DALAM
perjalanan menghantar Anom pulang, Habib memberhentikan keretanya di pinggir
jalan.
"Datuk
nak buat apa berhenti kat sini?" Anom sudah mula cuak. Membutang matanya
merenung Habib. Kaki dan tangannya sudah siap dipasang 'kuda-kuda'. Takut Habib
bertindak melakukan perkara yang tidak terduga.
"Tadi
kan Sufi kata malam masih muda? Inilah abang nak ajak Sufi bersembang,"
jawab Habib tenang. Lembut lirikan matanya merenung wajah Anom.
Anom
terdiam. Terasa kendur segala sendi dan urat saraf yang tadinya tegang
mendengar jawapan Habib. Bersembang sahaja? Tetapi betul juga. Takkanlah lelaki
sebaik dan sealim Habib akan melakukan perkara terkutuk itu? Tiba-tiba saja
Anom rasa bersalah kerana berburuk sangka terhadap Habib.
"Sufi
ingat abang nak buat apa? Nak buat dot...dot..ya?" Habib ketawa galak. "Kalau
abang nak buat perkara tak elok pada Sufi, abang takkan buat kat sini. Baik
abang ajak Sufi pergi hotel. Buat kat sana lagi best." Melihat Anom tersipu malu, semakin galak Habib menyakat
Anom.
"Datuk
jangan macam-macam eh?" Anom menaikkan jari telunjuk ke muka Habib.
Memberi amaran. Cubalah Habib berani buat benda bukan-bukan kepadanya, jawabnya
memang kena siku. Dia ini nama sahaja perempuan, tetapi perangai lebih garang
daripada gajah betina naik minyak. Begitu pun, dalam suram malam, merah juga
mukanya disakat Habib.
"Eleh...abang
tak takut. Abang ada black belt colour
biru lagi," jawab Habib cuba
melawak.
Sedepa
mulut Anom menceber. Lawak yang langsung tidak lucu!
Habib
pula diam terpaku menatap paparan wajah gadis dengan bibir terceber begitu.
Comelnya! Wajah itu serta-merta menggamit ingatannya kepada Yana. Dulu, dia
suka juga mengusik dan menyakat Yana. Bila diusik-usik, Yana selalunya akan
tersipu malu. Berlainan sungguh perangai Yana dengan Anom Sufi yang cepat
menyinga.
Sesungguhnya
Yana dan Anom Sufi bagaikan kutub utara dan kutub selatan. Wajah sahaja serupa
tetapi perangai jauh berbeza. Tetapi mengapa di wajah Anom Sufi, dia masih nampak muka Yana? Mengapa sukar benar
hendak membuang bayangan Yana dari kotak memorinya? Ah! Kacau sungguh
fikirannya!
"Abang
nak tanya Sufi ni. Kenapa Sufi pergi ke tempat-tempat tak elok macam tu? Sufi
tahukan tempat-tempat macam tu boleh mengundang kemudaratan bagi diri Sufi?"
Bagi mengelak otaknya terus mengenangkan Yana, Habib cari alternatif lain
dengan mencuci otak Anom. Dia sedar Anom tidak berminat mendengarnya. Kata-kata
nasihatnya sebelum ini cuma masuk ke telinga kanan Anom dan tembus ke telinga
kiri. Namun, tiada salahnya dia terus mencuba. Manalah tahu suatu hari nanti,
Anom terbuka hati untuk menjadi gadis penghias taman Syurga.
Terjuih
bibir Anom mendengar kata-kata Habib. Ustaz tidak bertauliah di sebelahnya ini
mulalah hendak berceramah. Tidak penat-penat agaknya. "Saya tak buat
apa-apa pun. Tujuan saya pergi ke sana hanya untuk mencari hiburan. Takkan itu
pun salah?" dengus Anom bosan.
"Tapi
itu bukan jenis hiburan yang baik untuk kita, Sufi. Itu hiburan yang melampau.
Yang melalaikan. Tak salah kita berhibur tapi biarlah jenis hiburan itu boleh
mendidik jiwa dan mendekatkan kita kepada ALLAH. Ini kalau dah terkinja-kinja macam
kera, lepas tu pakai pulak baju yang boleh nampak 'harta karun', Sufi ingat itu
perkara baik ke? Cuba beri abang tiga alasan
mengapa Sufi kata perkara tu baik?" Habib membangkang kata-kata Anom.
Tambah
kuat rengusan Anom. 'Pak cik ni suka-suka hati aje panggil orang kera. Melampau
betul!' "Eh...please...saya
bukan kera ya? Dan siapa yang pakai baju nampak 'harta karun'? Tengok...saya
pakai baju tutup semua. Jangan nak menuduh!" Bagai tidak cukup mulut, Anom
membidas cakap Habib. Dia mana pernah berpakaian tidak cukup kain? Sedap mulut
Habib sahaja menuduh dia perempuan jenis itu.
Habib
tidak menyanggah kata-kata Anom. Namun, anak matanya liar menjamah tubuh Anom
dari hujung kepala sampai ke hujung kaki. Muka pula serius semacam. Entah apa
yang menyatu dalam fikirannya.
Ngeri
pula Anom melihatnya. "Datuk ni kenapa pandang-pandang orang macam
tu?" Anom yang ketakutan pantas menyergah. Badan sudah menyenget ke arah
pintu kereta. Risau pula jika pak cik di sebelahnya ini buat benda bukan-bukan.
"Pakai
baju macam tu pun boleh nampak 'harta karun' juga. Pakaian macam yang Sufi pakai
ni boleh menjerumuskan diri Sufi kepada perkara-perkara buruk. Kalau Sufi nak
tahu, orang lelaki ni, cukup suka kalau perempuan pakai baju ketat-ketat atau dedah
sana dedah sini. Boleh dia cuci mata. Silap-silap, kalau terlebih pandang,
boleh jadi kes lain pulak." Tersengih Habib ketika melihat Anom sudah
bereaksi lain macam. Takutlah tu!
"Eleh...tujuan
saya pakai macam ni bukan nak menggoda orang lelaki. Dah saya selesa pakai baju
macam ni, nak buat macam mana? Bukan salah saya kalau lelaki tergoda tengok
saya." Pandai Anom memberi alasan. Namun, dia rasa sangsi juga dengan
jawapan sendiri. Ada ke lelaki yang tergoda tengok dia? Kalau ada pun cuma
Qayyum. Tetapi itu dahulu. Sekarang pun Qayyum mahu termuntah menengok dia.
Maklumlah sekarang Qayyum sudah ada Miza.
Terbeliak
mata Habib mendengar jawapan mudah Anom. Amboi senangnya mulut dia menjawab?
Ikutkan hati hendak sahaja dia ikat ketat-ketat mulut comel itu. Biar tidak
boleh mencantas ayat-ayat berupa nasihat yang dilontarkannya. Pening kepala dia
melihatkan perangai Anom yang tidak makan diajar.
"Pandai
menjawab ya? Sufi tahu tak kenapa Qayyum tinggalkan Sufi dan pergi kepada perempuan
lain? Sufi tak boleh ke fikir apa sebabnya?" Dengan lagak tenang, Habib
mula mengajak Anom berfikir. Cuba mencari punca kekusutan permasalahan Anom dan
mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin.
"Sebab
dia gatal dan perempuan tu pun sama gatal dengan dia. Bila gatal bertemu gatal
jadilah merenyam. Itu yang terus lupa dunia dan tak kisah langsung nak jaga
perasaan orang!" Dapat sahaja peluang, Anom terus melepaskan peluru
berpandunya. Walaupun sasaran sebenarnya bukan Habib.
Menggeleng
kepala Habib mendengar Anom memetir. Gadis ini kalau bercakap langsung tidak
ada tapis-tapis. "Sufi tahu tak apa beza Sufi dengan budak perempuan girlfriend baru Qayyum tu?" soal
Habib.
Anom
bertindak balas dengan menjuihkan bibir panjang-panjang. Tidak kuasa menjawab
soalan yang kurang mencabar mindanya.
"Budak
perempuan tu sopan. Pakaiannya menutup aurat. Tutur katanya pun mungkin
terjaga. Itulah ciri-ciri wanita muslimah. Itulah perempuan yang sesuai
dijadikan calon isteri. Mungkin Qayyum dah nampak semua ciri-ciri tu tak ada
dalam diri Sufi. Sebab tu dia tinggalkan Sufi dan pergi kepada budak perempuan
tu."
Miza
wanita muslimah? Meluat Anom mendengar pendapat Habib. Kalau namanya muslimah,
Miza tidak akan berpegangan tangan dengan Qayyum. Kalau benar Miza perempuan
muslimah, dia tidak akan naik motosikal Qayyum dan melekap di badan pemuda itu.
Muslimah sangatlah perempuan tu. Huh!
"Datuk
jangan pandai-pandai beri pendapat kalau tak tahu apa-apa! Kalau Qayyum tak
suka perempuan macam saya, kenapa dia beria-ia pikat saya dulu? Dulu, saya tak
nak kat dia, tapi dia yang bersungguh-sungguh kata cintakan saya. Bila saya dah
cintakan dia, dia tinggalkan saya. Cinta apa namanya tu? Cinta tahi
kucing!" Bergegar rasa dada Anom melontarkan kemarahan yang meluap-luap.
Pun
begitu, dalam kemarahan yang menghanguskan dada, hatinya rasa pedih. Terasa
dirinya betul-betul macam lampin pakai buang. Bila diperlukan, dicari. Bila
sudah habis 'tempoh'nya, dia dicampak begitu sahaja. Pilunya hati dia dibuat
orang begitu. Tanpa sedar, banjir juga kolam matanya malam ini. Cepat-cepat
tangannya menyeka airmata yang merembes di pipi. Enggan Habib melihatnya.
Kelak, semakin rancak dia disakat Habib.
"Jangan
suka cari kesalahan orang tanpa melihat kekurangan diri sendiri. ALLAH timpakan
musibah kepada Sufi supaya Sufi buka mata. Segala aturan ALLAH itu ada
hikmahnya, Sufi. Sufi kena fikirkannya dari sudut positif. Bila...."
"Dahlah,
Datuk. Saya tak larat nak dengar Datuk berceramah. Tolong hantar saya balik
sekarang," cantas Anom dengan suara serak. Hati yang sebak, tidak mahu
lebih lama menunggu. Lebih baik dia balik dan lelapkan mata. Itu pun jika dia
masih mampu tidur lena. Moga-moga tatkala bangun pagi esok, jiwanya akan
kembali tenang dan kepalanya terasa lapang. Seterusnya mampu menongkah arus kehidupan
seperti hari-hari sebelumnya.
Mengeluh
panjang Habib. Sukarnya hendak meniupkan cahaya keimanan dalam diri gadis ber'kepala
batu' ini. Degilnya kus semangat! Namun, usahanya tidak harus terhenti setakat
ini. Selagi ada kudratnya, dia akan cuba pimpin Anom yang jauh tersasar agar
kembali ke dasar. Selagi ada kudratnya, dia akan cuba bentuk Anom menjadi
muslimah sejati. Seperti perempuan penghias taman Syurga. Itulah tekad dan impiannya
selagi Anom berada di hadapan matanya.