Home Novel Cinta Cinderella
Cinderella
ainRAZAK
28/12/2020 01:25:31
37,814
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

"Kenapa semua orang benci sangat dengan Huda? Tak puas lagi ke, mak seksa hidup ibu Huda sampai dia meninggal dunia? Dan sekarang ni, mak nak menambah dosa pula dengan menyeksa anak dia?!" soal Syauqi lantang.




Tahap kesabarannya sudah runtuh saat terpandang airmata Huda Quah yang mengalir tanpa henti. Rentak nafasnya turun naik. Menunjukkan dia sedang menahan rasa amarah yang semakin meluap-luap.




Jika tidak difikirkan mereka adalah orang tuanya, sudah pasti dia akan membawa Huda ke Balai Polis sekarang juga untuk membuat laporan. Biar kesemua mereka ditangkap, ditahan dan dipenjara sehingga mereka betul-betul berubah!




Tetapi dia juga berasa serba salah. Dia tidak mahu sisa-sisa hari tua kedua ibubapanya dihabiskan begitu sahaja disebalik tirai besi yang penuh dengan pelbagai cerita misteri. Sebab itu dia terpaksa memadamkan hasratnya.




Dia juga tidak tegar melihat kehidupan keluarganya berakhir dipenjara. Lantas kerana itu dia masih membuka ruang untuk mereka insaf dan menyesali perbuatan yang telah mereka lakukan. 




Tapi hari ini, apa yang berlaku didepan mata Syauqi sendiri, buat dia sedar bahawa peluang yang telah dia berikan, tetap tidak dihargai.




Masing-masing masih tidak mahu berubah! Masih degil dan keras kepala. Masih mahu menyiksa hidup seorang gadis yang tidak bersalah. 




"Sabar Qiey ... Sabar ... " bahu Syauqi disentuh lembut oleh seseorang. Lantas dia tersedar dari rasa amarah.




Syauqi menghela nafas panjang.




Suhana menjeling wajah abang kandungnya dengan hujung mata. Dia mencebik. Tetapi hanya seketika. Serta merta dia berubah riak saat terpandang seraut wajah yang sedang berdiri bersebelahan Syauqi.  




Penampilan dan pandangan mata helang jejaka itu, berjaya menggoncang naluri kewanitaannya. Dia meliuk lintuk tubuh. Rambut dikuak ke belakang gaya sajat. 




Suhana mengukir senyuman menggoda saat mata dia dan lelaki itu bertaut. Namun, lelaki itu memandangnya dengan pandangan yang berbisa. Seakan menghantar isyarat amaran yang membuatkan dia gerun.




Suhana mengetap bibir. Kaki dihentak ke lantai bermozekkan biru, tanda protes.




"Tunggulah kau, aku akan buat kau jatuh dalam pangkuan aku" bisik Suhana perlahan. Keningnya dijungkit, bibir tergerak-gerak.




Puan Syuhada mengatur langkah lalu duduk diatas kerusi. Nafas ditarik laju. Kata-kata anak sulungnya mengundang debar dihati. Langsung sama sekali, dia tidak memikirkan kemungkinan itu.




Hatinya terlalu sakit bila terpandang wajah Huda Quah. Terbayang diruang mata dia, wajah manis milik wanita yang bernama Lily Airin, yang telah berjaya menggoda suaminya suatu ketika dulu.




Dan akhirnya mereka bernikah.




Jika wanita lain berada ditempatnya, sanggupkah mereka dimadukan? Tipulah jika tidak ada yang cemburu. Dia juga tidak terkecuali lantas dia mengatur agenda. Lily Airin patut disingkirkan dalam apa jua keadaan. Susah mahupun senang.




Pada akhirnya, setelah bertahun-tahun dia mencuba, Puan Syuhada berjaya membuang jauh, pesaingnya. Langsung dia tidak menyesali perbuatan yang telah dia lakukan.




Dan kini, hanya tinggal satu lagi masalahnya. 




Huda Quah. 




Gadis itu semakin hari, semakin menyakitkan hati dia. Dia hanya perlu bersabar, hanya tinggal beberapa waktu saja lagi untuk dia menghapuskan anak pesaingnya dari muka bumi ini.




Puan Syuhada kembali tersenyum sinis.




Encik Bakri berjalan menuju ke biliknya. Dia malas mahu mendengar perbalahan antara ibu dan anak itu. Dia masih punya rancangan yang lebih baik untuk menggunakan Huda Quah.




Syauqi memalingkan tubuhnya.




"Jom Min, kau ikut aku! Kita cari Huda!" ajak Syauqi tanpa berlengah.




Tanpa menanti jawapan dari Bunyamin, Syauqi terlebih dahulu membuka langkah. Dia mahu mengejar Huda. Dia sangat risaukan keadaan gadis itu.




"Syauqi!"




"Abang!"




Panggilan dari Puan Syuhada dan adiknya, Suhana langsung tidak dihiraukan. Dia segera bergegas keluar.




"Naik kereta aku" arah Bunyamin. Syauqi hanya menurut.




Kedua mereka melangkahkan kaki menuju ke arah sebuah kereta Honda City berwarna kuning milik Bunyamin. Sebaik saja memboloskan diri ke dalam kereta, perlahan-lahan kereta dilarikan, membelah kepekatan malam yang semakin larut.




••••




Huda Quah hanya membiarkan kakinya memacu langkah. Dia sudah tidak punya semangat untuk meneruskan hidup. Segalanya seakan samar-samar pada dia.




Jika diteruskan hidup, dia bakal menyakiti hidupan orang lain. Dan seandai dia mengakhiri hidupnya sekarang, dia yakin, dia akan tergolong dalam golongan hamba yang menanggung dosa besar.




Dia masih ingat lagi, kata-kata Ustazah Ainshah, seorang guru Bahasa Arab ketika dia belajar di tingkatan 5 dahulu. Ustazah Ainshah pernah berpesan pada pelajarnya mengenai hukum mengambil nyawa sendiri.




Hadis yang dibaca Ustazah Ainshah kembali bermain-main diruang ingatan Huda. 




"Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Rasullah telah bersabda : Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam itu nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barang siapa membunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa membunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahannam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) buat selama-lamanya."




Huda cepat-cepat tersedar. Dia beristighfar panjang. Bunuh diri adalah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah. Mahukah dia dimurkai oleh sang Penciptanya Yang Maha Esa?




Pin!




Pin!




Pin!




Bunyi hon bertalu-lalu mengejutkan Huda kembali ke dunia realiti. Langkah kakinya yang kosong tanpa selipar, dimatikan. Pantas dia menoleh.




Cahaya lampu kereta yang memancar tepat ke wajah Huda, menyukarkan lagi pandangannya. Dia menutup mata dengan kedua belah lengan. Mahu menghalang cahaya itu dari terus memancar, menyakiti matanya.




Pinnnnnnnn!




Bunyi hon yang panjang seolah merentap keluar jantung Huda dari jasadnya. Tanpa diduga, sepantas kilat tubuhnya terasa melayang ke udara. Lantas tersadai diatas jalan yang bertar kasar. 




Huda beradoi. Seluruh tubuhnya terasa sakit yang teramat. Sakit dipukul Puan Syuhada tadi ditambah pula dengan sakit dilanggar kereta, bagaikan sebati dalam diri. 




Huda merintih. Matanya dipejam erat. 




"Andai ini terakhir kali aku bernafas di muka bumiMu ini Ya Allah, izinkan aku menyebut kalimah keramat itu buat kali terakhir" bisik Huda perlahan.




Dia terasa desah nafas menampar kasar wajahnya. Kemudian, derap kaki seseorang menghampiri dia yang sedang terbaring.




"Eh, kau okey tak? Kau ada luka tak? Huda macam mana?" suara seseorang buat Huda kembali tersedar.




Terasa bahunya digenggam erat oleh tangan kekar seseorang. Dia membuka mata perlahan-lahan. Wajah itu tidak dapat dilihat dengan jelas.




Huda mengagahkan diri untuk bangun. Lelaki tadi melepaskan pegangan tangannya serta merta. Wajah ditundukkan.




Huda mengucap syukur di dalam hati. Mujur dia telah diselamatkan oleh seseorang. Dia sangka, dia sudah mati dilanggar sebentar tadi. 




"Aduh!" Huda terjerit kecil. Pergelangan kakinya terasa sakit. 




Pantas tangan milik lelaki asing itu melekap kemas pada kakinya yang kosong, tidak berselipar. Sentuhan lelaki itu terasa panas dikulitnya.




Huda memandang jejaka tersebut dengan pandangan yang tidak mengerti. Kemudian dia beralih pada kakinya yang tidak berselipar.




"Huda okey tak?" Syauqi menyoal cemas.




Dia duduk mencangkung bersebelahan Huda Quah. Kaki Huda dibeleknya penuh prihatin. 




"Kau dapat tak, nombor pendaftaran kereta tu?" Soal Bunyamin tegas. 




Huda memandang lelaki itu. Tiada langsung riak manis diwajah sahabat Syauqi. Nampak beku dan keras. Tiada senyuman mahupun rasa cemas yang terukir. 




"Dapat, aku sempat snap gambar. Aku dah hantar ke nombor kau dah. Kereta jenis Subaru Min. Warna hitam" ulas Syauqi panjang lebar.




Huda hanya mendiamkan diri. Dia sekadar mendengar perbualan antara Syauqi dan sahabatnya yang dipanggil Min itu.




Huda menggerakkan tubuhnya keatas pembahagi jalan. Terasa sukar, dia mahu bergerak.




"Aduh!" Dia mengadoi saat lututnya mahu dibengkokkan.




"Aku rasa, patahlah Qiey. Kita kena bawa adik tiri kau ke hospital" cadang Bunyamin.




Dia memandang wajah gadis itu sekilas sebelum kembali membelek kaki Huda. 




Kesan lebam di muka Huda, mengundang rasa marah yang membuak-buak. Tangan kiri mengepal penumbuk. 




"Tapi Min, aku rasa kaupun tahu kan. Nanti lagi banyak masalah akan timbul" balas Syauqi lambat-lambat.




Dia masih memikirkan kesan terhadap keluarganya jika Huda dibawa ke hospital. Sudah pasti pihak hospital akan mengorek segala rahsia terutamanya punca kesakitan Huda yang jelas kelihatan didepan mata mereka.




Hanya orang bodoh sahaja, tidak dapat meneka apa yang terjadi.




Bunyamin menepuk-nepuk bahu Syauqi. Dia tersenyum. 




"Kau jangan risau Qiey. Tahulah aku nak uruskan macam mana. Kau serahkan segalanya pada aku. Tapi yang penting, kau kena jaga Huda baik-baik lepas ni" pesan Bunyamin




Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Keselamatan Huda perlu diutamakan. Dia tidak mahu, Huda dikelilingi dengan manusia yang mahukan kematian dia.




Syauqi tersenyum. Bunyamin juga sama. Huda memandang kedua jejaka dihadapannya. Dia tertanya-tanya, siapakah lelaki itu?

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.