meminta segelas air suam.

“Makan pelan-pelan, Murni. Nanti tercekik.” Dia mengingatkan Murni yang agak gelojoh menyuap nasi lemak ke mulutnya.

“Murni laparlah, kak.”

Nur Naziha ketawa kecil.

“Arwah nenek akak pernah pesan, kalau makan tu kena kunyah sampai hancur dulu baru ditelan. Kalau tak nanti boleh sakit perut. Dah sakit nanti, siapa yang susah?”

“Eleh... kita kan kerja kat farmasi, gedung ubat. Kalau sakit, capai ajelah mana-mana ubat yang kita nak.”

Pandai menjawab budak ni, gerutu hati Nur Naziha. Namun, dia tersenyum cuma.

“Yalah, akak lupa kita ni kerja kat gedung ubat.” Getusnya perlahan.

Murni mengekel. Dia memperlahankan suapannya. Dia menyenangi Nur Naziha. Gadis itu mengingatkannya kepada seorang kakak yang tidak pernah dimilikinya. Dia adalah anak tunggal perempuan dalam keluarga. Hidup dikelilingi adik-beradik lelaki membuatkan dirinya juga terikut-ikut dengan rentak mereka. Dia sendiri mengakui yang dirinya kadangkala agak kasar seperti seorang lelaki. Namun, nalurinya dia tetap perempuan.

Mengenali Nur Naziha membuatkan dia celik pada segala petua tradisional dan pantang larang orang Melayu. Kata Nur Naziha, petua dan pantang larang itu dititipkan oleh arwah neneknya sejak dia kecil lagi dan telah mengamalkannya sejak mula menginjak usia remaja.

Antara pantang larang yang diamalkan oleh Nur Naziha ialah semasa sedang minum atau makan hendaklah duduk, jangan berdiri. Jangan amalkan makan bersulam air. Ataupun minum air sejurus selepas makan. Jangan amalkan minum minuman berais atau bergas. Kalau mandi pula hendaklah bermula daripada bahagian bawah badan membawa ke atas. Menurut arwah neneknya, semua itu adalah untuk kesihatan diri dan awet muda.

“Buat apa nak susah-susah berpantang-larang, kak? Kat Farmasi Nusantara tu semua jenis jamu, makanan kesihatan dan pil awet muda ada. Telan aje sebiji dua setiap hari. Semua jenis krim kecantikan ada dijual, tepekkan aje kat muka.” Murni akan menjawab apabila sering ditegur oleh Nur Naziha.

“Tapi tengoklah pulak pada harganya, Murni. Kalau produk yang baik dan mujarab tu bukannya murah, makan beratus harganya. Mampu ke?” Nur Naziha selalunya akan membalas balik.

“Kalau kita amalkan petua-petua lama tu, percuma aje. Cuma kena rajin dan yakin. Hasilnya... walla!

Dan, Murni cukup sakit hati apabila melihat Nur Naziha yang memiliki tubuh seperti gitar itu berpusing-pusing di depannya. Berlagak! Menunjuk! Tetapi, sakit hatinya pada Nur Naziha tidak lama kerana dia tahu Nur Naziha bukanlah hendak menunjuk-nunjuk dengannya. Nur Naziha hanya mencurahkan ilmu di dada kepadanya. Ilmu yang diperturunkan oleh arwah neneknya.

Kadang-kadang Murni jadi hairan kenapa Nur Naziha asyik bercerita tentang arwah neneknya yang sudah lama meninggal dunia itu dan langsung tidak menyentuh tentang ahli keluarganya yang lain seperti ayah, ibu dan adik-beradiknya? Namun dia tidak sempat bertanya dek kesibukan masing-masing.

“Eh, lupa pulak akak.” Getus Nur Naziha tiba-tiba seolah-olah baru teringatkan sesuatu. Dia segera menarik zip beg galasnya.

Murni hanya memandang ketika gadis di depannya mengeluarkan plastik berisi lima keping karipap lalu diletakkan di tengah meja.

“Rasalah karipap sardin tu, Murni. Sedap!” Pelawa Nur Naziha sambil tersenyum nipis. Terbayang jelas di ingatannya tentang rahsia karipap sardin itu.

“Rezeki tu, ada orang belanja.”

Murni jungkit kening.

“Siapa yang baik hati sanggup belanja akak karipap sardin ni? Lelaki ke perempuan?”

“Banyak tanyalah Murni ni. Makan ajelah.” Ujar Nur Naziha sambil berusaha menghabiskan suapan nasi lemak terakhirnya.

Murni yang sudah selesai makan segera mencapai sekeping karipap lalu disuapkan ke mulutnya.

“Hmm... sedap karipap ni, kak.”

Nur Naziha senyum dan angguk. Dia akui yang karipap itu memang sedap.

“Eh, ni Murni, kan?”

Kedua-dua orang perempuan itu tersentak apabila kedengaran satu suara menegur Murni. Mereka mendongak. Kelihatan seorang jejaka tersenyum lebar ke arah Murni.

“Eh, Firdaus!”

Jejaka yang dipanggil Firdaus oleh Murni itu tersenyum lebar.

“Apa khabar, Murni? Lama tak jumpa.”

“Aku sihat. Eh, duduklah, Fir. Kau dah minum?”

Nur Naziha hanya memandang ke arah Murni yang nampaknya begitu galak dan ceria kerana dipertemukan dengan Firdaus pagi itu. Dalam hati, dia tertanya-tanya siapakah sebenarnya jejaka bernama Firdaus itu di sisi Murni?

“Aku dah minum dengan geng-geng aku. Tu pun mereka!” Firdaus menudingkan jarinya ke suatu sudut. Kelihatan tiga orang lelaki seusia Firdaus sedang duduk di meja itu.

“Kau nak belanja aku minum ke, Murni?”

“Eh, takkan tanya pun tak boleh?”

Firdaus tergelak besar. “Kalau kau nak belanja aku minum, boleh aje. Malam ni kita jumpa. Apa macam?”

“Waa... gelojohnya kau ni! Kan aku ni perempuan. Selalunya lelaki yang belanja perempuan minum.”

“Sekarang ni zaman langit terbuka. Bukan macam dulu-dulu lagi, asyik lelaki aje yang kena seluk poket untuk belanja perempuan minum. Tapi takpelah... kalau kau sudi, jomlah kita keluar malam ni. Bukan setakat minum, makan besar pun aku boleh belanja.”

Murni mengekel. Kesukaan! Seronok sangat nampaknya dapat berbual mesra dengan Firdaus, jejaka berkulit sawo matang dengan rambut yang bercacak macam duri landak. Beberapa ketika kemudian dia menjeling ke arah Nur Naziha yang duduk bagaikan patung di tempatnya.

“Eh, Fir, lupa pulak aku nak kenalkan kau dengan kawan sekerja aku. Ni Nur Naziha. Kak Ziha, ni Firdaus, kawan satu sekolah Murni dulu.” Seolah-olah baru menyedari kewujudan Nur Naziha, barulah Murni memperkenalkannya dengan Firdaus.

“Apa khabar, Kak Ziha?” soal Firdaus.

“Baik.”

Setelah terkeluar jawapan dari mulut Nur Naziha, Firdaus fokus matanya semula ke arah Murni. Kelihatan dia benar-benar berminat dengan gadis lincah itu.

“Banyak story aku nak bualkan dengan kau ni, Murni. Tapi aku tak ada banyak masa ni. Member-member aku dah tunggu tu. Kita orang ada hal sikitlah. So malam ni macam mana? Jadi keluar minum tak?”

Murni tersenyum lebar.

“Hmmm...”

“Kau balik kerja pukul berapa?”

“Hari ni jam 6.00 petang.”

“Kau kerja kat mana? Aku ambil kau kat tempat kerja ajelah, macam mana?” cadang Firdaus pantas.

“Kat Farmasi Nusantara.”

“Oh, farmasi yang terletak kat hujung tu? Aku tahu farmasi tu, cuma tak pernah masuk aje. Okey, macam ni ajelah... ni kad bisnes aku. Kalau kau sudi keluar dengan aku, kau telefon aje nombor ni.” Katanya sambil menghulurkan kad kecil empat persegi itu ke arah Murni.

“Firdaus, woi... cepatlah, bro! Kita dah lambat ni!” Kedengaran satu suara memanggilnya.

Firdaus menoleh ke meja yang menempatkan teman-temannya. Lelaki bertiga itu sudah bersiap-siap hendak berlalu.

“Woi, tunggu kejaplah woi!” jerit Fairdaus ke arah teman-temannya. Kemudian, matanya melekap semula ke wajah Murni.

“Murni, aku gembira sangat sebab dapat jumpa kau pagi ni. Jangan lupa telefon aku, ya. Aku kena chiao dulu ni. Dia orang tu dah sabar-sabar nak blah. Bye-bye Murni. ByeKak Ziha. Jangan lupa telefon tau, Murni.” Ujarnya lembut seolah-olah merayu.

“Yalah.” Murni tersipu-sipu.

“Banyak benda aku nak storydengan kau bila kita jumpa nanti.” Tukas Firdaus lagi.

“Tapi aku tak berani janji.” Murni seolah-olah jual mahal.

“Ala... bolehlah, Murni! Kita keluar minum-minum aje. Takkan tupun tak sudi, kut?” Merajuk bunyinya.

“Tengoklah macam mana.” Murni masih bermain sorong tarik dengan jejaka itu.

“Ya ALLAH ya TUHANku, semoga positiflah jawapanmu. Tolonglah hambaMU ini ya ALLAH!” Tiba-tiba Firdaus bersuara sambil mengangkat kedua-dua tangannya seolah-olah sedang berdoa.

Reaksinya itu membuatkan Murni tergelak lantang.

“Heeeiii... Fir! Tolonglah jangan berdrama kat sini. Kau tak malu ke semua orang pandang kau tu?” Tingkah Murni dalam derai tawa yang masih bersisa.

Firdaus hanya tersenyum lebar.

“Kenapa pulak nak malu? Telefon tau, Murni!”

Murni mengangguk. Dan Firdaus tersenyum puas sebaik-baik sahaja melihat anggukan Murni itu. Dia berlalu pantas mengekori ketiga-tiga orang kawannya.

“KAK Ziha, kenapa diam aje ni?” soal Murni ketika melihat Nur Naziha asyik mendiamkan diri sahaja.

“Betul ke Murni nak keluar dengan Firdaus tu malam ni?”

“Kalau jawapannya iya, macam mana?”

Nur Naziha mengeluh. Raut wajahnya menunjukkan yang dia jelas tidak suka mendengar jawapan yang keluar dari mulut Murni.

“Kak Ziha tak suka ke Murni keluar dengan Firdaus?”

“Ya, akak kurang senanglah dengan Firdaus tu. Lagipun Murni dah lama tak jumpa dengan dia, kan? Entah macam mana perangai sebenar dia agaknya. Murni nampak tak kawan-kawan dia tadi? Semuanya berambut panjang.” Nur Naziha menyuarakan rasa kurang senangnya.

“Kawan-kawan dia aje yang berambut panjang. Rambut Firdaus tu tercacak macam duri landak.” Murni ketawa kecil, sendirian.

“Agaknya kawan-kawan Firdaus tu artis kut, kak? Artis kan suka simpan rambut panjang supaya mereka nampak unik berbanding orang lain. Lagipun kita jangan cop seseorang tu jahat sebaik aje tengok penampilannya. Kat dunia ni ramai jugak yang segak bergaya tapi perangai macam hantu.” Bahas Murni seolah-olah membela Firdaus dan teman-temannya.

“Akak bukannya nak busy body tapi akak tak nak Murni tersalah pilih kawan terutamanya kawan lelaki. Kelak menyesal kemudian hari. Orang lelaki ni Murni, memang handal memujuk perempuan. Mereka tahu hati perempuan ni cepat cair, mudah jatuh cinta. Lepas tu senanglah mereka nak ambil kesempatan terhadap diri perempuan yang mencintai mereka tu.”

“Dari gaya akak bercakap ni, macam pernah terkena aje?” Terpantul soalan itu dari mulut Murni.

“Akak ada pengalaman dikecewakan lelaki ke? Siapa lelaki yang dah kecewakan akak tu? Tentu handsome kan? Yalah... Kak Ziha ni kan cantik orangnya!”

Nur Naziha tergamam.

“Errr... akak bukannya merujuk tentang diri akak. Tapi ni pandangan akak secara umum aje.” Dalihnya.

“Kak Ziha pernah bercinta? Tu ke sebabnya akak jual mahal dengan Abang Azad?”

Nur Naziha mula menggelabah setiap kali diajukan soalan itu. Dia segera menoleh jam di lengannya.

“Murni, jom! Dah lama kita kat sini.”

Murni menggelengkan kepalanya.

“Kak Ziha ni kan, selalu mengelak bila kita tanya bab hati dan perasaan ni.”

Nur Naziha ketawa kecil. “Dah tentulah akak pernah bercinta, Murni. Tapi tu hanya cinta monyet. Akak dah lupakan segalanya.”

Handsome ke cinta monyet Kak Ziha tu?”

Wajah seseorang tergambar di ruang ingatan Nur Naziha. Dia tersenyum, kelat. Namun senyumannya tidak mampu ditafsirkan oleh Murni.

“Hmmm... bolehlah.” Sahutnya perlahan.

Murni tergelak besar. “Mesti handsome jejaka tu kan? Ada macam Brad Pitt... Johnny Depp dan Remy Ishak tak?”

“Entahlah!”

“Siapa namanya, kak? Ceritalah dengan Murni.”

“Si Monyet.” Jawab Nur Naziha, acuh tak acuh.

Murni berdekah.

“Tak baik tau, akak ni! Kongsilah dengan Murni, siapa nama ex-boyakak tu?”

“Dahlah! Akak malas nak ungkit kisah lama yang dah akak lupakan. Wajahnya pun akak dah ingat-ingat lupa.” Dia berbohong kepada Murni walau hakikatnya seraut wajah itu masih kebal dalam kotak ingatannya.

Murni merenung lurus ke arah Nur Naziha. Dilihatnya wajah gadis itu serius sahaja. Itulah reaksi Nur Naziha setiap kali diajukan persoalan cinta kepadanya.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.