Home Novel Cinta Cinderella
Cinderella
ainRAZAK
28/12/2020 01:25:31
37,809
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Huda menggelisah di dalam bilik. Tidurnya tidak lena. Badan dikalih ke kiri dan kanan, cuba mencari keselesaan. Perlahan sahaja gerakannya agar tidak mengejutkan Asyura yang sudah nyenyak diulit mimpi disebelahnya.


Dia cuba melelapkan mata. Tetapi tidak juga menunjukkan tanda-tanda mahu lena. Rasa tidak selesa semakin lama semakin terasa. Akhirnya dia bangun dan duduk dibirai katil sambil memikirkan sesuatu. Huda mengagau hujung kepala dengan menggunakan tangan kanannya.


Telefon bimbit yang diletakan dibawah bantal sebentar tadi dikeluarkan penuh hati-hati. Butang unlock diseret ke tepi. Bersebaran cahaya telefon dalam segenap ruang bilik. Cepat-cepat dia menukar mod telefon kepada night mode agar tidak kelihatan terang. 


Risau seandainya menganggu tidur adik suaminya.


"Kenapa Huda? Awak sakit ke? Tak selesa?" soal Asyura tiba-tiba. 


Huda pantas menoleh saat mendengar suara Asyura. Matanya dibulatkan. Gadis itu sudah terjaga. Mungkin tidur Asyura terganggu dek cahaya lampu yang terhasil dari telefon bimbit kepunyaan Huda. Gadis itu sedang memisat-misat matanya.


"Maaf Syura, Huda buat awak terjaga ke?" soal Huda kembali. Asyura pantas menggelengkan kepala.


Dia turut bangun dan duduk bertentangan dengan sahabat abangnya.


"Awak tak boleh tidur ke? Sakit?" Asyura mengulang soal. Huda dilihatnya seperti tidak selesa.


Sakitkah gadis itu sehingga tidurnya seakan terganggu. Bukan Asyura tidak perasan kesan lebam yang terdapat pada wajah Huda. Tapi dia sedaya upaya tidak mahu menyoal. Dia tidak mahu dicop sebagai penyibuk. Nanti apa kata Bunyamin pula jika dia banyak soal.


"Err ... taklah. Tak sakit. Cuma Huda tak boleh tidur je. Mungkin dekat tempat baru" dalih Huda. Sedangkan badannya dari tadi lagi terasa sakit dan sengal-sengal. 


Dia terlupa mahu menelan ubat yang dibelikan oleh Bunyamin. Letih sungguh badannya sehingga dia terlelap selepas solat isyak tadi. Langsung tidak terjaga.


Takkanlah dia mahu beritahu Asyura yang dia tengah menahan sakit sekarang. Mahunya disoal bertubi-tubi oleh gadis itu. Takut nanti terbongkar pula semua rahsia.


"Hmmm ... Huda rasa dahaga. Nak turun minum air. Syura nak temankan Huda tak?" 


Asyura menggelengkan kepala.


"Taknaklah awak. Awak pergilah turun. Buat macam rumah sendiri. Syura nak sambung tidur. Mengantuk sangatlah" balas Asyura sambil tersengih. Dia terus baring dan pejamkan mata semula.


Huda tersenyum. Nampaknya dia terpaksa turun ke dapur sendirian. Dia bingkas bangun dari birai katil menuju di pintu. Daun pintu dikuak perlahan-lahan agar tidak mengejutkan gadis itu yang sudah melelapkan mata semula.


Langkah kaki di atur menuruni anak tangga perlahan-lahan. Tinggal anak tangga yang terakhir, telinga Huda menangkap bunyi sesuatu yang datang dari arah dapur.


Serta merta jantungnya terasa bagaikan mahu luruh. Rasa takutnya tiba-tiba menjalar. Dia kembali teringatkan peristiwa yang dia hampir dirogol oleh Bakri. Tangannya menggeletar. Lututnya terasa lemah untuk meneruskan langkah.


Huda terduduk disitu. Kepala lutut dirapatkan. Dia memeluk kedua-dua lututnya sambil menunduk. Rasa sakit serta merta mencengkam dada. Terasa pedih yang teramat. 


Dia trauma. Air jernih sudah mula bergenang ditubir mata. Tunggu saat sahaja mahu mengalir membasahi pipinya yang masih punya kesan merah.


"Kau okey ke tak?" sergah satu suara.


Bahu Huda terangkat sikit kerana terkejut. Dia pantas mendongak. Kelihatan bayang-bayang sebatang tubuh lelaki sedang berdiri menghala ke arahnya. Pandangannya terasa kabur.


Wajah lelaki itu terlindung dek cahaya lampu dapur yang terang benderang. Huda mengecilkan matanya. Cuba mengenalpasti pemilik suara yang menegurnya tadi.


"Kau okey ke tak ni? Kenapa duduk dekat sini? Dah takda tempat lain ke kau nak duduk bersantai?" soal Bunyamin sekali lagi. 


Soalannya dibiarkan sepi oleh gadis itu.


Dia memandang isterinya dengan rasa hairan. Gadis itu kelihatan seperti sedang menahan rasa sakit. Mungkin kesan pukulan dari Puan Syuhada kelmarin masih lagi terasa, fikir Bunyamin.


Bunyamin mendekati Huda. Dia cuba menyentuh bahu gadis itu. Pantas saja tangannya ditepis kasar.


"Kau dah kenapa?" soal Bunyamin. Terperanjat dengan tindakan reflaks Huda.


Keningnya bertaut. Mata pula memerhati gerak geri gadis dihadapannya. Gadis itu kelihatan seperti takut-takut.


"Sor ... sorry ... Aku ... aku ... okey je. Tak yah pegang-pegang" ujar Huda tergagap-gagap.


Dia sendiri tidak menyangka dia boleh bertindak begitu. Dia jadi trauma dengan sentuhan lelaki. Masih terbayang-bayang lagi sentuhan jijik Bakri yang melekat pada tubuhnya. 


Dia benci lelaki yang selama ini dia anggap seperti ayah kandung sendiri, cuba menyentuhnya. Sanggup jantan itu memperlakukan dia seperti itu. Gelap dirasakan dunianya andai dia benar-benar telah diperkosa.


"Jom!" tanpa mempedulikan kata-kata Huda, Bunyamin terus mencapai tangan gadis itu. Lalu dia mengheret isterinya ke dapur. 


Huda terpinga-pinga. Dibiarkan saja Bunyamin menarik tangannya tanpa membantah.


"Duduk!" arah Bunyamin. Suaranya dinaikan sedikit. Kedengaran tegas dipendengaran. Pegangan tangannya cepat-cepat  dilepaskan.


Huda hanya menurut. Dia duduk dikerusi seperti yang diarahkan Bunyamin. Jari jemari dibawa mengusap-usap tangan yang disentuh oleh lelaki itu sebentar tadi.


Sungguh, tindakan spontan Bunyamin buat dia tersentak. Lembut sentuhan masih terasa panas dikulit. Pandangan mata dijatuhkan kearah suaminya yang hanya berkain pelikat dan bertshirt putih. 


Lelaki itu sedang mengeluarkan sebiji mug. Entah apa yang dilakukan oleh Bunyamin, dia sendiri tidak tahu. Lelaki itu sedang membelakanginya. Sehinggalah haruman nescaffe menerjah deria bau.


Serta merta dia mengukir senyuman. Hilang sebentar rasa traumanya tadi berganti dengan haruman nescaffe yang menjadi kegilaan dia selama ini. Nescaffe sememangnya dapat menenangkan jiwa dia.


Lelaki itu sedang bancuh air untuk dia ke? Dia tertanya-tanya sendiri. Haruman minuman kegemaran itu buat dia lupa segala masalah. Macam mana Bunyamin tahu dia sukakan nescaffe? Hari itu suaminya belikan dia neslo ais. Sekarang ini pula nescaffe panas. Apa yang sedang difikirkan oleh Bunyamin?


"Nah, minum ni" Bunyamin menghulurkan mug bergambar kartun spongebob kearah Huda.


Huda kembali tersedar. Cepat-cepat dia mencapai mug dengan kedua belah tangan.


"Auch!" jerit Huda terkejut. 


Tangannya ditarik semula. Dia memegang kedua belah cuping telinga. Panas mug yang berisi nescaffe panas terasa pedih. Macam mana dia boleh gelojoh sangat. Huh!


"Panaskan? Aku baru bancuh kot! Lain kali hati-hati!" 


Bunyamin mencapai tangan isterinya lalu menggosok-gosok perlahan telapak tangan itu. Cuba menghilangkan rasa sakit pada tangan Huda dengan cara begitu.


Sentuhan Bunyamin menghantar gentar rasa yang berlainan dalam dirinya. Dia berasa seolah-olah tenang dan senang diperlakukan begitu. Rasa sakitnya serta merta diangkat pergi.


Huda memandang suaminya yang sedang membongkok penuh kusyuk. Dia mengamati raut wajah lelaki itu. Rambut panjang Bunyamin nampak terikat kemas. Tiba-tiba dia perasankan sesuatu. 


"Kenapa dengan ... "


"Kau ada makan ubat tak malam ni?" celah Bunyamin rakus, cuba memotong percakapannya. Huda termati kata.


Bunyamin mendongak. Sentuhan tangannya dilepaskan. Anak mata mereka saling bertaut. 


"Kau dengar tak aku soal? Atau kau dah jadi bisu?" 


Pantas Huda menggeleng. Persoalannya hanya berlegar-legar di dalam kepala. Tidak terluah dengan kata-kata. Biarlah, suatu hari nanti, pasti dia akan tahu juga akhirnya.


"Aku lupa" pendek saja jawapannya. Mata dilarikan terlebih dahulu dari melawan pandangan mata helang Bunyamin.


"Lupa, lupa! Dah rasa kebal sangat ke diri tu sampai terlupa nak makan ubat? Kalau kau sakit macam mana? Naya tau. Apa aku nak jawab dengan ba ..." 


"Ba ... ba apa?" soal Huda hairan.


"Ba ... ba ... ba ... " Bunyamin mengaru kepala. Dia sedar dia hampir terlepas cakap.


"Eh! bukan ba lah. Maksud aku abang. Abang Syauqi. Apa aku nak cakap dengan Syauqi? Aku dah diamanahkan untuk jaga kau" dalih Bunyamin.


Huda mencebik. Bila masa pula dia memanggil Syauqi dengan panggilan abang?  Dia tahu lelaki itu cuba mengelak. Pasti ada sesuatu yang mungkin disimpan kemas oleh Bunyamin tanpa pengetahuan dia.


Bunyamin menarik kerusi lalu duduk disebelah isterinya. Mug yang berisi nescaffe panas tadi tarik mendekati dia. Perlahan-lahan dia meniup air tersebut. Cuba mengurangkan rasa panas.


Huda hanya memandang perlakuan Bunyamin. Dia rasa terharu. Seumur hidupnya, ini kali pertama dia dilayan begini oleh seorang lelaki. 


Digosok telapak tangan saat rasa sakit, ditiup air panas oleh seseorang untuk diminum. Bahagianya dia rasa. Dadanya rasa berdebar. Tangan diangkat lalu diletakan didada.


"Kau sakit lagi ke?" soal Bunyamin tiba-tiba. Dia perasan Huda memegang dada sendiri.


"Tak ... tak ... " nafi Huda.


Bunyamin memegang mug tadi lalu dihulurkan pada Huda. Huda pantas menyambutnya.


"Dah sejuk. Kau dah boleh minum. Lepas tu naik atas, tidur. Sebelum tidur, telan ubat dulu. Aku taknak isteri aku sakit" ujar Bunyamin kasar.


Dia memandang Huda yang sedang menyisip minuman. Nampak membahang wajah gadis itu. Mungkin air tadi masih lagi terasa panas sedikit. Wajah Huda dibelek dalam diam, baru dia perasan, gadis itu tidak bertudung.


Kepalanya tergeleng-geleng.


"Lain kali kalau kau nak turun bawah, kau nak gerak mana-mana dalam rumah ni, kau kena pakai tudung. Jangan buat macam dalam bilik kau. Kau kena ingat, dalam rumah ni ada lelaki" ujar Bunyamin perlahan. Tapi kedengaran tegas.


Huda mendongak.


"Lelaki?" soalnya hairan. Setahunya lelaki dalam rumah ni, Bunyamin seorang sahaja.


"Habis? Aku perempuan ke? Bukan lelaki?" 


Huda tersengih. Kata-kata Bunyamin kedengaran lucu.


"Tapi kau kan suami aku" balas Huda dalam senyum masih yang tersisa.


"Habis, dalam rumah ni tahu ke aku ni suami kau?" soal Bunyamin sekali lagi.


"Tak!" Cepat-cepat Huda menidakkan.


"Hah! Tahu pun! Kalau kau taknak orang dalam rumah ni syak bukan-bukan, lebih baik kau bertudung. Lebih selamat menutup aurat. Faham?"


Huda menunduk. Dia menganggukan kepala. Dia faham apa yang diperkatakan Bunyamin.


"Angguk, angguk! Dah macam burung belatuk!" ujar Bunyamin. Dia menjentik dahi Huda. 


"Adoi!" terjerit Huda menahan pedih.


"Eh, sakit sangat ke?" spontan Bunyamin menggosok dahi isterinya dengan ibu jari. Mulutnya meniup-niup tempat yang sakit.


Huda sekali lagi terpana dengan tindakan suaminya. Satu perasaan halus menjalar perlahan-lahan dalam hatinya. Dia rasa bahagia. 


Perbuatan Bunyamin terhenti. Mata saling bertentangan. Masing-masing terkaku seketika. Hanya pandangan sahaja berbicara dalam diam.


"Huh! Cepat habiskan minuman. Lepas tu naik!" arah Bunyamin tiba-tiba. Dia cepat-cepat tersedar.


Dia tidak boleh melebihi batasan. Perasaan dan perbuatannya harus terkawal sebelum segalanya selesai. Huda berhak menentukan hidupnya selepas segalanya berakhir.


Huda akur.


Dia segera menghabiskan sisa minumannya. Dia sendiri terbuai dengan perasaannya sendiri. Tindakan spontan yang lahir dari rasa yang mula terbenih.


Tanpa mereka sedari, sepasang mata sedang mengintai perlakuan mereka dalam diam. Perbualan mereka juga turut didengari. Senyuman terukir dihujung bibir itu. Dia sudah mengagak sejak dari awal lagi. Pasti ada sesuatu yang berlaku diantara Bunyamin dan Huda.






Bersambung ...


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.