Home Novel Cinta DIA HANYA UNTUKKU
DIA HANYA UNTUKKU
Rozita Abd. Wahab
1/3/2013 09:06:45
55,066
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

ALISSA mengeluarkan bekalan yang dibawa dari rumah, petang semalam dia memasak untuk makan malam. Bakinya dibawa ke pejabat, tidak perlu dia keluar untuk makan tengahari. Puan Noriah dan Yuhanis sudah keluar selepas dia menolak ajakan mereka.

“Alissa, tak keluar makan?” Syed Hadif muncul di ruang pentry sambil memegang mug yang sudah kosong.

“Saya bawa bekal Tuan Syed,” jawab Alissa sambil tersenyum. Dia sudah bersedia hendak menjamu selera.

“Hmm sedap baunya, masak lemak cili api. Awak masak?”

“Semalam terlebih masak, sayang nak dibuang, Saya bawa hari ini.”

Syed Hadif mencuci mug kemudian menuang air kosong ke dalam mug.

“Tuan Syed tak keluar makan ?” tanya Alissa sekadar berbahasa. Kekok pula rasanya berdua-duaan di ruang pentry yang sempit itu bersama Syed Hadif.

“Sibuk, banyak kerja yang belum siap.”

“Kalau nak rasa masakan saya, marilah, nasi ni saya masak pagi tadi, banyak juga, tak terhabis saya sorang.” Alissa mempelawa, sekadar bermanis mulut tapi sememangnya nasi yang dibawa agak banyak.

Syed Hadif menarik kerusi, berminat dengan pelawaan Alissa, memang dia menggemari masak lemak cili api, apa lagi kalau masakan orang negeri sembilan.

Alissa bangun untuk mengambil pinggan. Dimasukkan sebahagian dari nasi yang dibawa ke dalam pinggan kemudian dihulurkan pada Syed Hadif.

Syed Hadif makan dengan berselera, masak lemak cili api disertakan dengan telur goreng, perut sedang lapar, tentulah sedap, tapi masakan Alissa kena dengan seleranya. Tidak segan silu dia menyuap nasi ke mulut cuma Alissa yang agak kekok, mungkin dia merasa segan bila mereka makan berdua begitu, apa kata pekerja lain kalau melihat mereka di situ.

“Amboi, Tuan Syed bawa bekal ke ?” Puan Noriah muncul di pintu pentry, dia mencari Alissa. Terkejut juga melihat Syed Hadif sedang menjamah makan tengahari bersama Alissa.

“Alissa offer saya makan masakan dia, boleh tahan juga,” pujian ikhlas dari Syed Hadif.

Alissa tersenyum malu, entah apa yang ada di fikiran Puan Noriah ketika itu.

“Sesekali makan free ni sedap juga.” Besar tawa Syed Hadif sebaik menghabiskan ayatnya

Puan Noriah turut sama tertawa, begitu juga dengan Alissa, sekadar untuk menutup kegugupan yang bertandang di hatinya, resah memikirkan pandangan Puan Noriah. Apa pula kata orang lain kalau mengetahui tentang perkara itu. Alissa mula dirasuk bimbang.

“Terima kasih Alissa. Sedap masakan awak, lain kali bawa lebih sikit, boleh saya tumpang sekaki.” Syed Hadif bergurau.

Alissa tersenyum, serba tidak kena pula rasanya. Bukan disebabkan pujian Syed Hadif tapi bimbang andai ada yang memandang serong pula. Puan Noriah mungkin tidak akan berfikir yang bukan-bukan tapi rakan-rakan yang lain dia tidak pasti hati budi mereka.

Syed Hadif berlalu ke biliknya, masih dengan senyumannya. Inilah kali pertama dia merasa masakan Alissa, boleh tahan juga rasanya. Alissa berasal dari utara tanah air tapi pandai pula Alissa memasak masak lemak cili api. Tiba-tiba sahaja Syed Hadif sendawa… dia tertawa sendiri. Kali pertama juga dia merasa masakan pekerjanya. Memang jarang sekali pekerjanya membawa bekal dari rumah, jika ada pun tidak pernah dia dijemput sama.

Kepalanya disandarkan di sofa, perut sudah kenyang. Mata terasa mengantuk pula. Jika dilayan mahu tertidur nanti. Ada baiknya dia meminta Alissa menyediakan kopi untuknya. Minuman yang jarang-jarang sekali diambil. Syed Hadif melangkah ke mejanya kemudian menekan butang di telefon di atas meja.

“Alissa.”

“Ya Tuan Syed.”

“Buatkan kopi untuk saya.”

“Kopi!”

“Ya.. kopi, pekat sikit ya. Dah kenyang ni, mengantuk pula.” Syed Hadif tertawa kecil. Ada kekejutan di dalam nada suara Alissa. Mungkin terkejut kerana hari ini dia meminta gadis itu menyediakan kopi untuknya.

“Okey Tuan Syed.”

Syed Hadif duduk semula di sofa yang disediakan di sudut biliknya. Matanya benar-benar terasa mengantuk, dipejamkan matanya, cuma untuk seketika. Alissa akan mengejutkannya nanti semasa menghantar kopi untuknya.

Alissa masuk ke ruang pentry. Siti Maryam tidak berada di situ. Dibuka kabinet di bahagian atas, di tempat Siti Maryam menyimpan milo yang selalu diambilnya. Terdapat sebuah bekas kecil yang berisi serbuk kopi. Alissa segera menyediakan kopi seperti yang diminta oleh Syed Hadif. Abahnya memang penggemar kopi, dia sudah biasa menyediakan kopi untuk abah. Tidak ada masaalah baginya hendak menyediakan kopi untuk Syed Hadif cuma inilah kali pertama Syed Hadif meminta kopi. Minuman kegemaran Syed Hadif adalah milo.

Daun pintu diketuk perlahan, tiada jawapan dari Syed Hadif. Alissa menanti untuk seketika. Mungkin Syed Hadif sudah terlena dek kerana kekenyangan. Banyak juga nasi yang dimakan oleh Syed Hadif bersamanya tadi. Alissa memulas combol dan menolak daun pintu perlahan. Tepat jangkaannya, Syed Hadif sudah terlena sambil bersandar di sofa.

Alissa letakkan mug berisi kopi di atas meja.

“Tuan Syed.” Alissa memanggil nama ketuanya itu. Hendak mengejutkan Syed Hadif, tapi suaranya agak perlahan. Bimbang dia akan mengejutkan Syed Hadif pula. Tapi Syed Hadif masih terlena, terpejam rapat matanya. Gayanya seperti orang keletihan, tidurnya seperti anak kecil yang letih bermain.

Alissa tersenyum. Masih berkira-kira perlukah dia mengejutkan Syed Hadif. Dia teringatkan temujanji yang perlu dihadiri oleh Syed Hadif pada jam 4 nanti. Ada baiknya dia mengejutkan Syed Hadif.

“Tuan Syed.” Sekali lagi Alissa memanggil nama Syed Hadif tapi lelaki itu masih begitu juga.

Alissa sedar dia tidak punya pilihan, dia harus mengejutkan Syed Hadif juga. Alissa menyentuh bahu Syed Hadif, niatnya mahu mengejutkan Syed Hadif, itu sahaja.

“Tuan Syed.” Nama Syed Hadif dipanggil lagi dan tangannya menggoyang bahu Syed Hadif.

Lambat-lambat Syed Hadif membuka matanya. Masih terasa mengantuk. Di hadapannya ketika itu berdiri seorang gadis. Lama Syed Hadif merenung wajah gadis tersebut. Alissa… Alissa setiausahanya. Syed Hadif membesarkan bukaan matanya. Dia tertidur dan Alissa masuk ke bilik itu untuk mengejutkannya.

“Tuan Syed minta kopi tadi,” ujar Alissa.

Syed Hadif mengangguk. Termalu pula dia, Alissa mengejutkan dia yang terlena. Entah berapa lama Alissa terpaksa mengejutkannya.

Sorry, susahkan Alissa.”

Alissa hanya tersenyum.

Syed Hadif betulkan bajunya.

“Saya keluar dulu.”

Syed Hadif mengangguk. Mug berisi kopi yang masih berasap sudah berada di tangan lalu dikesip sedikit. Hmm… sedap rasanya.

“Alissa.” Syed Hadif menyeru nama Alissa. Gadis itu sudah berdiri di hadapan pintu bilik.

Thanks… sedap,” ucap Syed Hadif sambil mengangkat sedikit mug di tangan.

Alissa mengangguk, masih dengan senyumannya. Combol dipulas dan daun pintu segera ditolak. Dia mahu ke surau untuk mengerjakan solat zohor sebelum meneruskan tugasnya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.