Home Novel Cinta Cinderella
Cinderella
ainRAZAK
28/12/2020 01:25:31
37,809
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

NERAKA DUNIA


"Baru balik Min?" tegur Puan Ruslina tatkala matanya menangkap wajah anak terunanya yang sedang beristirahat di kerusi malas. 


Kerusi malas jenis kayu rotan berwarna kuning keemasan yang sudah mencecah usia 10 tahun itu, berkeriut mengeluarkan bunyi, saat di hayun ke depan dan ke belakang. 


Mata yang terpejam tadi, tercelik semula dek mendengar teguran dari si ibu. Bunyamin kembali menegakkan badan. Dia menoleh kearah Puan Ruslina yang sedang berdiri tegak mengadapnya.


"Baru sampai je mak. Belum panas lagi bontot Min ni. Yang lain mana? Pantang Min tak ada dekat rumah, merayap saja kerja diorang" rungut Bunyamin.


Matanya meliar sekitar ruang tamu. Sejak dia melangkah masuk ke dalam rumah sebentar tadi, kelibat kakak dan juga adiknya langsung tidak kelihatan. 


"Kakak balik kerja lambat sikit, harini. Adik pula, keluar pergi rumah kawan dia dari petang tadi. Sekejab lagi, baliklah tu" jelas Puan Ruslina sebelum dia bergerak ke dapur.


Bunyamin kembali melelapkan mata sebaik sahaja ibunya menghilangkan diri. Kerusi malas rotan milik arwah abah, kembali digerakkan seperti tadi.


Fikirannya menerawang jauh teringatkan sesuatu. Sesuatu yang perlu dia lakukan demi membalas jasa baik seseorang. Matanya dicelikkan semula secara tiba-tiba. Lantas dia bangun dan berdiri dalam keadaan mengejut.


"Kenapa Min? Nak pergi mana pula ni? Baru je balik tadi, dah nak keluar?" soal Puan Ruslina yang baru sahaja keluar dari dapur sambil menatang segelas air. 


Dia meletakkan gelas berisi air oren, diatas meja kopi. Mata tidak lepas memandang anak bujangnya yang sedang berdiri. Kedua belah tangan Bunyamin disilang ke dada.


Entah apa pula yang di rangka dalam kepala otak anak bujangnya kali ini, Puan Ruslina tidak dapat meneka.


Jarang sekali mahu berada di rumah. Ada saja kerja yang menanti anaknya diluar sana. Kadang-kadang dia sendiri tertanya-tanya. Rumit sangatkah pekerjaan yang dilakukan oleh Bunyamin sehingga perlu menghabiskan sepanjang hari diluar?


Jika sekadar menguruskan kedai percetakkan baju milik Bunyamin sendiri, tidak mungkin perlu menghabiskan masa di sana sepanjang masa. Banyak sangatkah tempahan baju, sehingga memerlukan anaknya bekerja lebih masa?


Bila disoal, Bunyamin hanya mendiamkan diri. Dia tahu anak bujangnya itu, tidak mahu menyusahkan dia. Sejak dari kecil, Bunyamin sudah belajar untuk hidup berdikari.


Kerana tidak mahu Puan Ruslina merasa beban kehilangan suami sendiri, maka Bunyamin sedaya upaya berusaha ingin memberikan kehidupan yang selesa kepada mereka sekeluarga.


Bunyamin juga telah bertindak, menggalas tugas sebagai ketua keluarga menggantikan Puan Ruslina, semenjak arwah suaminya meninggal dunia dan dia pula telah disahkan mengidap kanser pangkal rahim. 


Segalanya dilakukan anak bujangnya sendiri. 


Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar masalah, sudah menjadi tanggungjawab Bunyamin sampai sekarang. Masa remaja anaknya itu juga, telah dikorbankan demi masa depan kakak dan keselesaan adiknya. 


"Min baru teringat mak, yang Min ada janji dengan kawan. Nak pergi naik atas, kemas-kemas barang dulu. Sebelum gerak ke sana" balas Bunyamin mendatar.


Dia memandang wajah redup Puan Ruslina.


"Kalau ye pun ada janji dengan kawan, minumlah air tu dulu. Duduk dulu Min, minum ... " pinta Puan Ruslina. 


Anak bujangnya akur tanpa membantah. Bunyamin kembali melabuhkan duduk ke sofa. Gelas air oren yang disediakan oleh ibunya dicapai lalu disisip perlahan-lahan. Seteguk demi seteguk diminumnya sehingga gelas tadi kembali kosong.

 

Dia meletakkan semula gelas keatas meja.


"Min pergi sana dalam 2 atau 3 hari je mak" jelas Bunyamin tanpa dipinta.


Puan Ruslina memandang anaknya dengan penuh tanda tanya. Dia hendak menyoal tapi risau akan dijawab dengan jawapan yang sama. 'Min ada urusan' itu saja jawapan anaknya.


"Tapi Min tunggu kakak dengan adik balik dulu. Takkan Min nak tinggalkan mak sorang-sorang kat rumah pula" sambung dia lagi.


"Min nak pergi mana sebenarnya sampai 2 3 hari? Taknak ceritakan pada mak dulu?" terkeluar juga soalan itu dari mulut Puan Ruslina. 


Lebih baik dia menyoal, dari menjadi tanda tanya dalam benaknya walaupun dia sudah pasti jawapan yang bakal dia dapat.


"Min ada urusan mak. Insya-Allah bila dah selesai, Min balik" ujar Bunyamin sopan.


Dia punya alasan untuk tidak menceritakan kepada sesiapa apa yang dia lakukan. Jika boleh, dia tidak mahu melibatkan keluarganya dalam hal ini. Biarlah menjadi rahsia sehingga terkuburnya diri dia.


Puan Ruslina menganggukkan kepala. Dia sudah dapat menjangkakan jawapan yang bakal diberikan oleh anak terunanya.


"Yang penting, jaga diri baik-baik. Jangan lupa solat' pesan Puan Ruslina lagi. 


Bunyamin mengiakan nasihat ibunya. Dia tersengeh.


"Assalamualaikum ... " suara orang memberi salam mematikan perbualan mereka. Dua pasang mata, terarah ke arah pintu rumah.


Terjengul wajah Baitul Jannati, kakak sulung Bunyamin merangkap saudara kembarnya, dimuka pintu. Wajah wanita itu sudah tersengeh-sengeh.


"Kau dah kenapa kak? Masuk dalam rumah je, terus tersenyum-senyum macam orang tak cukup akal. Kau kena sampuk eh?" soal Bunyamin tanpa berlapik.


Baitul menghalakan langkahnya ke ruang tamu. Dia meletak kotak yang berisi Dunkin Donuts diatas meja. Sapaan Bunyamin tidak dihiraukan. Hanya jelingan mata sahaja dihadiahkan buat adik kembarnya itu.


"Asyura mana mak? Tak balik lagi?" soal Baitul. Puan Ruslina menggeleng.


Baitul Jannati melabuhkan punggungnya di sofa bersebelahan Bunyamin.


"Mak jangan bagi muka sangat, dekat anak-anak perempuan mak niha. Nanti dorang pijak kepala mak" celah Bunyamin. Sengaja mahu menyakat kakaknya.


"Eleh, cakap orang. Dia tu pun sama. Keluar pagi, balik malam. Nak bertemu mukapun susah. Kalah VVIP tau" Baitul memulang paku buah keras. 


Dia mencebik kearah Bunyamin.


"Aku lainlah kak, kau dengan adik lain. Korang perempuan, kena jaga maruah sebagai seorang perempuan. Jangan sesuka hati keluar pagi, balik malam macam aku niha. Tak elok" 


"Dah tahu tak elok kenapa buat juga?" perli Baitul. Kedua keningnya dijungkit keatas.


Puan Ruslina menggelengkan kepala. Tidak habis-habis anak kembarnya ini mahu bergaduh. Kata orang, anak kembar sentiasa memahami antara satu sama lain, tapi berbeza pula dengan anak-anaknya. Pantang berjumpa, pasti hendak berbalah.


"Sudah-sudahlah tu bergaduh. Min nak gerak pukul berapa ni? Nanti dah lewat, bahaya drive sorang-sorang" celah Puan Ruslina. Sengaja mahu menghentikan perbalahan kecil anak-anaknya.


"Tunggu adik balik dululah mak" jawab Bunyamin.


"Yang kau nak pergi mana pula?" soal Baitul hairan. Ada saja destinasi rahsia yang mahu dikunjungi oleh satu-satunya adik lelaki dia.


"Rahsia ... " jawab Bunyamin. Jari telunjuk diletakkan dibibirnya yang sudah tersengeh.


"Hmm ... dah tahu dah jawapan tu. Tak habis-habis mahu berahsia" Baitul menjeling adiknya.


"Dah tahu, kenapa tanya?"


"Suka hatilah" 


"Dahlah kak, dari aku melayan kau, lebih baik aku naik atas, packing barang yang aku nak bawa pergi sana" balas Bunyamin lalu bangkit dari duduknya. 


Dia pantas membaling bantal kecil disebelahnya kearah Baitul Jannati sebelum berlari naik ke atas. Betul-betul mengenai muka wanita itu. Dia sudah tersengeh-sengeh. 


"Bunyaminnnn ... " jerit Baitul lantang. Adik lelakinya itu sudah hilang dari pandangan.


••••


"Hoi! Bangun! Maghrib-maghribpun kerja kau asyik buat taik mata je!" jerkah satu suara dari luar, mengejutkan Huda yang baru sahaja selesai menunaikan solat isyak.


Huh! Dia mendengus kasar. Dadanya diusap perlahan dengan telapak tangan kanan.


"Sabar Huda, sabar" desis hati kecilnya.


Huda Quah membuka dan melipat telekungnya lalu disangkut pada rak telekung yang berada dihujung sudut bilik. Tangan mencapai sehelai tudung segera, lalu di sarung ke kepala. 


Langkah kaki dibawa kearah pintu.


Klak!


Tombol pintu dipulas. Belumpun sempat tangannya membuka pintu, daun pintu biliknya sudah ditolak dengan kasar dari arah luar.

 

Tersembul wajah bengis Suhana, kakak tiri yang berusia 2 tahun lebih tua daripadanya.


"Kau pekak ke? Kau tak dengar aku ketuk pintu banyak kali?!" sembur Suhana tanpa bertangguh. Matanya terjengil memandang Huda.


"Aku solat tadi kak. Aku minta maaf" ujar Huda. Dia bukan sengaja mahu melambatkan sahutan panggilan Suhana. 


"Kau tak payah nak menipu Huda. Aku tahu kau memang sengajakan? Kau sengaja buat-buat pekak sebab kau malas nak layan aku. Betulkan?!" soal Suhana kasar. Dia memandang Huda dari atas ke bawah.


"Buat apa aku nak tipu kau, kak? Bukan aku dapat pahala pun dengan menipu" balas Huda bersahaja.  Kalau ikutkan hati, dia memang malas mahu bertikam lidah dengan Suhana. Buang masa dan tenaga sahaja.


"Kau nak apa ni, panggil-panggil aku?" soal Huda. Intonasi suaranya dilembutkan. 


"Kau keluar masak sekarang! Aku lapar!" ujar Suhana sambil memeluk tubuhnya yang hanya dibaluti gaun tidur.


Huda mengangkat kening.


"Lapar? Asal kau tak masak sendiri? Cakap pandai masak. Ni, tetiba suruh aku masak, apa kes?" perli Huda.


"Ewah-ewah, kau cakap baik sikit Huda. Aku panggil mak karang, kau dapat masalah kot" ugut Suhana.


Huda mengangkat bahu. Langsung tidak takut dengan ugutan Suhana. Namun dia sedikit cuak, risau juga jika Puan Syuhada muncul.


"Mak, ooo mak. Tengok sini. Huda taknak masak. Ana dah lapar ni!" jerit Suhana lantang. Urat lehernya kelihatan jelas.


"Makkk .... " sekali lagi dia menjerit.


"Apa ni Ana, kecoh-kecoh?" tegur Encik Bakri sebaik sahaja mereka menjengah ke dapur. Atau lebih tepat lagi, di depan pintu bilik Huda.


"Kenapa Ana? Terjerit macam orang tak betul ja?" soal Puan Syuhada nyaring.


"Huda mak. Dia taknak masak" adu Suhana lagi.


Serta merta pandangan Puan Syuhada beralih kepada wajah Huda Quah. Riak bengis terpancar diwajah wanita tua itu.


"Kau dah kenapa? Tak habis-habis nak menyusahkan aku. Kau tak faham ke, apa yang anak aku suruh kau buat?" tengking Puan Syuhada lantang.


"Bukan Huda taknak buat makcik, Huda baru selesai solat isyak. Kak Ana dah ketuk-ketuk pintu memanggil" perlahan Huda bersuara. Dia tertunduk.


Gerun mahu bertentang mata dengan wajah bengis ibu tirinya. 


"Kau ni .... macam-macam alasan kau bagi ya. Kan aku dah cakap, sebelum kau nak solat ke, mengaji ke, mandi ke, kau utamakan dulu kerja-kerja dalam rumah ni. Bukan utamakan dulu hal kau!" jerkah Puan Syuhada lagi.


Tangan wanita bertubuh gempal itu, mencengkam kejap kepala Huda yang dibaluti tudung. Diheretnya terus ke ruang dapur.


"Aduh, aduh, sakit makcik" adu Huda. Dia tidak mampu menepis. Cengkaman Puan Syuhada terlalu kuat dirasakan.


"Kau faham tak, apa yang aku cakap?!" Puan Syuhada mencapai sebatang paip pvc dari atas kabinet dapurnya.


"Faham, faham makcik. Huda faham" 


"Kau dengar sini Huda ... " Puan Syuhada mencengkam kedua belah pipi Huda pula dengan tangan kanannya.


Dia memaksa anak tiri suaminya memandang dia.


"Lepas mak kau mati, kena ambil alih tugas sebagai orang gaji aku dalam rumah ni. Kau kena kemas rumah, kau kena basuh baju, kau juga kena memasak. Kau faham tak? Kau kena MEMASAK?" tengking wajah bengis itu lagi. Tersembur air liur wanita tua itu mengenai wajah Huda.


Huda memejamkan mata sejenak sebelum membuka semula. Perit dirasakan pipinya yang dicengkam kuat. Mata sudahpun berair menahan pedih yang makin terasa.


Suhana yang menjadi pemerhati, ketawa sinis. Hatinya seronok bila melihat gadis itu diseksa oleh Puan Syuhada. Padan muka. Puas hati dia melihat wajah cantik itu semakin merah.


Semua orang, baik lelaki mahupun  perempuan, memuji kecantikan Huda Quah, gadis kacukan Cina dan melayu itu. Dia cemburu apabila nama Huda meniti bibir setiap jejaka di dalam kampung mereka. 


Bukan itu saja, Huda juga turut dijadikan sebagai role model kepada setiap remaja, kerana gadis itu berjiwa lembut dan sopan. Sampaikan kekasih hati Suhana sendiri memasang angan-angan mahu bertemu, bertentang mata dengan Huda.


Rasa cemburu Suhana semakin hari semakin memuncak bilamana, kekasih hati seringkali berkunjung ke rumah, semata-mata mahu melihat raut wajah Huda yang cantik itu


Kerana itu dia menyimpan dendam yang mendalam pada gadis yang bernama Huda Quah.


"Sakit makcik ... sakit ... " rintihan Huda mematikan lamunan Suhana. Dia kembali menghadiahkan senyuman sinis.


"Padan muka kau!" bisik Suhana perlahan.


Ditangan Puan Syuhada sudah tergenggam sebatang paip pvc berwarna biru. Dihayun tanpa belas, ke belakang gadis itu dengan kuat.


Pap!


Pap!


Pap!


Bunyian itu menggambarkan betapa kuatnya hayunan Puan Syuhada pada tubuh kecil Huda. Langsung tiada riak bersalah mahupun kasihan yang dipamerkan oleh Puan Syuhada malah dia semakin galak memukul.


Encik Bakri yang memandang juga, tidak dapat berbuat apa-apa. Tangisan gadis itu seakan mengundang keseronokan pada dia. Tanpa sedar, senyuman sinis terukir dihujung bibir hitam Encik Bakri.


"Kau nak masak lagi tak lepas ni? Kau nak dengar arahan aku tak? Kau faham tak?" soal Puan Syuhada lantang sambil tangannya masih memukul badan Huda.


Raungan Huda langsung tidak mengundang simpati dia. Tubuh itu hampir terkulai layu.


"Makcik, Huda janji, Huda buat. Huda janji" teresak-esak, Huda bersuara. Badannya sakit sepertimana hatinya kala ini.


Dalam hati dia beristighfar berkali-kali. Moga Allah kuatkan hati dan kudratnya menahan segala dugaan ini. 


Belum cukup dihentam dengan batang paip, kepala Huda pula direntap kasar sehingga terkeluar tudungnya. Pipi ditampar sehingga terbekas kesan lebam.


"Ya Allah mak .... apa mak dah buat ni?" lantang Syauqi menjerit. Dia yang baru turun dari kereta, tergopoh gapah masuk ke dalam rumah, saat mendengar kecoh dari luar. 


Wajah Huda dipandang sekilas. Tubuh gadis itu hampir rebah.


Patutlah dia rasa seperti mahu pulang cepat selepas menanti sahabatnya datang tadi. Rupa-rupanya Allah mahu menunjukkan sesuatu pada dia.


"Astaghfirullah hala'zim .... " Syauqi beristighfar panjang.


Wajah kedua ibubapanya dipandang dengan rasa marah. Mata beralih pada adiknya pula, Suhana. Dia mengetap bibir. Sudah hilang kewarasankah keluarganya dengan menyiksa Huda begini?


Puan Syuhada kembali berdiri. Dia mengelap peluh didahi. Matanya dihala pada anak lelaki tunggalnya.


"Syauqi jangan masuk campur" ujar Puan Syuhada termengah-mengah. 


"Mana boleh mak, kalau buat report dekat balai ni, satu keluarga kena penjara" Syauqi sengaja menakutkan ibunya.


Huda mencapai tudung, lalu di pakai ke kepala. Dia malu pada Syauqi yang sudah nampak auratnya yang terdedah secara tidak sengaja.


"Mak ... " Puan Syuhada berjeda. Air liurnya terasa kelat.


"Kenapa mak buat macam ni?" rintih Syauqi. Dia menatap wajah Huda terdapat kesan lebam. Gadis itu menunduk. Simpatinya jatuh disitu.


Huda menggagahkan dirinya untuk bangun. Dia harus keluar dari situ. Badannya dibawa berdiri. Badan terasa melayang. Tenaga pula semakin berkurangan. Tapi dia perlu kuat. 


Dia berjalan melintasi Syauqi. Dan bahunya bersentuhan dengan seorang jejaka yang sedang memandangnya dengan pandangan mata yang tajam menikam.


Dia pantas melarikan anak mata lalu keluar dari rumah itu dalam keadaan gelap gelita. Langkah kakinya hanya dibawa tanpa arah tuju. Air mata berjuraian mengalir ke pipi tanpa diseka.


Rasa sakit dihati, lebih kuat berbanding rasa sakit yang menjalar disetiap ruang tubuhnya. Huda merintih dalam hiba yang menghimpit. Hanya nama Allah bermain dibibirnya kala ini.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.