ANOM
SUFI sabar menanti kedatangan Habib di pergola. Tadi Habib menghilangkan diri
sebentar kerana mahu mengambilkannya makanan. Bukan dia menyuruh tetapi Habib
yang bersungguh. Ikutkan Anom, dia tidak larat hendak menelan walaupun sebutir
nasi. Hilang selera sejak dipaksa mama ke sini.
Rasa
terkejut Anom melihat Habib tadi masih belum hilang. Tidak sangka pula dia yang
Habib ini anak Tan Sri Bakri. Ketika papa menyuruhnya menemani mama ke mari,
tidak pula papa menyebut apa-apa pasal Habib. Mungkin papa bimbang dia membantah dengan alasan enggan bertemu pemuda itu.
"Jemput
makan, Sufi," pelawa Habib Iqmal. Dihulur pinggan besar berisi nasi bukhari
ayam kepada Anom. Selepas umi 'memperkenalkan'nya dengan Anom sebentar tadi,
dia terus mengajak gadis itu duduk di pergola. Teruja sungguh dia bertemu Anom!
Lalu dia sengaja bawa Anom 'lari' jauh-jauh untuk mendapatkan lebih privasi
bersembang santai dengan gadis ini.
Sejak
bertatapan mata dengan Anom Sufi petang tadi, perasaannya jadi teruja
berlebih-lebihan. Hatinya kini menggelepar semacam. Seraut wajah lembut yang
seiras Anom Sufi tiba-tiba sahaja mengapung di tirai matanya. Wajah Yana. Tiba-tiba
sahaja dia jadi rindu dengan wajah itu. Terlalu rindu.
"Tolong
panggil saya Ann." Mata Anom terjegil dan bibir memuncung memandang Habib.
Geram! Apa tidaknya, sudah dipesan supaya memanggilnya Ann, Habib tetap
memanggilnya Sufi. Namun, dalam geram-geram begitu, tangan kanannya tetap
menyambut pinggan di tangan Habib.
Terbuntang
mata Anom memandang pinggan yang penuh dengan nasi dan lauk pauk. Ini siapa
yang nak makan? Dia atau hantu raya? "Banyaknya? Siapa yang nak makan
ni?" Laju bibirnya meluahkan bicara hati kepada Habib.
Habib
tersenyum memandang Anom. Memukau pandangan Anom dengan senyuman madu yang
dihiasi lesung pipit di kedua belah pipinya. "Sufilah. Saya dah
kenyang," katanya kemudian, sambil menoleh menatap wajah gadis di
sebelahnya.
Cepat-cepat
Anom melarikan pandangan ke pinggan nasi bukhari di tangannya. Hatinya bergetar
tiba-tiba. Dia bukannya boleh memandang muka lelaki berlesung pipit. Pantang.
Bukannya pantang sebab tidak suka tetapi teruja!
"Tapi
nasi ni banyak sangat. Takut tak habis." Pintar otak Anom mencari alasan
untuk tidak terus menatap senyuman berkilo gula di wajah Habib.
"Banyak ke? Sikit aje tu. Saya memang
ambil cukup-cukup untuk Sufi. Kalau Sufi boleh habiskan, dah bagus sangat.
Mudah-mudahan besar sikit badan Sufi yang macam papan sekeping tu," usik
Habib dengan badan menyenget menjeling ke tubuh Anom.
'Amboi...sedapnya
mengutuk badan aku macam papan sekeping?' Melampau betul! Anom naik bengang. "Datuk
ingat perut saya ni tong sampah ke?" Mulalah angin kus-kus dia naik
mencanak. Orang sudah kutuk dia depan-depan, takkan dia hendak duduk diam?
Bukan Anom Sufi namanya tu.
Ketawa
besar Habib mendengarnya. Bukan geli hati mendengar bicara Anom tetapi suka melihat
gelagat Anom yang suka sangat membulatkan matanya apabila naik marah. Nampak
sungguh lucu namun manis di matanya. "Kalau perut Sufi jadi tong dram pun
apa salahnya? Comel apa." Habib belum mahu berhenti menyakat Anom.
Merengus
Anom. Panjang muncungnya bertindak balas dengan lawak jenaka Habib. 'Orang tua
ini kalau terus dilayan, memang boleh pitam', hati Anom mengomel. Sudahnya, dia
mencapai sudu dan mula menyuap nasi ke mulut.
"Sufi
dah kenal umi dan abi saya ya? Mereka ada cakap apa-apa tak?" tanya Habib
tiba-tiba.
"Cakap
apa?" Anom menoleh memandang Habib yang duduk di sebelahnya. Hairan
mendengar rentak suara Habib yang kedengaran menggelabah. Wajah Habib pula
nampak resah semacam. Ada apa sebenarnya ni?
Habib
serba-salah mahu menjawab. "Cakap tentang diri Sufi. Ada ke?"
tanyanya lagi, mahukan kepastian.
'Cakap
tentang diri aku?' Anom mengerutkan dahi. Berfikir. Memanglah tadi Tan Sri
Bakri ada menyebut tentang topik barang naik harga dan hantaran kahwin yang
mahal. Tetapi itu termasuk dalam senarai perkara penting ke? Mungkin penting
bagi orang lain tetapi tidak bagi dirinya. "Tan Sri cakap pasal perkara-perkara
biasa aje. Tak adalah cakap perkara penting," jawab Anom malas.
"Kalau
tak ada cakap apa-apa, tak apalah," sambut Habib dengan wajah berubah
lega.
Mengapa
ya? Pelik sungguh Anom melihatnya.
"Sufi
dah kenal adik-adik saya?" tanya Habib lagi.
Anom
menggeleng kepala. Siapa adik-beradik Habib? Dia tidak kenal. Mungkin
gadis-gadis berpakaian anggun yang duduk berhampiran mereka tadi. Anom nampak
juga mereka menjeling dan tersenyum-senyum ke arahnya namun belum sempat
berkenalan, Habib sudah mengajaknya ke mari.
"Tak
mengapalah. Nanti saya kenalkan Sufi pada adik-adik saya," janji Habib tersenyum
manis memandang Anom.
Anom
mengangguk. Lambat-lambat dia menyudu nasi ke mulut. Dalam hati, dia berasa
pelik dengan reaksi Habib. Beria-ia Habib mahu dia mengenali ahli keluarganya.
Mengapa? Untuk apa? Dia bukannya rapat sangat dengan Habib sehinggakan semua
suku-sakat Habib patut dikenalinya.
"Saya
nak minta tolong satu perkara daripada Sufi, boleh tak?" pohon Habib bila
Anom tenang menikmati hidangan di hadapan mata.
"Apa
dia?" Terteleng sedikit kepala Anom memandang Habib. Cuak juga hatinya
mendengar permintaan Habib itu.
Habib
diam sebentar kemudian tersenyum manis menjeling Anom. "Tolong jangan
panggil saya Datuk. Tak selesalah saya bila Sufi panggil saya Datuk. Terasa
macam dah tua berjanggut saya ni," luah Habib, mengeluh sedikit.
'Memang
pun awak dah tua. Tak sedar dirilah tu', hati Anom berdetik mencemuh Habib. Dia
letak pinggan di sebelahnya kemudian meneguk sedikit air oren dari gelas
minuman yang turut dibawa Habib tadi. "Kalau tak nak saya panggil Datuk,
berhenti panggil saya Sufi." Anom tawar-menawar dengan Habib.
Tanpa
disangka-sangka, Habib mengeluh. "Yang tu susah sikit saya nak ikut,"
tolak Habib lembut.
"Kenapa
pulak?" Anom naik hairan dengan alasan Habib. Jika diikutkan, syarat yang
dia letak itu bukannya berbelit-belit. Tetapi, Habib yang membuatkannya jadi
sukar.
"Nama
Ann tu tak sesuai dengan awak. Saya lebih suka panggil Sufi. Manis nama tu dan
padan dengan awak yang manis juga ni. Untung-untung bila selalu dipanggil Sufi,
awak betul-betul akan jadi insan sufi. Betul tak?" Dalam diam-diam Habib
menasihati Anom secara berlapik.
Tidak
terkata Anom jadinya. Apa yang harus dijawabnya? Soalan Habib itu merupakan
soalan perangkap maut. Kalau jawab betul, sudah pasti berjela-jela ceramah lain
masuk ke lubang telinganya. Penat pula dia menadah telinga nanti. Kalau jawab tidak
betul pula, lagi teruk dia diperli. Akhirnya dia diamkan sahaja soalan Habib
tidak dijawab.
Tetapi, mendengar Habib memujinya manis tadi,
hati Anom Sufi kembang kuncup. Alahai...seronoknya dia tidak terkata. Bukan
selalu dia mendengar orang-orang sekeliling memujinya manis biarpun dia
sememangnya gadis yang cantik manis. Hmm...sudah masuk bakul, angkat sendiri
pula dia. Namun, jika bukan tuan punya badan yang puji diri sendiri, siapa
lagi?
"Lagi
pun kan dah elok papa dan mama bagi nama Anom Sufi tu? Maknanya pun bagus. Kenapa pulak nak ubah-ubah jadi nama lain?
Kat akhirat nanti, nama Anom Sufi tulah yang akan dipanggil, bukannya nama Ann
tu." Habib mula berceramah dengan Anom.
Aduh!
Panas telinga Anom mendengar syarahan Habib. Ini kalau dibiarkan berlanjutan,
pasti bernanah telinga dia menadahnya. Hari ini memang malang nasibnya terserempak
dengan penceramah bebas tidak bertauliah. Nasib badan!
"Saya
sebenarnya dah lama berkenan dengan gadis yang bernama Sufi. Saya selalu
bayangkan orangnya cantik, lemah lembut, bersopan santun dan pakai tudung. Tak
sangka pulak bila saya dah jumpa gadis yang bernama Sufi, orangnya berbeza
betul dengan apa yang saya bayangkan," seloroh Habib, ketawa kecil
memandang Anom.
Kali
ini memang betul-betul bernanah telinga Anom. Muka pula berbahang dek perasaan
malu yang meluap-luap. Apabila Habib mula membanding-bandingkan diri dan
perangainya dengan gadis impiannya, baginya itu perbuatan melampau. "Jangan
nak bandingkan saya dengan orang lain!" Keras suaranya memberi amaran
kepada Habib.
Tercengang
Habib melihat perubahan air muka Anom. "Laa...siapa pulak yang nak
bandingkan Sufi dengan orang lain? Saya cuma beritahu apa yang saya bayangkan
aje. Itu pun Sufi nak mengamuk?" Ketawa besar Habib dengan perangai Anom
yang macam budak kecil.
"Tapi
saya tak suka dengar, Datuk faham tak?"
"Sufi...saya
tak bermaksud nak buat Sufi kecil hati."
"Yalah...okeylah...suka
hati Datuklah nak kata apa. Nak panggil apa pun, saya terima aje." Mengalah
Anom akhirnya. Malas dia mahu berdebat dengan Habib tentang itu. Lantaklah
Habib hendak panggil dia apa. Jika mereka terus bertelingkah tentang topik
nama, nanti sampai ke esok pagi tidak habis. Lagipun dia bukannya akan jadi bff
Habib sehingga patut ambil kisah tentang nama panggilan itu. Entah-entah, malam
ini pun malam terakhir mereka bertemu.
"So..macam mana dengan saya pulak? Sufi
nak terus panggil saya Datuk ke?" Habib menggelabah bila Anom cepat ingin
menamatkan perbualan walhal ada hal yang belum selesai.
"Dah
tu nak panggil apa?" tanya Anom, tidak berminat.
"Yalah...nak
panggil apa ya?" soal Habib semula dengan jari telunjuk mengetuk-ngetuk
kepala. Macam sedang berfikir keras kononnya. Sedetik kemudian dia tersengih.
"Panggil abang?" tanyanya dengan muka tidak malunya.
Abang?
Macam bola mata Anom memaku muka Habib. Layakkah Habib dipanggil abang? Kalau panggilan
pak cik, tidak perlu diperdebatkan, tentunya lebih sesuai.
"Saya
dah ada abang, saya tak nak abang yang lain." Anom beralasan. Loya tekaknya
mahu memanggil Habib, abang.
"Memanglah
Sufi dah ada abang. Saya pun bukannya mahu jadi abang Sufi. Panggilan abang tu
sekadar menghormati orang yang lebih tua dari Sufi. Dah tu takkan Sufi nak
panggil saya Habib aje? Tak kurang sopan ke namanya tu? Ataupun Sufi nak
panggil uncle? Rasa macam tua sangat
saya ni." Panjang keluhan Habib. Mukanya monyok macam baru lepas tertelan
asam jawa.
Anom
tidak menyahut. Berfikir secara waras sebenarnya. Jika direnungkan, memang
betul kata-kata Habib itu. Panggilan abang itu sekadar panggilan hormat untuk lelaki
yang lebih tua daripada kita. Mengapalah
dia cepat sangat tersalah anggap terhadap Habib? Siapa yang sebenarnya
'perasan'? Dia atau Habib? Begitu pun, hatinya tetap enggan memanggil Habib,
abang.
"Nanti
kalau kita jumpa lagi, Sufi panggil saya, abang ya?" desak Habib yang
macam tidak sabar-sabar mahu mendengar jawapan Anom.
Anom
berat mulut mahu menjawab. Lebih-lebih lagi apabila mengesan riak-riak gatal
dalam nada suara Habib. Betul ke Habib ada maksud lain atau dia sahaja yang
berprasangka begitu?
"Tak
kuasalah saya nak berabang-abang ni." Anom bangun meninggalkan Habib
sendirian di pergola. Daripada dia pening kepala melayan perangai gatal Habib, ada
eloknya dia segera angkat kaki.
"Sufi
nak ke mana tu?"
"Nak
balik!"
"Eh!
Nantilah. Saya belum kenalkan Sufi dengan adik-adik saya. Mari ikut saya.
Mereka ada kat sana." Habib tegah Anom daripada meninggalkannya. Mulutnya
memuncung ke arah kolam renang tempat adik-adiknya sedang duduk santai.
"Lain
kalilah. Saya nak balik cepat ni. Banyak kerja." Cerdik betul otak Anom
memberi alasan. Mama yang belum puas bersembang dengan rakan niaganya belum
tentu mahu pulang awal. Silap-silap dia pula yang bakal terpacak macam patung menanti
mama.
"Banyak
sangatlah kerja Sufi tu. Macamlah saya percaya." Habib mencemik muka.
Memerli. "Dah...jom ikut saya!" Habib main paksa sahaja. Dia menarik
sedikit T-shirt Anom menuju ke kolam renang.
"Yalah...yalah."
Akur Anom akhirnya. Tidak kuasa dia mahu terus berkeras dengan Habib.
Lebih-lebih lagi apabila orang sudah sudah mula pandang serong ke arah mereka
berdua. Huh! Ini Habib punya pasal. Suka sangat menarik perhatian orang!
Hatinya membentak.
Anom
pantas menarik hujung bajunya yang sedang dipegang Habib dan berjalan laju
menuju ke kolam renang.