SUDAH
satu jam Anom Sufi menunggu papa di lobi bangunan Menara Jauhari. Naik kebas
punggungnya duduk di sofa panjang berhadapan kaunter pertanyaan. Ikutkan hati
sebalnya, mahu sahaja dia meninggalkan bangunan Menara Jauhari dan pulang ke
rumah. Namun, dia bimbang papa mencarinya. Papa sudah berjanji mahu menghantarnya
pulang. Tetapi sudah setengah jam berlalu, bayang muka papa pun dia tidak
nampak.
Kalau
Anom Sufi tahu papa akan lambat begini, tidak ingin dia mengikut cakap papa. Dia
pun tidak penat menanti papa macam menanti buah tidak gugur. Sudahlah otak dan
tubuhnya letih dari pagi hingga ke petang mendengar leteran pensyarah, papa
pula buat hal. Aduhai....cepatlah papa sampai!
'Mengapalah
aku tak pandai memandu?' Anom mengeluh kesal. Dia bukannya tidak punya lesen
memandu. Ada. Sudah setahun usia lesen memandu kelas Dnya. Tetapi, dia
sebenarnya yang tidak berani memandu kereta. Penakut sangat. Bila memegang
stereng kereta, tangannya menggeletar. Dia jadi begitu sejak terlibat dalam
kemalangan jalan raya masa mula-mula mendapat lesen memandu dahulu. Sejak itu
dia serik. Papa pun tidak menggalakkan dia memandu ke sana sini. Bimbang
terjadi musibah yang lain.
Malas
menunggu di lobi, Anom bangun dari sofa dan melangkah ke pintu lif. Daripada
mati kebosanan menunggu papa turun, lebih baik dia sendiri naik ke atas menjenguk
papa. Manalah tahu kalau-kalau papa pengsan di ofis dan tiada seorang pun stafnya
yang perasan. Hmm...mulalah fikirannya yang resah, merayau-rayau tidak tentu
hala.
Lif
berdenting dan pintunya terbuka. Anom Sufi masuk. Butang nombor 8 ditekan dan
pintu tertutup. Lif bergerak perlahan menuju ke tingkat atas.
Tiba
di tingkat lapan, lif bergegar sedikit kemudian terhenti. Pintunya terbuka. Anom
keluar dan melangkah menghala ke sebelah
kanan. Langkahnya terhenti di pintu kaca yang tertera nama Global Creative Sdn
Bhd, nama syarikat papa.
Daun
pintu kaca ditarik. Sebaik sahaja terlihat muka Anom, gadis penyambut tetamu
yang berambut panjang hingga ke bahu tersenyum lebar. "Nak cari siapa, Cik
Anom?" tanyanya ramah.
"Papa
sayalah!" Anom menjawab sambil menarik
muka masam. Geram betul dia dengan gadis penyambut tetamu ini. Sudah gaharu,
cendana pula. Sudah lama mengenalinya, masih juga mahu bertanya siapa yang mahu
ditemuinya. Tentulah dia mahu berjumpa dengan Datuk Adman, bos syarikat ini. Di
pejabat ini dia bukannya kenal rapat dengan orang lain selain papa dan
abangnya, Syahid.
Bukan
itu sahaja sebab untuk dia naik angin dengan gadis ini. Gadis yang bernama Najwa
itu memanggilnya, Anom. Sudah berkali-kali dipesan agar tidak memanggilnya
Anom, dia tetap dipanggil begitu. Papa pun tidak pernah memanggilnya Anom,
perempuan ini pula yang memandai. Huh!
Anom?
Eeii...benci sungguh dia dengan nama itu. Macam nama orang kampung!
"Datuk
Adman ada meeting. Cik Anom duduk
dulu ya?" Ramah Najwa menjelaskan biarpun muka anak bosnya ini mencerut
macam tidak puas hati.
"Lain
kali jangan panggil saya Anom! Dah berapa kali saya pesan supaya panggil saya,
Ann? Panggil saya Ann, faham?" Meninggi suara Anom. Tidak dihiraukan berpasang-pasang mata yang
memandangnya penuh kehairanan. Apa dia peduli? Ini ofis papa dialah!
"Oh
ya, Cik Ann. Saya terlupa. Cik Ann ada beritahu saya dulu. Maafkan saya ya, Cik
Ann?" Najwa menepuk dahi menyalahkan diri sendiri kerana terlupa. Kemudian
dia tersenyum kelat tanpa memandang muka anak bosnya. Pura-pura membuang
pandang ke arah lain.
Anom
Sufi mencebik. Terlupa konon! Hatinya mencemuh. Dia tidak percaya kepada
kata-kata Najwa. Najwa bukan terlupa tetapi sengaja buat-buat lupa. Mustahillah
Najwa tidak ingat arahan semudah itu? Perempuan itu bukannya budak berumur lima
tahun. Sudah tua bangka.
Lagi
pun bukan sekali dua dia mengingatkan Najwa tentang itu. Hampir setiap kali dia
menjejakkan kaki ke ofis papa, arahan itulah yang dibenamkannya di dalam otak
Najwa. Takkanlah Najwa boleh terlupa? Lainlah jika perempuan ini spesis bebal.
Arahan seringkas itu pun tidak faham.
"Cik
Ann duduk dulu ya? Kejap lagi bila Datuk Adman habis meeting, saya beritahu tentang kedatangan Cik Ann." Pantas
Najwa ulangi kata-katanya tadi sambil jari telunjuknya menuding ke arah sofa
panjang di hadapan meja penyambut tetamu.
Malas
Najwa mahu bertekak dengan anak bosnya yang cukup dikenali sebagai gadis yang
sombong dan sangat bengkeng orangnya. Bertekak pun bukannya dia boleh menang.
Buat perit tekaknya berlawan cakap dengan gadis perasan bagus ini.
Usai
berkata begitu, Najwa meneruskan kerjanya dengan sepasang matanya sesekali melirik
ke muka Anom. Rambut 'berkarat' Anom yang dipotong pendek mengikut stail
potongan rambut Adira, penyanyi terkenal itu menjadi objek tatapan matanya.
T-shirt sendat berlengan pendek yang membaluti tubuh Anom yang sederhana
tinggi, dijelingnya sekali lalu. Serentak dengan itu, bibirnya terjuih. Sombong!
Muka perasan cantik! Berbakul-bakul hatinya menyumpah Anom Sufi.
ANOM
SUFI merebahkan punggung di atas sofa kulit berwarna coklat muda. Majalah Nonadi atas meja kecil di sudut ruang, pantas dicapai.
Diselaknya helaian majalah itu satu demi satu hingga ke muka surat terakhir. Terjuih
panjang bibir comelnya membaca isi kandungannya. Akhirnya, majalah Nona diletakkan
kembali di atas meja kecil. Meluat dia membaca majalah sebegitu. Semua kisah di
dalamnya berhubung kait dengan kaum wanita. Balik-balik cerita tentang fesyen,
resepi dan kisah-kisah orang perempuan. Bosannya!
Tangannya
menyeluk poket jeans ketatnya. Dikeluarkannya Samsung Galaxy S5 dari poket seluar.
Kedua belah kaki diangkat dan diletakkan di atas meja kopi. Dia betul-betul
buat ofis papa macam rumahnya sendiri.
Apabila
telefon bimbit sudah di hadapan mata, jejari halusnya pantas menyentuh muka
skrin. Wajah Qayyum yang menjadi penghias dada skrin ditatapnya lama-lama. Berbuah
senyuman manis di bibirnya. Qayyum! Hatinya
berbisik. Tenang hatinya dapat menatap wajah tampan Qayyum. Wajah yang dikejar
ramai gadis-gadis di kampus. Sudahnya, dalam ramai-ramai gadis, Qayyum memilihnya
sebagai kekasih.
Anom
Sufi pada mulanya terkejut besar dengan keputusan Qayyum. Yalah...dia ini
bukannya cukup sifat keperempuanannya. Perangainya kasar. Berpakaian pun
bukannya reti hendak melawa. Asyik dengan jeans dan T-shirt sendatnya. Nasib
baik muka dia cantik. Kulitnya putih gebu. Agaknya itulah yang membuatkan
Qayyum tersangkut hati. Dalam berfikir begitu, sempat lagi dia 'masuk bakul
angkat sendiri'.
Pun
begitu, dalam sedang asyik mahsyuk bercinta dengan Qayyum, menyelit juga
cerita-cerita yang tidak sedap didengar tentang buah hatinya itu. Teman-temannya
kata, Qayyum tidak setia dengan dia. Selain dia, Qayyum ada spare tyre, seorang penuntut Tahun Satu
yang sama kursus dengannya.
Anom
Sufi tidak percaya dengan kata-kata teman-temannya. Selagi tidak melihat dengan
mata kepalanya sendiri, dia tidak mahu menerima bulat-bulat cerita orang. Semua
itu hanya fitnah yang direka untuk menghancurkan cinta dia dan Qayyum
sementelah ramai yang cemburu melihat dia dan Qayyum bahagia.
Sedang
melayan anganan yang merayau semakin jauh, pintu bilik papa terkuak dari dalam.
Serentak dengan itu kedengaran hilai tawa papa diiringi suara garau seorang
lelaki bertanyakan sesuatu. Pantas Anom Sufi mengangkat kepala sambil tangannya
cekap menyumbat telefon bimbit ke dalam poket jeansnya. Kemudian dia membetulkan
duduk. Buat-buat sopan. Hilang sudah gaya duduknya tadi yang seperti orang
kalah berjudi.
"Terimakasih
kerana sudi singgah pejabat saya, Datuk Habib. Datuk nak terus balik ke? Kalau Datuk
tak sibuk, bolehlah kita keluar makan. Saya belanja." Datuk Adman bersuara
dari muka pintu biliknya.
Lelaki
yang dipanggil Datuk Habib itu ketawa kecil. "Eh...tak apalah, Datuk. Lain
kalilah. Dah petang sangat ni. Lambat keluar nanti, jammed pulak jalan besar tu," katanya, menyambung tawa.
Anom
Sufi menalakan pandangan tepat ke arah papa dan lelaki yang dipanggil Datuk
Habib itu. Habib? Lucu pula dia mendengar
nama itu. Macam nama kedai emas sahaja. Lelaki ini ada 'bau-bau bacang' dengan Meer
Sadik tuan punya Habib Jewels itu ke? Spontan hatinya menelah begitu. Lama
pandangan matanya melekat di muka lelaki di sebelah papa.
Boleh
tahan juga lelaki yang bernama Habib ini. Mukanya tampan biarpun nampak seperti
sudah agak berusia. Orangnya tinggi dan berkulit cerah macam kulit orang Arab. Umurnya
mungkin dalam lingkungan awal tiga puluhan. Mungkin usia sebegitu tidak terlalu
tua bagi sesetengah orang tetapi tua bagi Anom. Eh...dia kan masih muda belia.
Umurnya baru menginjak 19 tahun. Kiranya macam pangkat abang jugalah Datuk
Habib ini. Eh...betulkah abang? Pak cik kot!
Mungkin
terasa dirinya ditenung seseorang, rakan niaga papa itu mengangkat kepala.
Terkejut Anom apabila terasa dirinya pula menjadi mangsa renungan tajam Habib.
Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dia direnung sepasang mata yang
berkening tebal. Dari atas ke bawah, dari bawah ke atas, tubuhnya ditelek macam
orang sedang menilai barang di pasaraya.
'Hei...apa
kena pulak ni? Pandang muka orang macam dah beribu tahun tak pernah nampak
perempuan. Gatal! Miang!' Hati Anom sudah angin semacam. Mujur lelaki itu rakan
bisnes papa. Kalau tidak, laju sahaja mulut tidak berinsurannya ini mahu
menyembur Habib.
"Hai,
Ann! Dah sampai dah. Datang sini dengan apa tadi?" tanya Datuk Adman bila
terperasankan mata teman yang dilawan bercakap sebentar tadi sudah hilang
fokusnya ke arah lain. Segera dia menoleh dan terus terpandangkan Anom.
"Qay
hantar," jawab Anom. Dia tidak bimbang untuk berterus-terang dengan papa
kerana papa sememangnya mengenali Qayyum.
Datuk
Adman mengangguk. "Itu anak bungsu
saya," terangnya kepada Habib. Terus digamitnya Anom supaya datang mendekatinya.
Anom
Sufi buat muka bersahaja. Langsung tidak kisah dengan ajakan papa. Mengapa pula
papa mahu mengenalkan dia dengan lelaki yang nampak gatal semacam itu? Dia
tidak faham. Tidak kenal lelaki itu seumur hidup pun dia tidak kisah. Dia tidak sudi menambah seorang lagi kenalan
dengan lelaki yang hobinya suka merenung muka perempuan.
"Ann!"
Suara Datuk Adman naik satu oktaf apabila anak bungsunya itu buat acuh tidak
acuh. Dia tahu Anom nampak dia menggamit, tetapi entah mengapa Anom seperti tidak
mahu mengendahkannya.
Bila
suara papa sudah macam halilintar, terpaksalah Anom melangkah mendapatkan papa walaupun
kakinya melekat di lantai macam kena gam. Jika dia terus ikutkan keras hatinya,
alamat bakal berasaplah kepalanya nanti kena bedilan leteran papa. Papa kalau
sudah berleter, kalah murai tercabut ekor. Mama pun tidak dapat menewaskan papa
dalam bab berleter ini.
"Ini
saya kenalkan, Anom Sufi." Datuk Adman mengenalkan Anom kepada Habib.
Anom
menganggukkan kepala sambil memandang sekilas wajah Habib. Selepas itu dia
terus tunduk. Memandang sneakers
kuning pekatnya lebih elok daripada memandang muka si tua gatal ini. Hendak
buat apa lagi? Hendak bersalaman dengan si 'Habib Jewels' ini?Eh...jangan
harap!
"Assalamualaikum,
Cik Sufi." Lembut suara Habib menyapa Anom. Pandangan tajamnya membelah
lagi muka Anom yang nampak gelisah berdiri terpacak di hadapannya.
Serta
merta wajah seseorang singgah di tabir matanya. Seseorang yang wajahnya begitu
seiras dengan wajah gadis di hadapannya ini. Dia ke? Takkanlah. Gadis ini
terlalu muda. Adik dia? Saudara mara dia? Teka hatinya lagi. Sudahnya dia
terpaku dengan lidah kelu bagaikan terlekat dengan gam UHU.
Anom
Sufi pula membulatkan mata memandang Habib. Sufi? Ini lagi seorang makhluk
ALLAH yang bakal menerima sumpah seranahnya. Benci betul dia dengan nama
panggilan yang tidak sepadan dengannya itu. Dia bukan seorang yang 'sufi'
sehingga layak dipanggil Sufi. "Panggil saya Ann!" jawab Anom tegas.
Tidak dihiraukan mata papa yang terbelalak mendengarnya bercakap kasar dengan
rakan bisnesnya.
"Ann,
bercakap tu biar sopan sikit." Suara Datuk Adman lembut tetapi berbaur
amaran. Panas hati dia dengan perangai anak perempuan yang tidak makan diajar
ini. Sudah puas dinasihati supaya bercakap dengan lemah-lembut dan bersopan-santun
tetapi Anom tetap dengan perangai kasarnya. Entah bila perangai anak yang
seorang ini akan berubah.
"Datuk...err...Datuk
boleh panggil saya Ann." Kendur akhirnya suara Anom apabila melihat papa
sudah menjegilkan mata. Bukan bermakna dia mengalah kerana sudah kalah. Tetapi
dia tidak mahu memanjang-manjangkan cerita. Akibatnya nanti, papa juga yang
susah kerana kehilangan rakan niaga.
"Tapi
saya lebih suka panggil Sufi. Saya rasa nama Sufi itu lebih sopan dan manis."
Habib tersenyum meleret memandang Anom.
Terdiam
Anom. Kaku. Tiba-tiba dia kehilangan suara. Dia jadi bisu bukan kerana
kata-kata pujian itu tetapi kerana memandang wajah lelaki di hadapannya ini. Terpaku
matanya di muka Habib. Wow! Manisnya senyuman dia. Ada lesung pipit!
"Suka
hati Datuklah nak panggil apa pun," balas Anom dan terus melontarkan
pandangan ke arah lain. Tidak mahu dia pandang muka Habib lama-lama. Nanti ada
pula orang yang perasan. Sudahlah Habib ini jenis lelaki merenyam. Pantang
berjumpa perempuan muda, terus terlupa anak isteri di rumah.
Tentang
nama panggilan Sufi itu, biarlah Habib terus memanggil dia begitu. Lantaklah. Anom
pun selepas ini bukannya berjumpa dengan Habib lagi. Biarlah sekarang ini dia
tadah telinga mendengar nama panggilan yang dibencinya itu meniti di bibir
Habib.
"Saya
nak keluar makan dengan Ann. Datuk nak ikut sekali?" Datuk Adman mempelawa
Habib sekali lagi.
"Tak
apalah, Datuk. Saya nak terus balik rumah. Takut tak sempat bersolat maghrib
bila dah tersangkut kat tengah jalan nanti," tolak Habib lembut.
"Err...Datuk
boleh bersolat maghrib kat sini. Kat ofis saya ni pun ada surau." Datuk
Adman terus memujuk.
"Eh...tak
apa...tak apa. Saya dah janji nak balik awal malam ni. Mengamuk orang kat rumah
nanti bila saya balik lewat. Malam ni ada majlispulak. Lain kalilah, Datuk." Habib beri alasan yang munasabah
untuk menolak pelawaan Datuk Adman.
Mendengar
papa beria-ia mengajak Habib bersolat, Anom Sufi tercengang-cengang. Papa
bersungguh-sungguh mengajak orang bersolat macam orang alim. Sedangkan bukan
begitu hakikat sebenarnya. Di rumah, dia jarang-jarang nampak papa bersolat. Sama
juga dengan mama dan Abang Syahid. Dia sendiri pun bersolat cuma di
majlis-majlis agama yang diadakan di kampus. Justeru, apabila papa mengajak
Habib mengerjakan solat maghrib di pejabatnya, dia susah mahu percaya.
"Kalau
macam tu, okeylah. Mungkin lain kali Datuk boleh dinnerdi rumah saya. Saya dan wife
saya dah lama nak jemput Datuk lunch
atau dinner di rumah kami. Insya-ALLAH,
bila-bila ada kelapangan nanti, kami akan undang Datuk," sambung Datuk
Adman seraya mengiringi Habib ke muka pintu.
"Insya-ALLAH."
Habib mengangguk. Setelah bersalaman dengan Datuk Adman dan memandang sekilas ke
wajah Anom, dia terus melangkah keluar.
"Ann
tunggu papa kejap ya? Bagi papa lima minit. Papa nak habiskan kerja
sikit." Datuk Adman berpaling memandang Anom. Tanpa menanti jawapan Anom,
dia terus berlalu ke biliknya.
'Tidak
habis lagi ke kerja papa?' Anom mengeluh. Kalau macam ini, alamatnya perut dia
bakal mengaum-ngaum macam harimau lapar. Tetapi hendak buat macam mana?
Terpaksalah dia merelakan punggungnya kebas menunggu papa menyudahkan kerjanya.
Bukankah bisnes papa itu sumber rezeki mereka sekeluarga?