Home Novel Cinta Cinderella
Cinderella
ainRAZAK
28/12/2020 01:25:31
37,811
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

"Aku terima nikahnya Huda Quah binti Joseph Quah dengan mas kahwin seratus ringgit tunai ..." lafaz yang terpacul dari bibir Bunyamin akhirnya menyimpul tali perhubungan antara mereka berdua.



Huda terpaksa akur. 



Mutiara jernih sudah bergenang ditubir mata. Tunggu masanya saja empangan itu pecah. Dia cuba memandang sekitar masjid yang sunyi sepi. Hanya beberapa orang sahaja ada bersama mereka.



Usai solat subuh tadi, mereka telah diakadkan oleh imam masjid itu sendiri. Dengan mengenakan telekung masjid, Huda sah bergelar isteri kepada lelaki yang dia langsung tidak kenali. Hatta sebaris nama.



Bunyamin mendekati dia. Tangan dihulurkan untuk bersalaman. Dia hanya menurut. Saat wajahnya didongak, satu ciuman singgah ke dahi Huda.



Huda tergamam.



Apakah itu suaminya? Seorang lelaki yang dia anggap keras dan tidak berperasaan? Hanya satu semalam sahaja semuanya telah berubah dalam sekelip mata. 



"Insya-Allah. Sebelum tengah hari nanti saya akan datang ke pejabat agama untuk uruskan prosedur yang seterusnya" ujar Bunyamin ketika mereka sudah berada di pekarangan masjid.



"Ya, Encik Bunyamin boleh dapatkan sekali surat nikah disana nanti" ujar pegawai tadi.



"Insya-Allah Encik. Dan terima kasih banyak-banyak kerana membantu" ujar Bunyamin sekali lagi.



Dia sudah menerangkan segalanya yang berkaitan dengan Huda pada pegawai tadi tanpa pengetahuan gadis itu  Biarlah asbab pernikahan mereka ini menjadi rahsia diri dia seorang sahaja tanpa melibatkan Huda 



Segala masalah dan ujian yang bakal mendatang, akan dia tempuh dengan kuat. Huda perlu dilindunginya. Itu janji Bunyamin.



Dia berjabat tangan dengan pegawai agama yang menguruskan kes mereka tadi. Semuanya memandangnya sambil terangguk-angguk. Senyuman ikhlas dihulurkan tanpa ada secalit rasa marah yang terhimpun.



Segalanya sudah berlaku, Huda dan dia perlu reda atas ketentuan ini.



"Saya minta maaf. Kami terpaksa gerak dulu" pinta Bunyamin sebelum mereka sama-sama masuk ke dalam kereta.



Bunyamin menarik nafas sebelum memulakan perjalanan mereka. Ini kali kedua baginya berdua-duan dengan Huda. Dan juga kali pertama setelah gadis itu sah bergelar isterinya. 



"Hari dah semakin cerah. Kita makan dulu, lepas tu aku hantar kau ke motel semula. Kau rehatlah disitu. Aku perlu jumpa dengan Syauqi sebelum ke pejabat agama semula. Pukul 11.00 pagi kau dah kena siap-siap untuk ke pejabat agama. Nanti aku belikan baju yang baru untuk kau" ujar Bunyamin saat keretanya meluncur laju ke jalan raya.



Dia sudah mengaturkan segalanya. Walaupun ini pertama kali bagi Bunyamin, dia perlu cepat menyesuaikan diri. 



Huda mengeluh.



Sebaris nama yang meniti bibir Bunyamin, buat Huda meruntun pilu. Syauqi, apakah reaksi lelaki itu selepas mengetahui bahawa dia sudah bernikah dengan rakannya sendiri.



Adakah Syauqi dapat menerima berita itu? Dan adakah Syauqi akan bertindak berterus terang pada dia tentang perasaan lelaki itu? Apakah yang Huda harapkan dari pengakuan itu?



'Ya Allah' Huda merintih.



Masih terngiang-ngiang ditelinganya saat mendengar pengakuan yang dibuat oleh Bakri sewaktu dia hampir dirogol lelaki itu. Bakri ada menyebut yang Syauqi juga menyimpan rasa cinta pada dia.



Adakah benar yang dikatakan oleh jantan tak guna itu? Atau sekadar mainan kata-kata sahaja akibat dibawah pengaruh alkohol? Atau adakah sekadar mahu menguji rasa. Jika benarlah bagai dikata, Huda sangat terharu.



Patutlah Syauqi sanggup membantu dia. Syauqi rela memenjarakan Puan Syuhada semata-mata demi keselamatan dia. Dan tindakan Syauqi selama ini yang mempertahankan dia, rupanya atas dasar kasih lelaki itu pada dia.



Tetapi, mereka tidak mungkin bersama kerana dia sudah menjadi hak milik lelaki lain. Rasa hanya tinggal rasa sahaja. Dan dia perlu hadirkan rasa itu pada suaminya sendiri. 



Tegarkah dia?



"Siapa nama kau?" terpacul soalan itu akhirnya dari mulut Huda.



Bunyamin memandang isterinya.



"Maksud kau?" 



"Maksud aku, nama kau. Asal kau. Kerja kau. Dan kenapa kau selamatkan aku. Kenapa kau nikah dengan aku?" bertubi-tubi soalan yang terkeluar dari mulut mungil Huda. 



"Aku hanya kenal kau sebagai sahabat Syauqi tapi aku tak kenal kau sebagai diri kau. Siapa kau sebenarnya Min?" Huda menoleh kearah Bunyamin.



Mata lelaki itu masih fokus pada pemanduannya di jalan raya.



Huda dapat melihat wajah suaminya dengan jelas. Wajah Bunyamin yang keputihan, wajah yang sudah berjaya menarik minatnya sejak dari mula mereka bertemu.



Namun, wajah bengis tanpa riak yang ditunjukkan oleh Bunyamin pada dia dari awal pertemuan mereka, buat dia rasa gerun. Adakah diri Bunyamin sekeras penampilannya?



Bunyamin memberhentikan keretanya disebuah gerai roti canai ditepi jalan. Dia hanya membiarkan soalan Huda tanpa jawapan. 



Bukan niatnya mahu mengabaikan soalan itu, tapi belum masanya lagi untuk dia perkenalkan diri. Lambat laun, Huda akan tahu juga akhirnya. Takkan lari gunung dikejar.



"Keluar!" arah Bunyamin.



Huda pantas menggelengkan kepala.



"Taknak. Sakit kaki. Sakit badan. Dan ini ... " Huda menunjuk wajahnya yang masih terdapat sisa lebam.



"Lebam sana sini. Aku malu nak keluar. Malu nak berdepan dengan orang. Aku segan" sambung Huda.



Bunyamin memandang isterinya. Dia nampak kesan yang jelas di wajah Huda. Bukan dia tidak perasankan hal itu. Tanpa berfikir panjang, Bunyamin mencari sesuatu di dalam dashboard. Jemarinya menarik keluar.



"Nah! Kau pakai ni. Orang takkan perasan kalau kau pakai mask ni" ujar Bunyamin. Dia menghulurkan sehelai pelitup muka kepada Huda.



"Taknak!" pantas Huda menolak.



Dia menjenguk kearah gerai roti canai. Ramai manusia yang sedang berpusu-pusu keluar dan masuk untuk bersarapan. Dia malu untuk berdepan dengan orang ramai.  



Apa orang akan pandang jika melihat pada penampilan dia? Apa yang akan orang sangka? Pasti orang akan menghukum dia melalui penampilan. 



Huh! Manusia! Begitulah lumrah hidup manusia. Tahu menghukum tanpa usul periksa! Suka memandang serong pada sesiapa sahaja. Kalau ada yang baikpun, hanya satu dalam sejuta.



Pemberian Bunyamin dibiarkan tanpa sambutan. Dari ekor matanya, dia perasan lelaki itu meletak semula pelitup muka ke dalam dashboard. 



"Kalau kau taknak turun, sudah! Aku turun dulu" tanpa menanti jawapan Huda, Bunyamin terus keluar dari keretanya.



Dia berjalan menuju kearah meja-meja yang tersusun di pinggir jalan. Salah satu meja yang masih belum dibersihkan menjadi pilihan dia. Dia menolak gelas yang masih bersisa ke tengah sedikit.



Sementara menanti pelayan yang datang mengambil order, Bunyamin duduk sambil memeluk tubuh. Matanya masih terarah pada keretanya yang dipakir tidak jauh dari situ.



Cermin gelap keretanya tidak dapat menampakan susuk tubuh dan wajah gadis itu. Tapi dia seperti dapat merasakan yang gadis itu juga sedang memandang kearahnya ketika ini.



'Huda, Huda. Keras juga hati kau ya' desis hati Bunyamin tanpa sedar.



"Maaf Min, banyak customer harini. Kau nak makan apa ni? Kau dah order?" sapa seseorang mematikan khayalan Bunyamin. Dia segera menoleh.



Kelihatan seorang pemuda yang berbaju belang, biru putih berdiri dihadapan dia sambil memegang pen dan buku kecil ditangan.



"Belum" balas Bunyamin perlahan. Dia memandang pemuda itu.



"Eh, kau orderlah. Harini kau makan free, aku belanja" ujar pemuda tadi sambil tersengeh.



Bunyamin mengukir senyuman.



"Memandangkan kau kata kau nak belanja aku, aku nak order banyak-banyak. Kau bagi aku roti canai banjir, dua keping. Teh tarik kurang manis, segelas. Lepastu nanti kau tolong bungkuskan roti bom, 2 keping dan neslo ais sebungkus. Ikat semua tau" pesan Bunyamin.



Lelaki tadi terangguk-angguk sambil mencatat sesuatu di kertas.



"Kong! Mai sini angkat pinggan dengan gelas kotoq niha! Bos mai woiii" laung pemuda tadi sebaik sahaja selesai mencatat pesanan.



"Woi! Agak-agaklah nak jerit. Bingit tau telinga aku!" tengking Bunyamin. Dia menarik lengan pemuda tadi.



"Haha ... sorrylah Min. Aku memang excited sikit bila dapat jumpa kau. Dah lama kau tak datang sini. Itu yang macam gembira semacam ni" 



Bunyamin tersengih. Bukan dia langsung tidak berkunjung ke sini. Dia cuma menjadi pemerhati dari jauh sahaja. Dia mahu kehidupan sahabat-sahabatnya tenang tanpa sebarang gangguan.



Dia juga gembira melihat perubahan mereka dari hari ke sehari. Kehidupan normal begini lebih sesuai untuk mereka dari terlibat dalam kancah jenayah.



•••••



Huda memerhati suaminya dari dalam kereta. Lelaki itu tampak mesra dengan pemilik gerai roti canai. Sakan bergelak dan bertepuk tampar. Jauh benar personaliti lelaki itu bila berdepan dengan dia.



Dalam diam Huda gembira melihat senyuman itu. Sekurang-kurangnya senyuman Bunyamin, dapat mengubati jiwanya yang sakit setelah sekian lama. 



Berada dekat dengan lelaki itu, walaupun hanya satu malam, buat dia rasa selamat. Hampir sepanjang hidup Huda, bagai lari dari bayang-bayang sendiri.



Luaran nampak kuat, tapi dalaman dia? Ketakutan. Kegelisahan sentiasa. Berterusan sehingga ibunya pergi meninggalkan dia seorang diri menghadapi kehidupan yang dikelilingi manusia yang tidak berguna!



Puan Syuhada, ayah tirinya, Bakri, semuanya syaitan yang bertopengkan manusia. Belum ditambah lagi dengan kakak-kakak tirinya yang lain. Hidupnya hampir musnah angkara keluarga durjana itu.



"Hoi! Kau berangan apa lagi?' sergah Bunyamin sebaik sahaja pintu kereta dibuka. 



Dia menayang sebungkus plastik yang mengandungi makanan kearah Huda. Gadis itu tersentak.



"Tunggu apa lagi? Ambikllah! Takkan nak suruh aku suap kau kot" ucap Bunyamin kasar.



Huh! Huda mencebik. Dia pun tak ingin disuap lelaki itu. Dia merampas kasar pemberian Bunyamin. Serta merta pintu kereta di tutup kuat.  Terjungkit bahunya akibat terkejut.



"Dengan orang lain bukan main lagi. Bergelak sakan. Tapi dengan aku? Suara dah macam puting beliung. Kasar! Bengis!" omel Huda. 



Mulutnya terkumat-kamit membebel. Entah macam manalah dia mahu teruskan hidupnya dengan Bunyamin nanti. Apakah nasib perkahwinan paksa mereka? 



Huda mengeluh lagi. Menangisi nasibnya yang tidak juga berubah.







Bersambung....


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.