Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
137,102
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

"KENAPA tiba-tiba aje abang nak kahwin dengan Sufi? Abang kenal dia belum sampai sebulan kan?"

Sebaik sahaja Habib majukan niat mahu menjadikan Anom Sufi suri hidupnya, dia terus diterpa soalan umi. Soalan yang sudah dijangka. Oleh itu, jawapannya pun sudah dia sediakan di kepalanya.

"Ya, umi. Memang abang baru aje kenal Sufi, tapi abang rasa macam dah lama kenal dia. Bagi abang dialah gadis terbaik untuk abang." Habib menjawab soalan umi dengan cukup berhemah.

"Hmm...yalah tu. Entah-entah ada sebab lain abang nak jadikan dia isteri abang," perli Hawa sambil mencemik muka.

Syed Aidil yang duduk di sebelah Hawa sudah memandang Habib lain macam. Tentu sahaja dia berkomplotdengan isterinya dengan menganggap Habib punya muslihat tersendiri untuk berkahwin dengan Anom Sufi. Bukan dia tidak kenal Habib.

Sejak bersekolah rendah mereka sudah berteman rapat sampaikan kisah luar dan dalam Habib, dia tahu. Sejarah percintaan Habib dan Yana yang terputus di tengah jalan 12 tahun lalu, sudah termasuk dalam diari kehidupannya. Dalam masa 12 tahun itu, dialah tempat Habib meluahkan segala rasa yang terpendam di jiwa. Agaknya kalau dia berbakat menulis, sudah lama dia bukukan kisah cinta Habib yang pilu meruntun jiwa itu.

Habib tetap tenang di kerusinya. Memang sudah diduga sejak awal, itulah tentangan yang bakal dihadapi daripada ahli keluarganya. Justeru, dia tidak boleh cepat melatah. Dia sedar mengahwini Anom Sufi bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya berkait rapat dengan sejarah pahit masa lalunya. Berkait rapat dengan Yana. Respon negatif yang ditunjukkan ahli keluarganya pastilah berpunca daripada percintaannya dengan Yana yang tidak kesampaian.

"Abang ikhlas nak jadikan dia isteri abang..."

"Bukan sebab abang nak kahwin dengan dia sebab muka dia seiras Kak Yana ke?" Hawa memintas jawapan Habib dengan muka berkerut seribu.

Habib diam. Ulasan Hawa itu memang tidak boleh disanggahnya. Dia tidak boleh menipu orang lain apa lagi diri sendiri. Secara jujurnya, memang itu tujuan dia ingin berkahwin dengan Anom Sufi. Tetapi, apa salahnya? Berdosakah dia berkahwin dengan Anom kerana Anom itu seiras Yana? Rasanya, tidak termaktub dalam mana-mana ayat Al-Quran atau Hadis yang mengatakan perkara itu haram hukumnya. Jadi, dia sememangnya tidak bersalah dalam hal ini.

"Kalau abang nak kahwin dengan Sufi sebab teringatkan Yana, umi tak izinkan," bantah Puan Sri Sarah. Dia memang tiada kompromi dalam hal ini. Melainkan jika Habib sudah berbincang tentang itu terlebih dahulu dengan Anom Sufi.

Namun, sudah ke Habib ceritakan pasal Yana kepada Anom? Rasa-rasanya belum. Melihat muka Habib yang nampak keliru, dia sudah tahu itulah yang berlaku.

"Abi tak melarang abang. Yang nak kahwin sekarang ni abang, bukan orang lain. Tapi abang dah habis fikir ke? Dah buat solat istikharah?" tanya Tan Sri Bakri lembut. Dia memang selalu tenang dan lembut dalam tutur kata. Perwatakannya itu menurun kepada Habib dan anak bungsunya, Husna manakala Hawa lebih banyak mewarisi sikap isterinya yang agak keras.

"Dah, abi." jawab Habib.

"Buat berapa kali?" Puan Sri Sarah pula bertanya.

"Baru dua kali."

"Baru dua kali, abang?" Puan Sri Sarah sudah membesarkan mata.

Habib diam. Memang baru dua malam dia bersolat istikharah. Macam mana hendak buat banyak-banyak kali? Baru dua hari dia memasang niat hendak menjadikan Anom isterinya. Jadi, logiklah jika dia hanya dapat buat dua kali.

"Ada apa-apa petunjuk?" soal Tan Sri Bakri.

"Err...belum lagi," kata Habib semacam mengeluh. Dia belum menerima apa-apa alamat dan petunjuk daripada ALLAH. Dia ada bermimpi tetapi tidak pernah mimpikan Anom. Tetapi sejak berniat ingin mengahwini Anom, hatinya lebih cenderung ke arah itu. Malah rontaan hatinya kian hari kian kuat sehinggakan ketika makan dia ingat Anom, hendak tidur pun dia ingat Anom. Sepanjang saat dan ketika dia ingat Anom. Hidupnya memang sudah parah sejak mengenali Anom. Memang kuat pengaruh Anom Sufi ke atas dirinya sekarang ini.

Setahunya, petunjuk yang diberi ALLAH bukan setakat dalam mimpi sahaja tetapi juga daripada gerak hati. ALLAH telah menggerakkan hatinya untuk memikirkan Anom, maka Anomlah yang bakal jadi suri di hatinya. Itulah tekadnya.

"Baru dua kali abang beristikharah. Dah tu tak dapat apa-apa petunjuk. Macam mana abang boleh kata Anom yang terbaik untuk abang?" tanya Puan Sri Sarah tidak puas hati.

"Petunjuk tu boleh juga datang daripada gerak hati, umi. Hati abang berat mahukan dia."

Puan Sri Sarah mengeluh. "Umi tak mahu abang buat keputusan tergesa-gesa. Umi nak abang terus buat solat istikharah. Selagi tak ada apa-apa petunjuk, umi tak benarkan abang kahwin dengan Sufi. Buka mulut kata nak masuk meminang pun tak boleh." Dia meninggikan suara sedikit hanya bertujuan untuk menggertak Habib.

Sebenarnya dia bukan tidak sukakan Anom cuma tujuan Habib hendak berkahwin dengan anak dara Datin Raihana itu yang membuatkan dia pening kepala. Namun, jika sudah jodoh Habib dengan Anom Sufi, dia reda.

"Abang dah pun jumpa papa Sufi tadi. Abang dah sampaikan niat abang pada dia," beritahu Habib tanpa rasa bersalah. Lebih baik dia berterus-terang sekarang daripada terus berselindung. Tidak mahu kecoh-kecoh belakang hari.

"Abang dah jumpa papa dia?" Mata Puan Sri Sarah terbelalak. Besar macam mata ikan jerung.

Habib terdiam. Terkedu melihat reaksi umi. Malah bukan sahaja umi yang terkejut. Abi, Hawa, Syed Aidil dan Husna juga sudah memandang dia lain macam. Muka masing-masing berkerut macam muka orang tua berumur 100 tahun. Keliru dia dibuatnya. Apakah dia terlalu cepat membuat keputusan?

"Apa kata Datuk Adman?" Tan Sri Bakri mengambil alih sesi menyoal daripada isterinya.

"Mulanya susah juga papa Sufi nak beri keizinan. Tapi akhirnya dia setuju bila abang yakinkan dia sungguh-sungguh," jawab Habib jujur.

"Mestilah dia setuju. Bodohlah kalau dia menolak abang. Dia pun tentu suka kalau anak dia dapat kahwin dengan abang. Dapat si Anom Sufi tu pangkat Datin. Huh! Dengan budak tak cukup umur tu pun abang nak kahwin. Macam tak ada orang lain." Hawa bertingkah separuh mendengus.

"Hawa!" Pic suara Tan Sri Bakri naik tiba-tiba. Mata sudah terjegil merenung muka Hawa. Dia memang jarang-jarang memarahi anak-anaknya tetapi sikap Hawa yang sering kali mempunyai pandangan negatif terhadap orang lain betul-betul membuatkan hatinya tersentap.

Hawa mati kata. Muka sudah berubah. Malu apabila ditegur abi di hadapan ahli keluarga lebih-lebih lagi suaminya. Akhirnya dia mendiamkan diri dengan muka mencuka macam asam kelubi.

"Hmm...kalau macam tu kenalah kita buat secara beradat. Bila abang bercadang nak masuk meminang Sufi?" tanya Tan Sri Bakri sekali gus membuat keputusan untuk Habib.

Kata-kata abi membuatkan hati Habib berdebar-debar. "Abang tak fikir lagi pasal tu. Err....abi setuju ke?" Habib menguatkan hati untuk bertanya. Perkara besar macam ini elok dapat pengesahan betul-betul. Buatnya abi hanya bergurau, meranalah dia.

"Perkara elok takkanlah abi nak halang. Mungkin dah sampai jodoh abang. Cuma abi nak nasihatkan abang, bila dah jadi suami nanti, jaga Sufi elok-elok. Muda lagi si Sufi tu. Orang muda ni banyak kekurangannya. Tak berapa matang. Jadi, tanggungjawab abang nanti untuk membimbing Sufi supaya menjadi isteri yang baik. Jangan biarkan dia sendiri bawa haluan hidup dia. Berdosa abang nanti." Panjang lebar nasihat Tan Sri Bakri buat anak sulungnya.

"Abang faham, abi." Habib menganggukkan kepala macam burung belatuk. Dia memahami pesanan abi yang mahukan dia mendidik Anom agar menjadi wanita solehah. Mungkin abi pun tahu Anom Sufi itu jenis perempuan macam mana. Tidak mengapalah. Dia akan jadikan pesanan abi sebagai satu cabaran. Nasihat abi akan tersemat di kepalanya sampai bila-bila.

"Insya-ALLAH nanti kita bincangkan tentang hal peminangan ni. Tak boleh buat suka-suka hati. Kena juga ajak saudara-mara untuk bincang sama," putus Tan Sri Bakri sambil menarik nafas.

Terdiam umi, Hawa dan Syed Aidil mendengar ujaran abi. Husna yang sedari tadi mendiamkan diri terus mengunci mulut. Apabila abi sudah guna kuasa vetonya, yang lain seeloknya usah menyanggah. Keputusan abi melambangkan suara semua kerana abi adalah ketua keluarga.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.