Home Novel Cinta Cinderella
Cinderella
ainRAZAK
28/12/2020 01:25:31
37,803
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Jam menunjukan pukul 3 pagi. Hari ketiga dia berada di sini. Suasana lengang, hanya bunyi deruan kenderaan sahaja yang sekali sekali menerpa gegendang telinganya yang tidak bercuping sebelah. 



Kapak menyarung kasut tali berwarna hitam berjenama Nike. Dia mengemaskan ikatan tali kasut. Badan ditegakkan semula. Dia sudah bersedia untuk memulakan langkah.



Beg sandang bertali satu digalas rakus. Juga dari jenama yang sama. Pelitup muka jenis kain tebal dan cap berwarna hitam yang juga bertulisan Nike menjadi pilihannya. Dibetulkan sedikit duduk atur cap diatas kepala agar nampak lebih selesa.



Setelah dia selesai merapikan diri, dia melangkah keluar dari bilik penginapan.



Langkah kakinya menelusuri jalan-jalan pekan yang sunyi. Hah! Jam tiga pagi, manusia mana yang mahu menghabiskan malam mereka dengan berada di tempat begini pada jam begini? 



Hanya manusia yang bertuhankan nafsu sahaja akan akur pada keseronokan dunia. Manusia yang tidak mengenal erti halal dan haram yang telah Allah tetapkan. Bukan mereka tidak kenal apa itu halal dan haram tapi mereka sengaja buat-buat tidak kenal.



Namapun manusia. Manusia yang penuh dengan tipu daya nafsu yang didorongkan oleh makhluk jahat seperti syaitan durjana. Makhluk yang sudah berjanji akan menyesatkan manusia hingga kiamat tiba.



'Pohon tanpa bunga, hilang serinya. Manusia tanpa iman, hilang keberkatan hidupnya. Hidup bertuhankan nafsu dan berkiblatkan dendam, akan punah pada akhirnya.'



Nasihat itu bagai terngiang-ngiang ditelinga Kapak. Nasihat dari orang yang sangat dia hormati, takkan sesekali dia lupakan. Itulah kata-kata yang dipegangnya sehingga sekarang.



Kapak mematikan langkah. Dia menapak betul-betul dihadapan satu premis yang bertulisan cina. 



Kedua belah tangan dimasukan ke dalam poket baju sweater yang juga berwarna hitam. Lutut menolak daun pintu dengan kuat dan kasar. 



Sebaik sahaja pintu terbuka, bunyi bising menerpa telinganya. Gelak tawa wanita bertukar ganti dengan suara pelayan-pelayan pusat snuker dan judi milik tauke besar di pekan ini. Bingit suasana berselang seli dengan dekahan suara jantan para pelanggan.



Kapak tidak mempedulikan suara yang menujah  pendengaran dia. Dia terus menuju kearah subjek utama. Seorang lelaki yang berada ditengah-tengah 'bunga' yang kian melayu menjadi pilihan dia. 



Lelaki separuh abad itu didekati penuh rasa amarah.



"Hoi!" jerkah Kapak kuat. Tangan dikeluarkan dari poket baju sejuk. Bahu lelaki tua itu diramas perlahan.



Lelaki itu mendengus kasar apabila tumpuannya bermain, sedikit terganggu. Dia pantas menoleh, mahu melihat gerangan manusia yang berani menegurnya kasar.



Terpampang didepan mata dia seorang lelaki yang tidak berwajah. Hanya kelihatan mata sahaja yang penuh bersinar. Ada pantulan rasa amarah yang teramat dapat dirasakan dari sepasang mata itu.



"Kau siapa?" soal Bakri dengan rasa tidak puas hati.



Pantang sekali bila dia tengah sedap bermain, diganggu oleh orang lain. Tambahan pula dengan orang yang tidak dikenali. Rasa barannya mencanak naik. Namun serta merta kecut perut saat menatap mata lelaki dihadapan dia.



Kapak memandang Bakri dengan tajam.



"Bangun!" arah Kapak. Nada suaranya dikeraskan 



Bakri menjuih bibir. Rokok hampir terlucut dari dua ulas bibirnya yang kehitaman. Dia mengepit kembali rokok dengan dua batang jemari. Kemudian rokok itu disedut penuh rakus sebelum melepaskan sisa bahan kimia itu ke udara. 



Hembusan asap rokok dilihat berkepul-kepul terbang lalu hinggap ke wajah Kapak. Puas hati Bakri. Dia kembali berpaling kearah meja judi. Mahu menyambung permainannya yang tergendala tadi.



Namun, tangan Kapak lebih pantas bertindak. Dia terus mencengkam kolar baju t shirt yang dipakai oleh Bakri.



"Kau tak faham bahasa atau kau sengaja buat-buat tak faham?" nada suara Kapak sudah naik seoktaf.



Orang sekeliling sudah mula memandang mereka. Suasana yang riuh tadi serta merta sunyi sepi. Ada beberapa lelaki yang berpakaian baju tanpa lengan berwarna hitam mendekati Kapak. 



Penumbuk dikepal mereka.



"Hoi bro, apa kes ni?! Datang rumah orang, jagalah adab!" ujar seorang lelaki pada Kapak.



Dia menyentuh bahu Kapak dengan hujung tangan. Kapak berpaling mengadap lelaki yang menegurnya 



"Aku ada urusan dengan jantan tak guna ni. Kau orang jangan masuk campur" ujar Kapak tegas.



Dia mengheret Bakri mengikutinya. Namun, langkah kakinya dihalang tiba-tiba. Seorang lelaki yang bertubuh sasa cuba menghalang jalan.



"Kau yang masuk kawasan aku, kau kena minta izin dari aku dulu untuk ambil anak buah aku!" ujar lelaki tadi. Dia menahan Kapak dengan tangan kanannya.



Kapak mematikan langkah.



"Jadi, jantan tak guna ni anak buah kau?" soal Kapak separuh mengejek.



Patutlah Bakri terasa dirinya kebal. Rupa-rupanya jantan itu anak buah kepada Jonathan. Lelaki yang dia dendam selama ini. Patutlah besar kepalanya bukan main. Sesuka hati sahaja mahu bertindak.



"Ya, anak buah bos aku! Tuan Jonathan!" jawab lelaki bertatu kala jengking dilengan itu dengan bangga.



Kapak kenal dengan tatu itu. Lambang kumpulan kongsi gelap Jonathan. Sudah bertahun dia mengikuti perkembangan kumpulan itu. Dan dia punya alasan untuk mendekati Kumpulan Kala Jengking yang diterajui oleh Jonathan.



Kapak berasa geram. Dia mengetatkan lagi cengkaman kolar baju Bakri. Menjerit lelaki itu meminta tolong.



"Tolong aku Burn!" jerit Bakri. 



"Hoi! Baik kau diam! Nanti aku settlekan hal aku dengan kau!" bentak Kapak lantang.



"Woi, woi, relakslah. Kau masuk rumah orang, kau kena lebih bersopan" balas lelaki yang dipanggil Burn tadi.



Burn mengatur langkah setapak demi setapak mendekati Kapak. Begitu juga dengan empat orang lagi lelaki yang bertubuh sasa. Masing-masing tersengih memandang Kapak. Di lengan mereka terdapat tatu kala jengking sama seperti Burn.



Kapak tetap tidak melepaskan cengkaman tangannya pada leher baju Bakri. Malah dia mengetatkan lagi pegangannya. Beradoi jantan itu menahan kesakitan.



Huh!



Apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan kesakitan yang ditanggung oleh Huda. Ya, Huda Quah. Gadis yang perlu dia lindungi. 



Kapak menyeluk sakunya sebelah kiri. Dia mengeluarkan sesuatu. Dengan sepantas kilat yang memancar, satu lontaran melintasi salah seorang anak buah Jonathan. 



Masing-masing mata terhala pada objek yang melintasi tadi. Pandangan mereka terpaku pada dinding. Membulat matanya mereka saat melihat objek yang bertebangan tadi.



Semuanya terlopong. 



"Siapa kau?!" tengking Burn bertindak selaku ketua.



"Adakah itu masih belum cukup untuk menjawab pertanyaan kau?" 



Sekali lagi objek yang sama melintasi mereka buat kali kedua. Kali ini betul-betul mendarat berdekatan sofa yang diduduki oleh seorang pelanggan berbangsa cina. 



Lelaki itu mengurut dada kerana terkejut.



Burn ketawa berdekah tiba-tiba. Otaknya sudah dapat mencakna gerangan tubuh yang dibaluti pakaian yang serba kehitaman bak ninja negara jepun.



"Kau rupanya" dia menepuk-nepuk tangan. Bergema satu ruang premis. Masing-masing tertumpu pada drama sebabak mereka.



"Hah!" Kapak gelak sinis. Lelaki itu dipandangnya dengan waspada. Anak-anak buah Jonathan bukan boleh dijangka pergerakan mereka.



"Huh! Kau Kapak! Atau lebih tepat, malaikat pencabut nyawa! Hah! Manusia yang paling digeruni dikalangan geng-geng kongsi gelap seluruh negara. Anak buah Tuan Aeron yang langsung tidak takut mati!" Burn berkata-kata.



Anak-anak buahnya masing-masing terlongo. Mulut mereka terbuka luas. Kenyataan yang mereka dengar tadi menimbulkan rasa gerun dalam diri. 



Bakri yang berada disebelah turut ternganga. Dia mendongak memandang lelaki yang dipanggil Kapak itu.



"Kapak? Anak Buah Tuan Aeron? Ketua kongsi gelap A.K.A samseng jalanan yang mempunyai satu-satunya perniagaan yang halal di Malaysia?"  Bakri bersuara.



Kapak menoleh kearah Bakri. Wajah lelaki itu dipandang tajam.



"Hah? Kaupun baru kenal siapa aku?" Soal Kapak sinis.



"Malaikat pencabut nyawa!" terketar Bakri menyebut sebaris ayat itu. 



Dia sudah menggeletar. Sekarang dia tengah berdepan dengan seorang lelaki yang pernah membunuh hampir kesemua musuh Tuannya dengan hanya menggunakan Kapak.



"Haha! Apa aku kisah dengan nama kau Kapak? Dah lama rasanya aku mahu bertemu dengan kau. Aku memang mahu beradu kekuatan antara kita" ujar Burn mendabik dada.



Kapak kembali memandang lelaki yang bertatu kala jengking itu. Kesemuanya semakin mendekati dia. Langkah kakinya dibuka luas. Bersedia untuk menerima sebarang serangan. 



Dia menarik Bakri mendekati. Leher baju lelaki itu tetap tidak dilepaskan, malah diperkemaskan.



"Nah! Ambil ni!" Burn mula membuka langkah. Dia menghadiahkan tendangan padu kearah Kapak.



Namun, tendangannya tersasar. Kapak pantas mengelak dengan sekali gerakan sahaja. Lelaki itu melontar senyuman sinis. 



"Setakat itu je kau mampu buat? Burn? Atau kau lebih suka aku panggil kau Bakar? Wah! Klasik nama tu" Kapak mengejek.



Burn panas hati.



"Kauuu ... Cepat masuk woiii!" jerit Burn pada anak-anak buahnya.



Masing-masing menyerang Kapak dari pelbagai sudut berbeza. Namun lelaki yang mempunyai cuping telinga sebelah itu bijak mengelak. Tangkas tangannya melontar kapak kecik ke arah mereka.



Berdezup dezap kapak-kapak kecil melintasi. Dalam masa yang sama, kakinya menepis segala serangan yang dibuat. Bakri diheret ke kiri dan ke kanan mengikut rentak irama pertarungan.



Adakala, perut lelaki itu menjadi mangsa tumbukan anak-anak buah Burn. Kapak ketawa sinis.



"Itu saja ke yang mampu kau orang buat?" perli Kapak sekali lagi. Pandangannya jatuh kepada anak buah Burn yang sudah bergelimpangan. 



Ada seorang anak buah Burn yang melekat ke dinding akibat diapit oleh kapak yang terbenam didasar dinding. Memaku terus pergerakan mereka. 



"Kauuu ...! " Lelaki itu masih tidak berpuas hati. Dia menerpa Kapak kembali.



Pantas Kapak menangkis serangan. Burn mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya. Berkilau objek itu saat dibias cahaya.



"Wah, ini betul-betul mahu mengundang maut!" lantang Kapak bersuara. 



Tanpa menunggu masa, dia menepis setiap serangan yang dilakukan oleh Burn. Tangan lelaki itu hampir hingga diwajahnya dengan belati tajam. Tapi dia bijak mengelak.



Tangan Burn dikilas ke belakang. Belati tadi dirampas sekelip mata. Tubuh sasa Burn ditolak jatuh ke lantai.



"Hah! Kau masih belum mengaku kalah? Aku datang sini, hanya mahukan jantan keparat ni saja. Bukan niat aku nak menganggu korang semua. Tapi korang yang beria-ria mahu mengalahkan aku" ujar Kapak memecah kebisuan.



Semua mata tertumpu kearahnya.



Burn mengepal penumbuk.



"Tak guna punya Kapak!" makinya lantang. Terbang peluangnya untuk mengalahkan lagenda yang tidak pernah dikalahkan ini.



Untung-untung dia mendapat habuan lumayan jika mengalahkan Kapak malam ini. Tapi lain pula jadinya. Lembik dia dibelasah 'Malaikat Pencabut Nyawa' itu tanpa belas kasihan.



"Kau patut bersyukur kerana aku masih biarkan kau hidup. Kalau orang lain, dah lama aku arwahkan mereka"



Burn mencebik.



"Dan kau!" mata Kapak terhala pada Bakri.



"Jangan sesekali kau berani kau usik Huda Quah. Kalau kau berani lagi, mayat kau pun takkan orang jumpa. Faham?!" Kapak memberi amaran.



Bakri terkelu. Air liurnya terasa kesat mahu ditelan. Rupanya lelaki itu datang mahu memberi amaran pada dia berkaitan Huda, anak tirinya dan juga anak kepada Joseph Quah.



Serentak itu, Kapak melepaskan cengkaman tangannya pada leher baju Bakri. Lelaki itu kelihatan menggosok-gosok lehernya yang berbekas sakit.



Kapak menunduk lalu mengutip semula objek kecil miliknya dengan tenang. Semua mata tertumpu pada batang tubuh dia. Dia hanya bersikap selamba. Langsung tidak dihirau mereka yang sedang berbisik sesama sendiri.



Burn sudah bangun dari duduknya. Anak buahnya yang lain juga begitu.



"Pesanan aku pada Jonathan Quah, tolong jangan ganggu hidup Huda Quah lagi kalau dia tak mahu lihat mayat anak buahnya bergelimpangan!" pesan Kapak sebelum menghilangkan dirinya di sebalik pintu premis.



Masing-masing menghela nafas kelegaan.



Burn masih lagi tidak berpuas hati. Dia berjanji akan menamatkan riwayat lelaki yang bernyawa liat itu suatu hari nanti. Itu janjinya!



Bakri memandang lelaki yang dipanggil Kapak itu dengan pandangan terkebil-kebil memikirkan sesuatu. Dia memaki hamun dirinya sendiri. Semuanya angkara dia mabuk malam tu. Dia hampir merogol Huda Quah.



Nampaknya, peluangnya tipis kali ini. Sudahlah isteri masih dalam pengawasan polis. Silap langkah, dia sendiri akan terpalit sama. Bakri mendengus kasar!











Bersambung ....


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.