“ASSALAMUALAIKUM
Tuan Syed.” Alissa memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Syed Hadif membetulkan
kedudukannya. Alissa masuk ke dalam biliknya sebaik saja dia memanggil. Gadis
itu kelihatan lebih bersedia hari ini, tidak seperti semalam.
“Pagi ni Tuan Syed ada appointment dengan Syarikat Saujana di pejabat Encik Kamarul jam
11:00 pagi. Sebelah petang Tuan Syed ada meeting
dengan Dato’ Mustaffa dan Semua Pengurus Jabatan di bilik mesyuarat di tingkat
10.” Alissa membacakan agenda Syed Hadif yang tertulis di dalam diari di
tangannya.
“Tolong call
Encik Kamarul, batalkan appointment
hari ini, tunda ke hari lain, tanyakan bila dia ada waktu lain untuk bertemu
dengan saya.” Syed Hadif memberi arahan.
“Baik Tuan Syed, oh ya tadi ada call untuk Tuan Syed dari seorang wanita, namanya Asmidar, dia
minta Tuan Syed return call.” Alissa
meletakkan kertas yang sudah tertulis no telefon Asmidar di atas meja Syed
Hadif.
“Okey, terima kasih,” ucap Syed Hadif.
“Ada apa-apa lagi Tuan Syed ?” tanya Alissa.
“Sekejap, surat yang awak taip semalam, saya dah
tengok, bagus. Ada kemajuan dengan kerja awak, cuma betulkan sedikit yang saya
tandakan,” ujar Syed Hadif.
Kertas di tangan Syed Hadif bertukar tangan, Alissa
membaca sekilas, tidak banyak yang perlu dibetulkan.
“Bila Tuan Syed nak surat ni ?”
“Sebenarnya saya perlukan surat tu untuk dibawa ke
Syarikat Saujana, tapi since appointment
dah ditunda, so awak siapkan kerja
lain dulu.”
“Itu saja Tuan Syed ?”
Syed Hadif mengangguk.
“Saya keluar dulu Tuan Syed.”
Syed Hadif mengangguk.
Alissa melangkah ke pintu.
“Sekejap, tolong buatkan air untuk saya, tak sempat
bersarapan di rumah. Kak Yam hantar minuman pukul 9:30,” pinta Syed Hadif.
Tekaknya terasa haus pula.
“Tuan Syed nak minum apa ?”
“Milo.”
“Baik Tuan Syed.” Alissa memulas tombol pintu,
kemudian melangkah keluar, pintu ditutup semula dengan cermat.
Syed Hadif bersandar di kerusinya, terukir senyuman di
bibirnya bila mengingatkan Alissa, setiausaha yang baru bertugas dengannya
semalam. Alissa bercakap seperti membaca skrip, seolah-olah setiap ayat yang
dituturkan sebentar tadi sudah dikarang terlebih dahulu dan dihafal sebelum
bertemu dengannya.
Termasuk Alissa, sudah empat orang setiausahanya, yang
tiga sebelum ini tidak bertahan lama, dia sendiri agak pelik kenapa mereka
tidak dapat bekerja dengannya. Dia bukannya orang yang suka menengking atau
memarahi mereka sesuka hati. Dia hanya meminta kerja disiapkan dengan secepat
mungkin dan memuaskan.
Laila setiusahanya yang pertama, janda anak dua. Wanita
itu agak agresif, pakaiannya terdedah sana-sini walaupun statusnya janda, dia
rimas dengan cara penampilan Laila hinggalah suatu hari Laila cuba menggodanya
sewaktu dia sedang sakit kepala di dalam biliknya. Sejak hari itu dia mula cuak
dengan Laila, tiada lagi kemesraan antara mereka, lantas Laila minta ditukarkan
ke jabatan lain, alasannya tidak tahan bekerja dengan Syed Hadif.
Anita setiausaha kedua, gadis ini terlalu sensitive. Ditegur
sedikit, mula tarik muka empat belas. Kerja yang diberi selalu tertangguh,
sudahnya dia sendiri yang terpaksa menyiapkan kerja yang diberi kepada Anita.
Setiausahanya yang ketiga, Marina. Gara-gara ditangkap
berkhalwat di dalam pejabat dengan teman lelakinya, Marina meletakkan jawatan
dengan notis dua puluh empat jam, tentu terasa malu dengan kes yang terjadi ke
atas dirinya.
Syed Hadif menggeleng kepala, harap-harap Alissa akan
kekal lama, dapat bekhidmat dengannya selama mungkin. Dia sendiri sudah malas
bertukar setiausaha. Kerjanya menjadi sukar bila terpaksa mengarahkan itu dan
ini.
Pintu biliknya diketuk dari luar.
“Masuk.”
Alissa menolak daun pintu, mug berisi air milo yang
diminta Syed Hadif ditatang di atas dulang. Dia sendiri berdebar-debar, apa
rasanya minuman yang disediakannya, risau juga jika Syed Hadif tidak gemar
dengan minuman itu. Setiap orang berlainan citarasanya.
“Minumannnya Tuan Syed.” Alissa letakkan mug di atas
meja.
“Terima Kasih,” ucap Syed Hadif.
“Ada apa-apa lagi Tuan Syed?”
“Okey, Alissa boleh teruskan kerja, kalau ada apa-apa
nanti saya panggil.”
Alissa berlalu tapi dadanya masih berdebar bila
mengingatkan minuman yang disediakan untuk Syed Hadif, sedap atau tak sedap,
terlebih gula atau tawar.
“Selamat pagi Kak Yam.” Alissa menyapa Siti Maryam
sebaik saja wanita itu memberhentikan troli berisi mug yang bersusun dan cerek
berisi minuman, ada 2 buah cerek. Semalam dia sudah berkenalan dengan Siti
Maryam sewaktu wanita itu menghantar minuman petang.
“Selamat pagi, ini minuman untuk Tuan Syed, Alissa
hantarkan ya.” Siti Mariam meletakkan mug berisi air milo di atas meja Alissa.
“Tak apalah Kak Yam, biar Lis yang minum, tadi Tuan
Syed minta Lis buatkan air untuknya, katanya dia tak sempat bersarapan di
rumah,” ujar Alissa. Bimbang Siti Maryam berkecil hati pula.
“Tuan Syed tu cerewet sikit. Kak Yam, kalau buat air
untuk dia mesti risau, nanti ada saja yang tak kena, hari-hari buat pun tak
kena juga,” komen Siti Maryam.
Alissa menahan debar, mungkin minuman yang dibuat tadi
untuk Syed Hadif juga tidak menepati citarasanya.
“Tak apalah Kak Yam, nanti saya rasa minuman yang Kak
Yam buat ni, kalau Tuan Syed minta saya buatkan, tahulah saya macam mana nak
buat minuman untuk dia.” Alissa cuba mengambil hati Siti Maryam.
“Kak Yam lagi suka kalau tak perlu buat minuman untuk
Tuan Syed.” Siti Maryam
bersungguh-sungguh.
“Kenapa ?”
“Cerewet Tuan Syed tu.”
Alissa tertawa, riak wajah Siti Maryam menunjukkan
perasaannya waktu itu, tapi benarkah Syed Hadif begitu cerewet, hingga
minumannya juga mesti menepati citarasanya.
Siti Maryam berlalu sambil menolak troli yang masih
berisi mug, dia meletakkan mug ke atas setiap meja yang berpenghuni, sudah
sedia maklum minuman kegemaran setiap pekerja di situ.
Telefon di atas mejanya berdering.
“Syed Hadif office,
good Morning.”
“Syed Hadif please.”
“May I know
whose on the line ?”
“Asmidar.”
“Okey, hold on.”
Alissa menekan butang hold, kemudian ditekan nombor
sambungan Syed Hadif, dia sudah belajar bagaimana hendak membuat panggilan di extension lain dan bagaimana hendak
menyambung panggilan kepada Syed Hadif.
“Tuan Syed, ada call
dari Cik Asmidar.”
“Sorry
Alissa, saya tak nak bercakap dengan dia, tolong berikan apa-apa alasan.”
“Baik Tuan Syed.”
Alissa termenung sejenak, wajarkah dia berbohong, tapi
itu kehendak Tuan Syed, tak apalah, bohong sunat. Dia cuma menyampaikan saja,
alasan apa yang hendak diberikan.
Butang hold
ditekan semula.
“Cik Asmidar, Syed Hadif ada discussion sekarang.” Alissa memberi alasan, hanya itu yang terlintas
di fikirannya waktu itu.
“Betul ke ?” Asmidar menduga, kurang percaya dengan
alasan yang diberikan oleh gadis yang menjawab panggilannya. Awal pagi tadi
gadis itu juga yang menjawab panggilannya, sudah disampaikan pesan supaya Syed
Hadif menghubunginya semula.
“Ya Cik Asmidar, saya tak perasan, ada staff masuk ke bilik sebentar tadi.” Bohong
lagi, Alissa mula mengira.
“Sudah sampaikan pesan saya ?”
“Saya dah berikan no telefon Cik Asmidar pada Syed
Hadif,” ujar Alissa. Kali ini dia bercakap benar.
Sepi seketika.
“Boleh saya tahu siapa yang bercakap ?”
“Saya Alissa, setiausaha Syed Hadif .”
“Baru bekerja ?”
“Baru semalam.”
“Okeylah, terima kasih.”
“Ada pesanan untuk Syed Hadif ?”
“Kalau saya minta dia return call pun, belum tentu dia call saya.”
Alissa terdiam, tidak tahu bagaimana hendak membalas
kata-kata wanita di hujung talian.
“Tak apalah, nanti saya call semula.”
“Ya Cik Asmidar. Assalamualaikum.”
Alissa meletakkan gagang, susah juga jadi setiusaha
ni, terpaksa berbohong kerana bos tidak mahu bercakap dengan orang tertentu.
Pasti Asmidar kurang yakin dengan alasannya kerana dia meminta wanita itu
menunggu sebentar tadi. Sepatutnya Syed Hadif sudah memberitahunya kalau dia
tidak mahu bercakap dengan wanita itu.
Telefon di atas mejanya berbunyi.
“Ya Tuan Syed.”
“Alissa, masuk sekejap.”
“Baik Tuan Syed.” Alissa bingkas bangun, dibetulkan
baju kurungnya sebelum masuk ke dalam bilik Syed Hadif. Pintu diketuk terlebih
dahulu sebelum daun pintu ditolak ke dalam.
“Ada apa Tuan Syed ?”
“Kalau ada call
untuk saya dari Asmidar, berikan apa-apa alasan, saya tak mahu bercakap dengan
dia,” pesan Syed Hadif.
Alissa diam, perlukah dia mengangguk.
“Satu lagi, kalau ada yang minta nombor hand phone saya, jangan berikan, tanya
dulu dengan saya.” Syed Hadif berpesan lagi.
Alissa mengangguk.
“Tuan Syed, perlukah saya tahu nombor hand phone Tuan Syed ?” Alissa mengutuk
dirinya selepas bertanyakan soalan itu, dia terus bersuara tanpa berfikir
terlebih dahulu.
Syed Hadif tersenyum, Alissa masih muda dan mentah,
terasa lucu pula dengan soalan itu, dikerling ke arah Alissa sambil menulis nombor
telefon bimbitnya di atas kertas kecil, wajah gadis itu merona merah.
“Tentu Awak perlukah nombor hand phone saya.” Syed Hadif hulurkan kertas kecil di tangannya
pada Alissa.
“Terima kasih Tuan Syed. Ada apa-apa lagi Tuan Syed?”
Syed Hadif diam sejenak.
“Lain kali kurangkan manis milo tu, saya tak minum
manis.” Itu komen Syed Hadif untum minuman yang disediakan oleh Alissa
untuknya.
“Ya Tuan Syed.” Alissa mengatur langkah ke arah pintu,
lebih baik dia segera beredar dari situ, perasaan malunya pada Syed Hadif belum
reda kerana bertanyakan soalan bodoh itu.
Syed Hadif menggeleng dan ketawa.
Alissa memasukkan kertas fax yang diberikan oleh Syed Hadif semalam ke dalam 2D Ring file. Kata Puan Noriah selama
ketiadaan setiausaha, Syed Hadif banyak meminta bantuan darinya itupun jika dia
benar-benar memerlukan pertolongan. Syed Hadif lebih suka membuat kerja-kerja
yang remeh itu sendiri, dia tidak mahu mengganggu tugas Puan Noriah.
Dokumen-dokumen yang dihantar oleh pelanggan di
masukkan ke dalam fail lain, hampir kesemua dokumen yang diberikan Syed Hadif
sudah siap dimasukkan ke dalam fail.
“Alissa, nak keluar makan ?” Puan Noriah kuatkan
suaranya. Dia masih duduk di tempatnya.
Alissa menjeling jam di tangan, sudah jam 1:00
tengahari tapi Syed Hadif belum keluar. Wajarkah dia keluar jika Syed Hadif
masih di dalam pejabatnya.
“Tak apalah Kak Nor keluar dulu, sekejap lagi Lis keluar,
Tuan Syed masih di dalam,” ujar Alissa.
“Alissa, Tuan Syed tu kalau dah buat kerja tak ingat
makan, lebih baik Alissa ingatkan dia, tanyakan samaada dia nak keluar atau
tidak, kalau dia tak nak, tanya samaada dia nak kirim atau tidak.”
Alissa merenung wajah Puan Noriah, kata-kata itu
seperti arahan, tapi memang ada kebenarannya. Puan Noriah lebih mengenali Syed
Hadif, tentu dia tahu sifat Syed Hadif.
“Tanya dulu, Kak Nor tunggu, jangan kamu pula yang tak
makan.” Puan Noriah beredar ke tempatnya.
Alissa meletakkan fail di tangannya, diatur langkah ke
arah pintu bilik Syed Hadif.
Pintu diketuk dan dia menanti Syed Hadif bersuara.
“Masuk.”
Alissa menolak daun pintu kemudian melangkah masuk.
“Tuan Syed tak keluar makan ?” tanya Alissa.
Syed Hadif melihat jam di tangannya, sudah waktu makan
tengahari, tapi laporan itu perlu disiapkan untuk mesyuarat petang ini.
“Alissa keluar makan ?” Syed Hadif pula yang
bertanyakan soalan yang sama.
“Puan Noriah ajak saya.”
“Okey, Alissa tolong belikan Big Mag meal.” Syed Hadif menyeluk kocek seluarnya kemudian
menghulurkan dua keping wang kertas bernilai sepuluh ringgit.
“Itu saja Tuan Syed ?”
“Bakinya Alissa simpan, mungkin saya nak kirim lain
kali.”
Alissa mengangguk, mungkin Syed Hadif sudah terbiasa
mengirim makan tengahari dengan pekerjanya sebab itu Puan Noriah meminta dia
bertanya.
Puan Noriah merapati meja Alissa sebaik saja gadis itu
duduk di tempatnya.
“Macam mana ?”
“Tuan Syed kirim Big
Mag meal.”
Puan Noriah tersenyum.
“Okeylah tu, kita makan di M’Donald.”
Alissa hanya menggangguk. Dia bergantung harap pada
Puan Noriah, dia tahu di mana letaknya restoran makanan segera M’Donald yang berdekatan dengan kawasan
itu.
Puan Noriah membawa Alissa ke sebuah kompleks membeli
belah yang terletak berselang dua buah bangunan dari bangunan tempat dia
bekerja.
Terdapat banyak kedai makanan dan bermacam jenis kedai
di situ, dia hanya mengikut langkah Puan Noriah hinggalah dibawa masuk ke dalam
sebuah restoran makanan segera M’Donald.
Alissa beratur di belakang Puan Noriah, matanya liar memerhatikan menu yang
terpampang di bahagian atas. Big Mag meal,
ada tiga saiz pula, tidak pula Syed Hadif menyebut saiznya.
“Kak Nor, nak ambil size mana untuk Tuan Syed?” Malu-malu
Alissa bertanya pada Puan Noriah. Dia tidak tahu size mana yang menjadi pilihan
Syed Hadif.
“Lis order large
untuk Tuan Syed,” jawab Puan Noriah.
Alissa tersengeh. Mujur ada Puan Noriah, jka tidak
mati kutulah dia jawabnya.
Puan Noriah sudah membayar harga makanannya kemudian
menatang dulang berisi burger dan beredar dari situ.
“Selamat tengahari, Cik nak order apa ?” Gadis yang berada di kaunter bertanya dengan senyuman
menguntum.
“Berikan saya dua set Big Mag meal, satu kecil dan satu lagi besar.”
“Makan di sini atau bawa balik ?”
“Yang kecil makan di sini dan yang besar untuk di bawa
balik.”
“Okey, saya ulang pesanan Cik. Satu Big Mag meal large dan satu small.”
“Ya.” Alissa mengangguk. Dikerling harga yang tertera
di skrin mesin pengira di hadapannya. Gadis itu mengambil makanan yang dipesan
kemudian diletakkan di dalam dulang yang sudah diletakkan di hadapan Alissa.
Alissa menghampiri meja yang diduduki oleh Puan
Noriah, wanita itu sedang mengunyah burger yang dibukakan sedikit pembalutnya.
Alissa membuka kotak yang berisi Big Mag. Besarnya, mampukah dia menghabiskan
burger itu.
“Boleh habis ke?” tanya Puan Noriah.
Alissa tersenyum kelat, Puan Noriah dapat membaca apa
yang ada di fikirannya.
“Kalau Kak Nor, makan sikit-sikit, ambil bahagian atas
dulu, lepas tu baru yang bawah,” ujar Puan Noriah.
Alissa tersenyum sahaja.
Selesai menjamah makan tenghari mereka kembali ke
pejabat, Alissa tidak menghabiskan Big
Magtersebut, besar sangat.
Alissa mengetuk pintu bilik Syed Hadif kemudian
menolak daun pintu sebaik saja Syed Hadif menyuruh masuk.
“Makanannya Tuan Syed.”
“Okey, letak di situ. Alissa dah makan ?”
“Sudah Tuan Syed. Saya keluar dulu.” Alissa meminta
diri.
Syed Hadif mengangguk, dicapai minuman yang diletakkan
di atas mejanya. Tekaknya terasa haus.
Telefon di atas mejanya berbunyi. Pantas Alissa
mengangkat gagang dan merapatkan ke telinga.
“Syed Hadif office,
good afternoon.”
“Alissa ?”
“Ya Alissa bercakap.”
“Saya Asmidar, Syed Hadif ada ?”
Alissa terdiam, teringat akan pesanan Syed Hadif pagi
tadi.
“Tuan Syed keluar makan tengahari.” Alissa keresahan.
Dia terpaksa berbohong lagi tapi itu pesanan Syed Hadif, dia cuma melaksanakan
saja. Bersubahatkah dia, tapi tentu ada sebabnya Syed Hadif tidak mahu bercakap
dengan wanita itu.
“Dah lama dia keluar ?”
“Baru saja Cik Asmidar.”
“Tak apalah nanti saya callsemula. Terima kasih.”
Alissa meletakkan gagang. Alissa dapat menegsan nada
kekecewaan dari suara Asmidar. Siapa sebenarnya wanita itu dan apa hubungannya
dengan Syed Hadif? Kenapa pula Syed Hadif tidak mahu bercakap dengan wanita
itu? Persoalan itu asyik berlegar di fikirannya. Alissa menjongket bahu.
Lantaklah, untuk apa dia membebankan fikirannya dengan persoalan seremeh itu.
Dia cuma perlu menjalankan tugasnya sebagai setiausaha Syed Hadif.