PUKUL
sepuluh malam Emily tiba di rumah Anom Sufi. Hon kereta dibunyikannya
bertalu-talu memberi petanda dia tidak mahu lama menunggu. Bingit telinga orang
yang mendengarnya. Mujur jiran sebelah menyebelah tidak mengamuk sehingga
mengangkat batang penyapu.
Anom
Sufi yang terlambat dan hanya sempat bersiap ala kadar, terus berlari laju
menuruni anak-anak tangga menuju ke bawah. Dia tidak boleh lambat. Dia tahu
sangat perangai Emily. Pantang Anom terlambat sedikit, mulut Emily akan meletup
lebih hebat daripada bom atom. Naik bernanah telinga mendengarnya.
"Bibik!
Nanti pesan kat mama dan papa, saya keluar dengan Emil!" Anom melaung ke
arah Bibik Arti, pembantu rumahnya. Belum sempat Bibik Arti membuka mulut,
berdesup Anom hilang dari mata.
Melopong
mulut Bibik Arti melihat fiil Anom. Orang lain ketika mentari sudah bersemayam,
sibuk bersiap menunaikan ibadah, tetapi gadis ini tidak sabar-sabar ingin
berkelayapan. Solat maghribnya ke 'laut', solat isyaknya ke 'perigi buta'.
Ada
kalanya, Bibik Arti bersimpati dengan anak tuan rumahnya ini. Hidup macam orang
hilang arah walhal masih punya keluarga sempurna. Hendak ditegur, dia hanya pembantu
rumah. Siapa yang mahu mendengar suaranya? Namun, yang peliknya, mama dan papa
Anom sendiri memejamkan mata melihat perangai anak gadisnya itu. Dibiarkan
sahaja Anom yang masih muda keluar berpeleseran tidak tentu hala dan hilang
pedoman menempuh arus kehidupan. Hmm...mungkin sudah nasib Anom lahir dalam
keluarga yang tidak menitik beratkan soal agama.
"Lambat!"
Emily sudah memuncung itik sebaik sahaja Anom menghenyakkan punggung di sebelahnya.
"Alah...lambat
sikit aje. Dah tak cukup kaki aku berlari tahu tak? Dah putus nafas aku
ni," tingkah Anom dengan dahi berkerut.
"Tulah...
siapa suruh kau lambat? Membuta aje kerjanya. Dah tu memang hobi kau kan?"
perli Emily yang memang hafal sangat dengan perangai Anom. Pantang ada masa
terluang, Anom mesti buat tahi mata. Jika Anom setakat tidur-tidur ayam, tidak
mengapa. Ini tidak, senapang gajah meletup di telinganya pun belum tentu Anom
buka mata.
"Aku
tidur kejap ajelah..." Kini giliran Anom pula buat muncung itik. Dia tidak
puas hati dengan tuduhan Emily. Sedap sahaja mulut Emily mengata hobinya suka
buat tahi mata. Tetapi, pulang ke rumah selepas dihantar Habib tadi, dia memang
terlelap sekejap. Otak yang huru-hara mengenangkan Qayyum membuatkan
perasaannya tertekan. Itu yang membuatkan dia mencari alternatif lain untuk
menstabilkan fikiran.
"Hopefullymalam ni jalan clear. Lecehlah kalau sampai lambat. Sure kena beratur panjang," rungut
Emily sambil menurunkan brek tangan.
"Kita
nak ke mana malam ni?" tanya Anom, memahami rungutan Emily. Jika waktu
sudah melewati angka 11.00, kelab malam akan sesak dengan pengunjung. Kejanglah
kaki mereka kerana terpaksa beratur panjang untuk masuk ke dalam.
"Zass."
Emily menjawab sambil lewa.
Anom
mengangguk. Dia tahu itu memang kelab kesukaan Emily. Kesukaan Qayyum juga. Ah!
Qayyum lagi!
"Parentskau tak bising ke kau keluar malam
ni?" risik Emily ketika kereta yang dipandunya sudah memasuki lebuhraya
untuk ke pusat bandar.
"Aku
tak beritahu mama dan papa aku yang aku nak keluar malam ni. Tadi dia orang dalam
bilik. Aku cuma pesan kat bibik. Tapi rasanya dia orang tak kisah kot. Kenapa
kau tanya? Kau kena bebel dengan parents
kau lagi ke?" Anom memantulkan pertanyaan kepada Emily. Keningnya bertaut.
"Hmm....untunglah
kau. Aku ni bukan kena bebel aje. Kena tembak dengan peluru berpandu, bom atom,
senjata kimia semuanya ada. Hisy! Bosan akulah. Rasa nak lari dari rumah aje."
Emily melepaskan keluhan berat sambil memandang keluar tingkap kereta.
Anom
Sufi menahan gelak yang mahu tersembur dari rengkung. Kadang-kadang, Emily suka
buat lawak bersahaja macam itu. Pun begitu, mendengar ayat terakhir Emily tadi,
dia terus menelan air liur. Nak lari dari rumah? Biar betul Emily ni. Seriau
hati dia dibuatnya.
Anom
Sufi tahu, Emily seringkali rasa tertekan dengan sikap mummy dan daddynya. Mummy
dan daddyEmily agak tegas dalam
mendidik anak-anak. Bukan macam papa dan mama Anom yang selalu bersikap 'tidak
kisah'.
Kalau
bab keluar malam, Emily tidak dibenarkan keluar dengan orang sebarangan. Hanya boleh
keluar dengan orang yang dikenali keluarganya dan Anom termasuk dalam senarai. Itu pun keluar merambu dengan bersyarat, perlu
sampai di rumah sebelum pukul 12.00 malam. Macam Cinderella. Namun, apa yang
menjadi masalah, Emily selalu lupa had waktu pulang sehingga terlajak ke pukul
2.00 atau 3.00 pagi. Macam mana mummy dan daddynya tidak mengamuk?
"Habis...kau
cakap apa dengan daddy kau?" tanya Anom. Ingin tahu tindakan teman baik
yang dikenalinya sebagai seorang yang suka memberontak.
"Aku
lawan balik. Aku cakaplah yang aku lewat balik pun bukannya aku mabuk-mabuk.
Lagi pun aku keluar dengan kau, bukannya aku keluar dengan jantan tak senonoh.
Habis aje cakap, aku terus cabut. Mummy aku sambung berleter entah apa-apa. Aku
malas nak dengar dah. Sakit telinga aku ni." Emily merengus. Sebiji macam
suara kerbau mendengus pula di telinga Anom.
Anom
Sufi mengerling ke muka keruh Emily. Dalam diam, dia bersetuju dengan luahan
hati temannya yang seorang ini. Dia dan Emily keluar ke kelab sekadar mencari
hiburan. Setelah penat terkinja-kinja dan badan sudah 'harum' berbau peluh,
mereka akan pulang ke rumah. Tidak pernah sekali pun mereka sentuh minuman
keras. Lebih-lebih lagi pil khayal.
Bukan
tiada yang menggoda suruh mengambil benda-benda haram itu, tetapi mereka berdua
selalu berwaspada. Bila berada di kelab hiburan, dia dan Emily saling menjaga
antara satu sama lain. Tidak ketinggalan Qayyum. Bila berada di sana, Qayyum
yang selalu menjadi bodyguard mereka.
Tetapi
itu cerita musim lalu. Sekarang, mungkin Qayyum sudah tidak berminat menjejakkan
kaki ke kelab malam kerana sudah tersangkut dengan gadis bertudung. Nampaknya,
mulai malam ini dia dan Emily perlu menjaga diri sendiri.
"Dah...jangan fikir-fikir lagi. Kau
pekakkan telinga aje dengan cakap-cakap mummykau tu. Biasalah orang tua, bukannya faham keinginan remaja macam
kita ni. Yang penting malam ni kita enjoy!"
Anom cuba memujuk Emily biarpun malam ini hatinya sendiri bergalau pilu dengan moodyang sudah tenggelam ke lautan biru.
MELANGKAH
sahaja ke dalam The Zass, kelab malam terkenal di ibu kota, pengunjung sudah
ramai. Muzik rancak berkumandang memecah gegendang telinga. Di lantai tari,
penuh dengan manusia pelbagai bangsa yang gila menari. Kebanyakan mereka remaja
macam Anom dan Emily. Had kelayakan umur untuk masuk ke kelab malam ialah 18
tahun. Tetapi ada yang kelihatan macam gadis di bawah umur. Tetapi, apa yang
hendak dihairankan? Ada duit, semua yang 'haram' boleh jadi 'halal'.
Pakaian
masing-masing pula usah cerita. Kebanyakan daripada pengunjung perempuan
memakai gaun singkat sehingga menampakkan pangkal paha dan lurah dada. Macam
sengaja hendak menayang 'harta benda' yang ada.
Bagi
lelaki, cara berpakaian hampir sama, bergaya kasual. Tidak ada lelaki yang
datang ke situ berpakaian seminimum mungkin macam kaum perempuan. Pelik. Macam
diskriminasi pula. Tetapi, kalaulah ada, mereka mungkin sudah dihalau keluar
oleh bouncerkerana disangka gila.Anom pun tidak akan menjejakkan kaki
lagi ke sini jika ada lelaki yang sudah 'putus urat kepala' macam itu. Buat
tegak bulu roma dia sahaja.
Anom
Sufi pula masih dengan cara berpakaiannya yang biasa-biasa. Tetap dengan jeans
ketat dan T-shirtnya. Rambut pendek perangnya disikat kemas-kemas. Dia memang
sangat kontra dengan Emily yang suka bergaya seksi. Justeru, dia tidak pernah
mendapat perhatian lelaki berbanding Emily yang lebih menggoda. Ah! Anom Sufi pun
tidak suka lelaki himpit-himpit dia macam mereka himpit Emily. Lemas!
"Let's get into the crowd!" Emily
terus mengajak. Badannya sudah bergoyang-goyang dan kepala terangguk-angguk
mengikut irama rancak yang berkumandang.
Anom
mengikut langkah Emily menuju ke lantai tari. Dia pun gian ingin menari. Sudah
agak lama dia tidak menggoyangkan badan
dan mengeluarkan peluh macam ini. Malam ini dia akan balas dendam cukup-cukup. Malam
ini dia akan lupakan Qayyum dan segala kecurangannya. Huh! Tidak ada Qayyum pun
dia boleh hiduplah! Anom Sufi menanam tekad dalam hati.
Lagu
bertukar. Biarpun irama berganti, mereka tetap setia di lantai tari. Tidak
letih-letih. Badan mula berlengas dan tidak selesa. Tekak pula terasa kering.
Anom pantas menarik tangan Emily menuju ke bar di sudut ruang. Mahu menyiram
tekak yang kering dengan segelas air.
"Two orange juices, please," pesan Emily bila mereka sudah duduk di atas bangku
tinggi di hadapan bar.
Pelayan bar yang merupakan seorang pemuda Cina
berumur lewat dua puluhan, tersenyum-senyum memandang dua orang gadis manis di
hadapannya tetapi Anom dan Emily buat tidak pandang sahaja. Mereka faham erti
senyuman sinis itu. Jarang-jarang orang datang ke kelab malam sekadar untuk
minum jus oren. Selalunya pengunjung akan minta minuman keras. Tetapi itu orang
lain, bukan mereka. Tujuan mereka datang ke mari untuk mengasah skil menari
mereka bukan untuk mabuk-mabuk. Mahu pulang ke rumah dengan mulut berbau arak?
Memang cari nahas.
"Tak
minum ni? Sekali minum, terus terangkat tau," tegur seorang pemuda Cina yang
duduk santai di sebelah Emily. Bibirnya memuncung ke arah gelas gemuk berisi
air kuning berbuih yang sudah luak separuh di hadapannya. Di sebelah gelas itu
elok terletak sebiji botol besar berwarna hitam.
"We don't drink that," jawab Emily
tanpa memandang si pemuda. Badannya masih bergoyang-goyang mengikut rentak lagu
menandakan dia belum puas menari.
"Wanna try? My treat." Pemuda itu
tersengih. Kacak juga orangnya. Kulitnya cerah dan bermisai nipis. Tubuhnya
tinggi dan tegap. Pakaiannya pula daripada jenis yang mahal dan berjenama.
Sekali pandang macam orang kaya raya.
"No...no...thank
you." Cepat-cepat Emily menggelengkan kepala. Tangan kanan pula sudah
tergoyang-goyang. Muka berkerut-kerut. Minum air kuning berbuih tu? Oh! Tidak. 'Kalau
nak kena cincang dengan daddy dan mummy, cuba-cubalah minum', fikirnya kecut.
Ketawa
kecil pemuda tampan itu mendengar jawapan Emily.
Anom
diam mendengar perbualan Emily dan pemuda yang entah siapa namanya itu. Namun,
wajahnya biasa dia lihat. Selalu juga dia nampak pemuda ini duduk menebeng di
bar tetapi tidak pernah bertegur sapa. Baru malam ini pemuda itu ramah menyapa
mereka. Menyapa Emily sebenarnya. Dia, lelaki mana hendak tegur? Hanya Qayyum.
Tetapi kini, Qayyum pun turut meluat hendak berkawan dengan dia. Betapa pilu
hati ini memikirkannya.
"I
always see you guys come here with a bodyguard. He's not coming?"
Ramah si pemuda menyelidik.
"Nope. He's dead," jawab Emily bersahaja. Muka Anom sempat dijeling
sekilas. Mahu melihat reaksi si teman rapatnya.
"Ooh...dah
masuk kubur?" Pemuda itu tergelak-gelak. Entah apa yang lucunya pada
jawapan Emily tadi sehingga membuatkan dia ketawa sampai pecah perut. "Thank god he's dead. That's mean I can be
your new bodyguard," sambungnya dalam hilai tawa yang semakin galak.
Emily
tidak membalas. Cuma mengangkat bahu sambil tersenyum nipis.
Anom
pula buat muka kosong macam tidak terasa apa-apa walhal hatinya sayu memikirkan
Qayyum. Ah! Mengapa Qayyum juga yang dia fikirkan?
"Anyway, I'm Daniel. And you..." Pemuda bernama Daniel itu hulurkan tangan kepada
Emily tanda mahu memeterai ikatan persahabatan.
"Emily and this is my buddy, Anom,"
sambung Emily memperkenalkan diri sendiri dan Anom Sufi sekali.
"Emily and...Anom? What a cute name."
Daniel tergelak-gelak lagi.
Panjang
muncung Anom melihatkan lagak Daniel. Bengang! Jelas sungguh Danial mentertawakan
namanya. Macamlah kelakar sangat. Tetapi, takkan pula dia hendak marahkan Daniel?
Bukan sekali dua orang ketawa sebaik sahaja mendengar nama antiknya. Sudah
kerap kali. Justeru, dia sudah tidak larat hendak naik angin. Apa yang boleh
dilakukan adalah buat muka bersahaja biarpun pipi sudah memerah menahan segala
rasa.
Sedang
sibuk melayan hati yang sentap, telefon bimbit Anom tiba-tiba berbunyi.
Cepat-cepat Anom menarik peranti itu dari poket jeansnya. Bagus juga telefon
bimbitnya berbunyi sekarang. Boleh dia larikan diri sebentar daripada perbualan
yang tidak masuk ke dalam hati dan akal fikirannya.
Anom
melayangkan pandangan ke muka skrin. Habib? Tersentak dia menatap nama yang
tertera di situ. Dia tahu itu nombor Habib kerana sejak kali pertama Habib
menelefonnya dahulu, dia terus menyimpan nombor lelaki itu.
Ada
apa Habib menelefonnya diwaktu malam begini? Tidak puas mengganggu diwaktu
siang, Habib kacau pula waktu malamnya. Malasnya dia mahu menjawab. Namun,
kalau tidak dijawab, bimbang pula jika ada perkara penting yang ingin dikatakan
Habib.
"Hello!"
Anom menjawab panggilan dengan tangan kiri menekap sebelah telinga. Kononnya,
mahu menghalang bunyi bingit dari menerobos deria pendengarannya.
"Hello,
Sufi?" Suara Habib melengking. Seperti mahu berlawan dengan bunyi muzik
yang menjadi latar percakapan mereka.
"Ya...ada
apa?" sahut Anom malas.
"Apa
bunyi bising tu? Sufi kat mana ni?" Tanpa menjawab soalan Anom, Habib
pantas memalu telinga Anom dengan soalannya yang berderet-deret.
"Saya
kat bilik ni, tengah dengar muzik. Ada apa Datuk callsaya?" Rimas Anom mahu menjawab pertanyaan Habib. Orang
tua ini memang kepoh. Semua perkara Habib mahu korek. Mengalahkan papa. Papa
pun tidak ambil kisah tentang hal peribadinya. Orang tua ini pula yang
melebih-lebih.
"Jangan
tipu abang, Sufi. Sufi kat mana ni? Cakap betul-betul!" desak Habib, tidak
mahu kalah dengan muslihat Anom.
"Betullah...saya
kat bilik ni. Tengah dengar muzik. Saya buka volume maksimum ni!" tekan Anom kuat sedikit. Hampir menjerit
dia. Benci betul apabila orang tidak mahu percaya cakap dia. Memanglah dia
menipu tetapi mustahil hendak beritahu perkara sebenar? Tentu terkejut Habib
mendapat tahu dia berpeleseran di kelab malam. Mesti sebu telinganya kena
ceramah 'Imam Muda Habib'.
"Abang
tak percaya! Sufi kat mana ni? Cakap betul-betul sebelum abang call papa!" Habib mula mengugut.
Dia pun naik bengang dengan perangai Anom. Hendak menipu sahaja kerjanya.
Macamlah dia bodoh sangat tidak tahu membezakan bunyi radio dengan bunyi muzik
yang dimainkan di kelab malam.
Hisy!
Anom membentak. Sakit betul hati Anom apabila Habib mahu membabitkan papa. Dia
tidak mahu kisahnya berlibur di kelab malam sampai ke telinga papa. Memanglah
papa tidak kisah dia ke mari tetapi bila Habib sudah mula campur tangan,
tentulah papa naik malu. Silap-silap, papa langsung tidak membenarkan dia
keluar malam lagi.
"Cakap,
Sufi!" Suara Habib kian meninggi.
"Saya
kat Zass!" Terpaksalah Anom menjelaskan apabila Habib sudah mula pandai
mengherdik orang.
"Kat
mana?" tanya Habib. Resah mendengar nama tempat yang begitu asing baginya.
Resah juga membayangkan apa yang sedang dibuat Anom ditempat seperti itu. Huh!
Gadis ini suka sangat membuatkan darahnya hampir kering ketakutan!
"Kat
The Zass!" Habis bercakap Anom terus memicit butang batal. Malas terus
melayan Habib. Terus melayan Habib pun bukannya ada faedah. Paling tidak, dia
akan dapat syarahan agama percuma dari mulut Habib. Itu yang paling dia ngeri.
"Siapa?"
tanya Emily sebaik sahaja Anom selesai menyumbat telefon bimbitnya ke dalam
saku seluar. Dia mengalih pandangan dari muka Danial yang sejak tadi menjadi
teman berbualnya.
"Imam
Muda Habib." Selamba sahaja muka Anom menjawab.
"Who?" Emily memicingkan mata
memandang Anom. Pelik mendengar Anom menyebut imam. Bimbang gegendang telinganya
tersilap dengar dan otaknya tersalah tafsir.
"Tak
ada siapa-siapa...."
Itu
sahaja yang boleh dibalas Anom. Belum mahu mengungkap kisah pemuda bernama
Habib kepada Emily. Biarkan sahajalah. Lama kelamaan nanti, Emily akan tahu
juga. Tetapi, kalau diceritakan, apa tindak balas Emily? Mesti dia akan jadi
bahan gelak Emily berbulan-bulan lamanya.