Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
137,165
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

"SAYA tak nak kahwin dengan Datuk!" Jeritan Anom sudah mengalahkan pekikan Tarzan dalam hutan.

Kerana terkejut cepat-cepat Habib menjauhkan telefon bimbit dari lubang telinganya. Diurutnya dada sendiri. Aduhai...kalau selalu macam ini, umur belum setengah abad, dia sudah diserang sakit jantung. Tetapi, apabila seringkali dikejutkan begitu tidak mustahil suatu hari nanti, dia yang sihat walafiat akan mendapat serangan jantung juga.

"Kenapa ni, Sufi?" tanya Habib lembut.

Dengan Anom yang berperangai kasar, Habib tidak boleh bersikap kasar. Kena melawan arus dan banyak-banyakkan bersabar. Kalau kedua-duanya 'panas' alamat berperang besarlah mereka. Tidak ke mana hubungan mereka kelak.

"Datuk tak dengar ke apa saya cakap tadi? Saya tak nak kahwin dengan Datuk!" Anom mengulangi kata-katanya. Lebih tegas kali ini.

"Sufi kat mana ni? Abang datang jumpa Sufi ya?" Habib tidak mahu memujuk Anom di dalam talian. Dia mahu memujuk Anom secara berdepan. Lapang hatinya jika dapat menatap wajah comel Anom biarpun wajah itu lebih banyak mencuka daripada manisnya.

"Tak payah!" Anom buat lagak kepala batu.

"Sufi kat kampus ya? Tunggu abang kat situ. Kejap lagi abang datang."

Habis bercakap, Habib tamatkan panggilan. Langsung tidak menunggu Anom membalas kerana dia sudah tahu jawapan Anom. Mesti Anom hendak sambung bertekak dengannya. Daripada membuang masa bertekak, lebih elok dia cepat-cepat pergi pujuk Anom dan tenung muka comel Anom. Hilang juga rindunya yang mendesak-desak ini.

Setelah menutup laptop dan mengemas fail-fail di atas meja, Habib bingkas berdiri. Kot hitam yang tersidai di kerusinya ditarik. Briefcase di atas meja dicapai. Kemudian dia bergegas ke pintu.

Selepas berbincang dari hati ke hati dengan Anom nanti, dia tidak berhajat untuk kembali ke pejabat. Dia mahu ke rumah Anom, bertemu mama dan papa gadis itu. Selepas itu terus memohon restu mereka berdua. Dia tidak mampu menunggu sampai hujung minggu ini baru hendak bertemu bakal ibu dan bapa mentuanya. Tidak mahu dia melambat-lambatkan rancangannya. Risau Anom buat perangai.

Semalam ketika disampaikan hajatnya, Anom tidak membantah. Ingatkan Anom bersetuju, hatinya sudah mula lega. Tetapi, tengahari ini Anom meroyan sampai tidak ingat dunia. Itu yang buat dia pening kepala dan cepat-cepat mahu memujuk Anom.

"Saya nak keluar. Urgent. Lepas ni saya tak balik ofis. Kalau ada hal penting baru call saya," pesan Habib kepada Balqis, setiausahanya.

"Tapi Datuk ada meeting dengan Tan Sri pukul tiga ni..." Balqis tidak menghabiskan ayatnya apabila melihat Habib mengangguk.

"Saya tahu. Nanti saya beritahu Tan Sri," kata Habib. Dia tidak mahu menunggu lama di hadapan meja Balqis. Kena cepat-cepat menghilangkan diri sebelum abi nampak batang hidungnya. Abi kalau sudah terlihat mukanya, jangan harap dia boleh keluar. Abi sangat tegas dalam soal disiplin kerja. Tidak boleh langgar sesuka hati. Kalau dilanggar, tanggunglah sendiri akibatnya.

Habib pun biasanya berdisiplin juga dalam soal kerja. Tetapi, sejak mengenali Anom Sufi, prinsipnya jadi longgar sedikit. Apa tidaknya, waktu pejabat belum habis, Habib sudah menghilang. Kadang-kadang, waktu malam pun Habib tidak lekat di rumah. Ke mana lagi dia pergi kalau tidak bertemu Anom?

Rasa-rasanya umi dan abi pun sedar akan perubahan sikapnya cuma belum berkesempatan menegur. Tidak mengapalah, dalam waktu terdekat ini dia akan heret Anom jumpa umi dan abi. Waktu itu nanti barulah dia akan bongkarkan rahsia mengapa perangainya boleh berubah 200%.

ORANG yang dicari langsung tidak nampak muka ketika Habib tiba di kampusnya. Puas Habib pusing keliling Fakulti Kajian Perniagaan dan Pengurusan untuk mencari Anom, namun tidak nampak langsung bayang gadis itu. Penat Habib bertanya kepada pelajar-pelajar yang hilir mudik di hadapannya, tetapi mereka semua menggeleng kepala. Panggilan telefon apatah lagi, sudah berulangkali dia tekan telefon bimbitnya menelefon Anom, namun satu pun tidak tembus ke talian. Macam sengaja dimatikan.

Habib sudah putus asa. Geramnya dia dengan perangai Anom tidak terkira. Sebaik sahaja bertemu Anom nanti, tahulah dia hendak mengajar gadis kepala batu itu. Dia terasa hendak cubit-cubit pipi gebu Anom kuat-kuat. Biar sampai Anom menangis mengongoi-ngongoi dan berjanji tidak akan buat begitu lagi.

Tetapi, boleh ke dia berperangai ganas begitu kepada Anom? Sedangkan sudah menjadi tanggungjawab suami untuk memberi layanan yang baik dari segi tingkah laku, perbuatan dan tutur kata kepada si isteri. Jika sebelum kahwin dia sudah garang bagaikan singa, tentulah Anom berfikir sepuluh kali untuk jadi isterinya.

Akhirnya dicapainya lagi telefon bimbit. Nombor Anom dicari. Kemudian pantas jari-jemari Habib menaip SMS untuk Anom.

Sufi kat mana? Dah lama abang tunggu Sufi kat kafe fakulti. Sufi datang sini ya?

Habis menaip Habib menekan butang send. Beberapa minit menunggu, SMSnya tidak juga dibalas Anom. Mengeluh Habib dibuatnya. Tidak sabar menunggu, dia taip lagi SMS buat Anom.

Abang tahu Sufi sengaja tak nak cakap dengan abang. Tak mengapalah kalau macam tu. Abang tak nak tunggu lama-lama. Lepas ni abang bercadang nak ke ofis papa. Nak bincang dengan papa pasal perkahwinan kita. Rasa-rasanya abang nak cepat-cepat masuk meminang Sufi. Tak sabar nak jadikan Sufi isteri abang!

Kemudian Habib menekan butang send. Dia mahu lihat tindakan Anom selepas membaca SMS berbaur ugutannya. Dengan orang macam Anom yang degil dan keras kepala, dia kena pandai bermain psikologi. Tidak boleh terlalu berlembut atau terlampau berkeras. Kena mahir membaca fikiran dan mengagak tindakan Anom. SMS yang dihantarnya tadi bertujuan untuk mencelarukan fikiran Anom dan dia percaya sekejap lagi akan berlagulah telefon bimbitnya dengan panggilan daripada Anom Sufi.

Belum sempat memikirkan tindakan berikutnya, Iphone 5nya berbunyi nyaring. Sekilas Habib memandang ke skrin. Nama yang tertera di situ membuatkan senyumannya melebar sampai ke telinga. 'Kan dah cakap, dia mesti call punya', hati Habib berbisik gembira. Dibiarkan peranti itu berlagu beberapa detik sebelum menjawabnya. Sengaja dia tidak mahu menjawab cepat-cepat. Nampak sangat dia yang teruja dan tidak sabar kalau panggilan itu terus dibalas.

"Datuk kat mana ni?"

Suara kasar Anom menerobos lubang telinga Habib sebaik sahaja butang answer call ditekan.

"Abang masih kat kafe," jawab Habib tenang.

"Datuk tunggu situ sampai saya datang! Jangan cuba-cuba nak pergi ofis papa!"

Sehabis berkata begitu, talian terputus. Bunyi tut yang panjang kedengaran. Tidak sampai beberapa saat, Anom sudah menamatkan panggilannya.

Melebar sengihan Habib mendengar bait-bait kata Anom. Berani Anom mengugut dia? 'Tak mengapa, kita tengok siapa yang akan kena nanti', hati Habib berkata-kata. Memikirkannya, Habib langsung jadi teruja. Tidak sabar menanti Puteri Singa datang menjelma di hadapan mata.

Lima minit kemudian, Anom tiba di kafeteria. Gadis itu seorang diri. Tidak nampak muka Emily, si 'kembar siam'nya. Mungkin Emily hanya menghantar Anom ke sini dan kemudian pergi. Telahan itu yang berada di benak Habib.

Anom terus melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan Habib. Mencerut muka Anom merenung Habib. "Datuk ni kenapa tak faham-faham juga? Bahasa apa yang patut saya guna untuk buat Datuk faham?" Tanpa bertangguh, Anom menyerang Habib dengan bahasa kasarnya. Walaupun kasar, nada suaranya diperlahankan kerana tidak mahu ianya sampai ke telinga pelanggan-pelanggan yang memenuhi ruang kafeteria.

"Apa yang abang tak faham ni, Sufi?" Habib sengaja mahu membakar perasaan Anom. Suka sangat melihat Anom Sufi marah-marah. Anom walaupun selalu bengis, kadang-kadang ada juga lucunya. Terhibur dia dengan perangai Anom yang penuh warna-warni.

"Datuk jangan buat-buat tak faham eh? Saya dah cakap tak nak kahwin dengan Datuk! Kenapa Datuk tak faham-faham juga? Kenapa Datuk pandai-pandai nak jumpa papa saya?!" Anom mulakan serangan peluru berpandunya. Cakapnya laju mengalahkan bullet train. Tangannya terkapai-kapai menggayakan kemarahan yang bersarang di segenap jiwa raga. Jari telunjuk sudah berkali-kali diangkat di hadapan Habib, menandakan darjah kepanasan hatinya bukan ditahap yang biasa-biasa.

"Okey....sekarang abang nak tanya Sufi, kenapa Sufi tak nak kahwin dengan abang? Berikan abang tiga sebab. Kalau Sufi boleh beri abang tiga alasan kukuh dan boleh diterima, abang akan batalkan niat abang untuk kahwin dengan Sufi. Tapi kalau alasan Sufi tu tak logik, habis minum ni abang nak Sufi ikut abang jumpa papa." Habib senyum lebar-lebar. Tenang melawan serangan si Puteri Singa yang langsung tidak mahu mengaku kalah. Apabila melihat wajah Anom yang kelam-kabut, dia pasti sangat, kemenangan pasti berpihak kepadanya.

Anom berdecit mulut kemudian menepuk dahi. 'Orang tua ni tak habis-habis dengan tiga sebabnya', sungut hatinya geram. Bukan geram yang sedikit-sedikit tetapi menggunung tingginya. Sehinggakan dia terasa hendak menghempas cawan kopi di hadapan Habib. Biar kopi panas itu memercik terkena muka tampan Habib.

Tetapi, cuak juga hatinya mendengar kata-kata Habib yang di hujung-hujung tadi. Kalau dia kalah, Habib hendak bawa dia berjumpa papa. Kalau sudah berjumpa papa, bermakna dia sudah tidak punya harapan dan terpaksa menurut kata-kata papa. Tetapi dia mana boleh kalah? Pantang datuk neneknya berundur sebelum berjuang!

"Okey, deal. Tapi Datuk jangan cuba-cuba nak menipu pulak ya nanti?" Anom minta kepastian. Tidak mahu selepas dia habis mengutarakan hujahnya, Habib berdolak-dalik. Bukan dia tidak kenal perangai Habib yang suka melencongkan kata-katanya.

"Taklah... Abang janji." Habib tersenyum.

"Sebab kita ni tak sekufu, mana boleh kahwin?" Anom melontarkan suara hatinya tanpa menoleh kiri kanan. Tidak perasan suaranya terkuat sedikit dan dibawa angin sehingga ke segenap ruang kafeteria.

Apabila Anom tersedar, semua pelanggan di situ sudah mula pandang-pandang dia. Ada yang tergelak gelihati dengan tingkahnya. Spontan dia menutup mulut. Aduh! Malunya dia tidak usah cakap. 'Ini semua salah Habib!' Hatinya membentak menyalahkan Habib.

Habib tersengih mendengar perkataan 'tidak sekufu' yang digunakan Anom untuk menggambarkan alasannya. Entah faham entah tidak Anom dengan makna sekufu itu. Agaknya Anom main hentam sahaja. Tidak mengapa. Sekejap lagi dia akan uji tahap pemahaman Anom tentang makna perkataan itu. Tidak sabar dia mahu melihat Anom tergagap-gagap tatkala berbahas dengannya kelak.

"Sebab kedua?" Habib mengangkat kening menentang muka Anom.

"Sebab kedua ialah saya ni masih belajar. Mana boleh suka-suka hati nak kahwin? Nanti kena extendsemester. Saya tak nak macam tu. Saya nak cepat-cepat graduate." Anom memberi alasan mudah berdasarkan pengalaman rakan-rakan sekampus yang berkahwin ketika masih menuntut. Kebanyakan mereka kena menangguhkan pengajian apabila sudah berkahwin. Itu yang dia tidak mahu. Dia mahu menamatkan kuliah seiring dengan rakan-rakan sekelasnya yang lain.

Habib menahan senyum mendengar alasan Anom yang baginya kurang matang itu. Terherot-herot bibirnya cuba menahan gelak yang mahu terburai keluar tetapi ditahannya kerana tidak mahu Anom naik angin. "Okey, abang faham. Sebab yang terakhir pulak, sayang?" usiknya dan sengihnya memanjang apabila melihat mata Anom sudah mula mencerun memandangnya, mendengar dia menyebut 'sayang'.

"Sebab yang terakhir itu merangkumi semua sebab yang diatas tadi," jawab Anom dengan mulut berdecit dan mata yang merenung geram ke arah Habib.

Terburai gelak Habib mendengar jawapan Anom yang diucapkan secara spontan dan bersahaja. Jawapan Anom yang sebiji macam jawapan kertas objektif Bahasa Melayu PMR itu membuatkan dia rasa mahu ketawa berguling-guling.

Dengan tangan masih menekan-nekan perut, Habib memandang muka Anom tepat-tepat. Hari ini dia rasa cukup seronok bersama Anom. Anom Sufi menceriakan hari-harinya yang sebelum ini malap tanpa sinar. Anom Sufi yang tidak pernah membosankannya. Dia percaya hidupnya akan lebih bahagia dan berseri bersama Anom Sufi di sisi.

"Okey, sekarang Sufi dengar pulak apa jawapan abang untuk alasan Sufi tu." Setelah reda gelombang tawa di dadanya, Habib menghirup nafas dengan wajah bertukar serius ketika merenung Anom.

Anom juga memusatkan pandangan ke wajah Habib. Tidak sabar menunggu Habib merungkai kata.

"Apa maksud Sufi dengan tak sekufu tu? Cuba terangkan sikit kat abang." Habib sudah bersedia berbahas dengan Anom dan topik yang akan mereka bincangkan hari ini ialah perkahwinan tidak sekufu.

Mata Anom terkebil-kebil memandang Habib. Tidak menduga itu yang akan disoal Habib. Dia sebenarnya bukan faham sangat maksud sekufu itu. Selalu dia mendengar orang menyebut tentangnya tetapi inti pati di dalamnya dia langsung tidak ambil kisah.

Apa yang dia tahu, perkahwinan tidak sekufu merujuk kepada perkahwinan yang tidak setaraf di antara lelaki dan perempuan. Contohnya, macam dia dan Habib. Habib sudah tua dan dia masih muda. Itu sahaja yang dia faham tentang maksud tidak sekufu itu.

"Eleh...perkara senang pun Datuk tak faham. Tak sekufu tu macam kita nilah. Datuk tua, saya muda. Mana boleh kahwin?" Begitu yakin Anom mengutarakan buah fikirannya.

Tersenyum Habib mendengarnya. Kan dah cakap si Anom Sufi ni memang tak faham? Habib mahu tergelak memikirkan perangai bakal isterinya ini yang suka bercakap main redah sahaja. "Bukan macam tu, Sufi. Maksud sekufu tu ialah perkahwinan yang dikatakan seimbang atau serasi di antara suami dan isteri dari segi agama, latar belakang keluarga, tahap pendidikan dan juga paras rupanya. Perbezaan umur tak termasuk dalam perkahwinan tak sekufu."

"Sufi tak ingat perkahwinan Nabi Muhammad S.A.W dengan Siti Khadijah? Umur mereka berdua terlalu jauh berbeza tapi tetap berjodoh. Lagi pun abang tak boleh fikir apa sebabnya abang tak boleh kahwin dengan Sufi. Kita sama-sama kaya dan sama-sama bijak. Abang handsome dan Sufi pun comel. Mengapa kita tak boleh kahwin?" tegas Habib. Terus dia tergelak bila melihat muka Anom sudah bertukar kelat macam tertelan asam kelubi mendengar hujahnya.

"Tentang sebab yang kedua tu, abang bagi pilihan pada Sufi. Kalau Sufi tak nak extend semester, abang tak kisah. Tapi kalau Sufi nak extend, abang lagi suka." Meleret senyuman Habib setelah menghabiskan ayatnya.

"Kenapa pulak?" tanya Anom tidak faham. Pelik melihat Habib sudah tersengih-sengih macam kena kuman penyakit gatal. Hisy! Apa halnya? Macam ada yang tak kena saja ni! Hatinya mula cuak.

"Yalah...kalau extend semester maknanya kita sure akan dapat baby. Kalau tak dapat baby, buat apa pulak Sufi nak extendsemester? Ke Sufi memang nak kita cepat-cepat dapat baby?" jawab Habib selamba. Kemudian dia tersenyum gelihati melihat muka Anom sudah bertukar menjadi buah strawberi yang masak ranum. Hmm...muka comel Sufinya itu memang cukup menggamit selera dia yang memandang!

Masam-masam kelat muka Anom mendengar jawapan Habib. Eeii...orang tua ini memang suka buat dia macam hendak bertukar jadi kura-kura dan duduk menyorok dalam cengkerang keras. Alahai...malunya dia!

"Sekarang ni dah tak ada alasan kan? Tiga alasan yang Sufi bagi tu langsung tak boleh diterima pakai. So...sekarang, abang menang. Jom ikut abang jumpa papa sekarang." Habib menghabiskan air di dalam cawan dan kemudian bangkit dari kerusi. Lengan Anom yang berbalut T-shirt berlengan panjang berwarna ungu, ditariknya bersahaja menuju ke pintu keluar.

Sudah tangan ditarik, terpaksa juga Anom mengikut langkah Habib. Kalau tidak diikut, malu pula dia kerana orang di sekeliling sudah mula pandang-pandang. Hisy! Habib ini suka benar buat dia rasa macam hendak pakai topi keledar!

Namun, sudah bersediakah dia mahu menghadap papa? Anom tidak tahu juga tidak mahu. Sudah bersediakah dia untuk memegang status isteri? Anom tidak pasti. Dia mengikut sahaja langkah Habib menuju ke kereta dengan perasaan resah mengapung di dada.

Bersediakah dia untuk jadi Datin Anom Sufi? Entah! Dan hati Anom Sufi terasa mahu menjerit. Takut!

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.